fbpx

Permintaan elektrifikasi kereta klasik kian meningkat – Lunaz

Lunaz 05

LUNAZ yang berpengkalan di Silverstone, England, merupakan pakar restorasi dan elektrifikasi kenderaan klasik British dengan menukar enjin asal kepada motor elektrik.

Menurut Lunaz, permintaan untuk proses elektrikfikasi kereta klasik seperti Rolls-Royce, Bentley, Aston Martin, Range Rover dan Jaguar kian meningkat.

Tempahan bagi tahun 2022 dan 2023 telah pun penuh. Untuk memenuhi permintaan ini, Lunaz kini terpaksa menambah tenaga kerja sebanyak 500 peratus menjadi 120 orang pekerja dalam masa 12 bulan.

Lunaz mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 110 unit setahun. Ini termasuklah proses restorasi, rekaan semula serta elektrifikasi. Kapasiti pengeluaran ini sebenarnya telah meningkat sebanyak 50 peratus berbanding tahun 2020.

Menurut Lunaz, proses elektrifikasi kereta klasik telah menarik minat segmen baru bagi pembeli yang inginkan kebolehgunaan, kebolehpercayaan serta kelestarian bagi kegunaan harian.

“Misi Lunaz adalah untuk menentukan masa depan kereta klasik,” kata David Lorenz, pengasas Lunaz.

“Kami mengekalkan masa lalu dengan menerima masa depan dan menjadikan kereta tercantik dalam sejarah kekal relevan,” tambahnya.

Selain pelanggan persendirian, Lunaz turut menerima permintaan dari industri hospitaliti seperti hotel-hotel mewah yang ingin menjadikan limosin klasik yang senyap serta bebas emisi sebagai satu daya tarikan.

Lunaz juga menawarkan pilihan buat pelanggan yang mementingkan alam sekitar. Sebagai contoh penggunaan karpet yang ditenun dari jaring ikan terpakai yang menyerupai karpet asal tenunan bulu kambing.

Syarikat itu berkata penggunaan 100 peratus tekstil kitar semula ditawarkan bagi seluruh kabin selain penggunaan semula tolok bahan api yang menunjukkan kuasa serta status pengecasan bateri.

Motor elektrik yang dipasang Lunaz

Harga untuk proses elektrifikasi ini tidak murah, sebagai contoh:

  • Range Rover klasik: Bermula 290,000 pound (RM1.37 juta)
  • Bentley Continental: Bermula 350,000 pound (RM1.65 juta)
  • Rolls-Royce Phantom V: Bermula 550,000 pound (RM2.60 juta)
  • Aston Martin DB6: Bermula 950,000 pound (RM4.49 juta)
Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved