Pacuan FWD, RWD, AWD dan 4WD: Apa bezanya?


Ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan oleh pembeli semasa hendak membeli kereta. Selain harga, saiz dan enjin, anda mungkin perlu memilih jenis pacuan yang paling sesuai untuk keperluan anda.
Secara asasnya, ada empat jenis pacuan yang anda perlu tahu iaitu pacuan roda depan (FWD), pacuan roda belakang (RWD), pacuan semua roda (AWD) dan juga pacuan empat roda (4WD). Apakah perbezaan antara keempat-empat pacuan ini?
Pacuan roda depan (FWD)
Ini adalah pacuan yang paling biasa digunakan pada kenderaan, tidak kira sama ada ia hatchback, sedan atau SUV. Ini kerana sistem FWD lebih ringkas, bermakna ia lebih ringan, dan ini menjadikan kereta lebih cekap tenaga dan murah untuk diselenggara. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan RWD, ia kurang mengujakan kerana ia lebih cenderung untuk mengalami understeer.
Contoh: Perodua Myvi, Honda City dan BMW 2 Series Gran Coupe
Pacuan roda belakang (RWD)
Secara ringkasnya, RWD bertentangan dengan FWD kerana dalam sistem ini, kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi propeller shaft atau propshaft. Peminat kereta lazimnya lebih menggemari RWD kerana ia menawarkan tahap cengkaman lebih tinggi (berat kenderaan dipindahkan ke belakang apabila memecut) dan pengendalian yang lebih mengujakan di selekoh. Kereta RWD juga lebih mudah untuk drift berbanding yang lain.
Contoh: Ford Mustang, Mazda MX-5 dan Toyota GR86/Subaru BRZ
Pacuan semua roda (AWD)
Seperti yang boleh dilihat menerusi namanya, pacuan AWD bermakna kuasa daripada enjin disalurkan ke keempat-empat roda bagi membolehkan kereta bergerak dengan lebih mudah di atas permukaan jalan yang basah dan licin. Kebanyakan sistem AWD boleh membahagikan jumlah tork antara gandar depan dan belakang mengikut keperluan dan ada juga yang boleh bertukar ke mod pacuan dua roda (2WD) untuk menjimatkan bahan api.
Contoh: Honda CR-V, Toyota GR Yaris dan Subaru XV
Pacuan empat roda (4WD)
Jika dibandingkan dengan AWD, sistem 4WD lebih sesuai untuk digunakan dalam kondisi pemanduan off-road. Kebanyakan, kalau tidak semua, kenderaan 4WD mempunyai transfer case dengan mod 2H, 4H dan 4L. 2H adalah pacuan dua roda dengan nisbah gear tinggi untuk pemanduan biasa, 4H pula mod pacuan empat roda dengan nisbah gear tinggi untuk cengkaman lebih tinggi, manakala 4L adalah pacuan empat roda dengan nisbah gear rendah untuk membolehkan kenderaan ‘merangkak’ pada kelajuan rendah untuk membolehkan ia mengharungi permukaan muka bumi yang ekstrem.
Contoh: Ford Ranger, Jeep Wrangler dan Suzuki Jimny

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.