Beza RM14,000 antara e.MAS 7 Prime dan e.MAS 7 Premium
Selesai sudah pelancaran SUV elektrik pertama jenama Proton, iaitu e.MAS 7 yang berlangsung pada minggu lalu.
Ternyata, walaupun sudah begitu lama diacah di dalam laman media sosial, pengaruh e.MAS 7 masih lagi menjadi bualan ramai di kalangan netizen sehingga kini.
Ada yang berpendapat positif, tidak kurang juga yang negatif.
Tapi bagi mereka yang sedang berkira-kira untuk memilih varian Prime yang lebih murah atau Premium yang lebih lengkap spesifikasinya, kami sedia membantu.
Dengan beza harga sekitar RM14,000, ini ialah lima perbezaan utama antara Proton e.MAS 7 varian Prime dan e.MAS 7 Premium:
1. Kapasiti bateri
Secara standard, kedua-dua varian dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 215 hp dan daya kilas 320 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j sekitar 6.9 saat.
Namun, e.MAS 7 Prime dibekalkan dengan pek bateri bilah pendek Aegis LFP (lithium iron phosphate) berkapasiti 49.52 kWh untuk jarak gerak sejauh 345 km, manakala e.MAS 7 Premium datang dengan pek bateri 60.22 kWh untuk jarak gerak sejauh 410 km.
2. Keupayaan pengecasan
Untuk pek bateri yang lebih kecil kapasitinya, e.MAS 7 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW, manakala e.MAS 7 Premium boleh mencecah keupayaan pengecasan DC sehingga 100 kW.
Sayang sekali, boleh dikatakan tiada perbezaan masa yang ketara dicatatkan, di mana tempoh masa pengecasan DC 30 hingga 80 peratus bagi kedua-dua varian dicatatkan sekitar 20 minit.
3. Luaran
e.MAS 7 varian Prime didatangkan dengan rim 18 inci yang dibaluti tayar Giti bersaiz 225/55 R18.
Sementara e.MAS 7 varian Premium pula lengkap dengan rim 19 inci yang lebih garang, dengan balutan getah Goodyear 235/50 R19.
Selain itu, varian e.MAS 7 Premium juga didatangkan dengan beberapa ciri tambahan seperti bumbung kaca panorama, pintu tailgate berkuasa, dan sistem Active Grill Shutter.
4. Kelengkapan kabin
Ciri kelengkapan yang dimuatkan secara standard untuk Proton e.MAS 7 sememangnya cukup panjang.
Cuma untuk model Premium, ia didatangkan dengan beberapa ciri khusus seperti fungsi memori tempat duduk pemandu, tempat duduk penumpang hadapan boleh laras empat tahap, fungsi ventilasi pada tempat duduk hadapan, sistem pencahayaan ambien yang menyokong sehingga 256 warna, kehadiran skrin paparan head-up dan sistem audio dengan 16 pembesar suara.
5. Ciri keselamatan
Biasanya varian yang paling rendah akan dianaktirikan dengan kelengkapan keselamatan yang kurang menyeluruh jika dibandingkan dengan varian yang paling premium.
Namun untuk e.MAS 7, kedua-dua varian dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan menyeluruh termasuklah sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 merangkumi fungsi penting seperti brek kecemasan autonomi (AEB, amaran pelanggaran hadapan (FCW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran keluar lorong (LDW) dan kawalan jelajah adaptif (ACC).
Tidak cukup dengan itu, e.MAS 7 juga dilengkapi dengan sistem kamera keliling 360 darjah.
Hanya satu perbezaan kecil yang wujud ialah e.MAS 7 varian Prime tidak dilengkapi dengan penderia parkir hadapan.
Proton e.MAS 7 Prime & Premium
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.