fbpx

Berita dan perkembangan bikin kecoh sepanjang tahun 2023 – Bhg 2

story kecoh part 2

KITA kembali lagi ke bahagian kedua untuk kompilasi berita dan perkembangan yang bikin kecoh dalam industri automotif tempatan dan seantero dunia. Jika anda belum baca bahagian pertama, boleh ke sini.

Untuk bahagian kedua, jom kita teruskan dengan bulan Julai hingga Disember.

Julai

Bulan Julai dimulakan dengan pelancaran Chery Omoda 5, tetapi kenapa ia penting? Kerana SUV kompak ini ditawarkan pada harga menarik bermula RM108,800 dan paling menakjubkan, hadir dengan jaminan enjin 10 tahun.

Walaupun hanya untuk 3,000 pelanggan terawal, ia tetap yang pertama seumpamanya untuk pasaran Malaysia.

Seterusnya Perdana Menteri dijangka berjumpa dengan Elon Musk pada bulan yang sama, dan berita ini menarik minat ramai orang kerana pertemuan PMX dengan individu terkaya di dunia itu pastinya membawakan pelbagai potensi pelaburan yang positif untuk negara.

Satu lagi pelancaran menarik berlaku pada Julai 2023 ialah Volvo FM dan FH, yang menjadi trak besar heavy duty elektrik (EV) pertama memasuki pasaran kita.

Bercakap mengenai Tesla tadi, seterusnya berita penting ialah pelancaran Tesla Model Y yang menjadi model pertama selepas jenama itu masuk secara rasmi ke negara ini. Ia mencetuskan fenomena bukan sahaja kerana ia sudah lama dinantikan, tetapi harganya juga ‘menggugat’ pasaran recond yang menjual kereta itu.

Seterusnya sedikit berita agak hangat dimana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri berkata pengusaha bengkel perlu mempamerkan sijil mekanik-mekanik mereka.

Kemudian satu lagi perkembangan hangat apabila Malaysia disenaraikan sebagai salah satu negara dengan jalan raya paling bahaya di dunia, di tempat kelima. Anda setuju?

Ogos

Tular satu video dimana satu pasangan di United Kingdom (UK) membuat video parodi ASMR menggunakan Proton Saga. Kereta Proton, di luar negara, pemilik bukan warga Malaysia, satu resepi mudah untuk viral di negara ini, bukan?

Video itu merupakan parodi kepada trend ASMR Bentley yang popular di Tiktok dan Youtube.

Kemudian pada Ogos juga berlakunya satu tragedy menyayat hati yang menggemparkan negara, iaitu terhempasnya sebuah pesawat peribadi berdekatan Elmina, Shah Alam.

Sebanyak 10 orang dilaporkan terkorban dalam insiden pesawat yang berlepas dari Langkawi dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Subang. Dari 10 yang terkorban, lapan darinya adalah penumpang pesawat manakala dua lagi merupakan pengguna jalan raya.

September

Satu isu utama pada September ialah berkenaan acara RXZ Members yang diadakan di Kuala Terengganu yang menyaksikan pihak polis menjalankan operasi besar-besaran dan menahan ramai peserta.

Tetapi ada yang berpendapat acara sebegitu patut menjadi platform untuk pihak polis mendekati golongan belia, bukannya membuat ‘pukat’. Tetapi ada juga yang berkata sebagai penunggang motosikal, kita sepatutnya tahu undang-undang dan jika semua dipatuhi, tidak timbul isu akan ditahan.

Lagi berita mengenai penunggang motosikal, kali ini berkenaan video seorang penghantar makanan Foodpanda yang dilihat terpaksa berjalan kaki selepas motosikalnya disita JPJ.

Difahamkan motosikalnya disita kerana LKM (cukai jalan) padanya telah tamat tempoh dan tiada insurans, jika berlaku kemalangan, ianya pasti menyusahkan penunggang itu dan pengguna jalan raya yang lain.

Oktober

Seperti diketahui, EV masih bukan kenderaan paling mampu milik, jadi kerajaan mengatakan mereka  akan memastikan pemilikan kenderaan itu adalah tersedia untuk semua kumpulan berpendapatan menerusi subsidi bersasar dan bantuan kewangan.

Tetapi ini sekadar janji dan seperti biasa, kenyataan sebegini dipandang secara skeptikal oleh netizen Malaysia.

Seterusnya, netizen sedikit kecoh dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang memberi amaran keras terhadap mana-mana pegawai bawahannya yang masih bersekongkol dengan sindiket jenayah.

“Satu sarjan boleh pakai Alphard, VellfireMercedes. Perkara ini berlaku disebabkan tiada penyeliaan di bawah (peringkat kontinjen dan daerah) untuk memantau dan melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka,” katanya.

November

Pada November, kilang Mercedes-Benz di Malaysia merasmikan kenderaan ke-100,000 yang dipasang secara tempatan (CKD) di negara ini.

Ia juga satu pencapaian bermakna untuk industri pemasangan automotif Malaysia kerana menunjukkan tahap kemahiran pekerja tempatan. Unit ke-100,000 tersebut merupakan Mercedes EQS500 4Matic+ yang merupakan sebuah model EV.

Kemudian, satu detik baharu dalam industri pembinaan apabila Jalan Sungai Lalang (B19) di Hulu Langat menjadi projek jalan pertama di negara ini yang dicat menggunakan teknologi ‘glow in the dark’.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, projek perintis dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat itu membolehkan pemanduan menjadi lebih selamat dengan bantuan pantulan cahaya pada pembahagi jalan.

Akhir sekali, bulan November menyaksikan pelancaran Proton S70 yang merupakan sedan pertama serba baharu dari pengeluar kereta nasional itu setelah sekian lama. S70 juga menjadi sedan pertama hasil kerjasama Proton dengan Geely selepas pengenalan tiga SUV – X70, X50, dan X90.

Disember

Susulan dari jalan ‘glow in the dark’ di Hulu Langat, satu lagi projek serupa dilaksanakan di Padang Terap, Alor Setar. Projek sepanjang tiga kilometer itu merupakan yang terpanjang di Malaysia setakat ini.

Kemudian, menjelang cuti hujung tahun, industri automotif kecoh pula dengan isu keselamatan Daihatsu, kali ini lebih besar berbanding April lalu.

Panel penyiasat bebas telah menjalankan siasatan terhadap Daihatsu selepas pengeluar tersebut mengakui terdapat unsur penipuan terhadap ujian keselamatan kemalangan bagi 88,000 kereta kecil, kebanyakannya dijual dibawah Toyota.

Perodua mengeluarkan satu kenyataan balas bahawa mereka sedang melakukan penilaian terperinci mengenai isu tersebut dan sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia.

UMW Toyota Motor pula memberi jaminan kepada pelanggan dan orang ramai bahawa ia komited untuk meneruskan pengurusan dengan telus dan penuh bertanggungjawab.

Sekian coretan ringkas untuk 2023. Satu tahun yang menarik juga, ya. Jadi untuk 2024, apa pula yang anda harapkan? Kenderaan EV lebih mampu milik? Lebih banyak pelancaran kenderaan menarik?

Apa pun, Selamat Tahun Baharu 2024, selamat bercuti, dan jadilah pemandu yang cool di jalan raya!

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved