fbpx

Land Rover Defender oleh ECD Automotive Design – rupa klasik tapi sebenarnya elektrik!

land rover defender elektrik ecd 01

BERPANGKALAN di Kissimmee, Florida, ECD Automotive Design telah menghasilkan restomod Land Rover Defender klasik sejak 2013 lagi, dengan pengeluaran mencecah kira-kira 60 unit setahun.

Untuk projek terbaru syarikat itu, anda tidak akan menemui enjin V8 tersembunyi di sebalik bonetnya. Malah, anda tidak akan menemui sebarang enjin pembakaran dalaman kerana ia dipacu sepenuhnya oleh kuasa elektrik.

Sebenarnya bukan satu tetapi dua buah Defender elektrik telah dibina oleh ECD Automotive Design iaitu Project Britton dan Project Morpheus. Kedua-duanya menampilkan gabungan motor elektrik tunggal dan pek bateri berkapasiti 100kWh yang diperoleh daripada Tesla Model S P100D.

Menurut syarikat itu, motor elektrik tersebut menjana kuasa maksimum sebanyak 450hp yang kemudiannya disalurkan ke keempat-empat roda.

Angka tersebut mungkin tidak setinggi mana namun ia cukup untuk membolehkan jentera moden klasik ini memecut dari 0 hingga 96km/j dalam hanya 5.2saat.

Sementara itu, pek bateri tersebut pula mampu memberikan jarak pemanduan sejauh lebih 350km dengan satu cas penuh, dengan syarat ia dipandu secara cermat.

Project Britton yang ditampilkan ini menampilkan warna Cool Khaki Grey dengan tona sedikit kebiruan, serta set tayar all-terrain BF Goodrich yang dipadankan dengan sistem suspensi udara.

Ruang dalamannya pula diberikan sentuhan mewah menerusi balutan kulit berwarna coklat yang membaluti kerusi depan dan belakang, serta kemasan kayu pada stereng dan papan pemuka.

Apa yang lebih menarik, ruang kargonya menempatkan tempat duduk jenis bangku dan lantai kayu yang membuatkannya kelihatan tidak ubah seperti dek kapal layar.

Gambar-gambar Project Morpheus pula masih belum disiarkan namun difahamkan versi ini mempunyai penampilan yang lebih rugged dengan adanya rak bumbung, pelindung gril dan lampu tambahan.

Bukan itu sahaja, kemampuannya untuk mengharungi permukaan bumi yang mencabar turut dipertingkatkan menerusi penggunaan gandar yang dinaik taraf dan juga Limited-Slip Differential (LSD).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved