fbpx

Ducati 750SS oleh Cevennes Retro Motors ini ibarat satu karya seni

ducati 750ss 01

BUKANLAH satu rahsia yang Perancis dianggap sebagai hab fesyen dunia dan apa sahaja produk yang direka dan dihasilkan oleh negara itu pastinya tampil unik dan penuh berseni. Malah, itulah antara dua perkara yang boleh diperkatakan tentang Ducati 750SS kustom rekaan Cevennes Retro Motors ini.

Diasaskan oleh Cedric Tenquir, Cevennes Retro Motors merupakan syarikat motosikal kustom kecil-kecilan yang beroperasi dari sebuah bengkel usang yang terletak di kaki pergunungan Cevennes di Ales, selatan Perancis.

Biarpun kecil dan sederhana, bengkel itu menjadi tempat Cedric mendapatkan ilham untuk menghasilkan jentera-jentera dua roda kustom yang lain dari kebiasaan. Ini dibantu dengan kepakarannya dalam membentuk aloi mentah.

Bagaimanapun, hasil tangan terbaharunya ini dikatakan antara yang terbaik pernah dihasilkan oleh Cedric. Ini kerana selain enjin, hampir semua komponen yang digunakan direka dan diolah semula oleh beliau.

Menggunakan Ducati 750SS sebagai asas, Cedric memulakan projek ini dengan menghasilkan kerangka daripada besi Chromoly. Namun ia tidak boleh direkabentuk secara sembarangan kerana enjin perlu dipasang sebagai sebahagian daripada kerangka (stressed member) untuk mendapatkan pengendalian yang mantap.

Menurut pemuda itu, bahagian hadapan kerangka tersebut dipanjangkan bagi memberikan motosikal ini stance yang rendah dan panjang, manakala bahagian ekornya pula disokong oleh sub-rangka dengan rekaan yang minimal, sekaligus menghasilkan efek terapung.

Untuk sistem suspensi, Cedric menggunakan fork 750SS yang asal pada bahagian hadapan, manakala bahagian belakang pula menampilkan gabungan lengan ayun tunggal daripada Monster S4R dan penyerap hentak Fournales. Lengan ayun tersebut menjadi pilihan kerana reka bentuknya yang menjalar seperti akar, sesuai dengan rangka dan subrangka jentera ini.

Selain itu, penggunaan tapak kaliper brek kustom membolehkan café racer ini menggunakan rim dan cakera brek berkembar daripada model 1098. Sudah tentu, kaliper brek tersebut bukanlah keluaran Brembo kerana menurut Cedric, motosikal ini tidak direka untuk ditunggang pada kelajuan 300 km/j. Pun begitu, bentuk badannya membuatkan ia kelihatan pantas walaupun tidak bergerak.

Turut memainkan peranan dalam menjadikan rekaan ini lebih unik adalah perincian-perincian seperti kemasan kayu pada bar hendal, pelana dan tempat letak kaki, serta penutup tangki bahan api yang tidak pernah dilihat pada mana-mana motosikal sebelum ini.

Akhir sekali, Cedric turut menaik taraf enjin 748cc V-berkembar itu dengan memasang intake kustom yang diperbuat daripada aloi dan karburetor Dellorto DHLA 40 yang asalnya direka untuk enjin kereta. Jumlah kuasa yang dihasilkan tidak diketahui, namun untuk sebuah motosikal secantik ini, ia tidak begitu penting.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved