Semua kiriman oleh Mr Gear

Peminat segala jenis kenderaan

Hyundai Grandeur 2027 facelift – rupa lebih moden, kelengkapan lebih canggih

Diperkenalkan sejak 1986, Hyundai Grandeur kurang dikenali kerana ia hanya dijual di pasaran terpiih, namun ia sebenarnya merupakan antara model paling lama dalam portfolio jenama Korea Selatan itu.

Dua generasi awal Grandeur berkongsi asas dengan Mitsubishi Debonair, manakala generasi seterusnya dibangunkan sepenuhnya oleh Hyundai. Model generasi ketujuh yang dilancar pada 2022 kini menerima kemas kini pertengahan hayat.

Rekaan lebih futuristik, dimensi sedikit bertambah

Diposisikan di atas Sonata, Grandeur tampil dengan lampu utama lebih nipis tanpa bingkai, terletak di bawah jalur LED mendatar untuk lampu nyalaan siang (DRL). Bonet turut dipanjangkan bagi memberikan sedan ini rupa “shark nose”.

Dengan panjang 5,050 mm, ia sedikit lebih besar berbanding sebelumnya. Bampar hadapan direka semula dengan corak mesh, manakala lampu belakang juga dijadikan lebih nipis.

Sebagai pelengkap, Hyundai turut memperkenalkan warna baharu Artistic Burgundy dengan gabungan kemasan pearl dan matte.

Kabin serba baharu dengan sistem Pleos

Perubahan dalaman lebih ketara. Grandeur kini menggunakan sistem infotainmen Pleos dengan skrin sentuh 17 inci berasaskan Android Automotive, berkongsi teknologi dengan Hyundai Ioniq 3.

Selain itu, kawalan pendingin hawa tidak lagi mempunyai skrin berasingan, manakala kluster instrumen kini lebih kecil dan diletakkan lebih tinggi untuk memudahkan pemandu. Tema warna burgundy turut diterapkan dalam kabin.

Teknologi baharu dan kemasan lebih mewah

Grandeur facelift menampilkan corong udara elektrik yang dikawal melalui skrin sentuh. Ia juga menjadi model pertama Hyundai dengan bumbung panoramik yang boleh bertukar antara legap dan lutsinar.

Bukan itu sahaja, lampu ambien turut dipertingkat, bersama corak panel pintu ala sofa yang sepadan dengan tempat duduk. Material premium seperti kemasan kayu sebenar, aksen logam dan jahitan quilt digunakan secara meluas.

Fokus keselesaan dan trenkuasa pelbagai pilihan

Di sebalik skrin dan teknologi baharu, Hyundai masih mengekalkan fokus utama sebuah sedan

mewah. Grandeur menawarkan tunggangan lebih selesa melalui sistem suspensi kawalan elektronik yang boleh membaca keadaan jalan di hadapan. Seperti sebelum ini, terdapat pelbagai pilihan trenkuasa termasuk petrol, hibrid dan LPG.

Ferrari Purosangue 2027 kini lebih lincah dengan pakej Handling Speciale

Ferrari Purosangue sudah pun dikenali sebagai salah satu SUV berprestasi tinggi terbaik di dunia, dengan prestasi cemerlang dalam aspek kuasa.

Kini, bagi menjadikan jentera itu lebih lengkap, Ferrari memperkenalkan satu naik taraf baharu iaitu pakej Handling Speciale yang memberi fokus kepada pengendalian.

Pengendalian tanpa abaikan keselesaan

Melalui pakej ini, Ferrari menambah baik talaan suspensi Purosangue, sekaligus menyerlahkan lagi karakternya sebagai sebuah grand tourer.

Dari sudut teknikal, sistem suspensi aktif telah dikalibrasi semula, sekali gus mengurangkan pergerakan badan sehingga 10%.

Penukaran gear juga menjadi lebih pantas dan agresif, khususnya dalam mod Manettino, Race dan ESC Off, serta ketika menggunakan mod manual penuh dengan kelajuan enjin melebihi 5,500 rpm.

Bukan itu sahaja, bunyi di dalam kabin turut dipertingkatkan bagi memberikan sensasi pemanduan yang lebih mengujakan.

Penampilan lebih eksklusif

Dari segi penampilan, versi Handling Speciale ini diberikan beberapa sentuhan khas yang membezakannya dengan versi standard.

Ini termasuk rekaan rim unik dengan kemasan diamond-cut, pelindung sisi gentian karbon, kemasan hitam matte pada hujung ekzos, serta logo Prancing Horse hitam di bahagian belakang.

Selain itu, terdapat juga tulisan Ferrari dengan kemasan satin dan plak khas di dalam kabin.

Nadi V12 kekal

Tiada perubahan pada bahagian mekanikal utama. Purosangue masih menggunakan enjin 6.5 liter V12 aspirasi semula jadi yang menghasilkan 725 PS dan 716 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac yang kini lebih pantas hasil penambahbaikan tersebut.

Dengan gabungan ini, pecutan 0 hingga 60 bsj (0 hingga 96 km/j) boleh dicapai dalam kira-kira 3.2 saat.

Harga belum diumumkan

Ferrari masih belum mendedahkan harga rasmi bagi pakej Handling Speciale ini, namun, seperti mana-mana produk Ferrari, ia pastinya bukan murah. Di Malaysia, Purosangue tanpa pakej ini dijual pada harga bermula dari RM5 juta.

Ini bukan Aston Martin klasik, tetapi Mazda MX-5 NC tahun 2007

Sekilas pandang, kereta roadster ini nampak seperti ia keluar daripada kilang pengeluaran Aston Martin di Gaydon, United Kingdom. Walau bagaimanapun, tersembunyi di sebalik rekaan bergaya ini adalah sebuah Mazda MX-5/Miata Sport generasi ketiga (NC) keluaran tahun 2007.

Inspirasi daripada DB5

Seperti yang boleh dilihat, MX-5 ini direka semula sepenuhnya, dengan pengaruh yang kuat daripada Aston Martin DB5. Bahagian hadapannya menampilkan sepasang lampu bulat, skup pada bahagian bonet, serta gril signatur jenama British itu.

Di belakang pula, terdapat empat lampu berbentuk bulat serta sepasang muncung ekzos yang keluar daripada bahagian tengah bampar. Penampilan klasik MX-5 ini dilengkapkan dengan rim 16 inci dengan kemasan krom yang kelihatan tidak ubah seperti rim Borrani yang digunakan pada DB5.

Tidak cukup dengan itu, logo Mazda digantikan dengan logo Aston Martin, manakala nombor plat pula tertera ‘DB 007’, satu penghormatan kepada James Bond yang menggunakan DB5 dalam filem Goldfinger.

Ruang dalaman juga klasik

Ruang dalaman turut diberi wajah baharu, dengan kemasan kayu pada papan pemuka dan konsol tengah, serta stereng kayu klasik Nardi, lengkap dengan logo Aston Martin.

Namun begitu, di bawah bonet, enjin asal 2.0-liter empat silinder dikekalkan. Enjin tersebut menghasilkan 166 hp dan 190 Nm, disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik enam kelajuan. Setakat ini, odometer menunjukkan bacaan sekitar 26,000 batu (kira-kira 41,842 km).

Sambutan agak popular

Direka oleh Simpson Design dari Washington, MX-5 unik ini boleh menjadi milik anda memandangkan ia kini dibuka untuk bidaan menerusi laman web Bring a Trailer.

Semakan pada laman web berkenaan menunjukkan kereta ini mendapat sambutan yang agak memberangsangkan daripada peminat, dengan bidaan terkini USD20,500 (RM81,270).

Hongqi bakal masuk Malaysia menerusi Quill Group – CKD, pelancaran menjelang pertengahan 2026

Quill Group telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FAW Group, menyaksikan kumpulan itu dilantik sebagai pengimport rasmi dan pengedar kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi jenama automotif mewah China, Hongqi.

Kerjasama strategik ini membuka laluan kepada Hongqi untuk menembusi pasaran kenderaan ultra-mewah dan kenderaan elektrik (EV) premium di Malaysia.

Bakal lancar menjelang pertengahan tahun ini

Hongqi, yang bermaksud “Bendera Merah,” terkenal sebagai kenderaan rasmi pemimpin negara China dan melambangkan kebanggaan industri automotif negara itu. Jenama ini dijangka dilancarkan secara rasmi di Malaysia menjelang pertengahan tahun 2026.

Melalui MoU ini, Quill Group akan bertindak sebagai rakan strategik dan pengedar utama, di samping menerajui aspek pengimportan, operasi CKD, serta pelantikan pengedar sah di seluruh negara.

Quill Group manfaat kepakaran untuk pemasaran dan sokongan perkhidmatan

Pengarah Urusan Quill Group, Dato’ Dr. Jennifer Low berkata pelantikan ini mencerminkan keyakinan Hongqi terhadap kepakaran korporat Quill Group serta potensi pasaran Malaysia.

“Dengan memanfaatkan kepakaran korporat luas Quill Group serta komitmen terhadap kecemerlangan, kami akan memperkukuh keyakinan pengguna melalui program pemasaran yang komprehensif, sokongan perkhidmatan selepas jualan yang menyeluruh tanpa kompromi, serta ketersediaan alat ganti yang lancar,” katanya.

Model apa yang bakal dilancar?

FAW Group kini mengeksport kenderaan Hongqi ke lebih 87 negara dan wilayah di seluruh dunia. Pelaksanaan operasi CKD di Malaysia turut mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan industri automotif tempatan serta kedudukan strategik negara dalam rantau ASEAN.

Maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi, barisan model awal dan rangkaian pengedar akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mugen beri sentuhan ‘racing’ pada Honda Super-One

Kereta elektrik kompak Honda Super-One kini menerima sentuhan magis daripada Mugen, dan hasilnya memang nampak seperti jentera litar yang mampu menggugat iman peminat kei-car.

Gaya retro dengan sentuhan motorsport

Super-One sendiri sudah membawa elemen retro yang diinspirasikan daripada City Turbo II, tetapi Mugen menaikkan lagi tahap agresifnya. Bahagian hadapan kini dilengkapi spoiler bawah berwarna hitam serta bonet dengan liang udara.

Perubahan paling ketara terletak pada sisi, dengan tambahan fender lebar lengkap dengan liang udara yang membedrikan imej jentera litar. Ia turut dipadankan dengan skirt sisi lebih besar, cermin sisi gentian karbon, serta rim forged aluminium 16 inci. Di belakang pula, terdapat spoiler bumbung besar dan bampar lebih sporty.

Kabin lebih sporty dan fokus pemandu

Masuk ke dalam, tempat duduk standard digantikan dengan kerusi semi-bucket daripada Recaro, lengkap dengan logo Mugen pada perehat kepala.

Di samping itu, pelbagai aksesori tambahan turut ditawarkan seperti karpet lantai, pelapik ruang kargo, scuff plate, serta kemasan pelindung pintu dengan logo Mugen. Logo tersebut juga boleh dilihat pada bahagian stereng.

Pengendalian lebih tajam namun kuasa tidak berubah

Dengan suspensi lebih rendah dan trek lebih lebar, Super-One sememangnya mempunyai talaan casis yang lebih agresif berbanding model asasnya iaitu N-One. Walau bagaimanapun, untuk pengendalian lebih mantap, Mugen menawarkan peredam prestasi yang dibangunkan dengan kerjasama Yamaha.

Namun begitu, trenkuasa elektriknya tidak disentuh. Ia kekal dengan motor tunggal yang menghasilkan 94 hp dalam mod Boost. Untuk menambah sedikit ‘emosi’, Honda menyertakan sistem bunyi tiruan yang mensimulasikan pertukaran gear dan bunyi enjin melalui pembesar suara.

Masih dalam pembangunan

Setakat ini, Mugen belum mengumumkan harga bagi pakej naik taraf ini kerana ia masih dalam peringkat pembangunan. Pelancarannya di Jepun dijadualkan sekitar Mei 2026, sebelum diperluaskan ke pasaran lain termasuk Eropah dan Australia.

Porsche 911 GT3 S/C (2027) diperkenal sebagai model GT3 pertama dengan bumbung terbuka

Porsche telah memperkenalkan ahli terbaharu dalam barisan GT yang dibangunkan khas untuk penggemar pengalaman pemanduan tulen. Dikenali sebagai 911 GT3 S/C, ia menggabungkan enjin naturally aspirated, transmisi manual, serta buat kali pertamanya bagi model GT3, bumbung jenis convertible.

Enjin high-revving dengan transmisi manual

Nadi penggerak 911 GT3 S/C merupakan enjin flat-six 4.0 liter yang menghasilkan 510 PS dan 450 Nm, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan nisbah pendek. Ini membolehkannya melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 313 km/j.

Enjin ini mampu berputar sehingga 9,000 rpm, memberikan ngauman yang lebih mengujakan, lebih-lebih lagi apabila bumbung dibuka.

Bumbung boleh buka beri pengalaman unik

Ini merupakan 911 GT3 pertama yang dilengkapi bumbung boleh buka automatik sepenuhnya. Ia boleh dibuka atau ditutup dalam 12 saat, pada kelajuan sehingga 50 km/j.

Walaupun dengan mekanisme tambahan tersebut, penggunaan gentian karbon dan magnesium, serta komponen seperti brek karbon seramik dan rim magnesium centre lock bermakna berat keseluruhan masih rendah iaitu 1,497 kg.

Kabin fokus pemandu

Berbeza dengan 911 Cabriolet, 911 GT3 S/C hanya ditawarkan sebagai dua tempat duduk, sama seperti model Speedster terdahulu.

Ruang dalaman memfokuskan kepada pemandu dengan penggunaan bahan ringan, tempat duduk Sports Seats Plus, serta kluster instrumen digital dengan mod Track Screen yang memberikan pemandu maklumat penting ketika beraksi di litar.

Casis lebih canggih, rekaan lebih menonjol

911 GT3 S/C menggunakan suspensi hadapan jenis double wishbone, yang merupakan pertama kali untuk 911 dengan bumbung terbuka. Digabungkan dengan talaan casis ala GT3 Touring dan tayar berprestasi tinggi, ia menjanjikan pengendalian lincah terutamanya di jalan berselekoh.

Dari segi penampilan, model ini menonjol dengan bumbung hitam, rekaan badan berinspirasikan 911 S/T, serta spoiler belakang boleh tarik dengan Gurney flap. Pembeli juga boleh memilih pakej Street Style untuk penampilan yang lebih unik.

Praktikaliti tidak dilupakan

Untuk pelanggan yang inginkan lebih ruang storan, Porsche turut menawarkan kotak simpanan yang boleh dimuatkan di belakang tempat duduk. Kotak tersebut hanya seberat 10 kg dan mempunyai kapasiti 80 liter.

Apa yang menarik, kotak itu boleh disuaikan mengikut konfigurasi ruang kabin.

Ariel Atom 4RR (2027) – senjata litar kayangan, 780 hp/tan, 0-100 km/j dalam 2.4s

Sejak diperkenalkan 25 tahun lalu, Ariel Atom tidak pernah gagal memukau peminat dengan evolusi berterusan. Kini, versi terbaharu dikenali sebagai Atom 4RR muncul sebagai model paling pantas dan paling berkuasa pernah dihasilkan.

Kuasa VTEC Turbo

Nadi utama 4RR ialah enjin 2.0-liter empat silinder daripada  Honda Civic Type R. Ia dibina semula sepenuhnya dengan komponen berprestasi tinggi seperti piston tempaan dan sistem bahan api khas. Setiap enjin dipasang tangan dan mengambil lebih 100 jam untuk disiapkan.

Hasilnya, 4RR mempunyai 525 hp dan 550 Nm. Dengan berat bawah 700 kg, ia mempunyai nisbah kuasa 780 hp setiap tan iaitu setanding dengan supercar. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam 2.4 saat dan 0-160 km/j dalam 5.1 saat.

Kuasa disalurkan melalui transmisi sequential enam kelajuan dengan paddle shift, membolehkan penukaran gear pantas tanpa klac.

Casis, suspensi dan brek

Casis baharu menggunakan struktur bronze-welded yang lebih kukuh, dipadankan dengan penyerap hentak Ohlins boleh laras sepenuhnya untuk talaan mengikut litar.

Sistem brek pula merangkumi cakera 310 mm dari AP Racing dengan angkup empat piston serta ABS boleh laras 11 tahap untuk kawalan optimum.

Aerodinamik dan ringan

Falsafah ringan kekal menjadi fokus, dengan penggunaan gentian karbon secara meluas bagi meningkatkan downforce tanpa menambah berat. Penggunaan tayar Yokohama A052 pula memastikan tahap cengkaman yang tinggi.

Senjata litar golongan kayangan

Setiap unit Atom 4RR dibina mengikut tempahan, dengan harga bermula sekitar 208,000 pound (anggaran RM1.2 juta).

Mitsubishi Triton Raider (2027) untuk Australia – gaya rali, suspensi dipertingkat

Mitsubishi telah memperkenalkan Triton Raider baharu, versi lebih ekstrem yang dibangunkan di Australia, untuk pasaran Australia.

Dibangunkan oleh syarikat tempatan iaitu Premcar, ia direka sebagai jentera yang sedia untuk aktiviti lasak dan pengembaraan terus dari kilang.

Rekaan luaran

Berasaskan varian GSR dwi-kabin, Triton Raider tampil lebih garang dengan rim aloi ROH 18-inci yang lebih lebar dalam kemasan Brushed Bronze, dipadankan dengan tayar all-terrain bersaiz 285/60. Offset unik turut meningkatkan lebar trek sebanyak 20 mm, memberikan trak pikap ini stance yang lebih tegap.

Perubahan visual lain termasuk grafik sisi ‘sandstorm’, lencana Raider pada tailgate, serta pelindung bawah enjin (sump protector) di bahagian hadapan. Sports bar hitam dan rel bumbung pula dikekalkan untuk penampilan lasak berinspirasikan rali.

Casis dan suspensi

Naik taraf utama terletak pada bahagian casis. Premcar telah menala semula sistem suspensi dan stereng untuk prestasi off-road yang lebih mantap tanpa menjejaskan keselesaan harian.

Antara perubahan termasuk spring gegelung hadapan yang lebih tinggi, talaan damper baharu, serta jarak pergerakan suspensi yang lebih tinggi untuk menyerap hentakan dengan lebih baik. Damper turut dilengkapi piston lebih besar dan kapasiti minyak lebih tinggi, membantu mengekalkan prestasi dalam keadaan beban berat atau pemanduan lasak berpanjangan.

Bukan itu sahaja, hasil daripada ujian lasak sejauh 7000 km, ketinggian Raider dinaikkan sebanyak 25 mm di hadapan dan 15 mm di belakang, sekali gus meningkatkan kelegaan tanah dan keupayaan off-road.

Ruang dalaman

Di dalam kabin, perubahan tidak begitu ketara, namun varian ini masih boleh dibezakan menerusi perincian khas termasuk sulaman Raider pada perehat kepala hadapan serta lencana pada konsol tengah. Kemas kini untuk tahun 2026 turut membawakan sistem Mitsubishi Connect.

Enjin dan prestasi

Tiada perubahan dari segi trenkuasa. Raider masih menggunakan enjin turbodiesel 2.4-liter yang menghasilkan 204 PS dan 470 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan serta sistem pacuan empat roda. Keupayaan menunda dijangka kekal pada 3500 kg.

Infiniti QX65 2027 guna cat dengan kandungan emas sebenar

Infiniti baru-baru ini memperkenalkan crossover dua baris gaya coupe terbaharunya, iaitu QX65 2027. Selain reka bentuk yang sporty, satu perkara yang terus mencuri perhatian ialah warna badan unik dipanggil Sunfire Red dan ya, ia memang bukan cat biasa.

Cat dengan kandungan emas sebenar

Apa yang membezakan Sunfire Red ialah penggunaan emas sebenar dalam campuran cat. Infiniti menggunakan serpihan kaca mikroskopik yang disalut dengan emas, membolehkan partikel tersebut tersebar secara sekata pada permukaan badan kereta. Hasilnya ialah efek kilauan yang lebih “dalam” dan berkilau, terutama di bawah cahaya.

Menurut Yasuhito Oba, pereka warna Infiniti, warna ini diinspirasikan oleh matahari terbit. “Sebab itulah ia memberi tenaga hangat dan bersinar,” katanya.

Proses cat tiga lapisan

Untuk menghasilkan kemasan ini, Infiniti menggunakan proses tiga peringkat. Ia bermula dengan lapisan asas merah, diikuti lapisan tengah lutsinar yang mengandungi serpihan kaca bersalut emas tadi, dan akhirnya lapisan clear coat untuk perlindungan.

Setiap unit QX65 memerlukan kira-kira dua gelen cat. Disebabkan penggunaan emas sebenar, proses pengeluaran turut melibatkan langkah keselamatan tambahan. Malah, pembekal cat dikatakan menggunakan trak berperisai untuk mengangkut bahan emas tersebut.

Ada kaitan dengan Nissan GT-R

Bagi peminat Nissan, warna ini mungkin tidak asing lagi. Ini kerana Nissan GT-R 2015 pernah tampil dengan warna Regal Red, yang juga menggunakan elemen emas dalam catnya.

Hyundai beri bayangan trak pikap pertama menerusi konsep Boulder

Pameran New York International Auto Show 2026 penuh dengan model menarik, namun Hyundai berjaya mencuri perhatian menerusi model konsep SUV lasak yang dikenali sebagai Hyundai Boulder.

Platform body-on-frame untuk trak pikap

Ini bukan sekadar konsep ‘syok sendiri’ kerana menurut Hyundai, Boulder memperlihatkan platform body-on-frame pertama mereka. Lebih menarik lagi, platform ini juga disahkan bakal digunakan untuk trak pikap saiz sederhana yang dijangka dilancarkan menjelang 2030.

Dibangunkan oleh Hyundai Design North America, model ini jelas menyasarkan pengguna yang mahukan keupayaan off-road sebenar. Ia menggunakan struktur ladder-frame yang menjanjikan ketahanan lebih baik, selain menawarkan keupayaan menunda yang lebih serius.

Dibina untuk aktiviti lasak

Dari segi rupa, Boulder tampil gagah dan tegap dengan badan falsafah rekaan “Art of Steel”, yang dikemaskan dengan cat Liquid Titanium. Keupayaan off-road pula ditampilkan menerusi tayar lumpur 37-inci, jarak kelegaan tanah tinggi, serta sudut dan pendekatan dan pelepasan yang agresif.

Selain itu, ciri praktikal turut diberi perhatian. Pintu jenis coach memudahkan akses, manakala rak bumbung dengan elemen keluli membolehkan barang dimuatkan dengan mudah. Di belakang, terdapat tailgate dwi-engsel yang boleh dibuka dari kedua-dua arah, bersama tingkap belakang drop-down untuk barangan panjang dan pengudaraan lebih baik.

Kabin praktikal dan tahan lasak

Di dalam, pendekatannya ringkas tetapi memfokuskan kepada aspek kepenggunaan. Material tahan lasak digunakan pada kawasan yang kerap disentuh, manakala butang fizikal dikatakan boleh digunakan dengan mudah walaupun ketika melalui jalan mencabar.

Ruang kabin Boulder juga fleksibel, dengan meja lipat untuk kegunaan kerja atau aktiviti luar. Turut disertakan adalah sistem panduan off-road berasaskan perisian yang boleh bertindak seperti “spotter” digital.

Petunjuk masa depan Hyundai

Walaupun masih berstatus konsep, Boulder memberi gambaran jelas mengenai hala tuju Hyundai. Untuk pasaran Amerika Utara, syarikat itu merancang untuk memperkenalkan 36 model baharu menjelang 2030.

Subaru BRZ turbo AWD akhirnya jadi realiti – tapi hanya untuk rali, bukan untuk dibeli

Selama bertahun-tahun, peminat Subaru mahukan BRZ yang lebih ‘garang’ dengan enjin turbo. Kini, Subaru akhirnya merealisasikan idea itu, tetapi bukan dalam bentuk kereta jalan raya yang boleh dibeli oleh orang awam.

Sebaliknya, BRZ turbo dengan sistem pacuan semua roda (AWD) ini dibangunkan khas sebagai jentera rali untuk All Japan Rally Championship.

Dibangunkan khusus untuk sukan permotoran

Model ini pertama kali diperlihatkan di Mobility Resort Motegi, bersempena pembukaan siri Super Taikyu. Ia merupakan antara projek terawal daripada unit baharu Subaru, iaitu Sports Vehicle Planning Office yang akan ditubuhkan secara rasmi pada 1 April.

Subaru BRZ versi standard

Dari segi rupa, BRZ rally ini tampil lebih ekstrem dengan jarak lega tanah lebih tinggi, fender lebar, serta spoiler belakang yang besar. Ia juga dilengkapi tayar berprestasi tinggi untuk kegunaan permukaan lasak.

Antara perubahan lain termasuk scoop bonet, bampar depan baharu dengan gril lebih besar, bonet berliang, serta rekaan belakang yang dikemas kini.

Enjin turbo, sistem AWD tetapi perincian masih rahsia

Selain enjin turbo dan sistem AWD, spesifikasi terperinci mengenai jentera rali ini masih belum didedahkan.

Subaru HiPerfX2

Besar kemungkinan, trenkuasa dan sistem pacuan berkenaan ini diambil daripada platform WRX rally sedia ada bagi menjimatkan kos pembangunan. Ini merupakan strategi yang sama digunakan pada jentera HiPerfX2.

Akan berlumba tahun ini

Menurut laporan media Jepun, jentera ini dijangka membuat kemunculan dalam All Japan Rally Championship pertengahan musim ini, dengan pelumba berpengalaman, Toshihiro Arai, sebagai pemandu utama.

Versi jalan raya?

Setakat ini, Subaru belum mengesahkan sebarang versi jalan raya. Namun, ramai peminat berharap projek ini menjadi ‘pembuka jalan’ kepada BRZ turbo AWD produksi pada masa depan.

Toyota hasilkan semula panel instrumen Supra A80, projek GR Heritage Parts kini fokus pada dalaman

Toyota melalui divisyen prestasinya iaitu Gazoo Racing (GR) mengumumkan bahawa ia akan menghasilkan semula panel instrumen bagi Supra A80 menerusi projek GR Heritage Parts.

Inisiatif ini bertujuan membantu pemilik mengekalkan model klasik Toyota mereka dalam keadaan terbaik. Setakat ini, lebih 300 komponen untuk lapan model telah dihasilkan semula di bawah projek ini.

Sebelum ini, fokus utama lebih tertumpu kepada komponen mekanikal yang melibatkan aspek pemanduan dan pengendalian. Namun kali ini, GR mula memberi perhatian kepada permintaan pemilik yang mahu memulihkan bahagian dalaman dan luaran.

Komponen dashboard yang penting

Panel instrumen yang diumumkan ini merupakan sebahagian besar daripada dashboard A80 Supra, meliputi kawasan dari bahagian atas stereng hingga ke penumpang hadapan. Ia menjadi pelengkap kepada panel kluster meter yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Material moden namun ‘feel’ asal dikekalkan

Seperti yang kita tahu, dashboard kereta mudah terjejas akibat pendedahan cahaya matahari berpanjangan yang boleh menyebabkan rekahan atau kerosakan pada bahagian permukaan.

Untuk itu, GR menggunakan material moden bagi meningkatkan ketahanan, tetapi dalam masa sama mengekalkan reka bentuk asal. Malah, kemasan tekstur (grain) turut dihasilkan semula dengan teliti supaya nampak asli bila dipasang.

Jangkaan pelancaran

Panel instrumen Supra A80 ini masih dalam pembangunan dan dijangka dilancarkan sekitar musim luruh 2026. Di Jepun, ia akan ditawarkan melalui rangkaian GR Garage, pengedar Toyota, serta outlet JMS, lengkap dengan servis pemasangan.

Akan dipamerkan tidak lama lagi

Komponen ini bakal dipertontonkan kepada umum di Automobile Council 2026 di Chiba, bersama sebuah Supra A80 yang telah dipulihkan menggunakan komponen GR Heritage Parts.

102 unit Rolls-Royce Cullinan (tahun 2019–2025) kena recall gara-gara bolt longgar

Apabila pembeli membelanjakan jutaan ringgit untuk sebuah kereta mewah, sudah tentu mereka mengharapkan tahap kesempurnaan yang tinggi. Namun realitinya, model paling eksklusif sekalipun tidak terkecuali daripada isu kualiti, malah perkara sekecil bolt pun boleh membawa kepada panggilan semula.

SUV ultra mewah pun kena recall

Rolls-Royce kini mengeluarkan arahan kepada pemilik Rolls-Royce Cullinan supaya tidak menggunakan tempat duduk belakang dan ruang but buat sementara waktu. Puncanya ialah komponen tali pinggang keledar di bahagian belakang yang didapati mungkin tidak diketatkan dengan betul semasa pemasangan di kilang.

Bermula dengan bunyi kecil

Menariknya, isu ini bukan berpunca daripada kemalangan. Sebaliknya, ia bermula daripada bunyi pelik yang dikesan ketika ujian di jalan. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat bolt pada retractor tali pinggang keledar yang longgar.

Perkara itu mencetuskan siasatan teknikal, dan hasil siasatan mendapati unit yang dihasilkan sejak 27 November 2019 berkemungkinan mempunyai masalah sama.

102 unit Cullinan terjejas

Sebanyak 102 unit Cullinan yang dihasilkan antara tarikh tersebut hingga 19 November 2025 terlibat dalam recall ini. Juruteknik akan memeriksa dan mengetatkan bolt mengikut spesifikasi ditetapkan.

Walaupun jumlahnya kecil, risikonya tidak boleh dipandang ringan. Jika bolt longgar, tali pinggang keledar mungkin tidak berfungsi dengan optimum ketika pelanggaran. Dalam situasi tertentu, tempat duduk belakang juga boleh bergerak jika barang dalam but beralih, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan.

Langkah berjaga-jaga

Buat masa ini, pemilik dinasihatkan untuk tidak menggunakan tempat duduk belakang atau membawa barang di ruang but sehingga pemeriksaan dilakukan.

Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan setakat ini dan semua kerja pembaikan akan dilakukan secara percuma. Notis kepada pemilik dijangka dikeluarkan bermula Mei 2026.

Range Rover klasik ini dapat ‘nadi’ V8 Corvette, harga RM1.8 juta!

Sebuah syarikat dari UK memberikan Range Rover klasik ‘nafas baharu’ dengan transformasi ekstrem, namun harganya setanding supercar moden.

Interpretasi berani model legenda

Baru-baru ini, Twisted Automotive memperkenalkan TRRC, Range Rover tiga pintu yang diolah semula dengan gabungan gaya klasik dan prestasi moden. Nama TRRC merupakan singkatan kepada “Twisted’s interpretation of a Range Rover Classic”.

Projek restomod ini bersifat peribadi kerana pengasas Twisted iaitu Charles Fawcett membangunkannya sebagai penghormatan kepada Range Rover milik bapanya pada era 1980-an.

Peminat Range Rover klasik boleh mendapatkan hasil tangan nostalgia ini namun perlu cepat kerana hanya 12 unit dihasilkan setahun, dengan harga bermula GBP350,000 (RM1.8 juta).

Menariknya, kerana harga tersebut untuk kos restorasi sahaja, manakala kereta perlu disediakan sendiri oleh pelanggan.

Enjin V8 dari Corvette

Di bawah bonet, TRRC menggunakan enjin LT1 6.2 liter V8 daripada Chevrolet Corvette, yang menghasilkan kira-kira 500 hp. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Suspensi, brek dan rangkaian kuasa telah dinaik taraf bagi menampung kuasa yang tinggi itu. Namun menurut Twisted, suspensi ditala bagi mengekalkan keselesaan dan karakter pemanduan Range Rover yang lembut.

Rekaan klasik, kemasan lebih baik

Rekaan luaran TRRC menggabungkan elemen retro dan moden. Bahagian hadapan mengekalkan gaya 1970-an, manakala gril dan lampu diinspirasikan daripada model semasa. Sesetengah panel badan diperbuat daripada aluminium.

Semestinya, pelanggan bebas menyesuaikan penampilan mengikut citarasa tersendiri, termasuk mewarnakan tiang C mengikut warna badan bagi menyingkirkan efek ‘bumbung terapung’ yang sinonim dengan Range Rover klasik.

Kabin moden dan eksklusif

Ruang dalaman pula dihiasi dengan balutan kulit premium, serta menampilkan ciri-ciri moden seperti pemanas tempat duduk, sistem audio premium dan infotainmen ringkas.

Menurut Twisted, setiap unit dihasilkan dengan tangan dan diuji sebelum diserahkan kepada pelanggan. Berminat? Anda perlu menunggu slot 2027 dibuka kerana slot yang diperuntukkan untuk tahun ini sudah pun habis.

Porsche Cayenne S Electric (2026) hadir dengan 666 PS, jarak 653 km

Porsche memperluaskan barisan SUV elektriknya dengan memperkenalkan Cayenne S Electric. Varian baharu inj diposisikan di antara Cayenne Electric asas dan model paling berkuasa iaitu Cayenne Electric Turbo yang diperkenalkan pada November tahun lalu.

Sistem pacuan EV berprestasi tinggi

Varian baharu ini menawarkan prestasi lebih tinggi serta kelengkapan tambahan berbanding model entry level.

Ia dipacu oleh dua motor elektrik, satu pada gandar hadapan dan satu pada gandar belakang. Gabungan ini menjana 544 PS (400 kW), namun dengan Launch Control, ia boleh meningkat kepada 666 PS (490 kW), membolehkan SUV ini melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat. Kelajuan maksimum adalah 250 km/j.

Seperti varian asas dan Turbo, Cayenne S Electric didatangkan dengan bateri berkapasiti 113 kWj yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 653 km (WLTP). Dengan pengecas pantas yang menyokong kuasa sehingga 400 kW, bateri boleh dicas dari 10% ke 80% bawah 16 minit.

Seperti varian Turbo, motor elektrik di gandar belakang menggunakan sistem penyejukan minyak terus, yang menyalurkan haba secara langsung dari komponen yang membawa arus bagi mengekalkan prestasi.

Rekaan lebih sporty, teknologi casis dipertingkat

Dari segi rekaan, Cayenne S Electric hadir dengan bampar hadapan dan belakang sporty dalam warna Volcano Grey Metallic, bersama sisipan dan diffuser mengikut warna badan. Ia turut dilengkapi rim 20 inci Cayenne S Aero sebagai standard.

Beberapa ciri prestasi yang sebelum ini hanya tersedia pada model Turbo kini ditawarkan sebagai pilihan, termasuk Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus), suspensi Porsche Active Ride, serta sistem brek Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB).

Pakej Sport Chrono juga ditawarkan, termasuk fungsi Push-to-Pass yang memberikan suntikan tambahan sebanyak 122 PS (90 kW) selama 10 saat, serta mod Track untuk prestasi maksimum di litar.

Pakej personalisasi baharu

Porsche turut memperkenalkan pakej ‘Director’s Cuts’ pertama daripada Exclusive Manufaktur. Ia merangkumi Interior Style Package dengan tema warna Mystic Green Metallic, dengan kemasan kulit dua tona Black dan Delgada Green, aksen Izabal Green serta perincian dalaman eksklusif.

Honda batal EV 0 Series, Acura RSX – kerugian dijangka cecah RM62 bilion

Honda telah membatalkan tiga model kenderaan elektrik (EV) yang sebelum ini dirancang untuk pengeluaran di Amerika Utara, iaitu Honda 0 SUV, 0 Saloon serta Acura RSX.

Langkah ini dibuat selepas syarikat itu menilai semula strategi EV mereka susulan perubahan dalam keadaan pasaran global.

Permintaan EV perlahan, persaingan semakin sengit

Menurut Honda, pertumbuhan pasaran EV di AS semakin perlahan berikutan pelonggaran peraturan bahan api fosil serta perubahan insentif EV.

Pada masa sama, syarikat itu turut berdepan tekanan dari beberapa aspek lain, termasuk perubahan dasar tarif AS yang menjejaskan keuntungan kenderaan petrol dan hibrid mereka.

Di Asia pula, khususnya di China, persaingan semakin sengit apabila pengeluar EV baharu bergerak lebih pantas dengan kitaran pembangunan produk yang lebih pendek serta kelebihan dalam teknologi perisian.

Honda mengakui ia sukar menandingi nilai yang ditawarkan oleh pengeluar EV baharu, terutamanya dalam aspek kenderaan berasaskan perisian serta ADAS

Impak kewangan yang besar

Pembatalan tiga model EV tersebut dijangka memberi kesan kewangan besar terhadap syarikat itu.

Ini termasuk perbelanjaan operasi antara 820 bilion yen hingga 1.12 trilion yen, serta kerugian daripada pelaburan kaedah ekuiti yang dianggarkan antara 110 bilion hingga 150 bilion yen.

Sementara itu, kerugian khas dalam keputusan bukan konsolidasi pula dianggarkan antara 340 bilion hingga 570 bilion yen.

Jika diambil kira kos tambahan pada tahun-tahun akan datang, jumlah keseluruhan impak daripada penilaian semula strategi ini boleh mencecah sehingga 2.5 trilion yen.

Fokus lebih kepada hibrid

Untuk masa hadapan, Honda akan memberi tumpuan lebih besar kepada model hibrid sambil terus memantau perkembangan pasaran EV.

Syarikat itu juga merancang untuk mengukuhkan barisan model serta meningkatkan daya saing kos di pasaran utama seperti Jepun, Amerika Syarikat dan India, selain memperkukuh kedudukannya di Asia.

Walaupun kerugian dijangka berlaku, Honda menyatakan ramalan dividen bagi tahun fiskal semasa kekal tidak berubah. Perincian lanjut mengenai strategi jangka sederhana dan panjang syarikat akan diumumkan pada bulan Mei.

Volvo EX30 dikemas kini untuk 2026, tampil dengan trenkuasa entry-level, UX baharu dan ciri V2L

Volvo mengumumkan naik taraf untuk EX30, SUV elektrik terkecil mereka, untuk model tahun 2026 dan seterusnya. Antara penambahbaikan utama termasuk trenkuasa entry-level baru, pilihan dalaman premium, pengembangan Black Edition, dan ketersediaan fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

Pilihan kuasa dan jarak perjalanan

Bermula tahun ini, EV kompak akan hadir dengan trenkuasa motor tunggal dengan 150 PS (110 kW), dengan dua pilihan bateri iaitu LFP 51 kWj yang menawarkan jarak perjalanan 339 km, dan NMC 69 kWj yang mampu capai jarak sehingga 476 km untuk perjalanan lebih jauh.

Untuk EX30 Cross Country, Volvo menambah trim Plus dan pilihan motor tunggal yang lebih cekap.

Reka bentuk baharu ruang dalaman

Pelanggan kini boleh memilih dua tema baharu untuk ruang dalaman. Harvest menampilkan tekstil kitar semula tona cerah dan dekorasi flax gelap untuk rasa Scandinavia semula jadi. Sementara itu, Black pula menggabungkan upholsteri hitam licin dengan dekor flax gelap untuk gaya klasik.

Black Edition kini boleh dipilih dengan dalaman Black dan tiga warna luaran baharu iaitu Onyx Black, Vapour Grey dan Crystal White.

Pengalaman pengguna lebih mudah

Antaramuka pengguna (UX) direka semula untuk akses lebih mudah ke kawalan penting, lengkap dengan bar kandungan yang boleh diubah suai untuk tindakan yang paling kerap digunakan.

Ciri V2L, yang pada mulanya ditawarkan di pasaran terpilih, membolehkan EX30 membekalkan tenaga ke peranti seperti e-bike, perkakasan elektrik, sistem audio, dan peralatan camping dengan adaptor.

Semua naik taraf ini akan dihantar melalui over-the-air kepada pelanggan baru dan sedia ada mulai musim panas ini.

Tarikh pelancaran

Menurut Volvo, EX30 baharu dijangka diperkenalkan di pasaran global bermula model tahun hadapan, dengan ciri V2L dan UX diberikan melalui kemas kini over-the-air pada musim panas.

Toyota Land Cruiser FJ (2026) lancar di Thailand Mac ini – enjin 2.7L, 4WD, platform IMV

Laman web automotif Thailand, Autolife, melaporkan bahawa Toyota Land Cruiser FJ bakal dilancarkan di negara itu pada Mac ini.

Menurut penerbitan itu, Land Cruiser FJ dikatakan layak menikmati struktur duti eksais kategori PPV, sama seperti SUV berasaskan trak pikap seperti Toyota Fortuner.

Platform IMV, saiz kompak

Diperkenalkan buat pertama kali pada Oktober tahun lalu, Land Cruiser FJ merupakan model paling kecil dalam keluarga Land Cruiser setakat ini.

SUV off-road ini dibina menggunakan platform IMV yang sama seperti Hilux Champ, dengan ukuran panjang 4,575 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,960 mm dan jarak antara roda 2,580 mm.

Reka bentuk berpetak dan lasak diinspirasikan daripada Toyota Land Cruiser 250. Antara ciri menarik ialah sudut bampar depan dan belakang yang direka supaya mudah diganti, selain sokongan pelbagai aksesori seperti lampu LED bulat dan panel Molle.

Kabin praktikal, fokus pemandu

Di bahagian dalaman, panel instrumen yang rendah membantu memberikan pandangan hadapan yang lebih jelas. Susun atur suis dan butang pula direka secara ergonomik bagi memudahkan pemandu mengendalikan kenderaan sama ada di jalan raya mahupun ketika meredah laluan off-road.

Model ini turut dilengkapi sistem keselamatan aktif Toyota Safety Sense termasuk ciri Pre-Collision System.

Enjin 2.7L 163 PS, 4WD separa masa

Di bawah bonet, Land Cruiser FJ menggunakan enjin petrol 2.7 liter empat silinder 2TR-FE yang menghasilkan 163 PS dan 246 Nm. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik enam kelajuan Super ECT ke sistem pacuan empat roda separuh masa.

Model ini akan dipasang di Thailand dan disasarkan untuk pasaran Asia Tenggara, Afrika, Amerika Latin serta Timur Tengah. Amerika Utara dan Eropah dilaporkan tidak tersenarai untuk menerima model ini.

Lotus Emira Turbo Bathurst Edition 2026: 503 hp, 15 unit sahaja untuk Australia, harga RM692k

Lotus telah memperkenalkan versi Emira paling ganas iaitu Emira Turbo Bathurst Edition 2026 dan seperti yang boleh dijangka, ia hanya ditawarkan untuk pasaran Australia.

503 hp untuk takluk Mount Panorama

Dibangunkan oleh pengedar rasmi Lotus di Australia, Simply Sports Cars, edisi Bathurst ini menaikkan prestasi Emira Turbo ke satu aras baharu. Enjin 2.0 liter turbo empat silinder M139 daripada AMG kini ditala sehingga 503 hp dan 600 Nm, 144 hp dan 180 Nm lebih tinggi berbanding versi standard.

Walaupun mengalami naik taraf yang signifikan, kuasa masih disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi klac berkembar lapan kelajuan. Dengan 503 hp, Bathurst Edition secara rasminya adalah Emira paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini.

Naik taraf bukan sekadar pada enjin. Ia turut menerima penyerap hentak boleh laras tiga tahap, tetapan jajaran roda baharu serta tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih melekit. Sistem brek juga dipertingkat dengan angkup empat omboh AP Racing bersama cakera berkembar pada bahagian depan dan belakang.

Pengeluaran dihadkan kepada hanya 15 unit, setiap satu didatangkan dengan nombor siri tersendiri. Menurut Lotus, satu daripadanya sudah pun ditempah.

Luaran: Aero gaya GT4

Dari segi penampilan, perubahan jelas kelihatan menerusi splitter gentian karbon pada bahagian depan, manakala di belakang terdapat sayap besar ala GT4 untuk membantu kestabilan pada kelajuan tinggi.

Livery khas berinspirasikan GT4 serta logo unik pada bahagian sisi dan belakang membezakan model ini daripada Emira biasa. Pembeli hanya boleh memilih warna rim, manakala spesifikasi selebihnya adalah tetap.

Dalaman: Ringkas tetapi eksklusif

Ruang kabin Bathurst Edition hampir sama seperti Emira standard. Perubahan utama hanyalah plak khas yang menunjukkan nombor siri pengeluaran bagi menandakan status edisi terhad.

Di Australia, model ini ditawarkan pada harga AUD249,990 (RM692,044) dan setiap pembeli akan turut mendapat jemputan ke acara track day khas Lotus di Mount Panorama pada tahun 2027, di mana mereka boleh benar-benar menguji kemampuan jentera ini.

Keluarga dari Brazil ini tawan Rally dos Sertoes dengan Porsche 911 Dakar – 7,440 km dalam dua minggu

Bukan semua yang beli Porsche 911 Dakar benar-benar mahu membawanya masuk hutan. Kebanyakannya memilih model istimewa itu sebagai koleksi atau sekadar pelengkap gaya hidup. Namun bagi keluarga Piotto Vogt dari Brazil, 911 Dakar mereka bukan sekadar kereta hujung minggu tetapi ia merupakan jentera rali sebenar.

Baru-baru ini, keluarga tersebut mencipta sejarah apabila menjadi pemilik Porsche pertama yang menyertai Rally dos Sertoes, acara off-road tahunan yang bermula sejak 1993 dan dianggap paling mencabar di Amerika Selatan.

7,440 km dalam dua minggu

Susele dan suaminya Fredy menyertai kategori Expedition dalam edisi ke-33 rali berkenaan, yang meliputi laluan lasak sepanjang 3,482 km. Namun perjalanan mereka jauh lebih panjang kerana mereka memandu hampir 1,200 km dari kampung halaman mereka di Campo Largo ke lokasi permulaan di Goiania. Selepas menamatkan rali di Marechal Deodoro, mereka memandu pulang semula ke rumah.

Secara keseluruhan, keluarga ini menempuh kira-kira 7,440 km dalam masa dua minggu menggunakan 911 Dakar dan sebuah SUV. Mereka memandu secara bergilir-gilir, ditemani anak mereka, Joao Pedro, yang berusia 14 tahun.

Antara saat yang paling diingati adalah menyeberangi sungai tanpa ragu-ragu ketika peserta lain berhenti untuk mengukur kedalaman air.

“Ketika itu, kami tahu yang kami telah memilih kereta yang tepat,” kata Susele. Malah, 911 Dakar itu turut dilengkapi khemah bumbung dan dijadikan “hotel bergerak” sepanjang rali tersebut.

Keluarga Porsche sejati

Minat terhadap Porsche bukan perkara baharu bagi keluarga ini. Setakat ini, mereka telah memiliki 19 model Porsche termasuk Cayenne, 718 Boxster, Cayman, Macan, Panamera E-Hybrid, Taycan dan beberapa generasi 911.

Bagi mereka, Porsche bukan sekadar mainan untuk disimpan dalam garaj. “Kami beli kereta untuk dipandu,” kata Fredy. Susele pula menggunakan 911 sebagai kereta harian, termasuk untuk urusan kerja.

Sementara itu, Joao Pedro sudah memasang cita-cita untuk memandu Porsche sebaik sahaja dia menginjak usia 18 tahun.