Arkib Kategori: BERITA

Volkswagen Golf R 2026 kini di Malaysia, harga dari RM337,790

Volkswagen Passenger Cars Malaysia mengumumkan ketibaan hot hatch VW Golf R 2026 untuk pasaran Malaysia.

Harga jualan bermula dari RM337,790, atau dari RM355,990 dengan pakej VAP (Volkswagen Assurance Package) merangkumi:

  • pakej penyelenggaraan percuma 5-tahun
  • jaminan perbatuan 5-tahun
  • bantuan tepi jalan 5-tahun

Spesifikasi

Golf R dipacu enjin 2.0 TSI turbo yang mampu menjana kuasa 333 PS dan daya kilas maksimum 420 Nm.

Dipadankan dengan transmisi DSG 7-kelajuan, ia mampu memecut sepantas 4.6 saat dari 0-100 km/j.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda 4MOTION, dibantu dengan sistem R Performance Torque Vectoring untuk pengendalian yang lebih mantap.

Terdapat beberapa mod pemanduan disediakan termasuklah Comfort, Sport, Race, Drift dan Individual.

Luaran

Jentera ini dilengkapi dengan ciri seperti lampu matriks LED IQ.Light, lampu belakang LED 3D IQ.LIGHT, serta logo VW bercahaya.

Ia turut hadir dengan elemen penggayaan eksklusif R seperti:

  • bampar hadapan baharu sepenuhnya
  • sistem ekzos titanium R Performance Akrapovic
  • rim aloi ringan ‘Estoril’ saiz 19 inci
  • skirt sisi R
  • spoiler belakang

Terdapat pilihan warna yang terdiri daripada Dolphin Grey, Lapiz Blue, Grenadilla Black dan Pure White.

Dalaman

Ruang kabin Golf R menempatkan ciri seperti:

  • skrin Digital Cockpit Pro saiz 10 inci
  • sistem infohibur 12.9 inci gaya tablet
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • sistem bunyi Harman Kardon 480W dengan 9-pembesar suara

Karakter sporti Golf R turut dilengkapkan dengan ciri seperti:

  • pelapik bumbung hitam
  • pedal keluli tahan karat
  • roda stereng sport balutan kulit
  • kemasan Carbon Grey pada papan pemuka dan panel pintu depan
  • tempat duduk balutan kulit Nappa berserta logo R

Keselamatan

Ciri keselamatan IQ.DRIVE Golf R merangkumi fungsi-fungsi seperti:

  • Kawalan Jarak Parkir
  • Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi berhenti & mula
  • Bantuan Hadapan
  • Brek Kecemasan Autonomi
  • Bantuan Lorong
  • Bantuan Sisi

Renault Megane E-Tech Electric 2026 – bateri LFP baharu, jarak sehingga 499km

Renault memperkenalkan Renault Megane E-Tech Electric 2026 dengan pelbagai penambahbaikan melibatkan reka bentuk, teknologi dan kecekapan sistem elektrik.

Dari segi produk, Megane generasi kelima dikeluarkan sejak 2022 dan tanpa versi enjin pembakaran dalaman (ICE).

Megane R.S. yang pernah berhambat dengan Honda Civic Type R dalam mencipta rekod di Nürburgring sudah menjadi sejarah tanpa pengganti.

Megane E-Tech Electric 2026 menerima bateri LFP baharu, kuasa pengecasan lebih tinggi serta integrasi Google Gemini dalam sistem maklumat hibur.

Renault turut menyusun semula barisan varian bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan.

Rekaan Luaran Lebih Tajam

Bahagian hadapan Renault Megane E-Tech Electric 2026 direka semula sepenuhnya kecuali lampu utama.

Bampar hadapan kini lebih menonjol dan memberikan penampilan lebih sporti.

Saluran udara sisi sebelum ini digantikan dengan lapan elemen lampu berbentuk berlian yang disusun dalam corak papan dam.

Gril tertutup hitam berkilat bersama corak berlian melengkapkan identiti baharu model ini.

Logo Renault pula kini diletakkan di bawah bonet bagi menonjolkan imej yang lebih agresif.

Lampu nyalaan siang (DRL) menerima grafik berlian baharu, manakala lampu belakang mengekalkan rekaan melintang penuh dengan elemen tiga dimensi.

Megane E-Tech Electric kini 20mm lebih tinggi berbanding model terdahulu kerana penggunaan bateri lebih besar.

Dua Varian Ditawarkan

Renault menyusun semula penawaran kepada dua varian sahaja iaitu techno dan esprit Alpine.

Varian techno dilengkapi bampar hadapan warna badan serta rim aloi 19 inci baharu.

Varian esprit Alpine pula menerima rim aloi 20 inci, elemen rekaan khas Alpine dan kemasan dalaman yang lebih premium.

Pelanggan boleh memilih enam warna badan termasuk warna baharu Satin Blue. Pilihan kemasan dua tona turut disediakan.

Motor 220hp dan Bateri LFP 67kWj

Renault Megane E-Tech Electric 2026 menggunakan motor segerak (Wound-Rotor Synchronous Motor) yang tidak memerlukan bahan nadir bumi.

Motor yang dihasilkan di Cléon, Perancis itu menjana:

  • Kuasa 220hp (160kW)
  • Tork 300Nm

Motor tersebut dipadankan dengan bateri LFP baharu berkapasiti boleh guna 67kWj.

Bateri menggunakan seni bina Cell-to-Pack dengan 232 sel bagi meningkatkan kecekapan pembungkusan dan kapasiti boleh guna.

Menurut Renault, model ini mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 499km mengikut piawaian WLTP.

Pengecasan Lebih Pantas

Kuasa pengecasan pantas DC kini meningkat kepada 165kW.

Renault mendakwa bateri boleh dicas daripada 15 peratus ke 80 peratus dalam masa sekitar 24 minit.

Spesifikasi pengecasan adalah seperti berikut:

  • Pengecas AC 11kW
  • Pengecas DC sehingga 165kW
  • 15-80 peratus dalam 24 minit

Model ini turut dilengkapi fungsi Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 3,700W serta Vehicle-to-Grid (V2G) bergantung kepada pasaran.

Casis dan Pengendalian Dipertingkat

Megane E-Tech Electric dibangunkan menggunakan platform RG Medium 1.0 yang sebelum ini dikenali sebagai AmpR Medium.

Bateri masih dipasang di bawah lantai bagi membantu pengagihan berat yang lebih seimbang serta pusat graviti lebih rendah.

Renault turut menala semula sistem stereng, pegas dan penyerap hentak untuk menyesuaikan penggunaan bateri baharu.

Suspensi belakang pelbagai pautan kekal digunakan bagi meningkatkan kestabilan dan kawalan.

Satu lagi ciri baharu ialah fungsi One Pedal yang membolehkan pemandu mempercepat dan memberhentikan kenderaan menggunakan pedal pemecut sahaja.

Google Gemini dan Lebih 100 Aplikasi

Ruang kabin dilengkapi sistem openR link yang menggabungkan:

  • Kluster instrumen digital 12.3 inci
  • Skrin multimedia 12 inci

Sistem Google Built-in menyediakan akses kepada Google Maps, Google Assistant dan Google Play.

Renault turut memperkenalkan Google Gemini yang membolehkan interaksi suara lebih semula jadi dan memahami konteks perbualan dengan lebih baik.

Lebih 100 aplikasi tersedia menerusi Google Play dan pengguna menerima tiga tahun sambungan internet tanpa caj tambahan.

Lebih 30 Sistem Bantuan Pemandu

Renault Megane E-Tech Electric 2026 menawarkan lebih daripada 30 sistem bantuan pemandu dan keselamatan.

Antara ciri utama termasuk:

  • Intelligent Adaptive Cruise Control
  • Emergency Stop Assist
  • Safety Score
  • Safety Coach
  • Safety Monitor
  • Predictive Eco Driving

Model ini juga menyokong aplikasi my rnlt yang membolehkan pengguna memantau status bateri, mengawal pengecasan dan menghantar laluan terus ke sistem navigasi kenderaan.

Spesifikasi Renault Megane E-Tech Electric 2026

Prestasi

  • Motor: 220hp (160kW)
  • Tork: 300Nm
  • Bateri: 67kWj LFP
  • Jarak pemanduan: sehingga 499km (WLTP)
  • Pengecasan AC: 11kW
  • Pengecasan DC: sehingga 165kW

Pecutan

  • 0-50km/j: 3.4 saat
  • 0-100km/j: 7.6 saat
  • Kelajuan maksimum: 159km/j

Dimensi dan Berat

  • Panjang 4,200mm, lebar 1,782mm, tinggi 1,522mm dan jarak roda 2,685mm.
  • Jarak roda: 2,685mm
  • 1,772kg

Ruang Kargo

  • 440 liter
  • 1,332 liter (tempat duduk belakang dilipat)

BMW Motorrad Malaysia umum harga rasmi F 450 GS Trophy 2026, dari RM39,900

BMW Motorrad Malaysia mengumumkan harga rasmi bagi model BMW F 450 GS Trophy 2026 bermula dari RM39,900.

Harga tersebut turut merangkumi Program Jaminan 3-Tahun dan Bantuan Tepi Jalan 3-Tahun, tidak termasuk insurans.

Spesifikasi

Jentera ini menggabungkan kegunaan harian, keselesaan perjalanan jauh serta keupayaan lasak dalam satu pakej ringan dan mudah dikendalikan.

Ia menampilkan enjin dua silinder berkuasa 48 hp yang direka semula sepenuhnya, digandingkan dengan binaan casis ringan dan kukuh, serta sistem bantuan penunggang canggih.

Antara teknologi yang ditawarkan termasuklah Easy Ride Clutch, Shift Assistant Pro, ABS Pro, Dynamic Traction Control dan Riding Modes Pro.

Ciri lain termasuklah:

  • penghadang angin Rallye
  • pelindung tangan
  • tempat pemijak kaki lasak
  • pelindung enjin aluminium
  • skrin paparan TFT 6.5 inci
  • sambungan USB Type-C

BMW F 450 GS Trophy ini ditawarkan dalam warna eksklusif GS Trophy Racing Blue Metallic.

Pakej pembiayaan

BMW Group Financial Services Malaysia menawarkan pelan pembiayaan pada harga serendah RM568.00 sebulan.

Ia adalah berdasarkan pinjaman 90 peratus untuk tempoh selama 7-tahun.

Pemilik juga boleh menikmati manfaat tambahan berikut:

  • Program Inklusif Minyak Enjin Premium
  • Program Inklusif Servis
  • Program Sambungan Waranti

Perodua turunkan harga alat ganti, kos buruh sebanyak 10 peratus

Perodua menawarkan penurunan harga ke atas alat ganti komponen penyelenggaraan termasuk kos buruh sebanyak 10 peratus bermula 19 Jun.

Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu rakyat Malaysia berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sah untuk semua model Perodua

Kempen terbaharu ini ditawarkan kepada semua model kenderaan Perodua, termasuklah EV QV-E.

Ia merangkumi aspek pemeriksaan, gantian komponen serta kos buruh yang berkaitan dengan penyelenggaraan kenderaan.

Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, “Kami percaya penurunan kos penyelenggaraan ini akan membantu pelanggan mengurangkan kos mobiliti mereka.”

“Kami mengalu-alukan pelanggan untuk datang ke pusat servis bertauliah Perodua bagi mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran ini, serta menggunakan alat ganti tulen agar kenderaan kekal cekap dan dipercayai sepanjang masa.”

“Berdasarkan data dalaman kami, terdapat lebih daripada 5 juta kenderaan Perodua di atas jalan dan kami percaya menerusi kempen ini kami boleh memberikan servis penyelenggaraan kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Sepanjang tahun 2025, sejumlah 3.7 juta kenderaan diselenggara di pusat servis Perodua di seluruh negara.

Honda Prelude Limited Edition 2027 diperkenalkan di Jepun – 2% lebih mahal berbanding versi standard

Honda telah memperkenalkan Prelude Limited Edition 2027, iaitu model edisi khas yang dijadualkan dilancarkan di Jepun pada 20 Ogos 2026. Tempahan kini sudah pun dibuka di semua pengedar Honda di negara itu.

Sejak diperkenalkan pada September 2025, Prelude generasi baharu menerima sambutan yang positif di mana rata-rata pelanggan menggemari rekaan coupe yang rendah, lebar dan sporty.

Bukan itu sahaja, pengenalan sistem Honda S+ Shift serta ruang kargo jenis hatchback menjadikannya sebuah coupe yang bukan sahaja seronok dipandu, malah cukup praktikal.

Kemasan eksklusif serlahkan imej lebih premium

Apa yang membezakan Prelude Limited Edition ialah warna badan eksklusif Premium Crystal Garnet Metallic, yang menawarkan kemasan merah dengan tona lebih pekat dan berkilau seakan wain merah. Ini berbeza dengan warna Rallye Red yang kelihatan lebih sporty.

Bagi melengkapkan penampilannya, Honda turut memberikan kemasan gril mengikut warna badan, aksen merah pada bampar hadapan dan belakang, rim aloi hitam serta angkup brek merah.

Kabin serba Bordeaux

Untuk bahagian dalaman, Honda menggunakan gabungan warna Bordeaux dan hitam bagi mewujudkan suasana yang lebih mewah dan matang.

Tempat duduk hadapan menerima balutan gabungan kulit asli dan material Prime Smooth dalam kombinasi Bordeaux dan hitam. Kemasan Bordeaux turut digunakan pada bahagian papan pemuka sebelah penumpang, konsol tengah dengan perehat tangan, perehat tangan pintu serta sulaman logo Prelude, manakala stereng menerima jahitan benang merah.

Harga naik sekitar 2%, tiada perubahan mekanikal

Prelude Limited Edition ditawarkan pada harga 6,306,300 yen (RM161,777), kira-kira 2% lebih mahal berbanding Prelude standard yang berharga 6,179,800 yen (RM158,532).

Walaupun menyaksikan sedikit kenaikan, model edisi khas ini kekal dengan trenkuasa hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD). Ia merangkumi enjin 2.0-liter empat silinder yang ditugaskan untuk mengecas bateri dan tenaga daripada bateri itu akan disalurkan kepada sebuah motor elektrik gandar hadapan yang menjana 184 PS dan 315 Nm.

Dongfeng Malaysia pamer M Hero II, Voyah Dream dan 008 di KLIMS 2026

Bertempat di KLIMS 2026, Dongfeng Malaysia memperlihatkan 3 model andalan yang mungkin bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

Tiga model yang dimaksudkan itu ialah:

  • MHero II
  • Voyah Dream
  • Dongfeng 008

M Hero II

Ini merupakan jawapan Dongfeng untuk model-model SUV off-road di luar sana: M Hero II, atau lebih dikenali sebagai M-Hero M817 di pasaran China.

Penampilan gagah SUV ini disumbangkan oleh dimensi yang agak besar, sepanjang 5,100 mm, lebar 1,998 mm, tinggi 1,919 mm dan jarak antara roda 3,005 mm.

Ia merupakan sebuah SUV plug-in hybrid yang dipacu oleh enjin 1.5 liter turbo 197 hp dan dipadankan dengan dua motor elektrik, menghasilkan kuasa 687 hp.

Jarak pandu keseluruhan boleh mencecah sehingga 1,300 km.

Aspek pemanduan dibantu dengan sistem pacuan semua roda, mod pemanduan berbilang permukaan, serta teknologi casis termaju.

Rekaan bersegi menguasai bahagian luar SUV M Hero II ini ditambah dengan rekaan fender dan gerbang roda yang lebar, skid plate, serta jeriji tertutup lengkap dengan logo bercahaya.

Ruang kabin pula menempatkan skrin kluster digital 10.23 inci, skrin tengah 15.6 inci, cermin pandang belakang digital, serta tombol khas dengan skrin bulat pada konsol tengah.

 

Dongfeng 008

SUV ini lebih dikenali sebagai Dongfeng eπ 008 (sebut: Yipai 008) di pasaran China.

Ia merupakan sebuah SUV saiz pertengahan yang ditawarkan sebagai EV dan juga EREV yang mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 1,200 km.

Unit yang dipamerkan ini merupakan versi EV yang dipacu motor elektrik 270 hp/320 Nm dan boleh dipandu sejauh 636 km.

Dimensi ukuran sepanjang 5,002 mm, lebar 1,972 mm, tinggi 1,732 mm dan jarak antara roda melebihi 3 meter (3,025 mm).

Tidak seperti kebanyakan kereta mewah China, Dongfeng 008 membawakan imej yang lebih kemas di bahagian luar.

Ruang kabinnya luas, menempatkan tempat duduk kapten baris kedua, meja boleh lipat, serta kemudahan seperti peti sejuk terbina.

Voyah Dream

Tidak cukup dengan pilihan MPV mewah di pasaran, boleh cuba lihat Voyah Dream yang dipamerkan ini.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,315 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,810 mm dengan jarak antara roda 3,200 mm.

MPV ini tersedia dalam versi EV yang dipacu dua motor elektrik 543 hp, pek bateri 108.7 kWh dan jarak pandu sehingga 700 km (data CLTC).

Versi yang dipamerkan ini pula dipacu oleh sistem plug-in hybrid (PHEV) terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo dan menawarkan jarak pandu sehingga 1,500 km.

Reka bentuk luar Voyah Dream meletakkannya sebaris dengan MPV mewah yang ada di pasaran.

Ruang kabin pula menawarkan konfigurasi tujuh tempat duduk, dengan fokus utama tertumpu pada baris kedua yang menyediakan kerusi kapten lengkap dengan skrin kawalan peribadi.

Ciri lain termasuklah skrin paparan siling untuk penumpang belakang serta peti sejuk.

Bakal masuk Malaysia?

Buat masa ini, pihak Dongfeng Malaysia masih belum membuat sebarang keputusan untuk membawa masuk ketiga-tiga model ini kelak.

Apa yang jelas, ia menunjukkan keberanian Dongfeng Malaysia untuk menaikkan tanda aras produknya ke satu tahap yang lebih tinggi.

 

Lego bina replika Koenigsegg Sadair’s Spear bersaiz sebenar, capai 111 km/j di Goodwood

Model Lego Technic lazimnya dibina untuk dijadikan koleksi atau dipamerkan di rak, namun kerjasama terbaharu antara Lego dan Koenigsegg membuktikan ia mampu menawarkan lebih daripada itu.

Bagi meraikan pelancaran set Lego Technic Koenigsegg Sadair’s Spear yang baharu, kedua-dua jenama itu menghasilkan sebuah replika bersaiz sebenar yang bukan sahaja dibina menggunakan blok Lego, malah boleh dipandu.

Catat rekod kelajuan baharu

Replika itu diuji di laluan mendaki di Goodwood, UK, dengan pemandu ujian rasmi Koenigsegg, Markus Lundh, mengendalikan jentera tersebut.

Lundh, yang sebelum ini mencipta rekod di laluan sama menggunakan Sadair’s Spear sebenar, berjaya memacu versi Lego itu sehingga 111 km/j, sekali gus memecahkan rekod terdahulu iaitu 50 km/j yang dipegang oleh McLaren P1 Lego.

Dibina daripada hampir 328,000 blok Lego

Replika berkenaan dibina menggunakan 327,906 blok Lego dan mempunyai berat hampir 1.8 tan, dengan kira-kira 400 kg daripadanya disumbangkan oleh mainan tersebut. Menurut Lego, keseluruhan proses mereka bentuk dan membina model ini mengambil masa lebih 9,400 jam.

Walaupun diperbuat daripada blok plastik, ia masih dilengkapi fungsi Ghost Mode seperti yang ada pada model sebenar. Dengan hanya satu sentuhan butang, pintu, bonet hadapan dan cermin sisi akan beroperasi serentak.

Replika yang mencipta rekod ini akan membuat penampilan sulung kepada orang ramai pada Goodwood Festival of Speed 2026 sebelum memulakan jelajah promosi ke beberapa negara.

Set Lego Technic baharu

Selain replika bersaiz penuh itu, Lego Technic turut memperkenalkan model Koenigsegg Sadair’s Spear berskala 1:8 sebagai model terbaharu dalam siri Ultimate Car Concept.

Set yang mengandungi 4,104 keping ini menampilkan enjin V8, transmisi sequential sembilan-kelajuan yang dikendalikan menerusi paddle shifter pada stereng, suspensi Triplex, fungsi Ghost Mode serta panel bumbung yang boleh ditanggalkan.

Lego memaklumkan pembangunan set ini mengambil masa sekitar 18 bulan, termasuk penghasilan pelbagai komponen baharu khusus untuk model tersebut.

Set ini akan ditawarkan kepada ahli Lego Insiders bermula 1 Julai 2026 sebelum jualan umum dibuka pada 4 Julai di Eropah pada harga 449.99 euro (RM2,130). Pembeli terawal turut akan menerima model stereng Sadair’s Spear secara percuma, selagi stok masih ada.

Porsche Taycan 2027 kini hadir dengan fungsi E-Shift & Electric Sound Sport

Kebanyakan kereta elektrik dibekalkan dengan transmisi kelajuan tunggal, namun secara standard Porsche Taycan dilengkapi dengan kotak gear dua-kelajuan.

Cuma kebanyakan masa penukaran gear tersebut dilakukan secara automatik, dan pemandu tidak ‘dibenarkan’ untuk menikmati penukaran gear tersebut secara manual.

Menerusi kemas kini untuk model Taycan tahun 2027, pemandu boleh menikmati satu fungsi baharu yang dinamakan sebagai E-Shift.

Penukaran gear maya

Fungsi E-Shift baharu ini akan menawarkan simulasi penukaran gear 8 nisbah kelajuan maya yang boleh dinikmati oleh pemandu.

Menariknya, ia boleh digunakan dalam mod automatik dan mod manual di mana pemandu boleh melakukan penukaran gear menggunakan paddle shifter di sebalik roda stereng.

Dalam mod penukaran gear manual, pemandu boleh merasai perkara berikut:

  • kesan penukaran gear seperti kereta konvensional
  • simulasi drag torque spesifik seperti kesan brek enjin
  • pengehad putaran maya
  • runut bunyi Porsche Electric Sport yang akan berubah bergantung kepada kelajuan dan beban
  • paparan rpm maya dan indikasi penukaran gear pada kluster instrumen

Di sebalik kemas kini tersebut, kotak gear asal masih lagi mengekalkan nisbah dua-kelajuan.

Ciri baharu ini ditawarkan secara standard untuk varian Turbo GT, dan pilihan untuk varian Taycan yang lain.

Jarak gerak cecah 700 km

Porsche turut menawarkan tayar musim panas dengan ciri rintangan golekan rendah untuk model pacuan roda belakang (sedan dan Sport Turismo).

Tayar baharu ini menawarkan jarak pandu ekstra sebanyak 20 km, dan boleh mencecah sehingga 700 km (data WLTP) dengan gandingan pakej Performance Battery Plus.

Sistem infohibur lebih berkuasa

Porsche Taycan turut menampilkan sistem pengurusan komunikasi (PCM) yang menawarkan kuasa perkomputeran lima kali lebih berkuasa berbanding sistem terdahulu.

Segala fungsi dan kawalan kenderaan kini dihimpunkan dalam satu tempat yang diwakili oleh model 3D Taycan mengikut warna badan kereta.

Sama seperti peranti pintar, terdapat pilihan widget yang boleh dipaparkan dalam skrin penuh atau paparan terpisah.

Antara ciri lain termasuklah:

  • arahan suara berasaskan kepintaran buatan (AI)
  • sokongan carian Google
  • kemas kini over-the-air (OTA)
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 25W (1.5 kali lebih pantas)

Manthey Kit pertama kali untuk Taycan

 

Buat pertama kalinya, pakej Manthey Kit yang ditawarkan untuk pelbagai model GT kini ditawarkan untuk Porsche Taycan.

Pakej ini merangkumi padanan kit aerodinamik menyeluruh, talaan casis dan unit pacuan yang dioptimasikan untuk peningkatan prestasi.

Dengan padanan kit Manthey ini, Porsche Taycan Turbo GT dengan Weissach Package berjaya merekodkan masa 6:55.533 minit di Litar Nordschleife Nurburgring dalam kategori sedan elektrik eksekutif.

Manthey Kit ini boleh didapati dalam kit retrofit dan buat pertama kalinya terus dari kilang.

Manthey Kit

Nissan Kicks 2026 rasmi masuk pasaran Jepun, sistem e-Power dan e-4ORCE!

Nissan Kicks telah pun rasmi memasuki pasaran Jepun, menampilkan sistem e-Power generasi ketiga dan pilihan sistem pacuan semua roda e-4ORCE.

Untuk info, Kicks pasaran Jepun ini merupakan model generasi kedua yang lebih mirip kepada Kicks yang ditawarkan di Amerika Syarikat.

Ia berbeza sama sekali dengan unit generasi pertama yang ada di Malaysia yang merupakan facelift pertama dan versi facelift kedua yang baru beberapa bulan dilancarkan di Thailand.

Di Jepun, Nissan Kicks e-Power dijual pada harga bermula dari 2,999,700 yen (RM76,774) untuk versi 2WD hingga 4,248,200 yen (RM108,728) untuk varian e-4ORCE yang paling premium.

Sistem e-Power & e-4ORCE

Nissan Kicks untuk pasaran Jepun hanya ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa e-Power yang menggandingkan lima komponen utama:

  • motor elektrik
  • unit penjana
  • unit penyongsang
  • unit pengecil
  • unit peningkat

Versi FWD dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa 141 hp, sementara varian e-4ORCE pula mendapat tambahan motor elektrik pada gandar belakang (67 hp).

Enjin 1.4 liter HR14DDe (97 hp/123 Nm) pula hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk kegunaan motor eletrik dan mengecas bateri.

Nissan mendakwa tetapan baharu ini 10 peratus lebih cekap tenaga berbanding sistem terdahulu.

Kelengkapan luar & dalam

Seperti yang disebutkan tadi, penampilan Kicks pasaran Jepun ini berbeza dengan apa yang kita ada.

Ia lebih mirip kepada model pasaran Amerika dengan struktur jeriji yang lebih lebar, lampu utama lebih nipis dan lampu nyalaan siang DRL bertindih.

Bahagian belakang pula menampilkan perumah lampu berbentuk L dengan grafik bertindih yang sama seperti unit DRL.

Ruang kabin pula menempatkan skrin paparan berkembar 12.3 inci, panel kawalan iklim, butang PRND pada konsol tengah, tempat duduk Zero Gravity, serta pilihan upholsteri kulit sintetik atau fabrik.

Ciri keselamatan Pro-Pilot merangkumi beberapa fungsi penting termasuklah:

  • Paparan Keliling Pintar
  • Brek Kecemasan Pintar (IEB)
  • Sistem Sokongan Pengelakan Pelanggaran Belakang Pintar (IBSI)
  • Amaran Pengesanan  Kenderaan (BSW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

Nissan Kicks Rock Creek

Ini pula varian Kicks yang lebih lasak dibangunkan oleh Nissan Motorsports & Customize (NMC).

Ia hadir dengan penampilan tersendiri, disumbangkan oleh kemasan perak pada jeriji, kemasan hitam pada bampar hadapan, aksen Lava Red, skid plate aluminium dan rim aloi lima-jejari.

Ruang kabin pula menampilkan upholsteri kalis air, serta kemasan jahitan Lava Red.

Nissan Kicks Rock Creek

Bos besar mahu Mitsubishi bangkit dan mampu hasilkan model hebat macam Lancer Evo

Bulan lalu, Mitsubishi menggemparkan dunia dengan perancangan untuk menghidupkan kembali nama ikonik Pajero.

Perkara tersebut ternyata diterima positif oleh kebanyakan pihak yang mahu melihat jenama Mitsubishi kembali bangkit.

Selepas Pajero, tiba giliran Lancer Evo?

Dalam mesyuarat agung tahunan yang ke-57 berlangsung baru-baru ini, terdapat juga pihak mengusulkan supaya Mitsubishi menghidupkan nama-nama lain seperti Lancer Evolution, Diamante dan Galant.

Menurut Keisuke Kishiura, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Mitsubishi Motors Corporation menjelaskan ketiga-tiga model tersebut merupakan kereta penting buat Mitsubishi Motors.

“Kami menganggap (Lancer Evolution, Diamante dan Galant) sebagai khazanah.”

“Pada ketika ini, kami tidak mempunyai pelan kukuh untuk kembali memperkenalkan model tersebut, namun kami mahu menjadikan syarikat kami berkeupayaan untuk menghasilkan semula kereta hebat seperti itu pada masa akan datang.

Mitsubishi sertai WRC semula?

Antara soalan panas yang turut ditanya ialah perancangan Mitsubishi untuk kembali menyertai Kejohanan Rali Sedunia (WRC) sebagai pasukan pengilang.

Untuk makluman, Mitsubishi merupakan antara nama-nama besar yang pernah menguasai pentas rali dunia sebelum menarik diri secara rasmi pada tahun 2005.

Menurut Kishiura, salah satu impiannya adalah menyertai semula WRC sebagai pasukan pengilang.

“Seperti yang saya telah sebutkan, tiada sebarang perancangan kukuh buat masa ini, namun saya mahu menjadikan Mitsubishi Motors sebuah syarikat yang dapat menyertai acara besar seperti WRC pada masa depan.

Lancer Turbo kereta kegemaran Presiden

Kishiura turut mendedahkan kereta pertama yang dipandunya ketika bergelar penuntut ialah sebuah Lancer Turbo.

“Secara peribadi, saya suka memandu. Kereta pertama yang saya pandu ketika belajar bukanlah sebuah Lancer Evolution, tetapi sebuah Lancer Turbo yang usang, sebuah kereta manual dengan stereng berat.

“Ia sebuah kereta pacuan roda belakang, tapi saya gemar memandunya ke resort ski. Saya masih lagi suka memandu kereta.”

Yamaha 135LC edisi ulang tahun ke-20 diperkenalkan, terhad 5000 unit, harga RM8,798

Hong Leong Yamaha Motor memperkenalkan model Yamaha 135LC edisi ulang tahun ke-20 untuk pasaran Malaysia.

Ia hanya ditawarkan sebanyak 5,000 unit terhad, lengkap dengan visor, bakul yang diberikan nombor siri khas dan hadir dalam warna Celeste 20th Anniversary Limited Edition.

Harga jualan bermula dari RM8,798.

Selain itu, tiga warna menarik turut ditawarkan iaitu Matador Red, Tank White, dan juga Samba Green, setiap satu berharga RM8,298.

Spesifikasi

Yamaha 135LC dilengkapi enjin 135 cc sejukan cecair yang mampu menjana kuasa 12.5 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 12.2 Nm @ 6,000 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi 4-kelajuan dan sistem pacuan akhir rantai.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan tetapan cakera bagi kedua-dua roda.

Tangki bahan api adalah sebesar 4.6 liter sementara tinggi pelana pula 775 mm.

Model 135LC ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 2006 sebagai model pertama dalam kelasnya yang dilengkapi dengan enjin penyejukan cecair.

BYD Atto 3 2026 terima lebih 1,000 tempahan dalam 10 hari

BYD Sime Motors mengumumkan BYD Atto 3 2026 telah menerima lebih 1,000 tempahan dalam tempoh 10 hari selepas pelancaran rasmi.

Pencapaian ini mengulangi sejarah tahun 2022 ketika model Atto 3 pertama kali masuk pasaran Malaysia dan mencapai angka tempahan yang sama dalam tempoh yang serupa.

Untuk meraikan pencapaian tersebut, BYD Sime Motors mengadakan satu majlis ringkas di pusat pameran BYD Bandar Utama baru-baru ini dan dalam masa yang sama meraikan pelanggan yang ke-1,000.

Dengan pencapaian terbaharu ini, ia terus mengukuhkan rekod Atto 3 sebagai EV yang paling laris dengan 12,000 unit telah diserahkan setakat ini.

BYD Atto 3 2026 diperkenalkan di Sime Motors MotorExpo tempoh hari.

Antara yang mencuri tumpuan ialah pengenalan varian baharu Premium dengan motor elektrik pacuan roda belakang.

Varian tersebut boleh memecut sepantas 5.5 saat dari 0-100 km/j, menyokong pengecasan pantas DC sehingga 220 kW dan mampu mencapai jarak gerak sehingga 600 km.

KLIMS2026: Suzuki Malaysia pamer jentera sport touring SV-7GX & Hayabusa Special Edition

Suzuki Malaysia mengambil kesempatan dengan mempamerkan jentera sport touring terbaharunya SV-7GX yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Terdapat dua pilihan warna iaitu Pearl Brilliant White/Metallic Triton Blue serta Pearl Mat Greige.

Spesifikasi

Jentera ini dipacu enjin 2-silinder 645 cc yang sama digunakan pada model SV650 dan V-Strom 650.

Ia berupaya menghasilkan kuasa 72 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 64 Nm @ 6,800 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi 6-kelajuan dan fungsi penukaran gear pantas dua-arah.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik diikuti penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban di belakang.

Antara ciri lain termasuklah:

  • rim 17 inci
  • skrin paparan TFT warna penuh
  • unit lampu LED
  • skrin penghadang angin boleh laras
  • Suzuki Intelligent Ride System (SIRS)
  • tangki minyak 17.4 liter
  • tinggi pelana 795 mm

Suzuki Hayabusa Special Edition

Turut dipamerkan ialah Suzuki Hayabusa Special Edition yang telah membuat kemunculan di peringkat global tahun lalu.

Versi ini hadir dengan ciri eksklusif seperti:

  • skema warna Pearl Vigor Blue
  • tulisan kanji Hayabusa pada fairing sisi
  • lencana edisi istimewa pada tangki bahan api

Jentera ini kekal dengan spesifikasi sedia ada, dengan enjin 4-silinder 1,340 cc menghasilkan 187 hp dan 150 Nm.

KLIMS2026: Wuling Huajing S buat kemunculan pertama di luar China

Sebuah lagi model menarik yang dipamerkan di reruai TQ Wuling ialah SUV mewah Huajing S.

Ia merupakan sebuah SUV dengan konfigurasi enam tempat duduk dan hadir dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV).

Spesifikasi

Huajing S merupakan kenderaan pertama yang dibangunkan oleh SAIC-GM-Wuling dengan Huawei Qiankun.

Sistem PHEV pada SUV ini terdiri daripada:

  • enjin 1.5L turbo (141 hp)
  • motor elektrik
  • pilihan pek bateri LFP 31 kWh atau 41.9 kWh

Kuasa keseluruhan mencecah 518 hp dan daya kilas 620 Nm.

Bergantung kepada pilihan pek bateri, SUV ini boleh bergerak dalam mod sifar emisi sejauh 175 km mengikut data WLTC.

Dimensi & casis

Huajing S membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,235 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,800 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,105 mm.

Unit yang dipamerkan ini dipadankan dengan rim bersaiz 21 inci dengan balutan tayar Michelin 265/45R21.

Casis SUV ini ditampung oleh tetapan suspensi double wishbone di depan diikuti multi-link di belakang yang dibantu dengan peredam kawalan elektronik.

Kelengkapan

Di bahagian luar, Huajing S dilengkapi dengan unit lampu LED, lampu nyalaan siang grafik kilat serta struktur jeriji tertutup.

Rekaan lampu belakang juga membawakan grafik kilat yang serupa pada muka depan.

Untuk ruang kabin, terdapat ciri seperti:

  • skrin kluster digital 8.8 inci
  • skrin infohibur 15.6 inci
  • sistem operasi HarmonySpace 5
  • roda stereng kemasan dua tona
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • fungsi ventilasi, pemanas dan urut untuk dua baris pertama
  • tempat duduk kapten baris kedua
  • skrin baris kedua 15.6 inci boleh disimpan
  • peti sejuk

 

Ruang kargo pula mampu mencapai kapasiti sehingga 1,268 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat.

Ia juga turut hadir dengan kelengkapan teknologi pemanduan pintar Huawei Qiankun yang dibantu dengan sistem LiDAR.

Bakal masuk Malaysia?

Buat masa ini, pihak TQ Wuling tidak mengumumkan sebarang perancangan untuk membawa masuk SUV Huajing ini ke pasaran Malaysia.

ZXMOTO menang lagi! Valentin Debise juara di WorldSSP Misano 2026

Hujung minggu yang positif buat pasukan ZXMOTO Evan Bros Factory di Misano World Circuit Marco Simoncelli, Itali apabila Valentin Debise menghadiahkan kemenangan dalam Perlumbaan 1.

Beliau kemudiannya menambah kutipan mata penting menerusi kedudukan kesembilan dalam Perlumbaan 2.

Sementara itu, rakan sepasukan Federico Caricasulo turut menyumbang mata kejuaraan selepas bangkit daripada kelompok belakang untuk menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kesembilan.

Beliau berdepan perlumbaan yang lebih mencabar pada hari berikutnya.

Kejayaan di Misano menyaksikan Debise terus mengukuhkan kedudukan sebagai pencabar utama kejuaraan WorldSSP 2026 apabila kekal di tangga kedua keseluruhan di belakang Albert Arenas.

Terdahulu di Most, Republik Czech beliau menjuarai kedua-dua perlumbaan.

Perlumbaan 1: Debise tewaskan Arenas dalam pertarungan pusingan terakhir

Valentin Debise memulakan Perlumbaan 1 dari petak ketiga dan dengan pantas meletakkan dirinya dalam kelompok hadapan.

Can Oncu yang menunggang Yamaha YZF-R9 mendahului perlumbaan menuju Selekoh 1, diikuti Debise dan Albert Arenas yang kemudiannya berjaya memisahkan diri pada peringkat awal perlumbaan.

Debise naik ke kedudukan kedua pada pusingan kelima sebelum mengambil alih kedudukan pendahulu dengan baki 13 pusingan perlumbaan.

Arenas kemudiannya memintas semula untuk mendahului perlumbaan ketika berbaki 11 pusingan.

Menjelang pusingan kesembilan, pertarungan merebut kemenangan hanya melibatkan Debise dan Arenas selepas Oncu mula kehilangan rentak.

Aksi sebenar tercetus pada pusingan terakhir apabila Debise melakukan serangan berani di selekoh pantas Curvone (Selekoh 11) untuk memintas Arenas.

Pelumba Sepanyol itu cuba membalas di Selekoh 16, namun Debise berjaya melakukan potongan balas sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang.

Debise meraih kemenangan dengan kelebihan hanya 0.107 saat di hadapan Arenas. Beliau juga berjaya mencatatkan masa pusingan terpantas.

Kemenangan tersebut merupakan kemenangan keenam Debise musim 2026, selain menjadi kemenangan kelapan kerjayanya dalam WorldSSP.

Ia juga merupakan kemenangan keenam buat ZXMOTO dalam musim sulung pengeluar itu di kejuaraan WorldSSP.

Bagi Federico Caricasulo pula, beliau memulakan perlumbaan dari petak ke-13.

Pelumba Itali itu kehilangan masa akibat trafik pada pusingan awal dan berada di luar kelompok 10 terbaik untuk sebahagian besar perlumbaan.

Bagaimanapun, Caricasulo berjaya berjaya memasuki kelompok 10 terbaik pada pusingan ke-14 sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan untuk mengutip mata berharga.

Keputusan 6 Teratas Perlumbaan 1 Misano

  1. Valentin Debise (ZXMOTO)
  2. Albert Arenas (Yamaha): +0.107s
  3. Can Oncu (Yamaha): +5.049s
  4. Tom Booth-Amos (Triumph): +5.934s
  5. Alessandro Zaccone (Ducati): +7.607s
  6. Mattia Casadei (Ducati): +10.450s

Pusingan Terpantas: Valentin Debise (ZXMOTO) – 1’37.216s

Perlumbaan 2: Debise bermula dari petak pertama, penalti jatuhkan ke P9

Berdasarkan sembilan catatan pusingan terpantas dalam Perlumbaan 1, Debise memperoleh kelebihan memulakan Perlumbaan 2 dari petak pertama.

Beliau dan Arenas mendahului perlumbaan menuju selekoh pertama, namun Aldi Mahendra yang menunggang Yamaha YZF-R9 berjaya memintas Debise sebelum tamat pusingan pembukaan.

Debise kemudiannya bergelut untuk mengekalkan rentak kelompok hadapan apabila Mahendra dan Arenas mula membuka jurang di depan.

Tom Booth-Amos yang menunggang Triumph Street Triple 765 RS menjadi pelumba pertama memintas Debise pada pusingan keempat.

Namun pelumba Perancis itu kehilangan beberapa kedudukan pada bahagian akhir perlumbaan.

Debise sebenarnya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, namun dikenakan penalti satu kedudukan oleh Steward FIM WorldSBK selepas didapati melebihi had litar.

Keputusan rasmi menyaksikan beliau diklasifikasikan di tempat kesembilan.

Sementara itu, Arenas tampil dominan apabila mendahului setiap pusingan perlumbaan untuk meraih kemenangan ketiga musim ini.

Bagi Caricasulo, perlumbaan kedua berlangsung jauh lebih sukar berbanding aksi yang dipamerkannya sehari sebelumnya.

Menurut laporan pasukan, pelumba Itali itu berdepan beberapa kesukaran sepanjang perlumbaan dan gagal menemui rentak terbaiknya, sekali gus tidak dapat mengulangi keputusan positif dalam Perlumbaan 1.

Keputusan 6 Teratas Perlumbaan 2 Misano

  1. Albert Arenas (Yamaha)
  2. Tom Booth-Amos (Triumph): +1.976s
  3. Aldi Mahendra (Yamaha): +3.160s
  4. Jaume Masia (Ducati): +5.167s
  5. Jeremy Alcoba (Kawasaki): +8.513s
  6. Mattia Casadei (Ducati): +8.559s

Pusingan Terpantas: Aldi Mahendra (Yamaha) – 1’37.518s

Kedudukan Kejuaraan WorldSSP 2026 (Selepas Misano)

Ranking Pelumba

  1. Albert Arenas (AS BLU CRU Racing Team): 251 mata
  2. Valentin Debise (ZXMOTO Evan Bros Factory): 195 mata
  3. Jaume Masia (Orelac Racing Verdnatura): 179 mata
  4. Can Oncu (Pata Yamaha Ten Kate Racing): 159 mata
  5. Philipp Oettl (Feel Racing WorldSSP Team): 122 mata
  6. Tom Booth-Amos (PTR Triumph Factory Racing): 115 mata

Valentin Debise kini kekal di tangga kedua keseluruhan dengan 195 mata, ketinggalan 56 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Albert Arenas.

Kredit berita dan gambar:

  • Evan Bros Racing
  • ZXMOTO
  • WorldSBK

KLIMS2026: TQ Wuling Porta EV debut, tawar jarak pandu sehingga 400 km

Reruai TQ Wuling tampil agak unik dengan kehadiran van panel kegunaan komersial yang digelar sebagai Porta EV.

Di pasaran China, van ini lebih dikenali sebagai Wuling Yangguang.

Model ini dibangunkan khusus untuk memenuhi permintaan terhadap mobiliti elektrik komersial yang semakin meningkat.

Ia sesuai untuk operasi logistik bandar, pengendali armada, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perkhidmatan penghantaran perbatuan terakhir.

Spesifikasi

Porta EV merupakan van kegunaan logistik berkuasa elektrik sepenuhnya yang menawarkan ruang kargo sehingga 6,500 liter.

Ia hadir dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang, kuasa dihasilkan boleh mencecah 101 hp dan 180 Nm.

Terdapat beberapa pilihan kapasiti pek bateri ditawarkan di pasaran China, dengan jarak pandu boleh mencapai 400 km untuk sekali cas penuh.

Unit yang dipamerkan di acara KLIMS 2026 mempunyai ciri berikut:

  • lampu LED
  • rim saiz 15 inci dengan penutup penuh
  • pintu gelangsar kiri dan kanan
  • kluster meter analog
  • brek tangan fizikal

Difahamkan, van panel Porta EV ini bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Perodua turunkan harga QV-E, kini bermula dari RM63,449

Perodua telah menyemak semula harga jualan bagi SUV elektrik QV-E.

Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin dalam satu siaran media baru-baru ini.

Harga tempoh terhad

Untuk tempoh terhad sehingga 30 September 2026, QV-E ditawarkan pada harga RM87,499 untuk pemilikan penuh.

Menerusi pakej Battery as a Service (BAAS), harga jualan QV-E bermula dari RM63,449 dengan bayaran bulanan tambahan RM215 selama 9 tahun.

Selepas tempoh tersebut, Perodua QV-E ditawarkan pada harga RM93,999 untuk pemilikan penuh, atau RM69,999 untuk pakej BAAS.

Pakej BAAS merupakan pakej komprehensif merangkumi perlindungan untuk bateri, penghapusan dan penggantian serta insurans bateri sepanjang tempoh sewaan 9 tahun.

Ia direka untuk memberikan ketenangan kepada pelanggan, di mana Perodua akan menguruskan sepenuhnya bateri EV sepanjang tempoh tersebut.

Dato’ Sri Zainal menambah, Perodua juga menawarkan pembelian semula bateri apabila komponen tersebut sudah tiba masanya untuk dilupuskan.

Pulangan wang semula untuk pelanggan sedia ada

Pelanggan QV-E sedia ada akan mendapat pulangan wang khas selaras dengan pengumuman terbaharu ini.

Penasihat jualan Perodua akan menghubungi pelanggan secepat mungkin di mana mereka bakal menikmati pengurangan komitmen bulanan daripada RM275 sebelum ini.

Bayaran baharu ini akan berkuatkuasa untuk tempoh pembayaran seterusnya.

Tingkat produksi kepada lebih 500 unit/bulan

Perodua bersama-sama ekosistem automotifnya telah melakukan perubahan dalam kandungan tempatan pada model QV-E.

“Perodua dan vendor-vendor tempatan telah berjaya mengeluarkan komponen alat ganti dalam jumlah yang signifikan.

“Ini bermakna, kami boleh terus melindungi pekerjaan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi dan bekalan rantaian asing,” kata Dato’ Sri Zainal.

“Perkembangan ini penting kerana kami kini boleh menyimpan inventori komponen alat ganti yang lebih besar – terutama bahagian badan kenderaan – untuk memastikan pelanggan boleh bergantung kepada alat ganti yang sudah tersedia di peringkat domestik.

“Peningkatan dalam kandungan tempatan itu membolehkan kami mengoptimumkan operasi dan kami kini mahu berkongsi manfaat tersebut dengan pelanggan yang dihargai,” ujarnya lagi.

Nissan Elgrand e-POWER 2026 dibawa ke Hong Kong, lokasi pertama luar Jepun!

Nissan memilih Hong Kong sebagai lokasi pertama di luar Jepun untuk mempamerkan Elgrand e-POWER 2026 serba baharu.

MPV mewah andalah itu dijadualkan dilancarkan di Jepun pada musim panas tahun ini (Jun hingga Ogos).

Pameran tersebut merupakan kemunculan pertama Elgrand generasi keempat di luar pasaran Jepun.

Menurut Nissan, pemilihan Hong Kong menunjukkan kepentingan pasaran tersebut kepada jenama itu serta keyakinan berterusan terhadap permintaan tempatan.

Elgrand diperkenalkan buat kali pertama pada 1997 dan dianggap sebagai perintis dalam segmen MPV premium Jepun menerusi gabungan ruang kabin luas, kemewahan dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

Hong Kong Jadi Lokasi Pertama Luar Jepun

Ketua Pakar Produk Nissan, Toshiyuki Nakamura berkata Elgrand e-POWER baharu mewakili pengalaman dan kepakaran Nissan dalam segmen MPV mewah.

Menurut beliau, model itu juga menjadi satu lagi langkah penting Nissan ke arah mobiliti premium yang lebih elektrik.

Tambah beliau lagi, pelanggan Jepun menghargai ruang kabin luas, konfigurasi tiga baris tempat duduk dan kemudahan pintu gelangsar.

Nissan turut mendapati keperluan serta citarasa pelanggan di Hong Kong mempunyai banyak persamaan dengan pasaran Jepun.

Sementara itu, Pengurus Besar Honest Motors Ltd., Ray Cheung berkata Elgrand telah lama dikenali sebagai antara perintis MPV mewah bersaiz besar dari Jepun.

Beliau menambah, model tersebut telah mencatat jualan terkumpul melebihi 5,000 unit di Hong Kong dan menjadi pilihan dalam kalangan eksekutif korporat serta selebriti.

Rangkaian Kuasa e-POWER Generasi Ketiga

Elgrand e-POWER menggunakan sistem e-POWER generasi ketiga yang dibangunkan untuk meningkatkan prestasi dalam pelbagai aspek.

Sistem itu menggabungkan enjin 1.5 liter yang dibangunkan khusus untuk e-POWER generasi ketiga dan motor elektrik sebagai sumber pemanduan sepenuhnya.

Seperti teknologi e-POWER Nissan yang lain, roda digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik, manakala enjin petrol berfungsi sebagai penjana tenaga elektrik untuk bateri dan motor.

Konfigurasi tersebut memberikan tindak balas pecutan segera seperti sebuah kenderaan elektrik tanpa memerlukan pengecasan luaran, selain menghapuskan kebimbangan mengenai jarak perjalanan.

Menurut Nissan, rangkaian kuasa itu mampu menghasilkan lebih daripada 500Nm tork berdasarkan ujian dalaman syarikat. Ia juga menawarkan tindak balas pecutan yang segera, linear dan responsif.

Enjin khas itu direka untuk beroperasi pada suhu yang lebih rendah ketika berfungsi sebagai penjana kuasa.

Ia turut menggunakan teknologi Strong Tumble and Appropriately Stretched Robust Ignition Channel (STARC) milik Nissan untuk meningkatkan kecekapan kemasukan udara dan pencucuhan dalam silinder.

Teknologi tersebut membantu meningkatkan kestabilan pembakaran serta mengurangkan kehilangan tenaga.

Reka Bentuk 5-dalam-1 Baharu

Sistem e-POWER generasi ketiga menggunakan reka bentuk 5-dalam-1 yang menggabungkan lima komponen utama dalam satu modul lebih padat.

Komponen tersebut terdiri daripada:

  • Motor elektrik
  • Inverter
  • Reducer
  • Generator
  • Increaser

Menurut Nissan, integrasi tersebut membolehkan saiz dan berat modul dikurangkan. Pada masa sama, lebih banyak ruang dapat disediakan untuk kabin dan ruang kargo.

Sistem itu juga menyumbang kepada suasana pemanduan yang sangat senyap, hampir setanding sebuah kenderaan elektrik flagship.

Sistem Pacuan Semua Roda e-4ORCE

Elgrand e-POWER baharu turut dilengkapi sistem pacuan semua roda elektronik e-4ORCE.

Teknologi itu menggunakan pengagihan tork yang tepat antara dua motor hadapan dan belakang bersama kawalan brek masa nyata.

Hasilnya, kestabilan dan cengkaman dapat dipertingkatkan dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Sistem tersebut boleh melakukan pelarasan segera berdasarkan keadaan permukaan jalan dan pergerakan kenderaan.

Selain meningkatkan kestabilan, e-4ORCE turut membantu mengurangkan olengan badan serta pergerakan mengangguk ketika memecut dan membrek.

Ketika mengambil selekoh atau memperlahankan kenderaan, sistem itu mengawal pergerakan badan dengan lebih tepat.

Menurut Nissan, teknologi tersebut membantu mengurangkan pergerakan hadapan dan belakang serta olengan sisi badan.

Keadaan itu mewujudkan suasana kabin yang lebih semula jadi dan selesa, terutama untuk penumpang barisan belakang.

Intelligent Dynamic Suspension Tingkatkan Keselesaan

Elgrand e-POWER turut menerima sistem Intelligent Dynamic Suspension atau IDS.

Sistem tersebut memantau keadaan jalan dan kedudukan kenderaan secara berterusan.

Berdasarkan input yang diterima, IDS akan melaras tindak balas redaman suspensi secara aktif bagi menyerap hentakan dan getaran jalan dengan lebih berkesan.

Sama ada ketika pemanduan bandar, perjalanan lebuh raya jarak jauh atau melalui jalan tidak rata, IDS membantu mengawal pergerakan menegak dan olengan badan dengan lebih tepat.

Teknologi itu meningkatkan keselesaan keseluruhan serta membantu mengurangkan keletihan penumpang.

Menurut Nissan, IDS turut menyumbang kepada pengalaman perjalanan yang lebih senyap dan premium khususnya untuk penumpang tempat duduk belakang.

Rekaan Gabungkan Estetika Jepun dan Teknologi Masa Depan

Dari segi rekaan, Elgrand e-POWER baharu menggabungkan estetika tradisional Jepun dengan teknologi masa depan.

Bahagian luaran menampilkan garisan yang ringkas tetapi tegap, dengan penerapan elemen Kumiko yang berasal daripada seni pertukangan tradisional Jepun.

Rekaan tersebut menampilkan bahasa visual futuristik menerusi penggunaan struktur geometri yang terperinci dan tersusun.

Susunan corak berlapis bersama permainan cahaya dan bayang pada permukaan badan menghasilkan kesan tiga dimensi yang berubah mengikut sudut pandangan.

Nissan turut menekankan penggunaan perincian yang menyerlahkan permainan cahaya, bayang dan kontras bahan bagi menonjolkan kualiti premium serta ketelitian pembuatannya.

Pelancaran Hong Kong Dijangka Akhir 2026

Harga Nissan Elgrand e-POWER 2026 untuk pasaran Hong Kong masih belum diumumkan dan dijangka dilancarkan secara rasmi menjelang penghujung tahun ini.

Sumber: Nissan

Nissan Elgrand e-POWER Jepun

Kia Carnival High Roof 2026 untuk Korea Selatan

Kia melancarkan varian terbaharu kenderaan rekreasi besar Carnival iaitu Kia Carnival High Roof 2026 untuk pasaran Korea Selatan.

Model sembilan tempat duduk dengan pilihan enjin 3.5 petrol dan 1.6 turbo hibrid dilancarkan terlebih dahulu.

Model tujuh tempat duduk dijadualkan menyusul untuk pelancaran pada separuh kedua tahun ini.

Kia Carnival High Roof 2026 dibina berasaskan model standard Carnival yang dipertingkat melalui bumbung tinggi bagi memberikan ruang kabin lebih luas.

Pengguna di Korea kini mempunyai lebih banyak pilihan pada titik harga berpatutan dalam masa yang sama masih menikmati kelebihan ruang luas varian Carnival High Limousine sedia ada.

Reka Bentuk Luaran dan Dalaman

Reka bentuk luaran menampilkan kemasan krom yang memberi penekanan kepada garisan melintang.

Bahagian belakang dilengkapi lampu brek pembantu jenis LED bersaiz besar.

Ciri ini menonjolkan imej premium sesuai dengan kelas kenderaan ini serta meningkatkan kebolehlihatan dari arah belakang.

Suasana ruang dalaman direka bagi mewujudkan atmosfera ruang rehat eksklusif dengan penggunaan suede.

Lampu membaca jenis LED turut dipasang pada bahagian belakang kabin untuk keselesaan sepanjang pemanduan.

Pilihan warna luaran merangkumi Aurora Black Pearl dan Snow White Pearl manakala warna kemasan ruang dalaman dipadankan dengan warna Cotton Beige.

Lebih Tinggi Daripada Biasa

Model bumbung tinggi ini menggunakan bumbung keluli serupa dengan model Carnival High Limousine sedia ada bagi memastikan ketahanan serta keselamatan yang cemerlang.

Ketinggian meningkat sebanyak 270 mm berbanding model standard Carnival bagi memberikan ruang kepala yang luas untuk penumpang barisan kedua dan ketiga.

Ruang tersebut mewujudkan persekitaran dalaman yang lebih selesa untuk kegunaan keluarga atau perniagaan.

Rangkaian Kuasa 3.5 V6, 1.6L Turbo Hibrid

Sistem rangkaian kuasa ditawarkan dalam dua pilihan enjin untuk pasaran Korea iaitu enjin 3.5 petrol dan 1.6 turbo hibrid bagi kedua dua varian Noblesse dan Signature.

Varian 3.5 petrol menggunakan unit enjin berkapasiti 3.5 liter V6 yang menghasilkan kuasa 294 ps dan tork 355Nm dan dipadan bersama kotak gear automatik 8-kelajuan.

Dari segi kecekapan bahan api, ia mencatatkan penggunaan 7.5 km/ℓ bagi pemanduan bandar dan 10.4 km/ℓ bagi lebuh raya.

Varian 1.6 turbo hibrid pula menggabungkan enjin 1.6 liter berkuasa 180 ps dan tork 265Nm bersama motor elektrik 54 kW dan tork 304Nm dengan padanan transmisi automatik 6-kelajuan.

Angka kecekapan bahan api mencatatkan 13.8 km/ℓ untuk pemanduan bandar, 12.1 km/ℓ untuk lebuh raya.

Harga

Varian 3.5 petrol Noblesse dijual pada harga 52.11 juta won (RM139,446), manakala varian tertinggi 3.5 petrol Signature pula ditawarkan pada harga 55.66 juta won (RM148,946).

Bagi pilihan rangkaian kuasa hibrid, varian 1.6 turbo hibrid Noblesse berharga 56.66 juta won (RM151,622.16).

Seterusnya, varian premium 1.6 turbo hibrid Signature pula dipasarkan pada harga 60.21 juta won (RM161,121.96).

Spesifikasi Kia Carnival High Roof 2026

  • 3.5 Petrol
    • 3,470 cc,
    • 294 ps@6,400 rpm, 355Nm@5,000 rpm
    • Transmisi automatik 8-kelajuan
  • 1.6 Turbo Hibrid:
    • 1,598 cc, 180 ps@5,500 rpm
    • Kuasa motor elektrik 54 kW,
    • Tork enjin 265Nm@1,500 – 4,500 rpm
    • Tork motor elektrik 304Nm
    • Transmisi automatik 6-kelajuan
  • Dimensi: Panjang 5,155 mm, Lebar 1,995 mm, Tinggi 2,045 mm (Petrol) dan 2,055 mm (Hibrid), Jarak roda 3,090 mm
  • Berat kosong: 2,155 kg (Petrol) dan 2,230 kg (Hibrid)

KLIMS2026: Hyundai Stargazer 2026 debut, tempahan dibuka, harga dari RM99,xxx

Hyundai Motor Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi model MPV yang dinanti-nantikan, iaitu Hyundai Stargazer.

Versi yang dipamerkan ini merupakan model facelift Stargazer Cartenz yang telah pun diperkenalkan di pasaran Indonesia pada tahun lalu.

Model ini dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi, dengan harga jualan seperti berikut:

  • Stargazer Style 7-tempat duduk – RM99,xxx
  • Prime 7-tempat duduk – RM109,xxx
  • X 6-tempat duduk – RM121,xxx

Spesifikasi enjin

MPV tiga baris tempat duduk ini dikuasakan oleh enjin 4-silinder 1.5 liter yang mampu menjana 113 hp @ 6,300 rpm dan 144 Nm @ 4,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi kotak gear IVT (Intelligent Variable Transmission).

Terdapat empat mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport dan Smart.

Dimensi

Stargazer membawakan ukuran sepanjang 4,575 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,695 mm dengan jarak antara roda 2,780 mm.

Varian X pula mempunyai ukuran dimensi sedikit panjang, iaitu sekitar 4,610 mm, lebar 1,820 mm, dan tinggi 1,740 mm.

Radius putaran adalah sekecil 5.4 meter.

Ruang kargo pula sebesar 185 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,892 liter.

Varian asas Stargazer dilengkapi dengan rim bersaiz 16 inci dan 17 inci untuk dua varian tertinggi.

Kelengkapan

Versi facelift menampilkan beberapa perubahan seperti reka bentuk lampu utama yang lebih berpetak, lampu DRL, jeriji yang direka semula, bampar depan dan belakang baharu, serta rekaan lampu belakang yang disemak semula.

Varian X mendapat kit badan yang lebih sporti.

Kelengkapan ruang kabin pula adalah berdasarkan varian seperti berikut:

Style 

  • skrin paparan LCD 4.2 inci
  • skrin infohibur 8-inci
  • sistem audio 4-pembesar suara
  • tempat duduk balutan fabrik

Prime (tambahan kepada ciri di atas)

  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 10.25 inci
  • upholsteri kombinasi fabrik dan leatherette
  • meja lipat baris kedua
  • brek parkir elektronik (EPB) dengan fungsi Auto Hold

X (tambahan kepada ciri di atas)

  • tempat duduk kapten baris kedua
  • upholsteri balutan leatherette

Keselamatan

Secara standard, Stargazer dilengkapi dengan dua beg udara, atau sehingga 6 beg udara untuk varian Prime dan X.

Hyundai Stargazer varian Prime dan X turut dilengkapi dengan pakej Hyundai SmartSense merangkumi 13 fungsi termasuklah:

  • Bantuan Suluhan Tinggi (HBA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Tumpuan Pemandu (DAW)
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (LVDA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA)
  • Bantuan Keluar Selamat (SEA)