Hyundai Grandeur 2027 facelift – rupa lebih moden, kelengkapan lebih canggih

Hyundai Grandeur 2027 01

Diperkenalkan sejak 1986, Hyundai Grandeur kurang dikenali kerana ia hanya dijual di pasaran terpiih, namun ia sebenarnya merupakan antara model paling lama dalam portfolio jenama Korea Selatan itu.

Dua generasi awal Grandeur berkongsi asas dengan Mitsubishi Debonair, manakala generasi seterusnya dibangunkan sepenuhnya oleh Hyundai. Model generasi ketujuh yang dilancar pada 2022 kini menerima kemas kini pertengahan hayat.

Rekaan lebih futuristik, dimensi sedikit bertambah

Diposisikan di atas Sonata, Grandeur tampil dengan lampu utama lebih nipis tanpa bingkai, terletak di bawah jalur LED mendatar untuk lampu nyalaan siang (DRL). Bonet turut dipanjangkan bagi memberikan sedan ini rupa “shark nose”.

Dengan panjang 5,050 mm, ia sedikit lebih besar berbanding sebelumnya. Bampar hadapan direka semula dengan corak mesh, manakala lampu belakang juga dijadikan lebih nipis.

Sebagai pelengkap, Hyundai turut memperkenalkan warna baharu Artistic Burgundy dengan gabungan kemasan pearl dan matte.

Kabin serba baharu dengan sistem Pleos

Perubahan dalaman lebih ketara. Grandeur kini menggunakan sistem infotainmen Pleos dengan skrin sentuh 17 inci berasaskan Android Automotive, berkongsi teknologi dengan Hyundai Ioniq 3.

Selain itu, kawalan pendingin hawa tidak lagi mempunyai skrin berasingan, manakala kluster instrumen kini lebih kecil dan diletakkan lebih tinggi untuk memudahkan pemandu. Tema warna burgundy turut diterapkan dalam kabin.

Teknologi baharu dan kemasan lebih mewah

Grandeur facelift menampilkan corong udara elektrik yang dikawal melalui skrin sentuh. Ia juga menjadi model pertama Hyundai dengan bumbung panoramik yang boleh bertukar antara legap dan lutsinar.

Bukan itu sahaja, lampu ambien turut dipertingkat, bersama corak panel pintu ala sofa yang sepadan dengan tempat duduk. Material premium seperti kemasan kayu sebenar, aksen logam dan jahitan quilt digunakan secara meluas.

Fokus keselesaan dan trenkuasa pelbagai pilihan

Di sebalik skrin dan teknologi baharu, Hyundai masih mengekalkan fokus utama sebuah sedan

mewah. Grandeur menawarkan tunggangan lebih selesa melalui sistem suspensi kawalan elektronik yang boleh membaca keadaan jalan di hadapan. Seperti sebelum ini, terdapat pelbagai pilihan trenkuasa termasuk petrol, hibrid dan LPG.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved