fbpx

Pengusaha bengkel perlu pamer senarai nama mekanik, sijil kemahiran – KPDN

bengkel-pexels-prabhakar-salave-8477256
Foto oleh: Prabhaka Salave/Pexels

PENGUSAHA bengkel kini perlu mempamerkan senarai nama mekanik dan kelayakan sijil kemahiran di tempat yang mudah dilihat oleh pengguna, lapor Bernama.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang berkata langkah ini bertujuan membolehkan pengguna mempunyai maklumat dalam memilih bengkel yang mempunyai mekanik berkelayakan.

Menurut beliau lagi, syarat itu adalah antara beberapa penambahbaikan yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Julai lepas.

Salahuddin berkata, langkah itu juga akan menggalakkan pengusaha bengkel mempersijilkan mekanik yang sedang bertugas atau menggajikan mekanik yang mempunyai sijil kemahiran.

Selain itu, pengusaha juga perlu menyatakan dengan jelas mengenai kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula.

“Ini bagi memastikan pengguna mengetahui jenis kategori alat ganti yang digunakan untuk pembaikan atau pengubahsuaian kenderaan mereka,” jelas beliau.

Untuk makluman anda, pindaan peraturan berkenaan telah diwartakan pada 22 Jun 2022 selepas beberapa siri libat urus dengan pihak industri dan sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai tahun sama.

Bagaimanapun, penguatkuasaannya ditangguhkan selama setahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan. Penguatkuasaan ke atas peraturan itu dibuat sepenuhnya bermula pada 1 Julai 2023.

“Tempoh penangguhan bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah tamat pada 30 Jun 2023 dan peraturan ini telah berkuat kuasa sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN di seluruh negara pada 1 Julai 2023.

“Sekiranya berlaku pelanggaran atas ketidakpatuhan kepada peraturan ini boleh dikenakan tindakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599),” katanya.

Apa pendapat anda tentang peraturan baru ini? Bagi penulis, langkah ini bagus dan sepatutnya dilaksanakan sejak dulu lagi kerana ia dapat melindungi hak pengguna yang inginkan perkhidmatan terbaik untuk kenderaan mereka.

Bahkan, dengan menggajikan mekanik-mekanik yang terlatih dan mempunyai sijil kemahiran, pengusaha bengkel juga dapat menarik lebih ramai pelanggan, sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved