Arkib Tag: pengecas

Tesla buka stesen pengecas EV baharu di Gamuda Cove, terbesar di Asia Tenggara

MALAYSIA kini mempunyai stesen pengecas kereta elektrik (EV) terbesar di Asia Tenggara. Ia merupakan stesen pengecas terbaharu Tesla, dibuka di Gamuda Cove, Kuala Langat.

Stesen ini mempunyai enam Supercharger dan 18 Destination Charger. Dengan pembukaan ini, ia menambah kepada rangkaian pengecas Tesla yang pernah dibuka sebelum ini:

  • Pavilion Bukit Jalil: 6 Supercharger, 2 Destination Charger
  • Tesla Service Centre Cyberjaya: 4 Supercharger, 4 Destination Charger
  • Sunway Big Box Iskandar Puteri Johor: 4 Supercharger, 3 Destination Charger
  • Freeport A’Famosa Outlet Melaka: 4 Supercharger, 1 Destination Charger
  • Pavilion KL: 8 Supercharger
  • Sunway Pyramid: 4 Supercharger
  • The Ship Campus Penang: 8 Destination Charger
  • Sunway Velocity Mall KL: 6 Destination Charger
  • Sunway Putra Mall KL: 6 Destination Charger
  • Pavilion Damansara Heights: 5 Destination Charger
  • All Seasons Place Penang: 4 Destination Charger

Tesla kini mempunyai 36 Supercharger dan 55 Destination Charger seluruh negara. Dari segi bayaran pula, ianya seragam untuk semua stesen.

Pengecas Supercharger mampu mengecas pada kadar sehingga 250kW dengan harga RM1.25/kWh, dengan bayaran melahu (idle) RM4.00 seminit jika stesen pengecas itu sedang penuh.

Stesen pengecas Tesla Supercharging kini dibuka di Pavilion Bukit Jalil

Tesla mengumumkan pembukaan stesen Supercharging terbaharu mereka di Pavilion Bukit Jalil. Sejak kehadiran jenama EV itu pada Julai 2023, mereka komited mengembangkan rangkaian pengecasan untuk pengalaman lebih baik bagi pemilik mereka di Malaysia.

Stesen Supercharging terbaharu ini dilengkapi dengan 6 Supercharger dan 2 Destination Charger. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 Supercharger dan 25 Destination Charger di seluruh negara.

Dengan pengecasan pantas setinggi 250kW, sebuah Tesla Model 3 boleh dicas semula sehingga memberikan jarak 282km dalam hanya 15 minit.

Selain itu, pemilik Tesla juga kini boleh memantau pengecas yang boleh digunakan, status pengecasan, pembayaran, dan bantuan teknikal dalam masa sebenar. Ini pastinya memberikan kemudahan cukup baik, terutamanya untuk pemilik EV kali pertama.

Stesen Tesla Supercharging di Pavilion Bukit Jalil terletak di parkir B1, Pavilion Bukit Jalil 2, Persiaran Jalil 8, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ia dibuka 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Kadar pengecasan adalah RM1.25/kWh manakala bayaran Idle ialah sehingga RM4/minit apabila stesen ini penuh digunakan.

EDOTCO dan ChargeSini mahu pasang lebih 200 pengecas EV di Malaysia dalam dua tahun

EDOTCO, syarikat pelopor perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi di Malaysia, telah mengumumkan kerjasama dengan ChargeSini bagi merevolusikan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di negara ini.

Kerjasama ini selari dengan agenda nasional yang digariskan dalam Low Carbon Mobility Blueprint 2021-2030 yang mensasarkan 10,000 stesen pengecas EV awam di seluruh negara menjelang 2025.

EDOTCO dan ChargeSini dijangka menyokong aspirasi ini dengan perancangan memasang lebih dari 200 stesen pengecas EV di lokasi dalam bangunan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengalaman luas EDOTCO dalam infrastruktur telekomunikasi akan membantu proses ini seperti menyediakan sumber bekalan kuasa dan ruang parkir di lokasi-lokasi yang dipilih.

“Dengan lebih 13,000 EV di Malaysia hari ini, kami bersedia untuk pertambahan mendadak kepada setengah juta (kenderaan EV) menjelang 2025,” kata Pengarah Perniagaan Malaysia di EDOTCO Group, Gayan Koralage.

“Infrastruktur kami yang tersedia di lokasi-lokasi strategik seperti pusat beli-belah, lapangan terbang, hospital, unversiti, dan tiang-tiang pintar jalanan, bersepadu dengan mudah Bersama ekosistem EV yang kian berkembang,” tambah Gayan.

Sementara itu, James Goh, CEO dan pengasas ChargeSini berkata: “Kerjasama ini menunjukkan keserasian pengalaman EDOTCO dan pendekatan ChargeSini terhadap teknologi pengecasan EV.

“Kerjasama kami bukan sahaja berkenaan mengembangkan infrastruktur EV, ia juga mempercepatkan penerimaan mobiliti lestari di Malaysia,” katanya.

Dua supercharger Tesla baharu ditambah, kini 14 lokasi

BULAN lepas, Tesla Malaysia mengumumkan supercharger mereka di Pavilion Kuala Lumpur telah diaktifkan, dengan ikon dalam peta rangkaian di laman web menyala merah.

Tesla berkata semasa pelancaran bahawa mereka mempunyai 12 supercharger di negara ini. Kini mereka telah menambah dua lagi lokasi baharu, iaitu di Petaling Jaya, Selangor dan Alor Gajah, Melaka.

Supercharger di Petaling Jaya menjadi yang kedua di bandar raya itu. Supercharger di Alor Gajah pula sesuatu yang penting, ia bermakna pemilik-pemilik boleh memandu ke selatan tanah air dengan lebih mudah.

Belum ada maklumat terperinci mengenai lokasi-lokasi lain, tetapi pertambahan rangkain pengecas mereka setakat ini nampak menjanjikan dan agak cepat.

Seperti disebut, lokasi pengecas Tesla Supercharger di Pavilion Kuala Lumpur merupakan satu-satunya yang telah diaktifkan, dengan lapan ruang pengecas yang mampu menyokong sehingga 250kW.

Kadar pengecasan ialah RM1.25/kWh, dan terdapat juga bayaran idle (menunggu) sebanyak RM4 per minit.

MBSA sedia 10 pengecas EV percuma di Shah Alam

MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 10 pengecas kenderaan elektrik (EV) secara percuma di beberapa lokasi di bawah kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Datuk Bandar Shah Alam Nor Fuad Abdul Hamid berkata perkhidmatan berkenaan boleh didapati di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Wisma MBSA dan di pejabat cawangan MBSA.

 

“Setakat ini MBSA sudah ada 10 pengecas EV dengan kerjasama Kementerian Tenaga Teknologi Hijau Dan Air (KeTTHA) sebelum ini.

“Sekarang sudah banyak syarikat swasta berminat untuk bekerjasama dengan MBSA bagi membina pengecas EV,” katanya.

“Kami sedang selaraskan dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) sebab garis panduannya baru dilancarkan, begitu juga dari Kementerian Pengangkutan. Dari segi teknikal pemasangan ia akan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST),” tambah Fuad.

Beliau berkata demikian selepas persidangan antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) ke-15 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Hasbollah di Pusat Konvensyen MBSA, semalam.

Mengulas lanjut Nor Fuad berkata pihaknya kini sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian mengikut keperluan serta permintaan dan antara lokasi sasaran untuk penambahan pemasangan pengecas itu adalah di pusat bandar serta pusat beli-belah di Shah Alam.

Julai lalu, kerajaan negeri merancang menyediakan kira-kira 1,000 pengecas EV di kawasan 12 PBT di negeri ini menjelang akhir tahun ini terutamanya di Shah Alam; Petaling Jaya; Subang Jaya; Klang; Kajang serta Ampang Jaya.

Beli Tesla dapat pengecas rumah bernilai RM2,800 percuma, promosi hingga 31 Oktober 2023

TESLA Malaysia mengumumkan mereka yang membuat pembelian kenderaan akan mendapat Tesla Wall Connector bernilai RM2,800 secara percuma, tetapi tempahan perlu dibuat sebelum 31 Oktober 2023.

Tesla Wall Connector merupakan pengecas AC berjenama Tesla. Ia hadir dengan kabel sepanjang 7.3 meter dengan pengecas Type 2. Ia juga menyokong WiFi untuk pemantauan jarak jauh dan kemas kini perisian.

Terdapat terma dan syarat untuk tawaran ini. Pertamanya, Tesla Wall Connector mesti dipasang di alamat dalam boring tempahan kenderaan yang diberikan oleh Tesla Approved Installer. Ia juga tidak boleh dijual jika anda sudah mempunyai pengecas AC di rumah, kecuali anda mahu ‘mencabutnya’ dahulu.

Selain itu, untuk melayakkan anda mendapat Tesla Wall Connector itu, pemasangan mesti dibuat dalam masa tiga bulan selepas penyerahan kenderaan.

Kos pemasangan bernilai RM2,200 (RM2,500 di Sabah dan Sarawak) mesti ditanggung oleh pelanggan. Ini merangkumi peralatan seperti suis, pemutus litar, RCD, dan kotak pengagih.

Untuk kabel, ia berharga RM36 semeter bagi pendawaian standard, dan RM60 semeter untuk wayar bertutup.

Tesla Wall Connector di bawah program promosi ini hadir dengan jaminan 12 bulan oleh Tesla, selain jaminan tempoh sama untuk kerja-kerja pemasangan.

Jika pelanggan memohon Tesla Wall Connector tambahan untuk beberapa lokasi pula, mereka boleh membeli sehingga dua unit tambahan dari Tesla Store.

VIN (nombor identifikasi kenderaan) mesti diberikan semasa membeli pengecas ini, dan tidak boleh dibeli oleh orang yang bukan pelanggan.

Kerajaan Johor mahu jadi lokasi rangkaian supercharger Tesla

KERAJAAN negeri Johor menyatakan kesediaan dan potensi negeri itu untuk menjadi lokasi penubuhan rangkaian Supercharger Tesla.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam pertemuan dan perbincangan bersama Pengarah Wilayah Tesla, Isabel Fan.

“Menerusi perbincangan ini, pelbagai perincian serta perancangan telah diutarakan oleh pihak Tesla,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Katanya, ekosistem yang kondusif dan pengukuhan polisi kerajaan yang menekankan peralihan kepada teknologi hijau, telah memberikan keyakinan kepada syarikat kenderaan elektrik (EV) mega itu untuk melabur di Malaysia.

“Jutaan penghargaan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pihak-pihak berkaitan atas usaha berterusan merancakkan pelaburan di Malaysia.

“Semoga segala yang direncanakan akan membuahkan hasil, terutamanya dalam meningkatkan peluang pekerjaan serta keterlibatan syarikat tempatan dalam ekosistem pelaburan pihak Tesla sama ada di peringkat domestik atau global. Insya-Allah,” tambahnya.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman.

Kami merasakan ini suatu langkah yang amat strategik memandangkan Johor berada dekat dengan negara jiran Singapura.

Jadi pengguna Tesla dari negara itu boleh mengecas kenderaan mereka sebaik masuk ke negara ini atau menambahkan cas bateri mereka sebelum pulang ke Singapura.

Dalam pada masa yang sama, diharapkan lebih banyak rangkaian Supercharger Tesla dapat dibuka terutamanya di negeri-negeri luar Lembah Klang.

Seong Hoe Premium Motors rasmi fasiliti pengecas MINI di Melaka – 40kW dan 22kW

SEONG Hoe Premium Motors, wakil pengedar paling lama di bawah BMW Group Malaysia di Melaka hari ini melancarkan fasiliti pengecasan MINI baharu di Kota Syahbandar.

Fasiliti itu hanya dua kilometer dari perkarangan Jonker Street yang strategik. Ia bakal memenuhi permintaan pengguna dari dalam dan luar negeri terhadap infrastruktur kenderaan elektrik (EV) yang sedang berkembang pesat.

Pusat pengecas MINI Seong Hoe Premium Motors terletak di Jalan KSB 1, Taman Kota Syahbandar. Ia dilengkapi dengan empat lot parkir terdiri daripada dua unit pengecas DC Stellar40 40kW dan dua unit pengecas AC Nexus 22kW – dikuasakan oleh ChargeSini.

Pengguna perlu membuat bayaran caj minimum sebanyak RM5 setelah tempahan bagi khidmat pengecasan tersebut disahkan.

Kadar penggunaan bagi unit pengecas DC tersebut ialah RM1.20 per kWh atau RM0.80 per minit, manakala kadar bagi unit pengecas AC pula bermula daripada RM0.07 per minit pada paras 3.7kW hingga ke RM0.40 per minit pada paras 22kW.

Fasiliti Pengecasan MINI yang baharu diperkenalkan oleh Seong Hoe Premium Motors merupakan sebahagian daripada 1,000+ fasiliti pengecasan yang terletak di bawah rangkaian BMW Group Malaysia setakat ini.

Lebih daripada 100 buah fasiliti pengecasan BMW i dan MINI juga disediakan di kebanyakan pusat pengedaran yang bertauliah, di samping lokasi-lokasi para rakan kongsi di serata negara, dan banyak lagi yang akan menyusul melalui pelan perluasan infrastruktur yang telah disasarkan untuk tahun hadapan.

Porsche Malaysia naik taraf pengecas DC, kini berkapasiti 350 kW

PENGEDAR rasmi kenderaan Porsche di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah menaik taraf kemudahan pengecasan berprestasi tingginya sehingga 350 kW.

Menurut syarikat itu, kemudahan pengecasan di semua Porsche Centre di seluruh Malaysia kini dilengkapi dengan dua pengecas arus terus (DC) yang membolehkan dua buah Porsche Taycan dicas secara serentak pada kadar 175 kW.

Dengan naik taraf ini, Porsche Malaysia mensasarkan untuk meningkatkan lagi pengalaman pemilikan EV di kalangan pelanggan mereka.

Apabila mengecas pada kadar maksimum, pemulihan kuasa bateri dari 5 hingga 80 peratus pada Taycan mengambil masa kurang dari 23 minit.

“Sejak kami memperkenalkan kereta sport elektrik pertama kami, Porsche Taycan, di samping pengecasan berprestasi tinggi 175 kW di pengedar kami pada 2020, kami melihat peningkatan permintaan dan bilangan peminat kereta sport EV di Malaysia,” kata Christopher Hunter, Ketua Pegawai Eksekutif SDAP.

Pengecas berprestasi tinggi 350 kW itu kini tersedia di Porsche Centre Ara Damansara dan Porsche Centre Penang. Ia juga akan dipasang di Porsche Centre Sungai Besi dan Porsche Centre Johor Bahru pada Jun tahun ini.

Sementara itu, Porsche Malaysia juga telah memasang solar panel di ruang parkir terbuka Porsche Centre Penang dalam usahanya untuk  mengurangkan jejak karbon.

Dengan 151 panel yang mampu menjana sehingga 81.51 kWp, ruang parkir itu dikatakan mampu mengurangkan purata penggunaan elektrik sebanyak 30 peratus.

“Dengan inisiatif yang inovatif dan berpandangan ke hadapan seperti konsep carport solar baharu di Porsche Centre Penang, kami menemui cara yang lebih baik untuk mendapatkan tenaga boleh diperbaharui, dan menyediakan perniagaan kami untuk peningkatan permintaan tenaga yang akan kami hadapi pada tahun-tahun akan datang,” kata Hunter.

BMW Charging dilancarkan di Malaysia – lebih 100 pengecas di pusat bandar dan lebuh raya utama

DALAM usahanya untuk menaik taraf pengalaman pemilikan elektrik, BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW Charging menerusi kerjasama dengan JomCharge yang merupakan penyedia kemudahan pengecasan kenderaan elektrik.

Rangkaian pengecas BMW Charging merangkumi lebih 100 buah fasiliti pengecasan yang terletak secara strategik di seluruh kawasan pusat bandar dan pelbagai lebuh raya utama. Rangkaian ini meliputi infrastruktur yang dimiliki oleh Gentari – divisyen Mobiliti Hijau dan Tenaga Bersih di Petronas.

Semua pemilik model BMW i yang baharu dan sedia ada kini layak mendaftar untuk pakej BMW Charging. Pelanggan perlu membayar yuran sekali sebanyak RM640 dan mereka akan mendapat kredit percuma JomCharge bernilai RM160, menjadikan jumlah keseluruhan kredit sebanyak RM800. Langganan ini adalah untuk tempoh setahun dan tidak boleh diperbaharui.

Setelah pendaftaran dibuat, pelanggan dapat memanfaatkan pakej ini sebagai perkhidmatan ‘bayar bila guna’ dengan diskaun tambahan sebanyak 10 peratus bagi setiap transaksi pengecasan mereka selama satu tahun.’

Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian di BMW Group Malaysia berkongsi, “Menjadi tonggak penting dalam usaha berterusan kami untuk memperkukuhkan landskap mobiliti elektro di Malaysia ialah kerjasama strategik kami dengan para peneraju industri dalam infrastruktur pengecasan untuk EV seperti JomCharge, ChargEV dan Tenaga Nasional Berhad.”

Ir. Lee Yuen How, Pengarah Urusan EV Connection berkata, “Sebagai operator rangkaian JomCharge di Malaysia, matlamat kami adalah untuk menggalakkan penerimagunaan Kenderaan Emisi Sifar (ZEV) di Malaysia dengan menyediakan sebuah infrastruktur yang serba transformatif dan berpandukan pelanggan – dicerminkan melalui rangkaian pengecasan awam kami yang ekstensif.”

Setakat ini, BMW Group Malaysia menyediakan lebih 550 buah fasiliti pengecasan di seluruh negara. Ia dikuasakan oleh rakan-rakan kongsi seperti JomCharge (lebih 65 stesen pengecas), Gentari (lebih kurang 50 stesen pengecas), dan ChargEV (lebih 330 pengecas).

Lebih 80 buah fasiliti BMW i Charging juga disediakan di kebanyakan pusat pengedaran BMW dan MINI yang bertauliah di seluruh negara, dengan rancangan strategik untuk mengembangkan lagi infrastruktur ini pada tahun 2023. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.bmw.com.my/en/topics/bmw-owners/bmw-charging-solution.html. Aplikasi mudah alih JomCharge boleh didapatkan di Apple App Store dan Google Play Store.

BMW DC Fast Charger di Ara Damansara ini boleh diguna oleh orang awam

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan beberapa pengecaj pantas DC Fast Chargers di Auto Bavaria Ara Damansara dan ia boleh digunakan oleh orang awam. Ini merupakan yang pertama, dimana akan ada banyak lagi bakal dipasang di pengedar BMW i seluruh negara.

Usaha ini adalah sebahagian dari komitmen BMW untuk menyediakan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Kami telah menerajui peralihan ke arah elektrifikasi bukan sahaja melalui portfolio kenderaan elektrik kami, namun juga dengan meluaskan rangkaian infrastruktur pengecasan tempatan di seluruh negara.

“Kami telah menjalin kerjasama dengan GreenTech Malaysia untuk melahirkan sebuah ekosistem yang mampu menjulang mobiliti elektro, dan sedang meneruskan usaha untuk menunaikan komitmen tersebut bersama jaringan pengedar kami yang berdedikasi – bukan sahaja untuk pemilik BMW dan MINI, malah begitu juga dengan para pemilik kenderaan elektrik di Malaysia.

“Kami yakin langkah ini dapat meningkatkan akses ke atas infrastruktur pengecasan di seluruh negara, selain membantu menangani kekhuatiran pengguna yang ingin memiliki kenderaan elektrik di Malaysia, misalnya bagi perihal melibatkan jarak operasi kenderaan.”

BMW Group Malaysia antara peneraju EV di Malaysia sejak 2015, iaitu tahun yang telah menyaksikan BMW i yang pertama dilancarkan di sini.

Sejak itu, lebih daripada 21,000 buah kenderaan BMW dan MINI berelektrik berjaya diserahkan di peringkat tempatan.

Tesla hasilkan pengecas untuk semua jenis EV, harga mampu milik

SYARIKAT pengeluar kenderaan elektrik (EV) terkemuka dunia, Tesla terus berusaha menghasilkan produk terbaik kepada para pengguna.

Terbaharu, Tesla berjaya memasarkan alat pengecas kenderaan EV di rumah atau Wall Connector tahap kedua dengan palam J1772.

Foto ihsan Tesla

Apa yang menarik, alat pengecas ini bukan sahaja mampu milik malah, boleh digunakan untuk mengecas semua jenis kenderaan EV.

Jelas Tesla, palam J1772 ini mampu menjana kuasa sehingga 9.6 kW selain memiliki kabel sepanjang 7.3 meter.

Bagaimanapun, pemilik Tesla memerlukan alat penyesuai khusus jika ingin menggunakan alat pengecas ini untuk kenderaan mereka.

Setakat ini, harga bagi sebuah unit Wall Connector ini bermula dari $415 atau bersamaan dengan RM1,726.

Foto ihsan Tesla