Semua kiriman oleh Mr Gear

Peminat segala jenis kenderaan

Drive to Survive siri empat kembali di Netflix, bermula 11 Mac

BUAT peminat suka Formula Satu (F1), ini berita baik buat anda. Netflix telah mengumumkan musim terbaru dokumentari Formula 1: Drive to Survive musim keempat yang akan bersiaran pada 11 Mac 2022, iaitu seminggu sebelum perlumbaan pertama F1 di Bahrain.

Kalendar perlumbaan F1 2022.

Sebelum ini, Netflix telah menyiarkan siri ini sebanyak tiga musim bermula 2019 hingga 2021. Dokumentari ini mengisahkan tentang kehidupan pelumba, pengurus dan juga pemilik pasukan di sebalik tabir perlumbaan F1.

Juga secara eksklusif siri ini menceritakan tentang konflik yang dihadapi sukan berprestij ini dari segi undang-undang, krisis pemilihan dan pertukaran pemandu serta masalah teknikal jentera yang sering dihadapi pasukan bertanding.

Pada siri ketiga yang lalu, dokumentari ini turut menceritakan tentang permasalahan yang dihadapi oleh pasukan F1 serta kesan pembatalan beberapa perlumbaan ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.

Goodyear kini di Lazada dan Shopee

GOODYEAR Malaysia telah melancarkan kedai rasmi dalam talian di platform Lazada dan Shopee. Pelbagai jenis rekaan dan dan saiz produk boleh dipilih bermula dari Goodyear Assurance hinggalah ke Goodyear Eagle.

“Kami sedar trend pembelian dalam talian semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia sejak pandemik bermula,” kata Alex Ng, Pengarah Urusan Goodyear Malaysia.

“Dengan adanya kedai dalam talian ini, kami mampu untuk menawarkan produk serta pengalaman pembelian yang berkualiti kepada pelanggan kami.

“Selain itu, semua tayar yang dibeli secara dalam talian datang dengan jaminan terhad selama lima tahun dan juga perlindungan Worry Free Assurance (WFA) bagi sesetengah produk,” tambahnya lagi.

Bermula 14 Februari hingga 15 Mac 2022, Goodyear Malaysia menawarkan baucar bernilai RM8 bagi setiap pelanggan yang mengikuti Goodyear Shopee Mall serta hadiah eksklusif bagi pembelian dua unit tayar dan kotak peralatan bagi pembelian empat unit tayar.Manakala di Lazada, pelanggan berpeluang untuk mendapatkan set hadiah bernilai RM150 bagi pembelian empat unit tayar, selain payung Goodyear bagi pembelian dua unit tayar.

AirAsia Ride tawar perkhidmatan e-hailing udara, hanya 11 minit ke KLIA

AirAsia bakal menawarkan perkhidmatan e-hailing udara terbaharu mereka iaitu AirAsia Ride. Perkhidmatan ini bakal menggunakan pesawat elektrik vertical take-off and landing (eVTOL).

Hanya 11 minit sahaja masa yang diperlukan untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari KL Sentral menerusi perkhidmatan tersebut dan ianya bakal beroperasi menjelang tahun 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes mengesahkan perkara tersebut melalui perkongsian beliau di Instagram.

Terdahulu, AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) menandatangani kerjasama dengan syarikat penyediaan pesawat Avolon untuk menyewa sekurang-kurangnya 100 unit pesawat kecil jenis VX4 eVTOL.

Pesawat ini mampu membawa empat orang penumpang dengan seorang juruterbang pada satu-satu masa dan mempunyai jarak penerbangan sejauh 161km.

Pada ketika ini, tren Express Rail Link (ERL) KLIA Express merupakan penyedia perkhidmatan terpantas menghubungkan KLIA ke KL Sentral dengan masa perjalanan selama 28 minit.