Arkib Tag: tips

Tips memandu dengan selamat semasa musim hujan

Ada di antara kita yang sudah pakar dalam hal ehwal memandu di atas jalan raya, tahu serba serbi teknik dan skill yang diperlukan untuk mengelak segala macam halangan.

Tapi, apabila tiba musim hujan, anda sebenarnya memerlukan kemahiran memandu pada aras yang lebih tinggi, disebabkan situasi yang semakin mencabar seperti penglihatan yang lebih terhad, serta keadaan jalan yang licin.

Namun, anda tidak perlu pun memiliki kemahiran memandu seperti Lewis Hamilton atau Max Verstappen semasa musim hujan.

Berikut merupakan beberapa tips pemanduan selamat yang boleh anda amalkan sepanjang musim hujan yang tidak menentu ini:

 

1. Jaga jarak

Di sekolah memandu, kita sudah diajar untuk menjaga jarak antara kita dengan kenderaan di hadapan, dan perkara tersebut menjadi lebih penting terutama ketika hujan lebat.

Ditambah pula dengan faktor jalan raya yang lebih licin berbanding biasa, dan penglihatan yang terhad disebabkan oleh percikan air dari kereta hadapan, anda mungkin tidak mempunyai masa dan ruang yang mencukupi untuk memberhentikan kereta dengan selamat.

Jadi, cara yang paling afdal ialah dengan menjaga jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan.

 

2. Pandu perlahan

Teknik memandu atas jalan raya yang kering tidak akan sama dengan teknik yang diperlukan untuk mengendalikan kereta atas jalan basah.

Jika tidak yakin, pandu sahaja kereta pada kelajuan yang mudah untuk dikawal dengan selamat, dan paling penting anda masih lagi mempunyai kadar cengkaman yang diperlukan untuk bergerak ke hadapan dengan lancar.

 

3. Lampu kecemasan tidak perlu dinyalakan, kecuali semasa berhenti

Dah nama pun lampu kecemasan, ia hanya perlu digunakan dalam situasi yang tidak diduga.

Seperti contoh, jika terdapat trafik di hadapan yang berhenti secara tiba-tiba, nyalakan lampu kecemasan untuk memberikan amaran kepada pengguna di belakang.

Atau semasa anda berhenti di lorong kecemasan.

Mohon biasakan perkara yang betul, dan betulkan ‘kebiasaan’ anda semasa musim hujan ini. Terima kasih.

 

4. Nyalakan lampu kereta anda

Satu lagi perkara yang patut anda biasakan ialah dengan menyalakan lampu utama kereta semasa bergerak di bawah hujan lebat.

Ini kerana semasa hujan lebat, ia akan menenggelamkan kewujudan kereta yang mempunyai warna yang hampir serupa, dan boleh meningkatkan risiko pelanggaran.

Kalau kena hon dari pengguna lain sebab terlupa nyalakan lampu, anggaplah ia sebagai satu teguran supaya anda amalkan pemanduan yang lebih selamat.

 

5. Elakkan lopak air seboleh mungkin

Ada di antara kita yang gemar melanggar lopak air semata-mata untuk melihat percikan air yang terhasil.

Namun tahukah anda, percikan air yang terhasil itu mampu ‘membutakan’ penglihatan anda untuk beberapa saat, dan keadaan boleh menjadi buruk sekiranya anda tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk mengelak kereta hadapan yang mungkin berhenti secara tiba-tiba.

Seperkara lagi, lopak air juga turut memberikan petanda kewujudan lubang-lubang jalan yang mampu mengoyakkan poket anda semasa tengah bulan. Tayar pancit boleh ditampal, tapi kalau tayar koyak?

 

6. Bilakah kali terakhir anda tukar pengelap cermin?

Pengelap cermin/penyeka kaca/wiper merupakan satu komponen penting yang sangat berguna semasa musim hujan.

Dalam hal ini, cuba cari produk pengelap cermin yang berkualiti dan berkesan untuk memastikan cermin hadapan bebas daripada sebarang kekotoran semasa musim hujan.

Pastikan juga getah pengelap cermin itu berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan bunyi bising yang mungkin akan membuatkan mood anda tidak baik sepanjang perjalanan.

 

7. Dapatkan info trafik semasa

Ada yang suka dengar info trafik daripada radio tempatan walaupun tidak gemar DJ yang suka buat lawak ketawa sendiri, namun ada juga pengguna yang lebih gemar memasang aplikasi navigasi pemetaan pada peranti pintar mereka.

Apa pun cara yang digunakan, ia merupakan salah satu cara yang bagus untuk mengetahui keadaan semasa seperti contoh kesesakan trafik, kawasan banjir kilat atau kemalangan yang mungkin baharu sahaja berlaku.

 

8. Berhenti rehat seketika

Samalah juga halnya dengan memandu pada waktu malam, memandu dalam musim hujan juga akan menghauskan tenaga dan tahap tumpuan anda dengan lebih cepat.

Lebih-lebih lagi semasa hujan turun bertambah lebat, dan penglihatan yang semakin terhad disebabkan oleh kehadiran kabus dan cuaca yang gelap.

Jika anda memandu di lebuh raya, boleh singgah di kawasan rehat & rawat (R&R) untuk menghilangkan kepenatan sambil menunggu hujan reda.

 

9. Pastikan kereta berada dalam keadaan baik

Selain daripada fizikal pemandu yang perlu berada dalam keadaan sihat walafiat, keadaan kereta juga perlu dipastikan berada dalam keadaan baik untuk apa jua musim yang melanda.

Pastikan komponen seperti brek berada dalam keadaan baik, serta ketebalan bunga tayar yang masih mampu meyakinkan pemandu, bukannya dah rupa macam cermin baru tersedar tayar perlu ditukar.

Tidak dilupakan, periksa juga lampu depan dan belakang dan gantikan mana-mana mentol yang sudah terbakar dengan unit baharu.

Apa fungsi spoiler pada kereta?

SPOILER memang cantik apabila dipasang pada kereta yang betul, namun tahukah anda yang komponen ini sebenarnya mempunyai fungsi lain selain menaikkan seri kereta?

Spoiler dinamakan sedemikian kerana tugasnya adalah untuk mengacau (spoil) aliran udara yang menjejaskan kestabilan kereta. Dalam erti kata lain, spoiler digunakan bagi mengurangkan kesan negatif aliran udara.

Populariti spoiler mula meningkat sekitar era 1960-an ketika pengeluar kenderaan sedang berlumba-lumba mencari jalan untuk meningkatkan aerodinamik kereta lumba.

Ia kemudiannya mula digunakan secara meluas pada kereta-kereta penumpang bagi membolehkan pengeluar mencapai tahap kecekapan bahan api yang lebih baik. Kereta pertama yang didatangkan dengan spoiler adalah Dodge Charger 1967.

Sebut sahaja perkataan spoiler, anda mungkin terbayangkan komponen yang nampak seperti sayap yang diletakkan pada bahagian belakang kereta.

Ya, itu memang spoiler tetapi spoiler juga datang dalam pelbagai bentuk dan saiz, serta boleh dipasang pada bahagian depan dan sisi kereta bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik.

Semakin laju kereta bergerak, semakin kuat udara yang lalu pada bahagian badannya. Udara yang masuk ke bahagian bawah badan kenderaan akan menghasilkan daya angkat (lift) yang boleh menjejaskan tahap cengkaman sekali gus menjadikan kereta kurang stabil.

Fonemena ini boleh dihalang dengan memasang spoiler atau splitter pada bahagian bampar depan. Ia akan mengurangkan jumlah udara yang lalu di bahagian bawah kereta.

Di belakang, pergolakan udara lebih kuat jadi spoiler digunakan untuk menghasilkan downforce, satu daya yang akan ‘menekan’ kereta ke bawah. Ini akan memberikan kereta lebih cengkaman dan menjadikannya lebih stabil dan lincah di selekoh.

Bagaimanapun, memasang spoiler juga ada keburukannya. Selain berat tambahan, masalah paling utama spoiler adalah ia juga menghasilkan daya seret atau drag yang boleh menjejaskan kelajuan maksimum dan kecekapan bahan api.

Selain itu, spoiler yang tinggi boleh mengganggu penglihatan pemandu terutamanya ketika melihat cermin pandang belakang ketika mengundur.

Seiring dengan perkembangan teknologi, kini pengeluar kenderaan mula menawarkan sistem aerodinamik aktif pada kenderaan mereka. Kelebihan utama sistem ini adalah ia boleh mengubah ciri aerodinamik secara automatik berdasarkan kelajuan kenderaan.

Antara komponen utama aerodinamik aktif termasuk gril depan, splitter depan, diffuser dan spoiler. Kereta pertama yang mempunyai ciri aerodinamik aktif adalah Porsche 959, diikuti dengan Volkswagen Corrado.

Tips memandu pada waktu malam

Keadaan cuaca siang yang agak membahang, dan trafik yang sesak membuatkan segelintir kita lebih gemar untuk memandu pada waktu malam.

Cuma, memandu pada waktu malam tidak serupa dengan keadaan memandu pada waktu siang.

Ada banyak faktor yang mampu mengehadkan tahap penglihatan kita, sekaligus meninggikan risiko terdedah kepada kemalangan.

Jika anda mahu memandu pada waktu malam, berikut ada beberapa tips yang boleh diamalkan:

 

1. Pastikan tubuh badan cukup rehat

Faktor pencahayaan akan membuatkan anda lebih menumpukan perhatian kepada apa yang datang dari arah hadapan.

Kesannya, otak akan menjadi lebih penat, dan keadaan bakal menjadi buruk sekiranya anda tidak sedar anda sebenarnya mengalami keadaan tidur mikro.

Apa yang penulis amalkan, tidur lebih awal untuk mendapatkan rehat yang cukup sebelum membuat perjalanan pada waktu tengah malam.

 

2. Pastikan lampu depan berfungsi dengan baik

Kebanyakan masa, kita akan bergantung kepada lampu hadapan untuk menentukan jarak dan objek yang ada di depan.

Jika lampu tidak berada dalam keadaan baik atau posisi suluhan terlalu rendah, ia mampu mengehadkan medan penglihatan yang jelas.

Posisi lampu yang tinggi juga boleh membahayakan pemandu yang datang dari arah hadapan disebabkan masalah silau yang melampau, apatah lagi lampu kereta moden rata-rata menggunakan LED.

 

3. Pastikan cermin hadapan & cermin sisi bersih daripada kotoran

Cermin hadapan yang bersih akan menyediakan medan penglihatan yang lebih jelas, dan lebih selamat terutama pada waktu malam.

Jika cermin hadapan kotor atau berminyak, keadaan ini akan membuatkan cahaya berserakan, sekaligus memburukkan lagi kesan silau lampu kereta dari arah hadapan.

Cari surat khabar lama yang tidak digunakan untuk mengelap bahagian tersebut.

 

4. Elakkan lampu ambien yang mampu mengganggu pemanduan

Kereta-kereta moden kini sudah dilengkapi dengan sistem pencahayaan ambien ala kedai tomyam tepi jalan.

Ada yang menawarkan grafik pencahayaan yang cantik, ada yang mampu mengganggu pemanduan pada waktu malam.

Jika perkara tersebut berlaku, cuba laraskan kembali kecerahan lampu ambien kabin pada tahap minimum, atau padamkan sahaja. Tiada orang mahu melihat kondisi kedai tomyam kereta anda dari luar pun.

 

5. Pandu pada kelajuan yang boleh dikawal

Antara kelebihan pemanduan pada waktu malam ialah keadaan jalan yang tenang, namun ia bukanlah lesen untuk anda memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan.

Memandu dengan lebih berhati-hati adalah cara yang terbaik bagi memastikan anda mempunyai masa yang secukupnya untuk bereaksi dengan apa jua situasi yang tidak dijangka.

Seperti contoh binatang yang melintas di hadapan, kereta terbabas, atau penghujung jalan yang langsung tidak mempunyai sistem pencahayaan yang sempurna.

Masih ingat lagi peraturan jarak yang diajar di sekolah memandu? Amalkan.

Satu petua yang biasa penulis amalkan ketika memandu pada waktu malam ialah memasang aplikasi navigasi pemetaan sepanjang masa terutama ketika memandu di laluan yang kita tidak biasa, supaya kita dapat mengagak struktur jalan yang ditempuh dan mengetahui laporan insiden jalan rosak/kemalangan yang dimuat naik oleh pengguna lain.

 

6. Elakkan memandu melebihi tempoh tertentu

Memandu pada waktu malam akan membuatkan badan anda lebih penat daripada biasa.

Jadi, anda dinasihatkan supaya berhenti rehat setiap satu atau dua jam di tempat yang selamat untuk mendapatkan udara segar, selain melakukan senaman regangan badan yang ringkas, atau menghirup kopi panas untuk menyegarkan kembali otak.

Kalau dah mengantuk sangat, tidur sebentar, namun pastikan tingkap kereta anda tidak tertutup dengan rapat bagi mengurangkan risiko keracunan gas monoksida.

Apa jadi kalau tersalah isi minyak petrol atau diesel?

JIKA anda memiliki kereta atau mempunyai lesen memandu, anda pasti tahu secara lazimnya ada dua jenis bahan api utama iaitu petrol dan diesel. Kedua-dua bahan api ini sangat berbeza dan menjadi bahan bakar untuk dua jenis enjin berbeza.

Walaubagaimanapun, kesilapan mengisi bahan api agak biasa berlaku, sebagai contoh terisi minyak petrol ke dalam kenderaan berenjin diesel. Atau sebaliknya.

Kesilapan ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti terlupa, sering bertukar kereta, tidak peka, atau apa sahaja sebab yang boleh menjadi punca.

Dalam artikel ini, kita akan lihatkan apa berlaku jika anda tersalah mengisi bahan api atau minyak ke dalam sesuatu kenderaan. Paling penting, kita akan lihatkan juga apa yang boleh dilakukan untuk ’memperbaiki’ kesilapan itu.

Apa akibat tersalah isi?

Gambar oleh: istock

Akibat atau kesan dari kesilapan ini secara kasarnya ialah, kerosakan kepada komponen enjin. Setiap enjin petrol atau diesel beroperasi dengan cara berbeza, dan minyak petrol dan diesel itu sendiri mempunyai sifat berbeza.

Ibarat anda patut mengisi gula dalam minuman, tetapi anda terisi tepung, pasti minuman itu ’rosak’, bukan?

Diesel dalam kereta petrol

Realitinya, sukar sebenarnya untuk termasuk diesel dalam kereta petrol. Ini kerana nozel diesel kebanyakannya tidak muat pada corong kereta petrol. Tetapi jika termasuk juga diesel, ia akan merosakkan komponen dalaman enjin dan sistem saliran bahan api.

Petrol lebih nipis dan diesel lebih pekat. Jika diesel termasuk dalam enjin petrol, ia akan membuatkan sistem tersumbat kerana enjin petrol tidak direka untuk menerima diesel yang pekat.

Kemudian, penyuntik bahan api akan tersumbat, palam pencucuh juga akan rosak. Enjin akan tersengguk dan mungkin ada asap putih, sebelum enjin mati dan tidak dapat dihidupkan.

Petrol dalam kereta diesel

Kemungkinan terisi petrol dalam kenderaan diesel lebih tinggi. Ini kerana muncung petrol lebih kecil dan lebih mudah muat pada corong tangki diesel. Malangnya, terisi petrol dalam tangki diesel juga akan menyebabkan kerosakan lebih besar pada enjin diesel.

Dalam enjin diesel, mampatan akan menyalakan bahan api. Maka, bahan api akan masuk ke bahagian dalam ruang enjin, bahan api juga bertindak sebagai pelincir.

Jadi, jika petrol memasuki enjin ini, sifatnya yang meruap boleh merosakkan komponen enjin. Pam penyuntik yang memerlukan pelincir juga tidak akan berfungsi dengan baik. Paling teruk ialah, tidak mudah untuk kita menyedari kehadiran petrol dalam enjin diesel.

Bila anda menyedarinya, kemungkinan besar ia sudah terlambat dan enjin rosak teruk.

Apa boleh buat jika tersalah isi?

Kini, kita lihat pula apa yang boleh dilakukan jika tersalah isi.

Diesel dalam kereta petrol

Jika anda tersedar semasa mengisi, jangan risau, jika masih sedikit, anda teruskan isi semula petrol ke dalam tangki. Jika diesel tercampur sedikit, anda masih boleh memandu kereta petrol dengan selamat.

Yang terbaik ialah anda buang semua diesel dari tangki, dan isi semula petrol hingga penuh.

Jika anda terisi penuh pula, jangan hidupkan enjin. Terus hubungi trak tunda untuk bawa kereta anda ke bengkel untuk tindakan selanjutnya.

Akhir sekali jika anda telah terhidupkan enjin, matikannya serta merta. Hubungi trak tunda dan bawa ke bengkel.

Jika anda telah memandu jauh, berhenti dan matikan enjin serta merta juga. Ini senario paling buruk, dan jika anda tersedar, sistem bahan api kereta perlu menjalani pemeriksaan dan pembersihan. Mungkin komponen seperti penapis petrol dan palam pencucuh perlu ditukar.

Petrol dalam kereta diesel

Cara menangani situasi ini adalah hampir sama dengan di atas. Bila anda tersedar anda telah mengisi petrol, segeralah tunda kenderaan supaya sistem bahan bakarnya boleh dibersihkan dan diisi semula dengan diesel.

Jika anda telah terhidupkan enjin, petrol mungkin telah mengalir lebih jauh ke dalam. Enjin diesel anda akan memerlukan pemeriksaan menyeluruh.

Situasi paling buruk ialah jika anda telah memandu kenderaan itu beberapa ketika. Petrol mungkin telah masuk ke segenap kawasan enjin dan banyak komponen akan rosak. Segera berhentikan kenderaan, matikan enjin, dan hubungi trak tunda untuk bawa kenderaan ke bengkel.

Tips untuk elakkan tersalah isi

Gambar oleh: dioramatoys

Beberapa tips untuk mengelakkan situasi-situasi di atas dari berlaku ialah:

  1. Pasang pelekat bahan api – Ini bertindak sebagai peringatan ringkas agar anda tidak tersilap isi.
  2. Periksa betul-betul semasa memasuki stesen minyak – Sentiasa peka dengan stesen dan pam yang anda masuki.
  3. Turun dari kenderaan semasa mengisi minyak – Lebih baik turun dari kenderaan dari membiarkan pembantu pam melakukan semuanya untuk anda. Periksa juga bahawa mereka mengisi bahan api yang betul ke dalam kenderaan anda.

Tayar kereta pecah tiba-tiba, apa nak buat?

Memandu di atas jalan raya Malaysia yang tercinta ini merupakan satu bentuk perjudian yang sangat berisiko.

Nasib baik, anda mungkin akan sampai ke destinasi dengan selamat. Nasib kurang baik, anda mungkin sangkut di pertengahan jalan/lebuh raya disebabkan oleh tayar pancit atau pecah.

Masalah tersebut boleh terjadi akibat beberapa faktor seperti contoh tercucuk bendasing yang tajam, dinding sisi yang mungkin terkoyak akibat impak pelanggaran jalan kawah bulan atau mungkin sekali masalah kebocoran pada struktur injap itu sendiri.

 

Sekiranya masalah ini terjadi, anda mungkin sekali akan berdepan dengan situasi seperti respons stereng yang semakin berat, kesukaran untuk mula bergerak, serta bunyi tayar yang semakin bising.

Kereta anda juga mungkin cenderung untuk melencong ke kiri atau ke kanan, atau hilang kawalan walaupun sedang melalui jalan yang lurus.

Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini (seperti tayar pecah), usah panik dan cuba ikuti lima langkah yang perlu anda buat:

 

1. Kawal daya brek

Menekan brek secara mengejut mungkin akan membuatkan kenderaan anda hilang kawalan dan mampu membahayakan bukan sahaja nyawa diri sendiri, malah nyawa pengguna lain atas jalan.

Jadi perkara pertama yang perlu anda buat ialah dengan menekan dan mengepam pedal brek dengan perlahan sehingga kenderaan berada pada kelajuan yang boleh dikawal.

Untuk pemilik kereta non-ABS, masa inilah anda merealisasikan ABS – Aku Brek Sendiri!

 

2. Kawal arah stereng dengan lembut

Dalam situasi kecemasan, anda mungkin dapat rasa kereta cenderung untuk ditarik ke kiri atau ke kanan bergantung kepada kedudukan tayar mana yang pecah.

Sama halnya dengan brek, roda stereng juga perlu dikawal dengan baik dan lembut berlawanan dengan arah kecenderungan kereta, dan paling penting pastikan kereta berada dalam laluan yang sepatutnya.

Memulas roda stereng dengan agresif akan membuatkan kereta anda berpusing dan hilang kawalan.

 

3. Gunakan gear rendah

Salah satu cara yang boleh dibuat untuk memperlahankan pergerakan kereta adalah dengan menggunakan teknik brek enjin (engine braking).

Pemilik kereta bertransmisi manual pasti sudah arif dengan teknik ini – tukar sahaja kepada posisi gear yang lebih rendah.

 

4. Nyalakan lampu kecemasan

Pastikan lampu kecemasan dihidupkan semasa dalam proses mengawal dan memberhentikan kereta bagi memberikan amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.

Kereta-kereta moden masa kini sudah pun mempunyai ciri nyalaan lampu kecemasan automatik saat berlakunya situasi yang mencemaskan.

Jika anda tergolong dalam kategori pemilik kereta yang olskool, usah risau dan panik kerana lampu kecemasan kereta anda juga boleh diaktifkan secara manual. Anda hanya perlu tahu di mana letaknya butang lampu kecemasan itu pada kereta anda.

Yang anda perlu risau ialah golongan pemandu yang sengaja menyalakan lampu kecemasan sewaktu memandu dalam hujan.

 

5. Segi tiga amaran – mana nak letak?

Semasa berhenti di lorong kecemasan, pastikan anda meletakkan segi tiga amaran pada jarak 45 meter dari belakang kereta yang rosak.

Kebanyakan kereta baharu kini sudah pun dilengkapi dengan kit kecemasan ini, jadi ia bukanlah satu alasan untuk anda mengabaikan aspek keselamatan sewaktu menunggu bantuan tiba.

 

Ini cara jump start bateri kereta yang betul

Bateri ‘kong’ atau bateri mati adalah satu perkara yang biasa dihadapi oleh mana-mana pemilik kereta. Ia memang menyusahkan, terutamanya jika anda perlu melakukan rutin harian, namun masalah ini boleh diselesaikan dengan cepat dan mudah jika anda tahu cara jump start yang betul.

Kenapa cara yang betul itu penting? Seperti yang anda mungkin tahu, kereta mempunyai pelbagai jenis komponen elektrik jadi sebarang kecuaian boleh menyebabkan kerosakan kepada komponen-komponen tersebut dan ini boleh menjurus kepada kos pembaikan yang lebih mahal.

Untuk jump start bateri kereta anda (kami namakannya Kereta A), anda memerlukan sebuah lagi kereta dengan bateri yang masih berfungsi dengan baik (Kereta B), serta kabel jumper yang elok.

Pertama sekali, parkir Kereta B berdekatan dengan Kereta A bagi memastikan kabel jumper dapat disambungkan pada terminal positif dan negatif pada kedua-dua kereta. Setelah mendapat posisi yang betul, matikan enjin Kereta B.

Seterusnya, sambungkan klip kabel merah ke terminal positif (biasanya bertanda ‘+’) pada bateri Kereta B. Kemudian sambungkan klip kabel merah yang satu lagi kepada terminal positif bateri Kereta A.

Pada ketika ini, anda mungkin sudah tahu apa yang perlu dilakukan dengan kabel hitam. Ya betul, sambungkan klip hitam ke terminal negatif (bertanda ‘-‘) bateri Kereta B.

Bagaimanapun, jangan sambungkan satu lagi klip hitam kepada terminal negatif bateri Kereta A. Sebaliknya, cari mana-mana objek yang tidak bercat seperti kepala skru suspension tower dan apit objek tersebut dengan klip hitam itu.

Setelah memastikan semua klip disambungkan dengan kemas, hidupkan Kereta B dan biarkan enjin dalam keadaan melahu selama beberapa minit.

Kemudian, cuba hidupkan Kereta A. Jika tidak berjaya, matikan enjin Kereta B, hidupkan semula dan biarkan enjin melahu lebih lama. Jika gagal lagi, kereta anda mungkin mempunyai masalah yang lebih besar berbanding bateri mati.

Jika enjin Kereta A berjaya dihidupkan, biarkan ia melahu buat beberapa ketika. Kemudian, mula tanggalkan kabel jumper tadi dalam urutan terbalik. Setelah itu, pandu kereta anda ke kedai bateri terdekat untuk menukarnya kepada yang baharu.

Pacuan FWD, RWD, AWD dan 4WD: Apa bezanya?

Ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan oleh pembeli semasa hendak membeli kereta. Selain harga, saiz dan enjin, anda mungkin perlu memilih jenis pacuan yang paling sesuai untuk keperluan anda.

Secara asasnya, ada empat jenis pacuan yang anda perlu tahu iaitu pacuan roda depan (FWD), pacuan roda belakang (RWD), pacuan semua roda (AWD) dan juga pacuan empat roda (4WD). Apakah perbezaan antara keempat-empat pacuan ini?

Pacuan roda depan (FWD)

Ini adalah pacuan yang paling biasa digunakan pada kenderaan, tidak kira sama ada ia hatchback, sedan atau SUV. Ini kerana sistem FWD lebih ringkas, bermakna ia lebih ringan, dan ini menjadikan kereta lebih cekap tenaga dan murah untuk diselenggara. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan RWD, ia kurang mengujakan kerana ia lebih cenderung untuk mengalami understeer.

Contoh: Perodua Myvi, Honda City dan BMW 2 Series Gran Coupe

Pacuan roda belakang (RWD)

Secara ringkasnya, RWD bertentangan dengan FWD kerana dalam sistem ini, kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi propeller shaft atau propshaft. Peminat kereta lazimnya lebih menggemari RWD kerana ia menawarkan tahap cengkaman lebih tinggi (berat kenderaan dipindahkan ke belakang apabila memecut) dan pengendalian yang lebih mengujakan di selekoh. Kereta RWD juga lebih mudah untuk drift berbanding yang lain.

Contoh: Ford Mustang, Mazda MX-5 dan Toyota GR86/Subaru BRZ

Pacuan semua roda (AWD)

Seperti yang boleh dilihat menerusi namanya, pacuan AWD bermakna kuasa daripada enjin disalurkan ke keempat-empat roda bagi membolehkan kereta bergerak dengan lebih mudah di atas permukaan jalan yang basah dan licin. Kebanyakan sistem AWD boleh membahagikan jumlah tork antara gandar depan dan belakang mengikut keperluan dan ada juga yang boleh bertukar ke mod pacuan dua roda (2WD) untuk menjimatkan bahan api.

Contoh: Honda CR-V, Toyota GR Yaris dan Subaru XV

Pacuan empat roda (4WD)

Jika dibandingkan dengan AWD, sistem 4WD lebih sesuai untuk digunakan dalam kondisi pemanduan off-road. Kebanyakan, kalau tidak semua, kenderaan 4WD mempunyai transfer case dengan mod 2H, 4H dan 4L. 2H adalah pacuan dua roda dengan nisbah gear tinggi untuk pemanduan biasa, 4H pula mod pacuan empat roda dengan nisbah gear tinggi untuk cengkaman lebih tinggi, manakala 4L adalah pacuan empat roda dengan nisbah gear rendah untuk membolehkan kenderaan ‘merangkak’ pada kelajuan rendah untuk membolehkan ia mengharungi permukaan muka bumi yang ekstrem.

Contoh: Ford Ranger, Jeep Wrangler dan Suzuki Jimny

Kereta anda dilanggar dari belakang? Ini apa yang anda perlu lakukan

Bayangkan anda sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat. Tak ada hujan tak ada ribut, tiba-tiba sahaja anda terdengar bunyi dentuman kuat dari belakang dan pada masa yang sama, anda terasa seperti tercampak ke depan, namun dihalang oleh tali pinggang keledar.

Rupa-rupanya, kereta anda ‘dicium’ oleh sebuah lagi kereta dari arah belakang. Apa yang anda patut lakukan dalam situasi ini? Berikut adalah beberapa tips yang mungkin berguna untuk anda.

  • Pertama sekali, jangan panik dan bawa bertenang. Jangan lupa untuk tarik nafas dan periksa sekiranya anda atau penumpang mengalami sebarang kecederaan.
  • Pandu kereta anda ke bahu jalan untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas. Pastikan keadaan selamat untuk berhenti.
  • Jika kereta yang melanggar anda juga berhenti di tepi jalan, ambil telefon pintar anda dan keluar dari kereta.

  • Jangan bawa apa-apa objek yang boleh dianggap sebagai senjata  kerana anda boleh dituduh cuba untuk melakukan serangan dan kecederaan kepada orang lain dan harta benda awam.
  • Ambil gambar nombor pendaftaran dan cukai jalan kereta yang langgar anda tadi.
  • Sekiranya pemandu tadi keluar daripada kenderaannya, elakkan daripada melakukan sebarang provokasi atau mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh menyebabkan pertengkaran.

  • Minta izin pemandu itu untuk melihat dan mengambil gambar kad pengenalan atau lesen memandunya. Dapatkan juga butiran hubungan seperti nombor telefon atau alamat emel.
  • Jika pemandu berkenaan tidak mengaku bersalah, jangan paksa dia berbuat demikian atau minta sebarang bayaran daripadanya.
  • Maklumkan kepadanya yang dari sisi undang-undang, kebiasaannya pemandu kereta yang melanggar dari belakang itu yang akan dipersalahkan.
  • Jika dia mengaku bersalah, minta dia tanggung kos pembaikan kereta anda. Tetapi jangan minta wang daripadanya. Ajak dia ke bengkel untuk menilai kerosakan kereta anda.

  • Jika dia berkeras tak mahu mengaku bersalah dan tidak mahu tanggung kos pembaikan kereta anda, terus pergi buat laporan polis di balai polis berdekatan.
  • Bawa laporan tadi ke mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melakukan pencarian kenderaan bagi mengetahui syarikat insuran kenderaan yang melanggar itu.
  • Pergi ke bengkel panel syarikat insurans tersebut dan minta mereka uruskan tuntutan pihak ketiga (third party claim) untuk membaiki kerosakan kereta anda.

Ini 8 cara untuk menjimatkan penggunaan bahan api

PENYASARAN subsidi bahan api yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan ada kebaikannya. Pertama, cara ini boleh memastikan lebih banyak subsidi dapat dinikmati oleh golongan layak.

Kedua, penjimatan daripada penyasaran subsidi boleh digunakan untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan rakyat.

Yang ketiga, ia secara tidak langsung ‘mendidik’ pemandu (terutamanya mereka yang tidak lagi layak mendapat subsidi) mengenai nilai setitis bahan api, sekali gus membuatkan mereka memandu dengan lebih berhemah bagi menjimatkan bahan api.

Bagi membantu anda, di sini kami kongsikan lapan tips mudah untuk menjimatkan penggunaan bahan api:

1. Pastikan tekanan angin tayar cukup

Sumber gambar: SoyaCincau

Kekurangan angin di dalam tayar akan menyebabkan rintangan golekan yang lebih tinggi atau dalam erti kata lain, kereta akan terasa lebih berat kerana geseran juga meningkat.

2. Keluarkan barang dari but

Lebih banyak barang di dalam but, lebih berat kereta anda. Lebih berat kereta anda, lebih banyak bahan api yang diperlukan untuk bergerak.

3. Guna je air-cond tu

Benar, menggunakan pendingin hawa semasa memandu akan meningkatkan sedikit tahap penggunaan bahan api. Tetapi tiada bezanya jika anda membuka tingkap ketika bergerak pada kelajuan 80 km/j ke atas – rintangan angin yang terhasil akan mengganggu aerodinamik seterusnya menjejaskan pengunaan bahan api.

4. Matikan enjin apabila kereta tidak bergerak

Ketika menunggu di tepi jalan, jangan biarkan enjin berada dalam keadaan melahu untuk lebih daripada beberapa minit. Anda mungkin tidak ke mana-mana tetapi petrol di dalam tangki semakin lama semakin berkurang.

5. Pecut dengan cermat

Jika anda sedang memandu di jalan raya, anda sebenarnya tidak perlu memecut secara agresif kerana tidak ada orang yang peduli pun. Tekan pedal dengan lembut tetapi berterusan untuk pecutan yang paling menjimatkan.

6. Meluncur di dalam gear paling tinggi

Jika anda sedang meluncur (cruising) di lebuh raya, pastikan kereta anda menggunakan gear paling tinggi. Ini akan memastikan enjin berputar pada RPM paling optimum untuk mencapai tahap penggunaan bahan api yang terbaik.

7. Rancang perjalanan

Perjalanan yang dirancang dengan baik bukan sahaja dapat mengurangkan stress anda, tetapi juga dapat mengurangkan beban trenkuasa seterusnya menjimatkan bahan api.

8. Pastikan kereta diselenggara

Penapis udara yang kotor dan palam pencucuh yang lama adalah antara beberapa faktor yang menyukarkan enjin kereta anda untuk beroperasi pada tahap optimum.

Anda dapat kereta ‘lemon’? Ini cara buat aduan Tribunal Tuntuan Pengguna

MEMANG mengecewakan jika kereta kita yang baru dibeli, belum hilang bau kedai, sudah bermasalah. Lebih memburukkan keadaan jika pihak pengeluar atau wakil jualan tidak mahu bertanggung jawab, kita rasakan ibarat “menabur garam di atas luka”.

Jangan risau, jangan rasa keseorangan. Tahukah anda bahawa anda sebenarnya boleh membuat laporan atau tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna?

Gambar oleh: Torque

Mungkin ramai yang pernah mendengar mengenai tribunal ini, tetapi ramaikah yang mengetahui cara sebenar membuat tuntutan? Kita sebenarnya sebagai pengguna atau pembeli mempunyai hak tersendiri di sisi undang-undang.

Jadi dalam artikel ini mari kita lihatkan soalan-soalan lazim berkenaan tribunal pengguna dan bagaimana anda boleh menuntut hak anda sebagai seorang pembeli tersakiti.

Objektif Tribunal Tuntutan Pengguna, menurut laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), adalah seperti berikut:

  1. Menyediakan forum alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna membuat tuntutan tebus rugi berkenaan dengan barang atau perkhidmatan secara murah, mudah dan cepat.
  2. Mendengar dan mengadili tuntutan dengan bebas, adil dan saksama.
  3. Membangunkan undang-undang berhubung perlindungan pengguna.

Bagaimana cara membuat tuntutan sekiranya kereta atau produk yang anda beli mempunyai masalah yang bukan disebabkan anda?

Ada dua cara, iaitu hadir sendiri ke mana-mana kaunter Tribunal Tuntutan Pengguna di seluruh negara, atau memfailkan secara online melalui portal https://ttpm.kpdn.gov.my.

Setiap permohonan yang difailkan akan dikenakan bayaran RM5.00.

Menurut laman web itu lagi, tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar:

  1. Tuntutan untuk tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan yang dibenarkan di bawah bidang kuasa Tribunal sepertimana diperuntukkan di bawah Akta 599;
  2. Tuntutan yang jumlah amaunnya tidak melebihi RM50,000.00; dan
  3. Tuntutan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu.

Adakah tribunal mempunyai kuasa perundangan untuk menyiasat aduan pengguna?

Tribunal Tuntutan Pengguna tidak mempunyai bidang kuasa perundangan di bawah Akta 599 untuk bertindak atas sesuatu aduan.

Tribunal adalah forum alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna membawa tindakan tuntutan tebus rugi terhadap penjual/pengilang dan pemberi perkhidmatan untuk pembelian barang dan perkhidmatan untuk hal perkara yang dibenarkan di bawah Akta 599.

Apakah semakan kehakiman?

Setiap award yang dibuat oleh Tribunal di bawah subseksyen 112 (2) dan 107 (3) Akta 599 adalah muktamad dan mengikat semua pihak kepada prosiding itu sepertimana yang dinyatakan di bawah seksyen 116 Akta 599.

Walau bagaimanapun, pihak yang tidak berpuas hati dengan award Tribunal boleh memohon Semakan Kehakiman di Mahkamah tinggi.

Diharapkan maklumat yang kami kongsi ini dapat membantu sedikit sebanyak bagi anda yang berhadapan dengan isu kepenggunaan. Sama-sama kita perjuangkan hak kita sebagai pengguna!

Perihal panaskan enjin, adakah anda buat dengan betul?

ISU panaskan enjin ini telah diperdebatkan berkurun lamanya, dari sembang kedai kopi, semasa lepak TT, hinggalah dalam forum internet dan Group Facebook.

Kenapa perlu panaskan enjin? Sekadar ikut-ikutan atau ada fungsi sebenar? Kami akan cuba jelaskan dengan penerangan mudah serta kaitkan dengan beberapa situasi yang biasa kita hadapi.

Memanaskan enjin sebenarnya suatu amalan sejak zaman 30 hingga 40 tahun dahulu, dimana enjin jenis karburator menggunakan choke bagi mencampurkan udara dan petrol untuk pembakaran.

Semasa sejuk, petrol tidak meruap, karburator tidak mempunyai pengesan suhu jadi ia tidak dapat melaraskan pembakaran cekap dan sempurna, lebih banyak bahan api digunakan pada masa ini. Maka sebab itu enjin perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum dipandu.

Bagi kereta moden yang kebanyakan kita pandu hari ini, enjinnya telah dilengkapi dengan pengesan untuk mengira nisbah campuran udara dan petrol dengan tepat. Ia akan melaras nisbah campuran ini juga bergantung kepada suhu.

Jadi, semasa sejuk, enjin dengan suntikan bahan api elektronik akan memasukkan lebih bahan api (burning rich) agar pembakaran tetap sempurna sehingga enjin mencapai suhu ideal. Proses ini jauh lebih cepat berbanding enjin lama dengan sistem karburator.

Perlu tunggu berapa minit sebelum pandu?

Jawapan mudah; hidupkan enjin, tunggu beberapa ketika sahaja, terus pandu. Ya, anda sebenarnya tak perlu tunggu sehingga 15 atau 20 minit untuk panaskan enjin. Bazir minyak sahaja.

Anda poket tebal tak kisah dengan duit minyak? Baik, seorang jurutera mekanikal dari Argonne National Laboratory pernah melaporkan bahawa bahan api (petrol) merupakan pelarut, dan ia boleh menipiskan minyak enjin pada dinding silinder jika enjin dibiarkan melahu (idle) dalam tempoh yang lama.

Anda sendiri faham, jika minyak kurang dalam dinding silinder, akan berlaku lebih geseran, dan pelbagai komponen boleh rosak atau pendek jangka hayatnya jika kita memanaskan enjin terlalu lama.

Menurut sorang wakil Volvo yang melakukan ujian cuaca sejuk di Artik, katanya, kereta baharu tidak perlu dipanaskan enjinnya. “Paling baik ialah hidupkan enjin beberapa saat untuk ada tekanan bahan api, dan terus pandu seperti biasa,” katanya.

Tapi jangan pula hidupkan enjin dan terus tekan pedal rapat ke lantai. Selepas kira-kira 20 atau 30 saat hidupkan enjin di waktu pagi, anda boleh terus pandu perlahan-lahan keluar taman perumahan, lalu beberapa simpang sebelum pecut di jalan utama.

Kalau kereta tinggal lama, macam mana pula?

Ada masa kita tinggalkan sesebuah kereta itu tidak dipandu untuk tempoh masa yang lama, tidak kiralah apa sebab pun. Ini juga akan timbul persoalan panaskan enjin, iaitu hidupkan sebentar sebelum tinggalkan semula kereta itu.

Tapi, bagaimana cara betul untuk panaskan enjin, hidupkan dan biar idle 10 minit?

Jawapannya, cara di atas tidak tepat. Jika anda ada kereta yang jarang dipandu, untuk panaskan enjin sekali-sekala, cara terbaik ialah hidupkan enjin, dan bawa keluar rumah dan dipandu perlahan-lahan di kawasan sekitar. Tidak perlu lama. 10 atau 15 minit sudah cukup.

Cara ini lebih baik kerana bukan hanya komponen enjin dapat bergerak, tetapi bendalir dan minyak dalam sistem transmisi juga dapat bergerak ke seluruh kawasan, begitu juga tayar dan gandar, semuanya bergerak. Maka gris dan minyak pelincir dapat diratakan.

Berbalik kepada awal artikel tadi, jika kita sekadar panaskan enjin dengan duduk setempat, cara ini kurang berkesan malah boleh merisikokan beberapa komponen.

Jangan beli kereta kalau ada 5 tanda ini, mungkin pernah eksiden!

KALAU kita nak beli kereta second atau terpakai, mesti tak mahu terbeli yang dah pernah eksiden atau kemalangan. Tapi tak ramai juga yang pandai periksa.

Kalau anda tahu pernah eksiden, mesti tak mahu beli, bukan? Atau kalau mahu beli juga, mintalah diskaun kaw-kaw.

Jadi jom kita tengok lima tanda kereta itu pernah eksiden.

1. Jarak pada panel badan

Biasanya jarak panel ada tolerance, tidak lebih dari ukuran tertentu yang ditetapkan oleh bahagian kualiti. Dalam 5mm, dan ia perlu seragam di seluruh kereta.

Contoh kalau kereta pernah berlanggar di depan, periksa belah kiri dan kanan, adakah jarak panel ini sama lebar. Kalau tak sama, mungkin ini kereta yang pernah eksiden.

Bawa je pembaris, ukur semua, tiada siapa yang boleh halang kita. Biar kita yakin dan puas hati, baru beli.

2. Warna tak sekata

Seterusnya, warna tak sekata. Contoh antara pintu depan dengan fender depan, atau dengan hud. Paling ketara dan mudah ialah warna putih.

Jika warna ada tak sekata, mungkin ada panel yang pernah ditukar atau dicat semula. Nak lagi terer, bawa saja alat pengukur ketebalan cat.

3. Periksa jika ada karat

Kereta moden hari ini sangat susah berkarat, walaupun dah berumur 10 tahun. Ini kerana proses mengecat dengan undercoat (lapisan bawah) sudah cukup untuk melindungi komponen logam.

Jika kereta pernah kemalangan dan ada komponen bengkok, proses menarik dan meluruskan semula ini boleh menyebabkan karat pada bahagian tertentu.

Cuba periksa bahagian bingkai ruang enjin, jika terdapat karat, ada kemungkinan kereta ini pernah eksiden. Begitu juga pada pintu, cuba lihat di getah keliling, pastikan tiada kesan karat atau kesan perubahan di sini.

4. Banyak barang baharu pada kereta

Baik, tanda seterusnya ialah banyak barang baharu. Kereta terpakai yang berumur lima tahun contohnya, pasti ada komponen wear and tear yang ditukar. Tetapi jika tiba-tiba ada komponen seperti radiator atau hos dalam enjin yang baharu dan berkilat, anda perlu periksa lebih.

Jika pemilik atau penjual kata baru tukar radiator sebab rosak, minta resit bukti. Jika tiada, kemungkinan kereta ini pernah mengalami perlanggaran depan dan merosakkan tangki radiator, sebab itulah ia ditukar baharu.

5. Bunyi-bunyi pelik

Akhir sekali untuk tanda-tanda kereta pernah eksiden ialah bunyi-bunyi pelik yang datang entah dari mana. Contohnya, hendak tutup pintu, ada bunyi “krek” sebelum ia boleh ditutup.

Begitu juga bila hendak tutup hud depan, hempas beberapa kali baru ia tertutup kemas. Bila pandu uji pula, ada bunyi “nyet nyet” atau bunyi tikus dari ruang tayar atau suspensi.

Jadi, semasa pandu uji ini gunakan peluang yang ada untuk mengenal pasti bunyi atau rasa yang pelik. Tidak perlu laju, tetapi cukup untuk anda pandu di pelbagai permukaan jalan, masuk ke jalan tak rata, kemudian cuba di lebuh raya.

Tips tanda-tanda kereta kemalangan ini dikongsi oleh Hasbullah Syarah di laman Youtube beliau, anda boleh tonton video penuh di bawah:

Kredit gambar: Openbay Overdrive, Toyota FJ Cruiser Forum, Universal Technical Institute, Subaru Crosstrek and XV Forum, dan Still Running Strong.

5 aksesori kereta yang menarik dan berguna

SUDAH menjadi satu kebiasaan pemilik-pemilik kereta di Malaysia untuk mendapatkan pelbagai jenis aksesori tambahan untuk kereta mereka.

Secara umumnya, ada tiga tujuan utama pemilik kereta membeli aksesori-aksesori ini. Tujuan yang pertama adalah untuk mencantikkan lagi penampilan kereta mereka, sama ada pada bahagian luaran atau dalaman.

Tujuan yang kedua pula ialah untuk kemudahan mereka sendiri, manakala tujuan yang ketiga ialah untuk keselamatan.

Berikut kami senaraikan lima aksesori yang menarik dan sangat berguna untuk kereta anda:

1. Dashcam

Jika kereta anda tidak didatangkan standard dengan dashcam, pastikan anda memasangnya terlebih dahulu sebelum membeli aksesori-aksesori lain.

Ini kerana dashcam sangat penting memandangkan rakamannya boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya berlaku sebarang kejadian melibatkan anda sendiri mahupun pengguna jalan raya yang lain.

Dengan adanya rakaman tersebut, pihak berkuasa boleh melakukan siasatan dengan lebih mudah dan terperinci. Bukan itu sahaja, ia juga membantu mempercepatkan proses tuntutan insurans.

2. Peranti pemanas tembakau

Jika anda masih merokok, sebaiknya anda berhenti terus. Tetapi jika anda belum bersedia, anda boleh cuba beralih ke peranti pemanas tembakau seperti lil SOLID Ez by IQOS.

Ini kerana lil SOLID Ez boleh memberikan rasa tembakau sebenar tanpa proses pembakaran seperti rokok biasa. Teknologi pintar ini bukan sahaja tidak menghasilkan abu yang membuatkan kabin kereta kotor dan berbau, malah ia melepaskan 95 peratus kurang bahan kimia berbahaya berbanding selepas rokok*.

[MAKLUMAT PENTING: Ini tidak bermakna risiko dikurangkan sebanyak 95 peratus. IQOS bukan bebas risiko.]

*“Pengurangan 95%”mewakili penurunan tahap purata pelbagai bahan kimia berbahaya (tidak termasuk nikotin) berbanding dengan asap rokok rujukan. Lihat “Maklumat Penting” di IQOS.com.

Lebih menarik lagi, lil SOLID Ez boleh dicas menggunakan pengecas yang sedia ada di dalam kereta atau dok pengecas bergaya yang boleh didapati menerusi laman sesawang iQOS.

Ikuti IQOS di Facebook dan Instagram untuk maklumat terkini.

3. Tukul multifungsi

Aksesori ini mungkin bersaiz kecil namun ia mampu memberikan manfaat yang sangat besar kepada pemilik kereta terutamanya dalam situasi kecemasan.

Seperti namanya, tukul multifungsi mempunyai pelbagai kegunaan. Ini termasuklah memecahkan cermin dan juga memotong tali pinggang keledar. Malah, ada juga yang didatangkan dengan lampu suluh.

Harganya tidak terlalu mahal dan boleh dibeli sama ada di kedai-kedai aksesori dan hardware berdekatan atau menerusi platform e-dagang.

4. Pemegang telefon

Rata-rata pemandu di Malaysia pastinya pernah menggunakan telefon bimbit semasa memandu untuk melihat arah jalan di dalam aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps.

Perbuatan ini sudah tentu menyalahi undang-undang serta boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, segeralah dapatkan pemegang telefon kerana ia amat memudahkan dan boleh membantu anda mengekalkan tumpuan di jalan raya.

5. Lampu ambien

Lampu ambien biasanya disertakan pada kereta-kereta keluaran jenama Eropah yang bernilai ratusan ribu atau jutaan ringgit. Namun ini tidak bermakna pemilik kereta ‘marhaen’ tidak boleh menikmati ciri yang menarik ini.

Terima kasih kepada perkembangan teknologi, banyak kedai aksesori sudah mula menjual jalur lampu LED untuk pencahayaan di dalam kabin pada harga yang mampu milik.

Ia mudah dipasang dan pelanggan juga boleh memilih warna serta bahagian-bahagian yang ingin dipasang. Barulah suasana di dalam kereta bertambah meriah, bukan?

Cara kekalkan resale value kereta untuk perokok

TIDAK dinafikan ramai perokok gemar memandu sambil merokok, semacam menenangkan pula lebih-lebih lagi jika memandu santai berseorangan.

Tdak menjadi kesalahan untuk memandu sambil merokok asalkan ianya tidak menjejaskan tumpuan dan keselamatan semasa di jalan raya. Masalahnya, asap rokok yang terperangkap dalam kereta adalah merbahaya untuk pemandu dan penumpangnya. 

Menurut kajian oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit dari Amerika Syarikat (AS), merokok dalam kereta memberikan risiko kesihatan jangka masa pendek dan panjang kepada penumpang.

Ini kerana ruang dalam kabin kereta yang sempit menyebabkan risiko meningkat dengan mendadak terhadap perokok kedua atau pasif.

Dari sudut kewangan pula, kajian mendapati merokok akan merendahkan nilai jualan semula kenderaan! Perkara ini salah satu elemen penting dalam keputusan pembelian kereta di Malaysia, bukan?

Saya perokok tegar, apa saya boleh lakukan?

Perkara paling bagus yang boleh dilakukan ialah berhenti terus, tapi kami faham ia sukar dilakukan. Anda boleh mulakan dengan tidak merokok semasa memandu. Jika dalam sesuatu perjalanan, anda boleh merokok semasa berhenti rehat sebagai contoh di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), dalam zon yang ditetapkan.

Satu lagi cara yang lebih bijak ialah gunakan alternatif bebas asap rokok seperti lil SOLID Ez. lil SOLID Ez, yang diperkenalkan oleh IQOS, merupakan pemanas tembakau yang tidak mengeluarkan asap, pada masa yang sama masih memberikan rasa tembakau sebenar.

Peranti ini tidak membakar tembakau seperti rokok biasa, jadi ia tidak mengeluarkan sebarang abu atau asap yang akan terperangkap dalam kereta yang boleh membahayakan penumpang. Ia juga menghasilkan sehingga 95 peratus kurang bahan kimia berbahaya*.

[MAKLUMAT PENTING: Ini tidak bermakna risiko dikurangkan sebanyak 95 peratus. IQOS bukan bebas risiko.]

*“Pengurangan 95 peratus”mewakili penurunan tahap purata pelbagai bahan kimia berbahaya (tidak termasuk nikotin) berbanding dengan asap rokok rujukan. Lihat “MaklumatPenting” di IQOS.com.

Tekan terus ke pautan ini jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai lil SOLID Ez.

Ikuti IQOS di Facebook dan Instagram untuk maklumat terkini.

PROTON X70 1.5 TGDi ternyata SUV paling ngam untuk orang berkerjaya

SEKIRANYA anda seorang yang berkerjaya dan berkeluarga, sudah  pasti anda mahukan kenderaan yang mampu membantu melancarkan urusan seharian anda.

Bagi menjalani rutin kehidupan harian seperti berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, membeli barang keperluan, hinggalah membawa keluarga beriadah di hujung minggu; anda memerlukan sebuah kenderaan yang mempunyai prestasi terbaik, ruang yang luas, dan keselesaan di tahap yang terbaik.

PROTON X70 merupakan salah satu model yang menepati ciri-ciri ini. Walaupun sudah beberapa tahun berada dalam pasaran, ia sentiasa dikemas kini dengan ciri terkini agar kekal kompetitif dan berdaya saing.

Reka bentuk bergaya dan premium

PROTON X70 membawakan rupa yang bergaya dan premium, suatu cerminan sempurna untuk imej anda sebagai seorang yang berkerjaya.

Bergantung kepada varian, ia dilengkapi lampu LED sepenuhnya dengan ciri Welcome Lights, rim aloi 19-inci yang sporty, pilihan warna badan yang menarik, dan bumbung panoramik yang melengkapkan gaya premiumnya.

PROTON X70 juga hadir dengan tempat duduk balutan kulit Nappa dengan ciri pemanas, sistem penapis udara, dan penapis kabin N95 yang bukan sahaja memastikan anda selesa sepanjang perjalanan, malah kekal segar sebaik tiba di destinasi.

Teknologi terkini dalam kereta

Gaya hidup berkerjaya dan berkeluarga cenderung membuatkan anda menghabiskan banyak masa di dalam kereta. Tetapi jangan risau, PROTON X70 padat dengan teknologi yang akan ‘menemani’ anda sepanjang perjalanan.

Ciri seperti sistem navigasi tersedia dan sistem penstriman muzik mampu membuatkan anda kekal terhibur dan fokus dalam pemanduan. Ia disambung pula dengan sembilan pembesar suara bersama amplifier dan subwoofer.

Terdapat juga fungsi arahan suara dimana hanya dengan sapaan, “Hi PROTON”, anda mampu melaras pelbagai fungsi dalam kereta seperti tingkap dan sistem pendingin hawa dengan mudah.

Seperti biasa, PROTON X70 juga dilengkapi dengan sambungan telefon pintar lengkap dengan Bluetooth dan WiFi 4G.

Prestasi TGDi baharu

Sebagai tambahan dari enjin 1.8-liter sedia ada, PROTON X70 kini didatangkan dengan pilihan enjin 1.5-liter TGDi baharu. Enjin turbo 3-silinder suntikan terus bahan api ini mampu menjana 174hp dan 255Nm tork.

Digandingkan pula dengan kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan, ia memberikan pecutan yang mantap dan bertenaga, serta membantu menyalurkan output enjin ke jalan raya dengan berkesan.

Selain dari kapasiti enjin yang lebih rendah, unit 1.5 TGDi baharu ini juga adalah 43kg lebih ringan berbanding model 1.8 liter, justeru menawarkan penjimatan bahan api sehingga tujuh peratus.

Untuk situasi dan keperluan berbeza dalam pemanduan harian anda, terdapat tiga mod yang boleh dipilih untuk disesuaikan iaitu Normal, Eco dan Sport. Ini juga memberikan perbezaan karakter terhadap PROTON X70.

Keselamatan untuk seisi keluarga

Sebagai sebuah kenderaan keluarga, keselamatan pastinya menjadi aspek penting, bukan? Usah risau kerana PROTON X70 dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan terkini.

Enam beg udara, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS), Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan Forward Collision Warning (FCW), anda namakan, semuanya ada dan relevan dengan cabaran dan laluan harian anda.

Kemudahan servis selepas-jualan

Servis selepas jualan bagi kenderaan keluarga adalah penting bukan hanya kerana faktor masa kerana anda mungkin sibuk dengan urusan harian, tetapi ia mustahak bagi memastikan kereta keluarga anda sentiasa berada dalam keadaan tip-top.

PROTON kini memastikan pusat-pusat servisnya untuk memegang stok  tiga bulan untuk 22 alat ganti permintaan tinggi. Dari sudut seorang pengguna, ini bermakna anda tidak perlu lagi menunggu lama untuk mendapatkan alat ganti bagi PROTON X70 baharu ini.  Rangkaian pengedaran PROTON juga banyak berubah sehingga mereka mempunyai jumlah fasiliti 3S/4S yang tertinggi.

Dapatkan segala yang anda perlukan melalui kemudahan aplikasi mudah alih dan laman web Proton seperti kemudahan bagi membuat temu janji servis kenderaan anda, tempah pandu uji, atau meminta bantuan tepi jalan semudah di hujung jari sahaja.

Nilai untuk wang – dari RM98,800

Paling penting, PROTON X70 menawarkan nilai yang baik untuk wang anda. Bermula dengan harga RM98,800 hingga RM128,800, cukup berbaloi bagi sebuah SUV segmen-C yang lengkap dengan pelbagai ciri praktikal dan premium.

Beli kereta baru? Ini tips pastikan kereta kekal berbau macam lepas keluar kedai!

RATA-rata rakyat Malaysia menghabiskan banyak masa di dalam kereta dan selain cantik, kita juga pasti mahukan kereta kita nyaman dan bebas dari bau busuk.

Bau-bau dalam kereta boleh disebabkan oleh makanan, hapak, atau bagi mereka yang merokok, terdapat bau asap rokok yang pasti kurang disenangi keluarga dan rakan-rakan.

Sebelum kereta kita berbau kurang enak, lebih baik kita hindarkan dari ia berlaku terlebih dahulu, terutamanya jika kereta kita baru dibeli.

Bagaimana cara memastikan kereta sentiasa berbau wangi dan terasa selesa? Ikuti tips-tips mudah ini:

1. Jangan tinggalkan sampah dalam kereta

Keluarkan semua sampah, sisa makanan atau benda-benda yang boleh meninggalkan bau setiap kali anda mahu keluar dari kereta. Bawa keluar dengan bekas sampah kecil atau guna sahaja tangan anda apabila sampai ke destinasi.

2. Gunakan lil SOLID

Bagi mereka yang merokok, memang biasa kena komplen pasal bau rokok dalam kereta. Asap dan abu sudah pasti akan melekat pada kerusi dan karpet kereta walaupun mereka tidak merokok di dalam kereta.

Satu alternatif yang lebih baik dan bersih adalah lil SOLID – peranti pemanas tembakau yang memberikan rasa tembakau sebenar tanpa mengeluarkan asap atau abu. Ini kerana lil SOLID yang diperkenalkan oleh IQOS tidak membakar tembakau seperti rokok biasa, jadi ia menghasilkan sehingga 95 peratus kurang bahan kimia berbahaya. Ini juga bermakna tiada abu atau habuk yang akan mengotorkan kerusi atau karpet kereta anda.

3. Pastikan kereta sentiasa kering

Sentiasa tutup rapat tingkap kereta anda kerana sekiranya air masuk, lembapan yang terperangkap akan memberikan bau hapak yang sukar dihilangkan.

4. Guna cawan anti-tumpah

Terdapat banyak jenis cawan anti-tumpah dalam pasaran yang boleh disesuaikan dengan kereta anda. Ini kerana ia dapat mengelakkan minuman seperti jus atau kopi dari tertumpah ke dalam kabin. Ini pun sama, pasti bau melekat!

5. Vakum dengan kerap

Vakum kereta dengan kerap akan memastikan tiada kotoran yang mungkin tertinggal dan dapat menjadi penyebab kepada bau kurang menyenangkan dalam kereta. Anda boleh guna vakum mini berkuasa bateri atau vakum rumah biasa, bergantung kepada lokasi kereta anda diparkir.

6. Bersihkan karpet kereta

Disebabkan ia di bawah, karpet juga menjadi tempat kotoran dan bauan terperangkap. Sentiasa bersihkan karpet dengan kerap sama ada tepukkan hingga tiada habuk atau basuh dengan air dan sabun jika perlu.

Mudah, bukan? Kesemua tips ini juga mesra poket dan berkesan memastikan kereta sentiasa berbau wangi dan tidak terdapat sebarang bauan kurang enak.

Tekan terus ke pautan ini jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai lil SOLID.

Ikuti IQOS di Facebook dan Instagram untuk maklumat terkini.

6 ‘life hack’ memandu musim cuti yang akan kurangkan ‘jem’ dan kemalangan

APAKAH perkara yang sinonim dengan pemanduan semasa musim perayaan atau cuti sekolah? Kesesakan jalan raya (traffic jam) dan kadar kemalangan yang lebih tinggi, bukan?

Ini kerana terdapatnya pertambahan jumlah kenderaan dimana ramai yang mempunyai agenda bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan.

Masalahnya, kebanyakan kesesakan atau ‘jem’ dan kemalangan itu tidak sepatutnya berlaku jika pemandu-pemandu kita lebih berdisiplin dan menggunakan akal semasa memandu. Bukan menggunakan otak semata-mata.

Jadi kali ini kami ingin kongsikan enam (6) ‘life hack’ memandu yang boleh diamalkan bagi mengurangkan risiko berlakunya dua masalah di atas.

Harus diingat, ‘life hack’ ini bukanlah terlalu pelik dan baru, sebaliknya benda biasa yang kita semua sudah tahu dan pelajari. Cuma kami akan terangkan lebih mendalam kenapa amalan ini akan mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan.

1. Jaga jarak dengan kereta depan

Macam biasa dengar, bukan? Sebelum anda menguap kerana mengantuk, mari kami terangkan. Anda rasa anda hebat kerana berjaya ‘cucuk’ kereta di depan dengan agresif?

Sebenarnya amalan ‘cucuk’ rapat ini bukanlah yang paling cerdik untuk diamalkan. Jika ditanya pelumba profesional pun, mereka tidak mengekori dengan rapat semasa di jalan raya.

Ini kerana dengan ‘cucuk’ rapat, anda akan cenderung brek mengejut serta berulang kali, dan ini akan mencetuskan kesan domino untuk aliran trafik terutamanya di lebuh raya.

Pernah anda terhenti di lorong paling kanan di lebuh raya empat lorong? Dan bila bergerak tengok-tengok tiada apa yang berlaku? Ya, ini ialah kesan dari ‘malaun’ selang 15 kereta di depan yang cucuk rapat acah hebat.

2. Jangan pandu santai di lorong tengah

“Eh kenapa tak boleh pandu santai? Awak nak laju-laju pergi mana?” Bang, boleh nak pandu santai, tak ada siapa nak marah, tapi di lorong kiri, ya? Bukan lorong tengah.

Contoh kalau lebuh raya ada tiga lorong, sepatutnya ada TIGA kelajuan berbeza. Tetapi bila anda pandu santai di lorong tengah, sama laju dengan lorong kiri, maka hanya ada dua kelajuan berbeza di lebuh raya itu. Ini punca kesesakan yang tidak sepatutnya berlaku.

Apa guna bina lebuh raya tiga lorong kalau operasinya sama macam dua lorong, bukan?

Lebih teruk lagi kalau lebuh raya empat lorong, tetapi tiga lorong dengan kelajuan sama, hanya lorong kanan sahaja yang laju sedikit. Puncanya? Geng pandu santai di lorong tengah. Tahniah.

3. Jangan malu duduk kiri

Ini lanjutan dari ‘life hack’ tadi, jika kita rasa nak pandu perlahan, chill sahaja, tekan signal kiri, dan beralih ke lorong kiri.

“Lorong kiri bukan untuk bas dan lori je ke?”

Kenderaan berat dilarang berada di lorong paling kanan, tapi kita yang pandu kereta penumpang biasa ni tiada masalah pun untuk berada di lorong kiri. Polis takkan saman punya.

Jika rasa nak pandu santai, nak sembang rancak dengan penumpang, nak suruh orang rumah suapkan keropok, inilah lorongnya. Bukan di lorong tengah.

4. Pecut di laluan susur SEBELUM masuk lorong utama

Ini satu ‘life hack’ penting juga. Tahukah anda lorong susur masuk lebuh raya ini paling kurang dimanfaatkan? Ramai betul yang terburu-buru nak terus ke lorong paling kanan tapi masih dalam kelajuan merangkak, dan menyebabkan kereta di laluan utama terpaksa membrek untuk dia.

Masalah besar dalam kalangan pemandu negara ini. Akibatnya, kesan domino lagi.

Anda boleh lihat contoh di lebuh raya utama di waktu puncak atau permulaan cuti. Trafik sesak berdekatan susur masuk, kemudian lancar semula. Kereta dari lorong susur masuk berebut-rebut untuk ke kanan padahal lorong susur masih panjang. Ada hadiah siapa yang sampai lorong kanan dahulu?

Sepatutnya pecut, signal ke kanan, dan masuk dengan kelajuan sama. Bukannya signal, masuk ala kadar, dan pecut. Penat la nak ajar satu-satu…

5. Pandang jauh ke depan

‘Life hack’ ini sebenarnya salah satu teknik pemanduan defensif. Gunakan apa yang boleh untuk kita lihat jauh ke depan.

Mungkin kita boleh lihat ke depan melalui cermin kereta hadapan, atau jaga jarak kita. Bila kita terlalu rapat dengan kereta hadapan, lebih sukar untuk kita lihat apa yang berada di depannya.

Sebagai contoh, kita boleh bersedia untuk memperlahankan kenderaan sebelum kereta di hadapan menekan breknya. Ini penting untuk kelancaran aliran trafik.

Bayangkan jika semua pemandu menjaga jarak, pandang jauh ke depan, tiada brek mengejut, pasti aliran trafik lancar walaupun banyak kereta.

6. Kelajuan sesuai dengan aliran trafik

Akhir sekali, kunci kepada pemanduan lancar ialah pandu dengan kelajuan sesuai dengan aliran trafik. Tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.

Terlalu laju dalam trafik sesak, pemandu lain akan fikir anda sedang dirasuk, dan percayalah mereka semua sedang memaki anda. Kalau kecemasan tu lain cerita.

Tetapi pandu terlalu perlahan juga bahaya, kerana kereta lain terpaksa banyak bertukar lorong untuk ‘mengelak’ anda. Ibarat seketul batu yang bergolek dalam air longkang yang sedang mengalir deras.

Jangan berada dalam dunia sendiri, pandu ikut suka hati, “asalkan tak lebih had laju” katanya. Ikut aliran trafik, peka dengan keadaan sekeliling.

Amacam enam ‘life hack’ pemanduan yang kami kongsikan ini? Kalau anda kurang yakin, tak apa. Tarik nafas dalam-dalam, dan renungkan semula semasa memandu di musim cuti nanti. Dan cuba perhatikan punca-punca kesesakan yang berlaku.

Selamat memandu!

Kasi tenyeh, BMW bawah RM10k?

KALI ini Tenyeh Enterprise mahu berkongsi dengan anda peminat BMW dan kereta Continental mengenai kereta sedap dengan bajet RM10k. Tak percaya?

Ada sebenarnya, walaupun harga alat ganti mungkin sedikit mahal. Tapi kalau dicari, panda periksa kereta dan tahu tempat untuk membaiki, sebenarnya tak mustahil memiliki BMW lama dengan harga RM10k. Mana tahu boleh buat kereta projek, kan?

Jom kita lihatkan.

1. BMW 318i E36 (RM8,000)

Ini merupakan model CKD, tahun 1997, condition tip-top, air-con sejuk, dan harga pun boleh nego. Lokasi kereta di Ampang, dan kereta dalam keadaan standard.

Cuma seperti biasa untuk generasi E36, ruang dalaman mungkin perlu diperiksa kerana ada panel yang sudah lusuh disebabkan cuaca negara kita yang kurang mesra BMW lama.

2. BMW 523i E39 (RM10,000)

Tak cukup? Ok kita bagi 5-Series pula. Kali ini BMW 523i E39, merupakan model CBU facelift, tahun 1999.

Katanya sudah convert, M54B30. Ini memang enjin sedap, 3.0-liter 6-silinder.

Perbatuan sudah 100,000km, tetapi kena betul-betul periksa adakah conversion itu dibuat dengan baik atau tidak. Bawa rakan pomen yang power ya.

3. BMW 318i E36 (RM9,500)

Kita kembali ke BMW E36, kali ini 318i model CBU. Yang menariknya, ini dapat kotak gear manual, jadi yang muda-muda suka memandu tu, boleh tengok kereta ini.

Ya lah, kalau taknak ikut kebiasaan orang pakai kereta baharu yang biasa, BMW 318i ini lebih rare.

Katanya dalaman kemas, dan nombor plat cantik. Kami rasa harga ni memang dah ok sangat. Amacam?

4. BMW 528i E39 (RM7,800)

Nak BMW 5-Series lagi? Kami bagi yang lebih power, tadi 523i kan, kali ini 528i. Model ini tahun 1997, transmisi automatik.

Luaran dan rim semua masih standard, tapi dalaman macam kena bikin sedikit.

5. BMW 520i E34 (RM9,800)

Baik, yang terakhir. Ada lagi, ini klasik sikit, iaitu BMW 520i E34, model tahun 1995. Rim besi jenis dishwheel tu, fuh syahdu tengok.

Badan nampak ok, dan paling penting, kalau dilihat pada gambar ni dalaman pun ok. Dan menurut penjual, enjin, kotak gear dan suspensi juga masih mantap.

Yang mana korang berkenan? Abang Syamsul paling berkenan yang mula-mula tadi dan yang terakhir ni.

Nak tahu lebih lanjut? Jemput tengok video di bawah. Dan Abang Syamsul siap ada kongsi tips pasal E34.

Had laju: Adakah kita salah faham selama ini? – Suara Engear

BILA kita terdengar atau terbaca kenyataan “had laju ialah 110km/j”, apa yang kita faham? Pandu tidak melebihi 110km/j, bukan? Ya anda tidak salah, tapi kemungkinan kita hanya betul separuh sahaja.

Separuh lagi ialah; pandu pada sekitar 110km/j atau tidak terlalu perlahan. Kurang faham?

Situasi patuh had laju

Bayangkan anda di jalan persekutuan lorong tunggal (satu lorong untuk kedua-dua arah) dengan had laju 90km/j. Banyak kenderaan akan cuba memotong, justeru meningkatkan risiko kemalangan. Berbalik kepada punca, kenapa banyak kenderaan akan cuba memotong?

Kerana ada yang memandu 45km/j sambil cari gerai buah, ada yang pandu 120km/j kerana baru lepas tonton filem Fast and Furious terbaharu, dan ada yang pandu bersahaja 90km/j. Sebenarnya masalah (keperluan memotong) terjadi bila terlalu banyak kelajuan berbeza, mahu pandu ikut kehendak sendiri tanpa fikir kesesuaian.

Bila semua pemandu ingin memotong, tekanan meningkat dan keselamatan untuk semua semakin berkurangan. Malah, penggunaan minyak juga semakin teruk kerana anda banyak menekan pedal secara mengejut dan kemudian membrek semula.

Sepatutnya di zon 90km/j, anda perlu pandu sekitar 90km/j, bukannya tidak melebihi 90km/j. Nampak perbezaan di situ? Kelajuan yang sesuai di zon 90km/j adalah antara 85km/j hingga 95km/j, bukannya 40km/j.

Jadi had laju sebenarnya membawa dua maksud, iaitu kelajuan maksima dan minima.

Bayangkan di jalan persekutuan yang sama, semua pemandu memandu pada kelajuan sekitar 90km/j. Maka semua orang tidak rasa tergesa-gesa, dan semua akan rasa perjalanan lebih tenang. Anda tidak perlu memotong sesiapa, dan tiada sesiapa perlu memotong anda.

Jadi jika seseorang itu disaman disebabkan melanggar had laju kerana dia memandu pada 120km/j di zon 90km/j, sepatutnya orang yang memandu 45km/j di sini juga wajar disaman.

Pandu perlahan tidak bermakna selamat, terlalu laju atau terlalu perlahan kedua-duanya boleh mengundang bahaya. Paling penting adalah ikut aliran trafik.

Konsep dan pemahaman had laju bercanggah dengan apa yang difahami selama ini? Ya, mungkin. Kita cenderung belajar dari sekolah memandu sahaja, itu pun jika masih ingat apa yang dipelajari.

Sebenarnya silibus sekolah memandu tidak semuanya relevan dengan situasi jalan raya hari ini. Betulkah cara pegang stereng di jam 10 dan 2? Siapa yang tunggang motor kemudian angkat tangan bila berhenti? Ada sesiapa amalkan selepas dapat lesen?

Sebelum anda menuduh penulis memandai-mandai dengan konsep yang entah dari mana, harus diketahui banyak negara maju (dengan silibus sekolah memandu yang dikemas kini) mempraktikkan idea had laju sebegini, sebagai contoh, Australia.

Dan anda boleh tonton dalam video di bawah dimana rakan media kami, Uncle YS Khong mendemonstrasi situasi had laju ini semasa beliau memandu di sana. Lompat terus ke minit 3:59 dan anda dengar penerangannya sehingga 4:55.

Praktikal untuk dibuat?

Baik, adakah praktikal untuk kita amalkan konsep sebenar mematuhi had laju ini? Takkanlah baru keluar simpang terus nak pecut ke 90km/j? Sebenarnya memang perlu pecut, apa guna kereta berkuasa tinggi, tapi keluar simpang merangkak macam sedang mencari rumah sewa.

Anda boleh sahaja pecut perlahan-lahan ikut suka anda, hanya jika jalan lengang. Tetapi jika ada kenderaan mendatang dan anda rasa tidak sempat, tak perlu keluar dahulu. Boleh sahaja biarkan kenderaan itu berlalu dahulu sebelum anda keluar.

Jika anda telah membuatkan kenderaan di jalan utama membrek untuk anda, bermakna anda telah tersalah agak, dan telah buat kesilapan. Tapi sudah tentu, ramai pemandu biasa buat dan tidak peduli pun.

Semua ini common sense sahaja, tidak perlu diberitahu, bukan? Tetapi ramai yang kononnya ‘takut’ nak tekan pedal sepenuhnya untuk menyamai kelajuan kenderaan di jalan utama. Tetapi tak takut pula untuk tekan minyak di lebuh raya sehingga dua kali ganda had laju.

Apa kata anda tekan pedal minyak di tempat yang betul.

Bagaimana pula di lebuh raya?

Untuk lebuh raya, mentaliti dan konsep sama diamalkan, jika had kelajuan ialah 110km/j, pandu pada sekitar 110km/j.

Imej oleh: klia2.info

Siapa yang begitu ‘cerdik’ untuk pandu 50km/j di lebuh raya, bukan? Tetapi pandu 110km/j di lorong paling kanan juga salah! Kerana itu lorong memotong, bukan lorong ikut had laju.

Lorong kedua dari kanan sepatutnya untuk sekitar had laju, tetapi biasalah, pemandu kita ramai yang pandu 80km/j di sini. Ini topik lain untuk hari lain.

Apa pun, lorong paling kanan sepatutnya dibiarkan kosong dan digunakan untuk memotong sahaja, bukan beratur panjang macam kereta api.

Dan paling penting, sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Tahukah anda, jika anda ikut konsep sebenar ini, ia mampu mengurangkan kesesakan dan kemalangan? Kami akan ulaskan di artikel akan datang.

7 tips mudah beli tayar baru untuk kereta anda

TAYAR antara komponen penting dalam kereta sama ada untuk memberikan keselesaan atau keseronokan pemanduan. Ia juga memerlukan pemeriksaan berkala agar sentiasa berada dalam keadaan baik dan apabila sampai masanya, perlu diganti.

Terlalu banyak tayar dalam pasaran dan jika tersalah beli, menyesal pula. Jadi, berikut kami kongsikan 7 tips panduan mudah agar anda dapat tayar paling sesuai dengan kereta anda.

Anda boleh telitikan perkara-perkara ini semasa memilih tayar:

1. Lebar tayar

Lebar ditunjukkan dengan tiga digit pertama pada label. Sebagai contoh, tayar bersaiz 205/40/R17 mempunyai lebar 205mm.

Lebar tayar mempengaruhi tahap cengkaman dan bunyi. Tayar lebih lebar memberikan lebih cengkaman tetapi lebih bising.

2. Profil (ketebalan) tayar

Faktor seterusnya yang berkait dengan lebar ialah profil (ketebalan) tayar. Ini ialah ketebalan sidewall (dinding tepi) yang dikira sebagai peratus dari lebar tayar.

Sebagai contoh, 205/40/R17 bermakna ia mempunyai profil 40 iaitu kira-kira 40 peratus dari 205mm.

Profil lebih tinggi (lebih dari 50) secara umumnya memberikan lebih keselesaan dan ketahanan, tetapi profil lebih rendah dikatakan mempunyai rupa lebih menarik dan memberikan respon stereng lebih baik.

3. Saiz tayar

Untuk keselamatan, adalah penting untuk mendapatkan saiz tayar yang betul untuk kereta anda. Pada label 205/40/R17, saiz dirujuk pada angka R17 yang bermakna 17-inci.

Menggunakan saiz tayar yang salah akan mempengaruhi fungsi sistem-sistem seperti ABS, ESC, serta bacaan TPMS dan speedometer.

4. Nilai kelajuan

Speed rating atau nilai kelajuan ditunjukkan dengan huruf terakhir pada label tayar. Untuk 205/40/R17/V, maka V ialah speed rating. Ini akan merujuk kepada tahap kelajuan pada carta yang mana rating lebih tinggi memberikan cengkaman dan kemampuan brek pada kelajuan lebih tinggi.

Carta kelajuan:

Q – 160 km/h
S – 180 km/h
T – 190 km/h
U – 200 km/h
H – 210 km/h
V – 240 km/h
W – 270 km/h
Y – 300 km/h
(Y) – Lebih 300 km/h

5. Corak bunga tayar

Terdapat tiga corak: symmetrical, directional dan asymmetrical.

Symmetrical ialah corak paling lazim – paling bagus untuk kesenyapan, tetapi tidak begitu optimum untuk jalan basah.

Untuk prestasi terbaik pada permukaan basah, anda perlu tayar directional – corak berbentuk-V yang direka untuk berpusing pada satu arah sahaja. Dengan rekaan lebih lebar, corak ini lebih baik untuk mengalihkan air ke tepi dan memberikan lebih cengkaman. Tetapi tayar ini lebih bising dari symmetrical.

Tayar asymmetrical boleh memberikan kedua-dua fungsi – coraknya separuh untuk permukaan basah, separuh lagi untuk mengurangkan bunyi, jadi anda dapat kedua-dua manfaat. Biasanya tayar asymmetrical lebih mahal.

6. Usia tayar

Tayar mempunyai jangka hayat dan tayar yang disimpan serta tidak digunakan juga boleh rosak dan menjadi tidak selamat untuk digunakan.

Tarikh pengeluaran tayar boleh dilihat pada kod empat-digit pada dinding tepi tayar. Sebagai contoh, 3220 bermakna ia dikilangkan pada minggu ke-32 tahun 2020.

Tayar yang lebih berusia biasanya lebih murah (terdapat diskaun). Untuk lebih selamat, jangan guna tayar yang berusia lebih enam tahun.

7. Jaminan kilang

Pengeluar biasanya menawarkan waranti/jaminan untuk tayar mereka, tetapi agak terhad. Semasa memilih tayar, lihat pada jaminan yang ditawarkan agar sesuai dengan kehendak dan keperluan anda.

Jemput tonton video di bawah untuk penerangan santai yang lebih jelas.