fbpx

Ducati DesertX mendarat di Malaysia – RM112,900

MY22_Ducati_DesertX _92__UC356423_High

SEGMEN motosikal kembara bagi pasaran Malaysia kini semakin hangat dengan kehadiran satu lagi pesaing yang menarik iaitu Ducati DesertX. Antara pesaing jentera dari Itali ini termasuklah BMW F 850 GS Adventure, Triumph Tiger 900 Rally Pro dan KTM 890 Adventure R.

Menurut Ducati, reka bentuk DesertX yang dihasilkan oleh Ducati Centro Stile melambangkan interpretasi kontemporari motosikal-motosikal enduro era 80-an. Bagaimanapun, segala komponen dan teknologi yang ada padanya adalah yang terkini.

Sebagai contoh, DesertX mempunyai kerangka trellis keluli yang dipadankan dengan sistem suspensi boleh laras keluaran Kayaba yang terdiri daripada fork terbalik 46 mm di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Fork tersebut menawarkan jarak pergerakan (travel) sebanyak 230 mm manakala penyerap hentak belakang pula 220 mm. Bukan itu sahaja, jarak lega tanah sebanyak 250 mm menjadikan jentera ini sesuai untuk tunggangan off-road yang ekstrem.

DesertX didatangkan dengan rim 21 inci di depan dan 18 inci di belakang, serta tayar jenis Pirelli Scorpion Rally STR bersaiz 90/90-21 dan 150/70 R18.

Untuk sistem brek depan, Ducati melengkapkan model ini dengan angkup radial monobloc Brembo M50 dengan empat omboh 30 mm dan dua cakera berukuran 320 mm. Sementara itu di belakang terdapat angkup omboh berkembar Brembo yang ditugaskan untuk mengapit cakera tunggal 265 mm.

Kuasa dibekalkan oleh enjin silinder V berkembar Testastretta 11° Desmodromic bersesaran 937 cc yang menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dari Multistrada V2.

Bagaimanapun, transmisi tersebut mempunyai nisbah gear 1 hingga 5 yang lebih pendek bagi memberikan kuasa pecutan untuk tunggangan off-road. Nisbah gear 6 pula lebih panjang untuk tunggangan di lebuh raya sambil mengekalkan rpm pada tahap rendah untuk menjaga penggunaan bahan api.

DesertX mempunyai enam mod tunggangan (Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally) dan empat mod kuasa (Full, High, Medium dan Low).

Turut disertakan adalah ciri-ciri seperti Engine Brake Control (EBC), Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Quick Shift (DQS) Up & Down dan juga ABS Cornering.

Ducati DesertX dijual pada harga asas RM112,900. Sempena pelancaran ini, Ducati Malaysia menawarkan pakej eksklusif yang merangkumi diskaun 40% ke atas pakej aksesori DesertX dan 35% ke atas pakej pakaian DesertX.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved