Arkib Tag: Ducati

Ducati beri diskaun 15 peratus tukar alat ganti tamat waranti

BERITA gembira untuk semua pemilik jentera Ducati di Malaysia.

Ducati Malaysia menawarkan diskaun sehingga 15 peratus untuk alat ganti bagi sebarang pembaikan yang tidak lagi dilindungi waranti.

Selain itu, syarikat berkenaan turut menawarkan diskaun khas sehingga 35 peratus bagi aksesori dan pakaian kepada pelanggan yang membuat temujanji.

Pengurus Besar Ducati Malaysia Dennis Michael berkata, tawaran ini sebagai penghargaan kepada para pelanggan yang sentiasa menyokong jenama itu.

“Ini adalah tanggungjawab kami kepada para pelanggan dan pemilik jenama Ducati dalam mengharungi pandemik Covid-19 yang mencabar ini,” katanya.

Foto ihsan Ducati Malaysia

Sementara itu, Ducati Malaysia turut menawarkan lanjutan masa sehingga tiga bulan bagi kenderaan yang tempoh jaminannya berakhir antara Ogos 2021 hingga September 2021.

Lanjutan jaminan ini khusus kepada pemilik jentera yang berdepan masalah menghantar motosikal untuk diselenggara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, para pelanggan dinasihatkan membuat temujanji dengan pusat servis Ducati berdekatan.

Program lanjutan jaminan berakhir 15 Oktober 2021.

Ducati Nightshif 2021 ‘mendarat’ di Malaysia, harga cuma RM65,900!

DUCATI Scrambler Nightshift secara rasmi berjaya ‘mendarat’ di bumi Malaysia.

Terdapat beberapa perbezaan ditampilkan pada model 2021 ini terutama melibatkan bahagian komponen tertentu.

Menggunakan sentuhan tona warna lebih gelap iaitu Aviator Grey, Ducati tidak dinafikan berjaya menyerlahkan sisi ‘jahat’ Scrambler Nightshift ini.

Foto ihsan Ducati

Enjin Scrambler Nightshift

Scrambler Nightshift menggunakan enjin L-Twin 803 cc dengan transmisi enam kelajuan.

Ia mampu menghasilkan 73 kuasa kuda pada 8,250 rpm dan 66.2 Nm tork pada 5,750 rpm.

Enjin ini juga telah mendapat pengiktirafan serta menepati tahap emisi Euro 5.

Sistem suspensi dan brek

Ducati menggunakan suspensi daripada Showa bagi model Scrambler Nightshift 2021.

Penggunaan fork 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban pada bahagian belakang memberi jaminan tunggangan lebih meyakinkan.

Selain itu, model ini juga dilengkapi brek unit cakera 330 mm dengan angkup empat piston di hadapan serta 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.

Apa yang lebih mengujakan, ia turut dilengkapi dengan sistem Cornering ABS!

Foto ihsan Ducati

Ciri-ciri menarik lain Scrambler Nightshift

Keselesaan penunggang dan pembonceng menjadi keutamaan bagi Ducati.

Justeru, model ini menyaksikan penggunaan tempat duduk jenis rata yang selesa untuk dinaiki dua orang.

Sementara itu, Ducati juga menggunakan pemegang lebih lurus yang diambil daripada Scrambler 1100 Sport Pro.

Penggunaan cermin sisi cafe racer, lampu siang LED serta rim spoked 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang menyerlahkan lagi rupa paras model ini.

Anda yang berminat untuk memiliki sebuah Scrambler Nightshift boleh mendapatkan ia di pasaran sekarang pada harga RM65,900 (tidak termasuk insurans).

Foto ihsan Ducati

Panigale V2 Bayliss, karya agung Ducati untuk penggemar setia!

NAMA Troy Bayliss pastinya tidak asing bagi kalangan peminat tegar Ducati atau Ducatisti.

Mempunyai rekod cemerlang dalam sukan perlumbaan, Bayliss tiga kali bergelar juara Superbike Dunia (WSBK) dengan 52 kemenangan dan 94 kali menaiki podium.

Apa lebih membanggakan, semua kejayaan dicapai ketika Bayliss mewakili pasukan Ducati.

Kini, selepas lebih 20 tahun Bayliss memenangi gelaran juara WSBK pertama, Ducati tampil memberi tribute paling bermakna kepada bekas pelumba kelahiran Australia itu.

Ducati telah memperkenalkan Panigale V2 “Bayliss 1st Championship 20th Anniversary” yang ditawarkan dalam jumlah yang terhad.

Tidak pasti berapa unit bakal dihasilkan namun, model ini boleh didapati menerusi wakil pengedar rasmi Ducati seluruh dunia.

Rekaan Panigale V2 Bayliss

Panigale V2 Bayliss diinspirasikan daripada jentera lumba 996R.

Model 996R merupakan jentera yang membantu Bayliss merangkul kejuaraan pertamanya pada tahun 2001.

Berdasarkan foto didedahkan, Panigale V2 Bayliss didatangkan dengan gabungan tiga warna iaitu merah, hijau dan putih yang secara tidak langsung menggambarkan bendera Itali.

Ia juga menampilkan angka “21” yang merupakan nombor perlumbaan Bayliss dan logo syarikat petroleum Shell pada bahagian sisi.

Menjadikan model ini lebih eksklusif adalah tandatangan pelumba itu yang tersemat pada bahagian tangki serta nombor siri pengeluaran pada bahagian triple clamp.

Kehebatan jentera ini tidak terletak pada aspek kosmetik sahaja kerana ia juga didatangkan ‘jajan’ menarik seperti sistem suspensi Ohlins dan penyerap hentak TTX36.

Turut disertakan adalah peredam stereng yang boleh dikalibrasi sendiri oleh penunggang.

Kuasa lebih memukau

Ducati berjaya mengurangkan berat Panigale V2 Bayliss sebanyak 3 kilogram menerusi penggunaan bateri lithium-ion dan tempat duduk solo.

Sementara itu, Ducati turut menyertakan sport grips, ekzos gentian karbon serta titanium dan tempat duduk diperbuat daripada gabungan dua jenis material.

Model ini juga menerima bekalan kuasa daripada enjin Superquadro 955cc dua silinder yang menghasilkan 155 hp pada 10,750 rpm dan 104 Nm pada 9,000 rpm.

Pakej elektronik merangkumi Bosch ABS, Quickshifter, Traction Control, Wheelie Control, Engine Brake Control serta tiga mod tunggangan iaitu Race, Sport dan Street.

Kesemua ciri ini boleh diakses menerusi paparan TFT berukuran 4.3 inci.

Harga seunit Panigale V2 Bayliss di Amerika Syarikat adalah sekitar $21,000 ribu dollar atau RM88,860 mengikut kadar pertukaran semasa.

Kelibat Dovizioso di Jerez, peminat MotoGP berteka-teki

PELUMBA motosikal profesional kelahiran Itali, Andrea Dovizioso memberi kejutan bagi peminat MotoGP apabila muncul di litar Jerez, Sepanyol bagi menguji jentera RS-GP 2021 untuk pasukan Gresini Aprilia.

Kemunculan Dovizioso menimbulkan pelbagai spekulasi serta tanda tanya sama ada dirinya akan kembali menyertai perlumbaan MotoGP.

Bagaimanapun, laporan media antarabangsa mendedahkan Dovizioso telah menandatangani kontrak bersama pasukan Aprilia sebagai pelumba ujian sepanjang musim ini.

Sebelum ini, Dovizioso bersama pasukan Ducati mengambil keputusan untuk berehat sebagai pelumba MotoGP.

Sepanjang rekod sebagai pelumba MotoGP, Dovizioso merupakan antara pelumba yang memberi saingan sengit terutama kepada wakil Honda, Marc Marquez.

Pada musim lalu, Dovizioso mengumpul 135 mata keseluruhan perlumbaan MotoGP yang menyaksikannya berada di kedudukan keempat carta pelumba.