BAW 212 bakal masuk pasaran Eropah – trak pikap ala Defender, Land Cruiser FJ40

BAW 212 exterior

Pasaran Eropah bakal menerima sebuah lagi pikap off-road dari China menerusi BAW 212, model yang tampil dengan rekaan yang cukup mengingatkan kepada Land Rover Defender generasi lama.

Walaupun Land Rover kini mempunyai Defender 90, 110 dan 130 moden, jenama itu tidak lagi menawarkan versi pikap seperti sebelum ini. Kehadiran BAW 212 secara tidak langsung mengisi kekosongan tersebut, dengan fokus terhadap kemampuan off-road dan penggunaan harian.

Rekaan gabungan Defender dan Land Cruiser

BAW 212 Exterior

Dari sudut rekaan, BAW 212 jelas mengambil inspirasi daripada beberapa model off-road ikonik. Profil sisi serta kabinnya sangat menyerupai Defender klasik, manakala bahagian hadapan pula mempunyai elemen seperti Toyota Land Cruiser FJ40.

Model ini turut dilengkapi lampu utama LED bulat, gerbang roda gaya Jeep, pemijak sisi dan rim aloi 18-inci. Di belakang, lampu LED bulat digunakan bersama ruang kargo sepanjang 1,555 mm.

BAW 212 Exterior

Dari segi saiz, BAW 212 berukuran 5,469 mm panjang, 1,950 mm lebar dan 1,970 mm tinggi, dengan jarak roda 3,488 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding Defender pikap lama dan hampir menyamai Jeep Gladiator.

Kabin moden, fokus off-road serius

Walaupun luaran nampak klasik, kabin BAW 212 jauh lebih moden. Ia dilengkapi kluster instrumen digital 10.25-inci bersama skrin infotainmen 12.3-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

BAW 212 Interior

Turut disediakan ialah tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan ventilasi, pengecas telefon tanpa wayar, sistem audio lapan pembesar suara serta pendingin hawa automatik dua-zon.

Kuasa pula datang daripada enjin turbodiesel 2.3 liter yang menghasilkan 188 hp dan 500 Nm tork, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda.

BAW 212 Exterior

Untuk kemampuan off-road, BAW 212 menggunakan casis ladder-frame, gandar rigid serta differential lock depan, tengah dan belakang. Ia turut menawarkan jarak kelegaan tanah 250 mm bersama pelbagai mod pemanduan termasuk Snow, Sand, Rock, Mud dan Wading.

Lebih murah daripada Ford Ranger dan Toyota Hilux

BAW 212 Exterior

Di Jerman, BAW 212 ditawarkan pada harga bermula €41,995 (sekitar RM214k), termasuk cukai VAT 19%. Harga tersebut menjadikannya lebih murah berbanding Ford Ranger Double Cab yang bermula dari 46,590 euro, selain turut lebih rendah daripada Toyota Hilux yang dijual pada harga 46,386 euro.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved