Arkib Tag: tips

Elak beli kereta ‘mangsa’ banjir, ini lima tips penting kena tahu

“JANGAN beli kereta terpakai selepas berlaku bencana banjir.”

Itu antara nasihat yang penulis selalu dengar sama ada daripada ahli keluarga atau rakan-rakan terdekat.

Mereka mendakwa ramai mangsa banjir akan menjual kenderaan dengan harga terlalu rendah di platform media sosial mahupun menerusi syarikat kereta terpakai.

Persoalannya, bagaimana untuk kita ketahui sesebuah kenderaan terpakai pernah terlibat dengan insiden banjir atau tidak?

Berikut beberapa tips kami kongsikan untuk panduan anda…

Periksa kesan karat atau kakisan

Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah dengan meneliti komponen serta badan kenderaan sama ada terdapat kesan karat atau kakisan.

Kebiasaannya, kenderaan pernah terlibat dengan banjir akan mempunyai karat serta kesan kakisan di bahagian tertentu seperti bawah pintu, ruangan tayar ganti dan bonet.

Jadi, jika anda mendapati terdapat terlalu banyak kesan karat dan kakisan maka tidak mustahil ia adalah kenderaan ‘mangsa’ banjir.

Teliti fabrik kerusi kenderaan

Kerusi kenderaan pernah terlibat banjir kebiasaannya akan terdapat kesan kotoran tidak dapat ditanggalkan.

Selain itu, kesan kotoran juga boleh didapati pada bahagian karpet dan lantai kenderaan.

Jika warna kerusi dan karpet terlalu kusam dan pudar maka, tidak mustahil ia adalah kenderaan pernah ditenggelami banjir.

Wap air pada lampu kenderaan

Bahagian lampu kenderaan yang terdapat wap atau takungan air tidak mustahil merupakan kenderaan mangsa banjir.

Kebiasaannya, wap atau air di bahagian lampu sukar untuk dikeringkan dan akan kekal dalam tempoh agak lama.

Makanya, perhatikan teliti sama ada lampu kenderaan tersebut berkabus atau tidak ya!

Kuatkan deria bau anda!

Pastikan anda tingkatkan deria bau ketika memasuki kenderaan yang ingin dibeli. Hal ini kerana bau akibat banjir amat sukar untuk dihapuskan.

Jika hidung anda dapat mengesan bau kurang menyenangkan maka, lupakan niat untuk beli kenderaan tersebut.

Salah satu kaedah terbaik mengesan bau adalah dengan memasuki kenderaan terbabit dan tutup kesemua pintu serta tingkap.

Periksa minyak enjin kenderaan

Tips kelima dan terakhir yang anda boleh cuba adalah dengan memeriksa minyak enjin kenderaan terbabit.

Minyak yang pernah bercampur air akan menghasilkan perubahan warna serta menjejaskan tahap kelikatannya dan terasa melekit apabila disentuh.

Kesimpulannya, hati-hati dan teliti ketika membeli kenderaan terpakai.

Perkara ini tidak semestinya ketika situasi pasca banjir tetapi sebaiknya sentiasa diamalkan tanpa mengira waktu.

Akhir kata jadilah pengguna yang bijak agar duit selamat, hati tenang!

Tips selamatkan kereta sebelum, semasa dan selepas banjir

BANJIR ialah salah satu bencana alam yang sering berlaku di negara kita selain tanah runtuh, ribut taufan dan sebagainya.

Banjir kita boleh berlaku jika hujan berpanjangan di bandar-bandar besar, dan banjir juga sering berlaku disebabkan hujan monsun setiap tahun.

Kali ini, kami akan kongsikan tips menyelamatkan kereta anda sebelum, semasa, dan selepas banjir.

Tiada siapa mahu terlibat menjadi mangsa bencana alam, tetapi selain berdoa memohon perlindungan dari Tuhan, kita juga boleh membuat persediaan dan perkara sepatutnya untuk mengurangkan kesan.

Sebelum kereta tenggelam banjir

1. Alihkan kereta ke tempat yang lebih tinggi: Jika sempat, alihkan dulu kereta ke tempat yang anda rasa tidak akan dinaiki air.

2. Tutup/sumbat ekzos untuk elak dimasuki air: Sebelum meninggalkan kereta, tutup ekzos kereta anda, mungkin boleh guna beg plastik dan kemudian ikat. Untuk sumbat ekzos, anda boleh gunakan barang seperti bola atau buah yang kecil (limau atau oren) dan balut juga dengan beg plastik. Ini akan membantu mengurangkan kerosakan enjin jika kereta anda ditenggelami air.

3. Cabut terminal bateri: Selepas itu, cabut terminal bateri, ini penting untuk melindungi sistem dan komponen elektrik dalam kereta.

4. Selamatkan barang-barang penting: Akhir sekali, bawa keluar barang-barang penting jika ada seperti dokumen (geran, buku servis) dan barang peribadi. Elakkan juga meninggalkan barang berharga.

Semasa kereta tenggelam banjir

1. Jangan sesekali hidupkan kereta: Jika ekzos kereta anda tenggelam bawah paras air, JANGAN cuba menghidupkan kereta untuk mengelakkan air memasuki sistem enjin. Selain itu, semasa anda menghidupkan kereta, terdapat juga risiko kerosakan komponen elektrik.

2. Jangan cuba meredah banjir: Mungkin ini pesanan paling penting dalam senarai ini, kerana melibatkan nyawa. Lebih baik anda berhenti atau berpatah balik jika terdapat banjir di depan. Ini kerana kita tidak pasti apa yang ada di bawah permukaan air, mungkin ada lubang, longkang atau sebarang halangan lain.

Kereta anda juga mungkin hanyut jika air terlalu dalam atau arus terlalu deras. Ingat, harta benda boleh dicari, tapi nyawa tiada ganti.

Selepas banjir surut

Imej: Bernama

1. Jangan terus hidupkan kenderaan: Selepas banjir surut dan semua kering, anda tidak perlu cuba menghidupkan kereta. Terus ke langkah seterusnya.

2. Gunakan khidmat towing (trak tunda) untuk bawa kereta ke bengkel: Serahkan pada mereka yang pakar untuk membuat pemeriksaan dan baikpulih pada kereta anda.

Apa guna bayar insurans, bukan? Inilah masa kita gunakannya.

Diharap tips-tips ini sedikit sebanyak dapat membantu menyelamatkan kereta anda atau mengurangkan kos kerosakan.

Peringatan: Jika enjin terus dihidupkan selepas ditenggelami banjir, kemungkinan besar enjin akan mengalami kerosakan sangat parah.

Perodua Viva masih jadi pilihan kereta terpakai, mahal ke nak jaga?

PERODUA Viva dilancarkan pada 2007 bagi menggantikan Kancil dan Kelisa. Fokusnya mudah: menjadi kereta kecil yang mesra pengguna, mudah dipandu dan paling penting, mesra poket.

Imej oleh: Mstar

Semasa pelancaran, ia ditawarkan dengan tiga pilihan kapasiti enjin – 649cc, 847cc dan 989cc – dan bergantung kepada enjin, anda boleh pilih kotak gear manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan.

Seiring dengan umurnya yang berusia lebih 10 tahun, Perodua Viva menjadi satu model popular dalam pasaran terpakai. Oleh itu, sebenarnya mahal ke tak nak jaga Perodua Viva ini? Mari kita lihatkan.

Minyak enjin

Perodua biasa menggunakan gred 5W-30 atau 10W-30, tetapi disebabkan kebanyakan sudah berusia, mungkin tahap kelegaan dalam komponen enjin sudah meningkat dan anda boleh pilih minyak enjin dengan kelikatan lebih tinggi seperti 10W-40.

Harga sekitar RM80 hingga RM120 termasuk penapis minyak dan upah.

Minyak gear

Bagi versi automatik, jenis ATF yang digunakan adalah jenis DIII dan kapasiti yang diperlukan sekitar 2.5-liter. Sekiranya penapis ditukar sekali, kapasiti ATF yang diperlukan adalah lebih tinggi. Kosnya dalam lingkungan RM280 hingga RM320.

Untuk versi manual, tidak perlu sekerap automatik, dan kosnya lebih rendah sekitar RM70 hingga RM90.

Air filter atau penapis udara

Komponen ini boleh ditukar sendiri kerana sangat mudah, tapi jika tidak tahu juga, boleh sahaja minta mekanik tukarkan semasa servis enjin. Harga murah sahaja, sekitar RM25.

Cabin filter atau penapis kabin

Ia berfungsi menapis udara dari luar sebelum masuk ke dalam kabin. Sekiranya sudah kotor, bau yang tak enak akan masuk ke dalam kabin dan sistem pendingin hawa juga mungkin tersumbat.

Harga sekitar RM15 hingga RM20 sahaja.

Spark plug atau palam pencucuh

Disebabkan kesemua varian Perodua Viva hanya mempunyai 3-silinder sahaja, maka hanya tiga unit palam pencucuh diperlukan. Petanda perlu ditukar adalah apabila kereta ada tersengguk atau rasa kehilangan kuasa.

Seeloknya tukar mengikut jadual sebelum ia menunjukkan simptom. Harga dalam lingkungan RM80 hingga RM90 termasuk upah.

Timing belt atau tali sawat

Perlu ditukar setiap 100,000km, harga sekitar RM400 hingga RM500 termasuk upah. Agak mahal, tapi bukan selalu. Mungkin dalam lima atau enam tahun, hanya sekali sahaja.

Engine mounting atau cagak enjin

Komponen ini perlu diperiksa terutamanya untuk kereta yang sudah melebihi usia 10 tahun. Malah, ada yang sekitar tujuh atau lapan tahun pun sudah menunjukkan tanda-tanda perlu ditukar.

Cagak enjin yang sudah rosak akan mengeras dan tidak dapat menyerap gegaran dari enjin. Maka, anda akan rasa lebih gegaran semasa memandu. Perlu ditukar agar tidak berlaku kerosakan melarat.

Terdapat tiga unit untuk satu set, dan lebih baik ditukar satu set. Harga sekitar RM400.

Klac

Khas untuk versi manual, dan klac memerlukan satu tempoh yang agak lama sebelum ia perlu ditukar. Kosnya dianggarkan sekitar RM600 hingga RM700, agak mahal kerana kerjanya agak rumit. Enjin perlu diturunkan sebelum kotak gear boleh dibuka.

Brake pad atau pelapik brek

Satu lagi komponen wear and tear, pelapik brek perlu ditukar setelah ia menipis. Terdapat banyak pilihan dalam pasaran, jenis ‘biasa’ berharga RM80 hingga RM100.

Brake rotor atau cakera brek

Tidak perlu ditukar sekerap pelapik brek, namun jika menujukkan tanda seperti tidak rata dan gegaran, ia perlu ditukar segera. Harga sekitar RM130 hingga RM150.

Brek belakang

Brek belakang adalah dari jenis dram, dan lebih sukar untuk diperiksa secara visual. Lebih baik anda bawa kereta ke bengkel, biar mereka yang pakar memeriksanya.

Sekiranya perlu ditukar, ia akan berharga sekitar RM160 termasuk upah.

Sistem pendingin hawa

Air-conditioning atau pendingin hawa juga memerlukan pemeriksaan dan penjagaan berkala. Belum tentu pendingin hawa sejuk, bermakna ia berfungsi dengan baik.

Flushing (menukar minyak baharu) perlu dilakukan mungkin beberapa tahun sekali untuk memastikan air-cond sentiasa berfungsi dengan baik. Ini juga akan menjaga komponen-komponen berkaitan seperti hos, compressor, condenser, dan evaporator.

Kos flushing adalah sekitar RM100 hingga RM150.

Penyerap hentak

Salah satu komponen dalam sistem gantungan, ia berfungsi memberikan keselesaan dan kawalan optima semasa memandu.

Tanda-tanda sudah rosak ialah suspensi terasa keras apabila melalui jalan tidak rata.

Terdapat beberapa pilihan OEM, dan harga sekitar RM550 hingga RM700 untuk satu set depan dan belakang termasuk upah. Jika keadaan penyerap hentak belakang masih baik, anda boleh tukar depan sahaja, lebih jimat. Yang penting tukar kiri dan kanan sekaligus.

Jadi ini lah sedikit sebanyak yang kami dapat kongsikan tentang kos penjagaan asas Perodua Viva.

Ketika baru dilancarkan pada tahun 2007, Perodua Viva berada dalam lingkungan harga RM28,400 sehingga RM44,200. Carian di atas talian juga mendapati bahawa Perodua Viva boleh didapati dengan harga serendah RM5,000 sehingga RM26,000. Cukup murah dan berpatutan.

Segala harga yang dinyatakan diatas adalah harga purata yang diambil dari pelbagai kawasan.

Sekiranya anda mahu membeli alat ganti dengan harga yang berpatutan, boleh layari link ini

https://shopee.com.my/ngrautoparts.os

Semoga perkongsian kali ini membantu anda dalam pemburuan mencari Perodua Viva.

Dah boleh #rentasnegeri, ini tips balik kampung yang perlu anda tahu

Foto ihsan KE Ooi / Malay Mail

DENGAN kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, ramai yang merancang untuk pulang ke kampung halaman atau bawa keluarga melancong setelah lama kita lockdown di kediaman masing-masing.

Ini juga bermakna ramai antara kita yang sudah lama tidak membuat perjalanan jarak jauh, maka ada beberapa perkara perlu kita telitikan sebelum memandu rentas negeri.

Mari kita lihatkan empat tips mudah agar perjalanan balik kampung kita lancar dan selamat:

1. Rancang perjalanan sebaiknya 

Ia kedengaran ringkas, tetapi merancang perjalanan sebenarnya memerlukan ketelitian. Anda perlu rancang hari untuk melakukan perjalanan, masa, dan laluan.

Anda boleh memilih hari yang tidak akan menjadi pilihan kebanyakan pemandu dan mengelak dari terperangkap dalam kesesakan trafik. Mengapa perlu sama-sama bersesak jika boleh pilih hari yang kurang trafik, bukan?

Begitu juga masa, pilih waktu-waktu seperti awal pagi atau malam untuk perjalanan lancar. Tetapi elakkan memandu selepas waktu makan tengahari kerana lebih berpotensi mengantuk.

Untuk laluan, anda boleh semak jalan alternatif sekiranya jalan utama mengalami kesesakan teruk. Atau ada juga sesetengah pemandu lebih suka jalan alternatif yang mempunyai lebih banyak tempat berhenti dan perjalanan tidak begitu membosankan.

2. Periksa kenderaan – servis, selenggara, keadaan baik

Mungkin ada di antara kita yang keretanya sudah lama tidak dipandu, atau hanya dipandu dengan jarak dekat sahaja selama berbulan-bulan.

Sebelum memulakan perjalanan jauh, eloklah kita pastikan kereta telah diservis dan diselenggara dengan baik. Periksa juga semua komponen berfungsi sebaiknya, cecair mencukupi dan tekanan angin tayar pada tahap yang betul.

Ini untuk mengelakkan kita pening kepala bila kereta tersadai dalam perjalanan nanti.

3. Rehat secukupnya

Seterusnya, kereta sudah mantap, bagaimana dengan pemandunya? Anda juga harus bersedia untuk memandu jarak jauh.

Penting untuk pastikan anda cukup rehat, makan, dan minum. Tidak perlu makan terlalu banyak, sekadar hilangkan lapar. Kuantiti makan dan minum yang betul juga memastikan perut anda dalam keadaan baik dan selesa, tiada insiden ‘kecemasan’ mencari tandas.

Boleh juga sediakan snek untuk dimakan sambil memandu bagi mengelakkan mengantuk jika anda memandu berseorangan atau penumpang terlena walaupun mereka berjanji akan menemani anda.

4. Isi petrol di Shell

Akhir sekali, anda boleh isi petrol di Shell sebelum memulakan perjalanan. Mengapa Shell? Ini kerana mereka sedang menawarkan lebih ganjaran untuk pemegang kad BonusLink.

Untuk isian 1 liter petrol atau diesel, anda akan menjana 1 mata ganjaran BonusLink dan nilai ini lebih tinggi untuk Shell V-Power Racing iaitu 1.25 mata ganjaran BonusLink setiap liter.

Mata ganjaran BonusLink kini bukan sahaja dapat dikumpul dengan pembelian petrol, malah dari semua transaksi di kedai Shell Select!

Ini bermakna pembelian barangan seperti makanan, snek dan kopi, serta minyak pelincir membolehkan anda mengumpul mata ganjaran BonusLink (1 mata ganjaran BonusLink untuk setiap RM1).

Setiap 200 mata ganjaran yang dikumpul dalam sebulan akan melayakkan anda mendapat e-baucar Shell bernilai RM5.

Foto ihsan Shell

Insentif ini sah mulai 1 November hingga 31 Disember 2021 sahaja, jadi gunakan peluang ini untuk gandakan mata ganjaran anda dalam musim balik kampung dan cuti sekolah nanti.

Selain itu, stesen-stesen Shell terpilih juga mempunyai bengkel dimana anda boleh membuat pemeriksaan kenderaan. Barulah boleh memandu dengan tenang menuju destinasi!

Layari laman web Shell untuk info selanjutnya.

Nota tambahan:

Untuk yang belum menjadi pemegang BonusLink, anda juga boleh menikmati faedah ini kerana hanya dengan memuat turun aplikasi Blink di telefon pintar dan kemudian mendaftar sebagai ahli, anda akan terus mendapat baucar Shell bernilai RM4.

Dan semasa membuat pembayaran di kaunter, anda boleh menerima kod khas yang memberikan anda 100 mata ganjaran tambahan.

BonusLink telah menjadi rakan kongsi Shell selama lebih 22 tahun dan merupakan antara program kesetiaan pelanggan terawal di Malaysia.

Jika anda pemandu baharu yang peka dengan perkembangan teknologi, anda pasti tidak mahu ketinggalan merebut peluang ganjaran dengan BonusLink ini di Shell. Jumpa anda di Shell!

Kos servis Proton Saga BLM mahal atau murah? Cikgu Mas’od terangkan

KALI ini Cikgu Mas’od ingin kongsi kos selenggara dan sedikit panduan mengenai antara kereta popular di pasaran terpakai, iaitu Proton Saga BLM.

Model ini dikeluarkan pada 2008 sebagai generasi kedua Proton Saga, menggantikan generasi sebelumnya yang telah mula berada dalam pasaran sejak 1985.

Proton Saga BLM atau Base Line Model menerima pembaharuan secara total dari keseluruhan aspek. Tiada lagi pengaruh Proton Saga generasi pertama pada model ini.

Semasa dilancarkan, Proton memperkenalkan tiga varian iaitu N-Line, B-Line dan juga M-Line. Ketiga-tiga model ini menerima enjin 4-silinder S4PE CamPro IAFM bersesaran 1,322cc (1.3-liter).

Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 94hp pada 6,500rpm dan 120Nm tork pada 4,000rpm. Pilihan kotak gear adalah manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan.

Dengan harga sekitar RM31,500 hingga RM45,500, ia kekal antara ‘kereta rakyat’ pilihan utama, malah masih agak popular di pasaran terpakai. Carian di atas talian mendapati ia berada pada julat harga sekitar RM6,000 sehingga RM18,000. Harga yang mampu dimiliki oleh rakyat marhaen.

Maka sebab itulah, Cikgu Mas’od ingin kongsikan dengan anda hari ini sedikit bab penyelenggaraan Proton Saga BLM.

Antara aspek penyelenggaran utama dan penting bagi Proton Saga BLM adalah: Minyak enjin, minyak kotak gear, klac, pelapik brek, cakera brek, penapis udara, penapis kabin, palam pencucuh, tali sawat, intake manifold, dan cagak (mounting) enjin.

Selain itu, perkara yang perlu diperhatikan termasuklah sistem pendingin hawa, dan penyerap hentak.

Jemput tonton video di bawah untuk penerangan ringkas serta harga anggaran komponen utama.

Semoga perkongsian ini membantu anda dalam mencari Proton Saga BLM!

Mazda6, old school, MPV, CX-9, semua ada bawah RM30k!

JIKA Itali ada jenama kereta untuk enthusiasts iaitu Alfa Romeo, Jepun juga ada beberapa nama. Selain Subaru, Mazda boleh dikatakan jenama untuk pemandu tegar, salah satu sebab ialah pendekatan berbeza yang mereka ambil untuk membina sesebuah model.

Namun bukan semua orang mahu membeli Mazda baharu, ada yang mencari di pasaran terpakai. Mungkin untuk dijadikan kereta kedua, kereta hobi atau sekadar mahu kurangkan belanja bulanan.

Apa pun, di sini kami senaraikan tujuh Mazda pilihan yang boleh anda lihatkan, mana tahu ada yang berkenan dengan jiwa!

1. Mazda6 – RM23,800

Merupakan model yang telah banyak membantu Mazda mula membuat keuntungan, dan antara sedan paling cantik pada masa itu. Ini kerana pereka bentuknya, Moray Callum seorang yang agak terkenal dan berpengalaman juga.

Untuk harga RM23,800 dengan kereta tahun 2008 dan enjin 2.5-liter, dikira agak rendah. Sebab utama ialah kapasiti enjin besar yang kurang permintaan di pasaran terpakai.

Perbatuan kereta ini sekitar 180,000km, ada sunroof, keadaan baik, enjin dan kotak gear lancar katanya. Boleh pergi tengok ni.

2. Mazda Fighter – RM19,999

Sebuah trak pikap yang agak ‘sejuk’ sebab tak ramai yang berkenan. Jadi untuk harga itu, rasanya boleh runding lagi.

Zaman ini Mazda banyak berkongsi teknikal dengan Ford, dan ini menjadikan alat gantinya tidak begitu sukar dicari. Kalau tak jumpa barang di kedai Mazda, boleh cari di Ford.

3. Mazda CX-9 – RM25,000

Model 2008 dan menariknya, harga cuma RM25,000. Agak rendah untuk sebuah SUV mewah tujuh tempat duduk.

Ia menggunakan enjin 3.7-liter. Ya, maka inilah sebabnya harganya jatuh agak mendadak, malah lebih rendah dari Mazda6 tadi.

Tapi harus diingat, Mazda CX-9 ini sangat sedap dipandu dan selesa juga untuk penumpang. Kena berani lebih sikit, dan pastikan anda tahu mana tempat untuk selenggara, rasanya tiada masalah.

4. Mazda 808 – RM19,000

Pemilik mengiklankannya sebagai Mazda Capella, tetapi setahu kami ini ialah model 808. Sesuai untuk mereka yang kaki old school dan berminat untuk jadikan kereta hobi.

Mengikut iklan lagi, kereta dalam keadaaan ‘running condition’ dan tiada karat. Jika benar, memang dan cantik sangat ni, tinggal nak sambung jaga sahaja.

Buat touch-up sikit dah boleh join kelab klasik kemudian lepak di Art of Speed!

5. Mazda 323 – RM10,777

Juga dikenali sebagai Mazda Lantis, model keluaran 1996. Masa baharu dulu, siapa pakai kira playboy habis!

Direka untuk menyaingi dominasi model-model dari Toyota dan Honda, dan kami rasa Mazda agak berjaya dengan Lantis 323 ini kerana rekaannya cukup sporti dengan rupa depan ala Ferrari tahun 1980-an.

Ini merupakan model pengganti kepada Familia 323 (Astina) dengan lampu depan ‘pop-up’. Harga lebih kurang RM11k kami rasa cukup berbaloi kalau kereta ‘running condition’.

6. Mazda Jumbo 1000 – RM11,777

Satu lagi kereta old school. Harga yang ditawarkan pun cukup menarik, tak perlu runding pun dah okay.

Cuma pastikan tiada karat pada badan dan kerosakan teruk pada enjin.

Aspek lain biasanya boleh diusahakan dan jika anda dalam komuniti kereta klasik, mereka pasti dapat membantu.

7. Mazda 5 MPV – RM28,900

Antara MPV awal dari Mazda, dan dengan kapasiti enjin 2.0-liter, cukai jalannya kira munasabah dan tidak terlalu tinggi.

Walaupun sebuah kenderaan keluarga, dapat dilihat tempat duduknya masih dalam keadaan baik, kusyen tidak terlalu kendur dan penyek.

Harga RM29k itu tidak terlalu mahal dan tidak terlalu murah. Pastikan barang seperti sunroof tidak bocor dan semua mekanikal berfungsi dengan baik.

Panel badan juga perlu diperiksa agar dalam keadaan baik, kerana alat ganti model ini tidak begitu mudah dijumpai.

Amacam senarai kali ini? Agak menyeluruh, ada yang berkenan?

Rata-rata Mazda yang dikeluarkan pada tahun 2010 ke atas mempunyai enjin yang agak tahan lasak dan paling penting, sedap dipandu.

Jemput tonton video di bawah untuk lebih maklumat.

Minat kereta Perancis? Ini Peugeot ‘bon produit’ bawah RM30k

HARI ini kita melihat lagi kepada kereta Perancis, antara satu jenama yang agak popular di Malaysia iaitu Peugeot. Ia juga antara jenama tertua di dunia.

Peugeot juga banyak menghasilkan kereta-kereta menarik dan ikonik seperti 205 GTi dan model-model baharu mereka tidak kurang hebatnya, seperti 3008 yang memenangi anugerah World Car of the Year beberapa tahun lepas.

Peugeot kegemaran penulis adalah 308 GTi (untuk lenjan syok sendiri) dan 508 SW (untuk kegunaan keluarga).

Baik, jika anda berminat hendak mendekati jenama Perancis dengan logo singa ini, kami akan senaraikan beberapa model menarik dalam pasaran terpakai dengan harga boleh pecah tabung.

1. Peugeot 308 1.6 – RM20,800

Powerful turbo engine, mengikut kata iklannya. Kereta ini juga telah diservis pendingin hawanya dengan compressor baharu, serta mendapat nombor plat menarik 2828.

Model tahun 2010 ini nampak sangat okay dan terjaga. Apa yang membuatkan harganya agak jatuh adalah persepsi masyarakat kita yang ‘takut’ dengan jenama ini.

Sebenarnya dari segi mekanikal, Peugeot cukup tahan lasak dan pemanduannya sangat selesa. Cuma ada beberapa panel yang mungkin mudah rosak kerana tidak tahan dengan cuaca kita.

2. Peugeot 207 1.6 – RM16,000

Ini model yang lebih kompak dari tadi, “kereta jarang digunakan”, menurut kata iklan. Bebas kemalangan, pendingin hawa masih sejuk dan tayar agak baharu (90 peratus).

Jika benar seperti dikatakan, bolehlah dicari kerana harganya RM16,000 memang cantik.

Beberapa tips untuk melihat sama ada kereta itu benar-benar ‘low mileage’ atau perbatuan rendah, boleh periksa keadaan tempat duduk dan juga pedal minyak serta brek. Jika semuanya masih mantap dan ketat, maka kemungkinan besar memang jarang dipandu.

 3. Peugeot 408 – RM22,000

Kereta ini agak unik kerana tiada di Eropah. Peugeot 408 asalnya dari 308 hatchback yang dipanjangkan menjadi sedan, mula dijual untuk pasaran China.

Unit dalam iklan ini merupakan model tahun 2016 dan didaftar pada 2017. Menurut pemilik juga, komponen ‘wear and tear’ telah diganti, dan kita boleh minta semua resit untuk diteliti.

4. Peugeot 3008 – RM25,000

Seterusnya kita masuk ke segmen MPV, kami cadangkan 3008 tahun 2012. Enjin 1.6 turbo yang digunakan diberi nama Prince, dan unit ini juga datang dengan panoramic sunroof dan head-up display.

Keadaan nampak masih cantik dan original, cuma tuannya mahu tunai sahaja. Pandai-pandailah belek dengan teliti dan mungkin boleh berbual agar dapat kurang lagi.

5. Peugeot 5008 – RM26,000

Model yang cuma setahun muda dari 3008 tadi, tapi hanya tambahan RM1,000, iaitu RM26,000. Boleh menimbulkan kemusykilan. Tapi mungkin kerana urgent sale, seperti dinyatakan pada iklan.

Ini sebenarnya sebuah kenderaan yang sangat mantap untuk kegunaan keluarga, salah satu sebabnya kerana ada panoramic sunroof. Mesti keluarga tersenyum punya. Oh ya, 5008 ini juga sangat selesa.

6. Peugeot 508 – RM26,500

Untuk yang mahukan gaya sedikit ‘atas’, ini ada sebuah kereta eksekutif iaitu Peugeot 508. Model ini antara sedan segmen-D bukan premium paling sedap dipandu pada zaman itu.

Sama seperti kebanyakan model dalam senarai ini, Peugeot 508 menggunakan enjin 1.6 turbo Prince. Menurut iklan, kereta ini high spec, baru diservis dan merupakan kereta keluarga.

RM26,500 harga dipinta untuk kereta tahun 2012 ini, ngam?

7. Peugeot Expert – RM30,000

Akhir sekali sebuah van ringan yang sangat jarang dijumpai di Malaysia. Ia bersaiz seperti Hyundai Starex dan ia agak popular di Eropah.

Hanya ada satu unit dalam laman web Mudah.my, dan ia merupakan varian Teepee, antara gred tertinggi.

Dengan enjin 2.0, van ini dikatakan telah digunakan oleh organisasi, mungkin satu NGO (badan bukan kerajaan). Kenderaan sebegini biasanya mungkin perbatuan agak tinggi, tetapi servis mungkin bagus.

Harga RM30k sedikit mahal, tapi memang satu alternatif menarik kepada Starex atau Maxus G10.

Jadi, jika anda lihat model-model dalam senarai ini dan rasa berminat, pastikan anda berani. Peugeot sebenarnya bukanlah satu kereta yang susah dijaga, ia juga agak lasak, cuma perlu tahu mekanik mana yang mampu menyelenggara jenama ini.

Nak beli kereta second hand? Wajib tengok tips ini dulu

KERETA terpakai menjadi pilihan atas banyak sebab. Selain dari harganya yang lebih rendah dari kereta baharu, ada juga memilih kereta terpakai kerana mahukan model yang sudah tidak dikeluarkan.

Jika betul pilihan kita, pembelian kereta terpakai boleh jadi menguntungkan, tetapi jika tersilap, boleh rugi dan pening kepala.

Jadi untuk mengelak dari pening kepala, rugi atau menyesal dengan pembelian. Sama-sama kita lihatkan dulu tips beli kereta terpakai ini.

1. Survey online

Dengan zaman semua di hujung jari, rasanya tak perlu lagi kita ke hulu ke hilir pergi kedai sana sini. Hanya layari sahaja ke platform dalam talian untuk survey atau buat tinjauan terlebih dahulu.

Cara ini bukan sahaja menjimatkan masa dan petrol, malah anda dapat gambaran lebih jelas situasi pasaran, harga kasar kereta, dan model-model yang ada boleh jadi pilihan mengikut kriteria anda.

Platform semua dah canggih, siap boleh tapis lagi iklan mengikut lokasi, model, julat harga, jenis kotak gear, dan macam-macam. Bila dah ada senarai pendek, barulah turun sendiri untuk melihat kereta dengan lebih dekat.

2. Tetapkan bajet

Antara perkara terpenting, tetapkan dahulu bajet kita sesuai dengan keadaaan kewangan. Sebaiknya ketepikan juga sejumlah wang untuk baikpulih dan tukar alatganti sebagai persediaan. Jangan jangkakan beli kereta terpakai terus dapat pandu dengan selesa. Perlu ada mentaliti yang betul.

Anda boleh guna juga fungsi seperti Loan Calculator di platform online untuk mengetahui bayaran bulanan sekiranya anda ambil pinjaman.

Mungkin boleh guna formula harga kereta bersamaan 12 bulan gaji, bergantung kepada komitmen anda. Ada juga kaki kereta yang mungkin sanggup lebihkan sedikit bajet mereka, apa pun pandai-pandailah ukur baju di badan sendiri ya.

3. Tetapkan usia dan perbatuan kereta

Seterusnya, kita tetapkan usia dan perbatuan kereta. Mungkin anda mahu kereta bawah usia tujuh tahun kerana taknak banyak baiki, atau mungkin anda memang mencari kereta klasik sedikit untuk buat hobi.

Rujukan sesuai ialah 20,000km perbatuan setahun secara purata untuk rakyat Malaysia. Jadi kalau kereta berumur 10 tahun, anda harus jangkakan perbatuan sekitar 200,000km. Kalau terlalu rendah, perlu lebih skeptikal dan berwaspada.

Sudah tentu faktor perbatuan dan usia kereta ini akan mempengaruhi harga.

4. Periksa bahagian luar dan dalam

Baik, bila anda ambil keputusan untuk pergi berkunjung/tengok kereta tu depan mata, cuba buat pemeriksaan visual luar dan dalam.

Penting untuk periksa panel badan, jarak antara panel, dan keadaan cat. Mungkin kereta itu pernah alami kemalangan dan dibaik-pulih, atau pernah dicat, pernah tukar bampar.

Di bahagian dalam, periksa segala tombol, papan pemuka, panel-panel dalam keadaan baik. Tiada yang longgar, patah atau hilang. Perkara-perkara ini juga boleh digunakan untuk tawar harga jika pemilik enggan membaikinya.

5. Periksa sejarah dan rekod servis kereta

Kemudian, cuba minta rekod servis kereta dari pemilik. Jika pemilik cukup cermat dan teliti, dia boleh berikan segala resit dan sejarah servis, baikpulih, penyelenggaraan kereta kepada anda, maka lebih mudah untuk anda nilai keadaan sebenar kereta.

Kereta yang diservis secara konsisten mengikut jadual yang ditetapkan menunjukkan kereta yang ingin dibeli berada dalam jagaan yang baik. Jika boleh, cari pemilik kereta yang setia menggunakan perkhidmatan pusat servis jenama masing-masing.

Jika ada keraguan, boleh juga hubungi pusat servis untuk buat pemeriksaan, hanya berikan maklumat seperti no plat. Ini penting untuk kenderaan yang pernah terlibat dalam recall, untuk pastikan mereka tukar semua komponen yang diperlukan untuk recall itu.

Mungkin boleh selidik juga kereta dah ada berapa pemilik, anda pemilik ke berapa. Jika lebih banyak bertukar tangan, lebih rendah harganya.

6. Periksa enjin

Setelah berpuas hati, periksa pula bahagian enjin. Periksa perkara-perkara seperti:

– Kebocoran minyak enjin
– Tiada komponen haus atau tertanggal
– Radiator berada dalam keadaan baik, tiada kekaratan
– Semua sambungan elektrik dan wayar dalam keadaan baik, tiada yang mengeras atau reput
– Periksa keadaan minyak enjin

Sekiranya anda kurang berpengetahuan terutamanya melibatkan perkara berkaitan teknikal, minta bantuan rakan anda yang mahir mengenainya atau mekanik kereta untuk mengelakkan dari anda ditipu.

Cara lain ialah bawa kereta ke mana-mana bengkel berdekatan dan minta mekanik buat pemeriksaan kereta yang ingin dibeli (bayaran dikenakan bergantung pada mekanik).

7. Periksa kelengkapan, fungsi dan operasi kereta

Sebelum pandu uji, periksa juga segala kelengkapan, fungsi dan operasi kereta boleh digunakan. Ini adalah aspek atau fungsi yang boleh digunakan tanpa perlu kereta bergerak antaranya;

– Lampu depan dan belakang
– Lampu isyarat (signal)
– Penggilap cermin
– Radio dan sistem infotainmen
– Pendingin hawa
– Hon
– Semua soket
– Pelaras tempat duduk
– Tali pinggang keledar
– Segala picu untuk hud depan, tangki minyak dan but belakang

Pada panel istrumen, periksa agar segala meter dan bacaan hidup. Meter rpm, meter kelajuan, semua lampu amaran hidup seketika, tiada lampu amaran yang kekal menyala.

Jangan lupa juga ciri tambahan lain seperti soket USB, sunroof, dan tingkap kuasa.

Aspek-aspek ini juga akan menentukan harga, anda boleh tawar lagi harga jika ada yang rosak atau tidak berfungsi dengan baik.

8. Pandu uji

Akhir sekali, pandu uji. Sebaiknya hanya pandu uji jika anda benar-benar berminat dengan kereta itu, dan semua perkara di atas memuaskan. Walaupun sekejap, ia penting untuk menentukan keputusan anda.

Minta kebenaran dengan jurujual atau pemilik, bincang sebaiknya tempoh masa dan laluan yang anda mahu pandu.

Sebaik enjin dihidupkan, lihat sama ada enjin lancar atau tidak semasa idle, jarum rpm stabil atau tidak. Jika tersekat-sekat, mungkin ada masalah pada sistem pembakaran. Pastikan anda tutup sahaja radio, cuba dengar bunyi-bunyi pelik jika ada.

Begitu juga semasa memandu, cuba peka dengan sebarang bunyi atau gegaran luar biasa. Cari jalan tak rata untuk rasa bagaimana suspensi melaluinya, adakah terdapat bunyi yang mungkin datang dari linkage, arm atau bushing yang berusia.

Minta izin untuk lakukan pecutan dan brek mendadak. Semasa hard acceleration, rasai sebarang gegaran, dan adakah enjin itu boleh pergi menghampiri redline dengan lancar, lihat juga adakah asap banyak keluar di belakang.

Dan semasa hard braking, anda boleh ketahui jika cakera brek masih dalam keadaan baik. Jika bergegar, mungkin cakera perlu ditukar. Jika berbunyi, mungkin pelapik brek hampir habis. Keseimbangan suspensi atau stereng juga boleh dirasa, adakah stereng tertarik ke kiri atau kanan semasa membrek.

Kemudian jika keadaan mengizinkan, cuba buat swerving atau belok secara tiba-tiba untuk periksa sama ada sistem stereng masih dalam keadaan baik. Dan tak kira anda pandu kereta manual atau auto, cuba untuk masuk dalam semua gear, termasuk gear undur.

Diharapkan tips ini membantu anda dalam pemilihan tepat kereta terpakai atau second hand. Boleh tonton video di bawah untuk lebih penerangan.

Baru beli kereta? Ini 5 penjagaan am anda wajib tahu

SEBAGAI pemilik yang baru membeli kereta, perlu untuk kita ada pengetahuan am menjaganya lebih-lebih lagi jika ia kereta terpakai.

Sebenarnya – untuk mereka yang malas membelek buku panduan – dalam glove box kereta, jika anda perasan, ada dua jenis buku; manual pemilik (tebal) dan buku servis (nipis).

Segalanya tentang servis dan penyelenggaraan ada dalam buku servis, dan ada dinyatakan apa perlu dibuat menjelang masanya.

Tapi, berikut adalah 5 penjagaan am yang perlu kita tahu agar kereta sentiasa berada dalam keadaan baik. Setiap kereta pasti berbeza, tetapi senarai ini adalah secara am sahaja.

1. Cecair brek

Cecair brek berfungsi memindahkan daya dari pedal kaki ke silinder calliper (angkup brek), melalui macam-macam paip. Ia akan melalui silinder, vakum, pam, dan beberapa komponen.

Bila tiba masanya, cecair brek perlu ditukar kerana berkemungkinan terkumpulnya lembapan. Jadi jika ada lembapan, cecair brek boleh mendidih.

Bagaimana boleh mendidih pula? Brek berfungsi memberhentikan/memperlahankan kereta. Ia menukar tenaga (kelajuan dan berat) kereta kepada haba. Bila sistem brek panas, ada udara, jadi daya akan berkurang efektif

Cecair brek boleh ditukar setiap 40,000 atau 60,000km.

2. Plat klac

Ini khas untuk kereta dengan kotak gear manual, plat klac boleh ditukar setiap 5 tahun atau 100,000km.

Ada tips menjaga klac, paling utama ialah jangan selalu tekan bila tak perlu. Contoh semasa berhenti, jangan tekan lama, sebaliknya masuk neutral dan lepas. Ini topik lain untuk hari lain.

Semasa memandu pun jangan letak kaki atas klac, tetapi letak di foot rest atau perehat kaki.

3. Penapis bahan api (fuel filter)

Ini bukan oil filter ya! Ini penapis bahan api. Jarak penukaran sangat berbeza antara pengeluar. Ada yang 40,000km, ada yang sehingga 100,000km.

Diesel lebih kritikal dan perlu ditukar lebih kerap. Kenderaan dengan enjin petrol tahan lebih lama.

Diesel pula bergantung kepada lokasi kenderaan diguna, luar bandar dengan tangki lama mungkin perlu lebih teliti. Ada yang letak dua filter dalam saluran, sekali dengan water separator untuk mengelak lembapan masuk ke dalam sistem pembakaran.

4. Penapis minyak (oil filter)

Okey, ini baru oil filter yang menapis minyak enjin. Penukarannya bergantung kepada jenis minyak; mineral, semi-sintetik atau fully-synthetic.

Ada yang pandai tengok, boleh tahan lebih lama. Tapi nak lebih senang, tukar setiap kali masa servis minyak enjin.

Benda ni penting walaupun murah. Minyak enjin ibarat nyawa untuk kereta, macam darah. Kalau tak jaga, pasti macam-macam komponen boleh rosak.

5. Minyak enjin

Tadi penapis dia, ini yang terakhir ialah minyak enjin tu sendiri. Seperti disebut di atas, ada tiga jenis, bergantung kepada jenis kenderaan dan keperluan.

Penggunaan minyak enjin juga berbeza mengikut usia kenderaan, dan segala ini boleh dirujuk pada label kepekatan minyak enjin itu. Yang penting pastikan guna yang betul dan asli untuk enjin.

Kami harap 5 pengetahuan am ini membantu anda dalam pemilikan kereta!

Untuk perincian, boleh tonton video kami di bawah:

Mencari MPV bajet? Ini 8 model dengan harga bawah RM40k

EPISOD senarai MPV bawah RM20k yang kami terbitkan hari tu dapat sambutan agak bagus, dan ramai pula yang minta kalau buat harga tinggi sikit.

Baik, kali ini kita gandakan jadi RM40k, ianya harga yang masih munasabah. Dalam senarai ini ada kombinasi model berusia yang dah tak boleh loan, dan ada model yang masih boleh kita loan.

1. Volkswagen Cross Touran 1.4 – RM33,800

Pertama sekali, Volkswagen Cross Touran. Ini model tahun 2012 dan disebabkan ia Volkswagen, rekaannya evergreen, kekal segak. Kabinnya pun cantik.

Enjin 1.4 TSI itu cukup berkuasa untuk bawa ramai penumpang, bab lain tu pandai-pandailah ye. Cuma enjin ini paling penting kita periksa belakang intake valve-nya, kalah dah berkerak, tinggi juga kos baik-pulih dia.

2. Peugeot 5008 – RM39,999

Ini merupakan model facelift, dengan enjin 1.6 turbo Prince, 4-silinder turbo. Enjin ini memang sedap dipandu, dan Peugeot 5008 ini pun kabinnya ada NVH (bunyi, gegeran dan kekasaran) yang rendah, jadi sangat selesa dan senyap.

Kabinnya pun sangat cantik, ia sudah ke arah rekaan i-Cockpit. Cuma disebabkan jenama Peugeot itu, harganya di Malaysia jatuh teruk sikit.

3. Toyota Estima – RM35,900

Ini model yang cukup popular, Estima ini versi enjin 2.4-liter dan iklan menyatakan cash only.

Model ini tahun 2004, tapi masih ramai peminat dan cukup banyak dalam pasaran. Cuma pastikan anda periksa betul-betul, tiada bekas kemalangan.

4. Proton Ertiga – RM36,700

Okay, satu-satunya model tempatan dalam senarai ini, Proton Ertiga. Model ini masih baharu, dilancarkan tahun 2016, jadi anda masih boleh buat loan.

Ertiga dikira sebagai MPV kompak dengan ruang dalaman yang agak luas. Tempat duduknya adalah jenis stadium seat, dimana beris belakang lebih tinggi dari baris depan, jadi penumpang belakang tidak terasa sempit.

Enjin 1.4-liter padanya cukup-cukup sahaja, tidak begitu berkuasa, tapi cukup jimat dan boleh diharap. Enjin ini juga tidak banyak masalah.

5. Toyota Wish – RM29,700

Satu lagi kereta cukup popular dalam pasaran, iaitu Toyota Wish. Unit yang kami jumpa ini model 2003, dengan 1.8-liter automatik.

Sebuah MPV yang tahan lasak, tak banyak masalah, dan rekabentuk pun okay cukup sporti dan nampak moden.

Perkara penting yang perlu diperiksa pada Wish ialah suis-suis dan bab elektronik, kerana jika ada masalah, mungkin susah nak cari alat ganti.

6. Nissan Grand Livina 1.8 Impul – RM34,800

Nissan Grand Livina dalam iklan ini ialah versi 1.8 Impul, iaitu dilengkapi dengan kit badan sporti. Ia dapat bampar, skirt tepi, spoiler dan bampar belakang khas, jadi Grand Livina ini tidak nampak ‘abah-abah’ sangat.

Harganya masih bertahan, walaupun berumur 9 tahun (daftar pada 2012), tapi disebabkan ia MPV yang agak tahan lasak dan tak banyak masalah, sebab itulah harganya masih ‘keras’.

Rupanya ala kadar, pemanduan biasa-biasa, tetapi ruang cukup luas.

7. Toyota Innova 2.0G – RM30,800

Haa ini satu lagi kereta yang dikira kebal. Boleh kata King of MPV juga ni, iaitu Toyota Innova. Harganya dikira okey untuk model tahun 2009.

Badannya masih nampak cantik, cuma Innova ini agak besar dan berat kerana casisnya jenis ladder frame, jadi bila bawa penumpang dan muatan penuh, penggunaan minyak akan tinggi sedikit.

Apa pun, ini sangat okey untuk kereta kedua, guna untuk balik kampung sekali-sekala. Penumpang mesti tersenyum punya.

8. Nissan Elgrand – RM35,900

Akhir sekali, model yang menarik tapi agak was-was sikit. Nissan Elgrand ini tahun 2003, harganya cukup kompetitif untuk MPV bersaiz besar.

Kalau Toyota Alphard atau Vellfire, memang tak dapat harga ini. Mungkin disebabkan kapasiti enjinnya yang besar – 3.5-liter – menjadikannya kurang diminati dalam pasaran kereta terpakai. Mungkin ini sebab harganya rendah.

Tapi Elgrand ini catnya masih nampak elok, ruang dalam cukup luas, hampir seperti MPV shuttle. Nissan Elgrand sesuai untuk anda yang inginkan sedikit kelainan, kerana panel meternya nampak canggih, rekaan ala Star Wars.

Baik, diharap senarai ini sedikit-sebanyak membantu anda membuat pilihan. Kalau ditanya, hos kami sukakan Volkswagen Cross Touran dan Peugeot 5008.

Penulis pula berkenan pada Cross Touran, nampak hensem teruk. Mana satu jadi pilihan anda? Atau ada model lain lebih menarik yang tiada dalam senarai?

Jangan sampai rugi, ketahui tips baiki kenderaan anda!

BERDEPAN kerosakan kenderaan sehingga terpaksa melakukan major service atau penukaran komponen baharu bukan situasi yang luar biasa.

Oleh demikian, semua pemilik kenderaan dinasihatkan mempunyai wang simpanan bagi tujuan kecemasan terutama jika berlaku kerosakan membabitkan bahagian enjin.

Selain itu, pemilik kenderaan juga perlu bijak melakukan survey membabitkan kos membaiki kenderaan meliputi kualiti komponen dan upah mekanik.

Jadi, artikel kali ini penulis ingin beri beberapa tips atau nasihat dalam mendepani kes kecemasan kerosakan kenderaan.

Jom baca!

Terdapat pelbagai harga minyak enjin di pasaran. – Foto ihsan Unsplash/Tim Mossholder

Jangan terburu-buru

Pemilik kenderaan dinasihati jangan terburu-buru dalam membuat keputusan membaiki kenderaan yang rosak.

Jika ada masa semak harga di beberapa kedai meliputi upah kos, jenama komponen, tempoh masa membaiki dan lokasi bengkel.

Kalau boleh jadi regular customer di bengkel yang dipilih. Ini memudahkan proses berkomunikasi dan tawar-menawar.

Ramai rakyat Malaysia kini mempunyai kepakaran dalam bidang automotif. – Foto ihsan MyTukar

Banyak bertanya

Jangan ‘berat’ mulut untuk bertanya kepada rakan-rakan terdekat mengenai masalah kenderaan anda.

Kadang-kala ada di antara kita mempunyai kebolehan atau kepakaran mengenai automotif.

Paling seronok jika rakan-rakan boleh recommend bengkel terbaik dan murah untuk membaiki kenderaan.

Anda perlu bijak mencari bengkel atau kedai alat ganti yang menawarkan harga barangan berpatutan. – Foto ihsan Unsplash/Sten Rademaker

Cari kedai spare part sendiri

Komponen atau peralatan kenderaan kadang-kala lebih murah jika dibeli di kedai alat ganti atau spare part.

Bagaimanapun, agak sukar jika anda tidak mempunyai pengetahuan mengenai komponen kenderaan.

Berkemungkinan besar untuk tersalah membeli komponen amat tinggi risikonya.

NGR Auto Parts antara kedai alat ganti yang terdapat dalam aplikasi Shopee. – Foto ihsan Facebook/NGR Auto Parts

Shopping di Shopee

Ini merupakan antara kaedah paling mudah! Hanya duduk di rumah dan anda boleh membeli apa sahaja komponen atau aksesori kenderaan.

Kelebihan membeli-belah di Shopee adalah anda boleh mendapatkan maklumat mengenai komponen yang ingin dibeli di bahagian description.

Salah satu kedai yang anda boleh ‘lawati’ di Shopee adalah NGR Auto Parts.

Ada pelbagai jenis komponen kereta dijual seperti absorber, radiator, minyak enjin, engine mounting dan macam-macam lagi.

Harganya? Oh sudah pasti berpatutan dan paling penting komponen dijual adalah berkualiti.

Itu sahaja tips yang dapat penulis kongsikan kali ini.

Maka, jika kenderaan anda berdepan masalah jangan panik dan boleh ikuti nasihat yang diberikan.

Chiow!

Perodua Alza vs Proton Exora: Servis mana lebih jimat?

KENDERAAN utiliti sukan atau SUV menjadi semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Walaupun saiznya tidak begitu besar berbanding Multi-Purpose Vehicle (MPV) namun, ruang dalaman sesebuah SUV masih luas bagi kegunaan mereka berkeluarga.

Di Malaysia, antara dua model SUV paling mendapat permintaan tinggi adalah Perodua Alza dan Proton Exora.

Kedua-dua model keluaran syarikat ini bukan sahaja boleh didapati dengan harga mampu milik malah dikatakan sangat ‘ekonomi’!

Sejauh mana kebenaran dakwaan ini?

Jom kita buat kira-kira perbandingan kos ‘bela’ Perodua Alza vs Proton Exora!

Perodua Alza (1.5) vs Proton Exora (1.6T): Mana lebih jimat?

Siapa tidak seronok jika dapat memiliki kenderaan baharu. Bagaimanapun, dalam kegembiraan itu, jangan abaikan servis kereta kita.

Sama seperti model kenderaan lain, Alza dan Exora juga perlu menjalani beberapa servis wajib.

Antara yang perlu dilakukan adalah servis 1,000 kilometer pertama!

Servis 1,000 kilometer

Pemilik Perodua Alza perlu melakukan servis 1,000 kilometer pertama selepas kenderaan mereka selesai menjalani proses ‘running-in’.

Terdapat beberapa perkara asas perlu dilakukan termasuk penukaran engine oil,drain plug gasket dan oil filter.

Anggaran kos keseluruhan termasuk upah mekanik adalah RM118.70

Kos bagi Proton Exora untuk servis pertama ini pula sekitar RM121.08.

Servis 10,000 kilometer

Tiada perbezaan untuk servis 10,000 kilometer bagi Alza jika dibandingkan dengan servis pertamanya.

Kos bayaran dikenakan adalah RM116.70

Sementara itu, kos servis Exora kurang RM2 berbanding Alza iaitu RM120.91.

Servis 20,000 kilometer

Servis 20,000 kilometer menyaksikan terdapat pertambahan baharu penukaran komponen enjin bagi Alza.

Komponen yang perlu ditukar adalah spark plug yang berharga RM60.40 dengan kos keseluruhan adalah RM245.88.

Tidak ada pertambahan penukaran komponen bagi Exora yang mana kos servis kekal RM120.91.

Servis 30,000 kilometer

Ada lagi penambahan penukaran baharu untuk Alza bagi servis 30,000 kilometer iaitu penukaran cabin filter berharga RM27.20.

Keseluruhan kos adalah RM190.42.

Exora pula, kos keseluruhan servis adalah RM165.93 dengan penukaran radiator coolant yang berharga RM45.01.

Servis 40,000 kilometer

Kira-kira 11 perkara dilakukan bagi servis 40,000 kilometer untuk Alza.

Kos keseluruhan mencecah RM422.85.

Penukaran komponen enjin termasuk air cleaner filter, brake fluid, engine oil filter dan beberapa perkara lain.

Bagi Exora, kos keseluruhan hanya RM191.44 dengan penukaran brake fluid dan power steering fluid.

Servis 50,000 dan 70,000 kilometer

Servis bagi jarak perbatuan Alza untuk kali ini hanya RM161.74 dan Exora adalah RM152.71 kerana terdapat penukaran air filter.

Namun, Exora menyaksikan peningkatan kos bagi servis 70,000 dengan jumlah keseluruhan RM415.03.

Servis 80,000 kilometer

Kerja servis Alza bagi 80,000 kilometer sama seperti servis 40,000 dengan kos keseluruhan RM422.85.

Kos Exora adalah RM299.51 dengan penukaran pipe feed semi steel, hose oil return dan clip.

Servis 100,000 kilometer

Servis wajib terakhir ini menyaksikan pemilik Alza perlu mengeluarkan wang sebanyak RM245.88 dan Exora adalah RM234.04.

Mana lebih jimat?

Kesimpulannya, jumlah kos bagi Alza untuk lima tahun pertama adalah RM3,220 sementara Exora adalah RM2,487.

Bagaimanapun, perlu diingat kos servis yang dinyatakan hanya membabitkan perkara asas.

Ia tidak termasuk kos penukaran komponen lain jika berlaku sebarang kemungkinan.

Oh ya! Jika anda sedar artikel ini tidak menyatakan kos servis 60,000 kilometer dan 90,000 kilometer.

Nak tahu lebih lanjut sila saksikan video di bawah bersama Cikgu Mas’od!

Enam tips penting servis kenderaan, elak duit ‘melayang’

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kita melupakan penyelenggaraan enjin kenderaan.

Walaupun tidak dapat memandu jauh pulang ke kampung halaman, enjin kenderaan perlu tetap berada dalam keadaan baik.

Maka, di sini kami kongsikan beberapa tips perlu anda tahu mengenai penjagaan kenderaan pada musim perayaan ini.

Enam tips penjagaan kenderaan

1. Lakukan pemeriksaan minyak hitam. Ini penting kerana minyak hitam amat penting bagi memastikan kelancaran enjin kenderaan anda.

2. Cuci cermin kenderaan dengan bahan pencuci khas agar kekal dalam keadaan baik. Pada masa sama, pastikan corong air di bahagian enjin tidak kekeringan.

3. Pastikan air untuk coolant sentiasa berada pada paras sepatutnya. Ini bagi mengelak enjin menjadi terlalu panas.

4. Periksa cecair brek di bahagian enjin. Kadar cecair brek penting untuk memastikan brek berfungsi dengan sempurna.

5. Periksa cecair transmisi. Ramai yang sering lupa untuk memeriksa cecair transmisi sekaligus menyebabkan berlaku kerosakan teruk.

6. Jaga tekanan angin. Ini kerana tayar merupakan antara komponen paling penting bagi sesebuah kenderaan.

Terdapat banyak lagi tips penjagaan kenderaan yang boleh kami kongsikan kepada anda.

Untuk info lanjut sila tonton episod 5+1 Tips Mencegah Kerosakan Kereta yang kami sediakan untuk anda.

Covid-19: Tips ziarah 1 Syawal, jangan sampai langgar SOP

HARI Raya Aidilfitri kali ini merupakan tahun kedua diraikan dalam suasana berjaga-jaga ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pelbagai prosedur standard operasi (SOP) perlu dipatuhi selain terus mengamalkan norma baharu.

Selain itu, kerajaan turut menetapkan larangan rentas negeri seluruh negara serta daerah bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, terdapat kelonggaran pada 1 Syawal yang mana aktiviti ziarah dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 15 individu berada dalam sebuah kediaman pada satu masa.

Justeru, di sini EnGear kongsikan beberapa peringatan atau tips pemanduan bagi aktiviti kunjung-mengunjung pada 1 Syawal nanti.

Lima tips ziarah Aidilfitri

1. Bilangan penumpang tidak melebihi kapasiti kenderaan

Aktiviti ziarah tidak dinafikan memang seronok dilakukan secara beramai-ramai atau berkumpulan.

Namun, anda dinasihati tidak menaiki kenderaan dengan bilangan penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.

Selain melanggar SOP ditetapkan ia juga berbahaya kerana berisiko mengundang kecelakaan jalan raya.

2. Ketahui had sempadan daerah atau negeri

Anda perlu tahu had sempadan daerah atau negeri.

Ini penting bagi mengelak secara tidak sengaja masuk ke daerah lain sekaligus berdepan tindakan undang-undang.

Nasihat kami gunakan aplikasi seperti Waze atau Google Maps untuk ketahui had sempadan daerah atau negeri.

3. Servis kenderaan anda

Walaupun tidak dapat berjalan jauh namun, pastikan kereta anda diselenggara dengan baik.

Anda pasti tidak mahu ‘tersangkut’ di tepi jalan raya sekaligus menyusahkan pemandu lain akibat kesesakan lalu lintas.

Perlu diingat kos membaiki kenderaan juga berkemungkinan lebih tinggi berbanding di luar musim perayaan.

4. Rancang perjalanan

Setiap perjalanan bagi aktiviti ziarah perlu dirancang sebaik mungkin bagi mengelak kesesakan jalan raya.

Hal ini kerana kerajaan hanya membenarkan aktiviti ziarah pada 1 Syawal bagi kawasan PKP dan ia pasti mengundang kesesakan.

Tambahan pula, orang ramai tidak dapat merentas negeri atau daerah dan pasti itu akan menyebabkan berlaku peningkatan jumlah kenderaan atas jalan raya.

5. Kongsi kenderaan ketika ziarah

Sanak saudara yang ingin melakukan aktiviti ziarah 1 Syawal nanti mungkin boleh berkongsi kenderaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Tapi perlu diingat jangan sampai lebih kapasiti kenderaan pula. Tak pasal-pasal kena saman dengan encik polis pula nanti.

Kongsi kenderaan juga pada masa sama menjimatkan tenaga dan petrol. Maklumlah, harga petrol sekarang pun boleh ‘tahan’ harganya.

Demikian antara lima tips ziarah yang EnGear dapat kongsikan kepada anda.

Apa yang penting terus patuh SOP dan amalkan norma baharu kerana kita belum menang dalam memerangi Covid-19.

Anda yang tidak dapat beraya di kampung halaman pula jangan terlalu bersedih.

Gunakan handphone canggih anda untuk berhubung dengan keluarga tersayang ya!

#SelamatHariRayaAidilfitri