fbpx

Ducati Pantah 600 La Guipisima hasil kustom oleh XTR Pepo

ducati pantah cafe racer 06

DIPERKENALKAN buat pertama kali pada acara Milan Motorcycle Show 1979, Ducati Pantah merupakan model pertama jenama itu yang menampilkan kerangka trellis dan belt-driven cams yang menjadi asas kepada enjin silinder V-berkembar yang digunakan oleh jentera-jentera moden Ducati hingga ke hari ini.

Jentera berwarna kuning biru yang anda lihat ini asalnya merupakan sebuah Pantah 600TL keluaran tahun 1986.

Ia telah direka dan diolah semula oleh Pepo Rosell dari XTR Pepo, sebuah bengkel pembina motosikal yang terkenal di Madrid.

Pepo dikatakan pencinta jenama Ducati namun beliau bukanlah seorang purist yang cenderung untuk kekal dengan reka bentuk asal.

Beliau tidak gentar untuk menghasilkan sesuatu yang segar dan radikal; ini boleh dilihat dengan jelas menerusi hasil tangannya ini yang dikenali sebagai La Guipisima atau The Beautiful One.

Dengan sasaran untuk menghasilkan sebuah jentera untuk litar drag, Pepo dan krewnya memulakan proses modifikasi dengan mengubahsuai kerangka Pantah.

Kemudian, enjin asal dikeluarkan dan digantikan dengan enjin 904cc yang diambil dari Cagiva 900 Elefant Marathon – 300cc lebih besar berbanding enjin Pantah.

Enjin tersebut telah diberikan penambahbaikan berupa piston mampatan tinggi, kit pencucuh Silent Hetkit, flywheel yang lebih ringan dan pelbagai lagi. Kuasanya tidak didedahkan, namun dalam versi standard, enjin itu mampu menghasilkan 73PS dan 70Nm.

Sepasang karburetor Keihin FCR 39 digunakan untuk ambilan udara, manakala untuk laluan keluar pula, Pepo menggunakan sistem ekzos Wolfman yang disusun dalam konfigurasi 2-1.

Kuasa disalurkan ke kotak gear menerusi klac Ducabike dan apa yang menarik, motosikal ini juga dilengkapi dengan quickshifter.

Sistem suspensi terdiri daripada fork Hyosung GT650 untuk bahagian hadapan, manakala di belakang pula terdapat lengan ayun Cagiva Elefant dan penyerap hentak Öhlins.

Rim aluminium berukuran 17-inci itu dibalut tayar Continental Sport Attack 4 yang ditaja oleh Continental Spain.

Antara komponen-komponen lain yang boleh ditemui pada La Guipisima termasuklah pam brek Brembo, takungan bendalir brek Rizoma Nex, tuil brek dan klac boleh lipat dari XTR dan panel meter buatan AviaCompisiti dari Itali.

Akhir sekali, skema warna ini merupakan hasil sentuhan Pintumoto yang juga merupakan salah satu penaja utama projek ini. Ia diilhamkan daripada jentera dragster era 1970an dan juga kereta Hot Wheels.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved