Rezvani Fortress 2027 – Ford F-150 Raptor bertukar jadi trak taktikal kalis peluru

Rezvani Fortress exterior

Syarikat pengubah suai dari California, Rezvani sememangnya terkenal dengan projek-projek ekstrem berasaskan SUV dan trak pikap. Model terbaharunya dikenali sebagai Fortress, dibangunkan menggunakan platform Ford F-150 Raptor tetapi tampil dengan imej jauh lebih agresif dan futuristik.

Menurut Rezvani, Fortress merupakan “trak super off-road taktikal” yang sesuai digunakan di jalan raya mahupun permukaan mencabar. Jika F-150 Raptor standard sudah cukup garang, Fortress membawa konsep tersebut ke tahap yang lebih ekstrem.

Rekaan lasak bersama naik taraf off-road serius

Rezvani Fortress exteriorBahagian luaran menampilkan bampar keluli yang diperkuat, lampu LED, liang udara pada bonet, fender lebar, lampu tambahan pada bumbung serta rim beadlock dengan tayar off-road bersaiz besar.

Untuk prestasi off-road, Fortress dilengkapi dengan suspensi Fox Live Valve, lengan kawalan yang diperkukuh dan sistem peredam adaptif. Terdapat juga mod pemanduan khas untuk pasir, lumpur, salji, batu dan Baja.

Rezvani mendakwa trak ini mempunyai kelegaan tanah sehingga 15 inci, sudut mendekat 38 darjah dan kemampuan meredah air sedalam 45 inci.

Kabin mewah dengan ciri keselamatan ala tentera

Rezvani Fortress interiorUntuk ruang kabin, pembeli boleh memilih pelbagai konfigurasi tempat duduk dan kemasan dalaman. Namun apa yang lebih menarik, Fortress turut menawarkan ciri perlindungan tambahan seperti perisai balistik, cermin kalis peluru, serta perlindungan Kevlar untuk komponen penting.

Antara ciri tambahan lain termasuk sistem night vision, deadbolt magnetik, pemegang pintu elektrik, siren bersama sistem PA, peti simpanan kecemasan, topeng gas dan kit pertolongan cemas.

Rezvani Fortress interiorPendek kata, Fortress bukan sahaja sebuah kenderaan yang lasak, namun boleh dianggap sebagai ‘kubu’ untuk kelangsungan hidup, sesuai dengan namanya.

Enjin sehingga 850 hp

Rezvani Fortress exteriorPilihan enjin bermula dengan unit 3.5 liter V6 twin-turbo yang menghasilkan sekitar 450 hp. Bagi yang mahukan lebih kuasa, Rezvani turut menawarkan enjin supercharged 5.2 liter V8 dengan kuasa sehingga 850 hp dan 881 Nm.

Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa. Harga jualan bermula dari USD285,000 (RM1.13 juta), tidak termasuk pilihan tambahan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved