BMW Z4 tamat pengeluaran selepas 23 tahun – roadster ikonik kini tinggal sejarah
BMW secara rasminya menamatkan pengeluaran Z4 apabila unit terakhir model tersebut keluar dari kilang Magna Steyr di Graz, Austria. Ia sekaligus menutup perjalanan roadster itu yang bermula sejak 2003 sebagai pengganti kepada Z3.
Dengan penamatan Z4, BMW kini hanya mempunyai satu model convertible dengan bumbung fabrik dalam barisan semasanya iaitu 4 Series Convertible. Walaupun segmen roadster dan convertible bukan lagi pasaran utama ketika ini, kehilangan Z4 tetap memberi kesan kepada peminat convertible dan dunia automotif secara amnya.

Evolusi keluarga BMW Z
Perjalanan keluarga BMW Z bermula pada awal 1990-an dengan Z1, model unik yang terkenal dengan pintu yang boleh disorok ke dalam badan kereta. BMW kemudian memperkenalkan Z3 pada 1995, yang hadir dengan dimensi lebih besar serta pilihan enjin lebih berkuasa, termasuk versi Z3 M yang mempunyai 325 hp.
BMW turut menghasilkan Z3 versi coupe antara 1998 hingga 2022. Kereta berbentuk shooting brake itu kini dianggap antara model paling ikonik dalam keluarga Z.
Pada 1999, BMW memperkenalkan Z8, roadster premium dengan enjin 4.0 liter V8 400 hp yang dikongsi bersama M5 E39. Model itu juga dikenali menerusi kemunculannya dalam filem James Bond, The World Is Not Enough.
Untuk Z4, model generasi pertama (E85/E86) muncul pada 2003 sebelum digantikan oleh E89 pada 2009 dan G29 pada 2018.
Masa depan masih tidak pasti

Berbeza dengan dua generasi terdahulu yang banyak berkongsi asas dengan 3 Series, Z4 generasi ketiga dibangunkan bersama Toyota GR Supra, termasuk penggunaan platform dan rangkaian kuasa yang sama.
Walaupun tiada versi penuh BMW M diperkenalkan untuk G29, prestasi bukanlah satu isu memandangkan terdapat varian M40i yang mempunyai sehingga 387 hp dan 500 Nm.
Buat masa ini, BMW masih belum mengesahkan sama ada Z4 akan mempunyai pengganti. Namun dengan Toyota sedang membangunkan Supra generasi baharu, kerjasama antara kedua-dua jenama itu mungkin boleh diteruskan pada masa hadapan.
Peminat segala jenis kenderaan

