fbpx

Jangan takut dengan Alfa Romeo, kalau minat, ada yang menarik bawah RM40k

alfa romeo

ALFA Romeo ialah satu jenama yang sangat istimewa. Keretanya unik, tapi ‘manja’ sedikit, menjadikannya kurang popular.

Tetapi di Malaysia, tetap ada peminat jenama Itali ini dan jika anda salah seorang dari golongan minoriti ini, kami ingin senaraikan beberapa Alfa Romeo menarik bawah RM40k!

Jom kita lihatkan.

1. Alfa Romeo 155 – RM15,500

Yang pertama ini satu model yang cukup ikonik, Alfa Romeo 155. Menurut iklan, pemiliknya berkata tiada kos perlu dibaiki, tayar baharu, enjin dan kotak gear sudah diservis. Dalaman kemas, badan mantap, dan cat berkilat.

Dari luar memang nampak semua cukup cantik. Enjin pun nampak terjaga, geram admin tengok tulisan “16V Twin Spark” tu. Lokasi di Raub, Pahang.

Untuk harga ini, kira on lah!

2. Alfa Romeo 156 2.5 V6 – RM25,000

Alamak warna dia bukan yang asal, dan biru bukan satu warna yang sinonim dengan Alfa Romeo. Kereta tahun 1999, dan enjin 2.5-liter V6 ini memang satu nadi yang sedap, salah satu sebab kerana bunyinya. Tambah pula ekzos sudah ditukar dengan kit Supersprint. Jadi sudah pasti 156 ini syok dipandu.

Walaupun cat sudah ditukar, rimnya masih original bersaiz 17-inci, anda juga akan dapat brek Brembo 310, penyerap hentak Koni di depan dan Bilstein B8 di belakang, dan tayar juga baharu.

Kereta ini sebenarnya cukup cantik dan boleh dilihat pemilik ini sayang pada keretanya. Kalau anda jenis cermat dan sayang kereta, mungkin boleh sambung tolong jaga?

3. Alfa Romeo 147 – RM31,888

Satu kereta yang penulis sendiri pun suka. Bentuk hatchback yang sporti, pembuka pintu belakang tersorok yang menampakkannya seperti kereta dua-pintu, dan rim ikonik lima lubang. Ada yang kata macam rim Proton Gen2.

Cuma alahai, dah pakai Alfa Romeo janganlah buat warna pelik-pelik. Susah nak jual kepada peminat tegar dia. Kalau sanggup, bolehlah.

Enjinnya 2.0-liter Twin Spark dengan kotak gear Selespeed, tetapi harga tu sedikit ‘keras’. Mungkin boleh runding lagi.

Oh ya, anda dapat lagi ‘jajan’ ekzos HKS sistem penuh original dan brek Brembo Guiletta. Amacam?

4. Alfa Romeo 159 – RM33,500

Seterusnya, kereta yang sangat cantik. Alfa Romeo 159 ni kalau lalu depan mata, mesti orang pandang lebih dan tertanya-tanya.

Kereta tahun 2010, walaupun sudah 11 tahun, anda lihat sendiri ia masih nampak baru. Badan pun masih lurus dan kemas, tiada rungutan. Cuma Alfa Romeo ni bahagian dalaman seperti panel plastiknya kurang lasak, jadi mungkin anda boleh telitikan lagi untuk tawar harga.

Semua barang ‘wear and tear’ telah diganti, dan tayar masih 80 peratus. Memang goyang kalau tengok. Ambil dan terus jalan!

5. Alfa Romeo 164 – RM9,200

Menurut hos, semasa Alfa Romeo 164 ini baru dilancarkan, ia dikatakan antara sedan tercantik di dunia. Biasalah jenama Itali, bab rekabentuk memang dititikberatkan. Rekaannya berjiwa…

Tetapi kereta dalam iklan ini sudah berusia, model tahun 1992. Menurut pemiliknya, kereta masih baik dan semua sistem berfungsi, serta nombor pendaftaran VIP ‘cantik’.

Untuk harga RM9,200 ini anda pasti tersenyum, tapi sebolehnya sediakan tambahan lagi RM10,000 untuk kemaskan lagi Alfa 164 ini. Kemudian, dah boleh melaram malam minggu!

Pesanan hos: Alfa Romeo ini bukan untuk anda yang biasa pandu Toyota, Proton atau Perodua kerana akan ‘terkejut beruk’. Bukan apa, kena berkawan baik dengan mekanik, ketahui teh O ais mana dia suka, nasi lemak mana dia suka untuk dia belek kereta anda.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved