fbpx

TMJ pandu Ford GT bertemu Datuk Azizulhasni

tmj azizulhasni ford gt 01

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor semalam telah terima mengadap Datuk Muhammad Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional dan pemenang pingat perak Olimpik.

Pertemuan itu diadakan di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim. Menerusi tulisan di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail dilihat tiba dengan memandu Ford GT baharu.

Supercar itu diberikan warna livery badan biru, merah dan putih seakan-akan bendera negeri Johor. Ford GT menampilkan rekaan badan cukup aerodinamik dan mengambil inspirasi rekabentuk generasi-generasi sebelumnya.

Tidak seperti generasi sebelumnya yang dikuasakan oleh enjin V8 supercharge, Ford GT baharu ini dipacu unit 3.5-liter V6 twin-turbo yang mampu menjana 660hp dan 756Nm tork.

Dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, Ford GT mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 3.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 347km/j.

Pertemuan Tunku Ismail dengan Datuk Azizulhasni adalah bagi mengurniakan ganjaran atas pencapaian pelumba basikal itu di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini.

“Tunku Mahkota Johor terima mengadap Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional dan pemenang pingat perak Olimpik pada hari ini, 7 September 2021 di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim bagi mengurniakan ganjaran atas pencapaian beliau di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini. Allah Peliharakan Sultan,” tulis status terbaru itu.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, Azizulhasni berterima kasih atas jemputan berkenaan yang memberikannya peluang berkongsi pengalaman dan menyampaikan idea bagi pembangunan sukan berbasikal di Johor.

“Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Johor HRH Crown Prince of Johor diatas perkenan mencemar duli menjemput patik bersama Datuk Qobin untuk mengadap Tunku di JDT HeadQuarter,” tulisnya.

“Patik amatlah terharu dan seperti bermimpi disiang hari kerana dapat bersama-sama dengan Tunku dan berkongsi pengalaman serta kejayaan di Olimpik Tokyo baru-baru ini. Patik juga menjunjung kasih di atas kesudian Tunku untuk mendengar idea dan pandangan patik dalam membangunkan arena sukan negara terutamanya sukan berbasikal di Negeri Johor.

“Patik amat berharap agar apa yang dihasratkan dapat dijadikan realiti dan semoga ia dapat di manfaatkan oleh seluruh warga sukan terutamanya mereka yang berada di Johor.”

Azizulhasni turut menjunjung kasih atas hadiah peribadi daripada Tunku Ismail.

“Patik akan ingat sampai bila-bila. Semoga Allah memurahkan rezki dan merahmati Tunku serta seluruh kerajaan Tunku,” tambahnya.

Sumber gambar: Facebook HRH Crown Prince of Johor

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved