Kia Carnival High Roof 2026 untuk Korea Selatan
Kia melancarkan varian terbaharu kenderaan rekreasi besar Carnival iaitu Kia Carnival High Roof 2026 untuk pasaran Korea Selatan.
Model sembilan tempat duduk dengan pilihan enjin 3.5 petrol dan 1.6 turbo hibrid dilancarkan terlebih dahulu.
Model tujuh tempat duduk dijadualkan menyusul untuk pelancaran pada separuh kedua tahun ini.
Kia Carnival High Roof 2026 dibina berasaskan model standard Carnival yang dipertingkat melalui bumbung tinggi bagi memberikan ruang kabin lebih luas.
Pengguna di Korea kini mempunyai lebih banyak pilihan pada titik harga berpatutan dalam masa yang sama masih menikmati kelebihan ruang luas varian Carnival High Limousine sedia ada.
Reka Bentuk Luaran dan Dalaman
Reka bentuk luaran menampilkan kemasan krom yang memberi penekanan kepada garisan melintang.
Bahagian belakang dilengkapi lampu brek pembantu jenis LED bersaiz besar.
Ciri ini menonjolkan imej premium sesuai dengan kelas kenderaan ini serta meningkatkan kebolehlihatan dari arah belakang.
Suasana ruang dalaman direka bagi mewujudkan atmosfera ruang rehat eksklusif dengan penggunaan suede.
Lampu membaca jenis LED turut dipasang pada bahagian belakang kabin untuk keselesaan sepanjang pemanduan.
Pilihan warna luaran merangkumi Aurora Black Pearl dan Snow White Pearl manakala warna kemasan ruang dalaman dipadankan dengan warna Cotton Beige.
Lebih Tinggi Daripada Biasa
Model bumbung tinggi ini menggunakan bumbung keluli serupa dengan model Carnival High Limousine sedia ada bagi memastikan ketahanan serta keselamatan yang cemerlang.
Ketinggian meningkat sebanyak 270 mm berbanding model standard Carnival bagi memberikan ruang kepala yang luas untuk penumpang barisan kedua dan ketiga.
Ruang tersebut mewujudkan persekitaran dalaman yang lebih selesa untuk kegunaan keluarga atau perniagaan.
Rangkaian Kuasa 3.5 V6, 1.6L Turbo Hibrid
Sistem rangkaian kuasa ditawarkan dalam dua pilihan enjin untuk pasaran Korea iaitu enjin 3.5 petrol dan 1.6 turbo hibrid bagi kedua dua varian Noblesse dan Signature.
Varian 3.5 petrol menggunakan unit enjin berkapasiti 3.5 liter V6 yang menghasilkan kuasa 294 ps dan tork 355Nm dan dipadan bersama kotak gear automatik 8-kelajuan.
Dari segi kecekapan bahan api, ia mencatatkan penggunaan 7.5 km/ℓ bagi pemanduan bandar dan 10.4 km/ℓ bagi lebuh raya.
Varian 1.6 turbo hibrid pula menggabungkan enjin 1.6 liter berkuasa 180 ps dan tork 265Nm bersama motor elektrik 54 kW dan tork 304Nm dengan padanan transmisi automatik 6-kelajuan.
Angka kecekapan bahan api mencatatkan 13.8 km/ℓ untuk pemanduan bandar, 12.1 km/ℓ untuk lebuh raya.
Harga
Varian 3.5 petrol Noblesse dijual pada harga 52.11 juta won (RM139,446), manakala varian tertinggi 3.5 petrol Signature pula ditawarkan pada harga 55.66 juta won (RM148,946).
Bagi pilihan rangkaian kuasa hibrid, varian 1.6 turbo hibrid Noblesse berharga 56.66 juta won (RM151,622.16).
Seterusnya, varian premium 1.6 turbo hibrid Signature pula dipasarkan pada harga 60.21 juta won (RM161,121.96).
Spesifikasi Kia Carnival High Roof 2026
- 3.5 Petrol
- 3,470 cc,
- 294 ps@6,400 rpm, 355Nm@5,000 rpm
- Transmisi automatik 8-kelajuan
- 1.6 Turbo Hibrid:
- 1,598 cc, 180 ps@5,500 rpm
- Kuasa motor elektrik 54 kW,
- Tork enjin 265Nm@1,500 – 4,500 rpm
- Tork motor elektrik 304Nm
- Transmisi automatik 6-kelajuan
- Dimensi: Panjang 5,155 mm, Lebar 1,995 mm, Tinggi 2,045 mm (Petrol) dan 2,055 mm (Hibrid), Jarak roda 3,090 mm
- Berat kosong: 2,155 kg (Petrol) dan 2,230 kg (Hibrid)


