Tips memandu pada waktu malam
Keadaan cuaca siang yang agak membahang, dan trafik yang sesak membuatkan segelintir kita lebih gemar untuk memandu pada waktu malam.
Cuma, memandu pada waktu malam tidak serupa dengan keadaan memandu pada waktu siang.
Ada banyak faktor yang mampu mengehadkan tahap penglihatan kita, sekaligus meninggikan risiko terdedah kepada kemalangan.
Jika anda mahu memandu pada waktu malam, berikut ada beberapa tips yang boleh diamalkan:
1. Pastikan tubuh badan cukup rehat
Faktor pencahayaan akan membuatkan anda lebih menumpukan perhatian kepada apa yang datang dari arah hadapan.
Kesannya, otak akan menjadi lebih penat, dan keadaan bakal menjadi buruk sekiranya anda tidak sedar anda sebenarnya mengalami keadaan tidur mikro.
Apa yang penulis amalkan, tidur lebih awal untuk mendapatkan rehat yang cukup sebelum membuat perjalanan pada waktu tengah malam.
2. Pastikan lampu depan berfungsi dengan baik
Kebanyakan masa, kita akan bergantung kepada lampu hadapan untuk menentukan jarak dan objek yang ada di depan.
Jika lampu tidak berada dalam keadaan baik atau posisi suluhan terlalu rendah, ia mampu mengehadkan medan penglihatan yang jelas.
Posisi lampu yang tinggi juga boleh membahayakan pemandu yang datang dari arah hadapan disebabkan masalah silau yang melampau, apatah lagi lampu kereta moden rata-rata menggunakan LED.
3. Pastikan cermin hadapan & cermin sisi bersih daripada kotoran
Cermin hadapan yang bersih akan menyediakan medan penglihatan yang lebih jelas, dan lebih selamat terutama pada waktu malam.
Jika cermin hadapan kotor atau berminyak, keadaan ini akan membuatkan cahaya berserakan, sekaligus memburukkan lagi kesan silau lampu kereta dari arah hadapan.
Cari surat khabar lama yang tidak digunakan untuk mengelap bahagian tersebut.
4. Elakkan lampu ambien yang mampu mengganggu pemanduan
Kereta-kereta moden kini sudah dilengkapi dengan sistem pencahayaan ambien ala kedai tomyam tepi jalan.
Ada yang menawarkan grafik pencahayaan yang cantik, ada yang mampu mengganggu pemanduan pada waktu malam.
Jika perkara tersebut berlaku, cuba laraskan kembali kecerahan lampu ambien kabin pada tahap minimum, atau padamkan sahaja. Tiada orang mahu melihat kondisi kedai tomyam kereta anda dari luar pun.
5. Pandu pada kelajuan yang boleh dikawal
Antara kelebihan pemanduan pada waktu malam ialah keadaan jalan yang tenang, namun ia bukanlah lesen untuk anda memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan.
Memandu dengan lebih berhati-hati adalah cara yang terbaik bagi memastikan anda mempunyai masa yang secukupnya untuk bereaksi dengan apa jua situasi yang tidak dijangka.
Seperti contoh binatang yang melintas di hadapan, kereta terbabas, atau penghujung jalan yang langsung tidak mempunyai sistem pencahayaan yang sempurna.
Masih ingat lagi peraturan jarak yang diajar di sekolah memandu? Amalkan.
Satu petua yang biasa penulis amalkan ketika memandu pada waktu malam ialah memasang aplikasi navigasi pemetaan sepanjang masa terutama ketika memandu di laluan yang kita tidak biasa, supaya kita dapat mengagak struktur jalan yang ditempuh dan mengetahui laporan insiden jalan rosak/kemalangan yang dimuat naik oleh pengguna lain.
6. Elakkan memandu melebihi tempoh tertentu
Memandu pada waktu malam akan membuatkan badan anda lebih penat daripada biasa.
Jadi, anda dinasihatkan supaya berhenti rehat setiap satu atau dua jam di tempat yang selamat untuk mendapatkan udara segar, selain melakukan senaman regangan badan yang ringkas, atau menghirup kopi panas untuk menyegarkan kembali otak.
Kalau dah mengantuk sangat, tidur sebentar, namun pastikan tingkap kereta anda tidak tertutup dengan rapat bagi mengurangkan risiko keracunan gas monoksida.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.