fbpx

Auto China 2024: Hongqi Guoya, sedan ultra mewah sepanjang 5.3 meter

hongqi-guoya-is-the-175-foot-sedan-fit-for-the-president-233205_1

Bertempat di Beijing Auto Show (Auto China 2024), Hongqi memperlihatkan sedan eksekutif ultra-mewah yang bakal dijual di bawah jenama Golden Sunflower, iaitu Hongqi Guoya.

Sedan mewah Guoya (Guo – bangsa, Ya – elegan) sebelum ini dikenali dengan nama Hongqi L1, di mana sedan ini sebenarnya pernah muncul dengan nama Hongqi L-Concept pada Auto Shanghai 2021.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas berkenaan sedan Hongqi Guoya:

 

1. Dimensi lebih 5.3 meter

Secara asasnya, Hongqi Guoya merupakan sebuah sedan yang agak panjang, dengan ukuran melebihi 5.3 meter (5,353 mm) dengan lebar 1,998 mm dan tinggi 1,511 mm.

Jarak antara roda pula adalah sepanjang 3,260 mm.

Secara standard, Guoya dibekalkan dengan set rim bersaiz 19 atau 20 inci.

 

2. Dua pilihan enjin

Pembeli Guoya boleh mendapatkan sedan mewah ini dengan pilihan enjin 3.0 liter turbo plug-in hybrid (PHEV) berkuasa 389 hp, atau nadi bentangan V8 4.0 liter turbo dengan janaan kuasa 483 hp.

Kedua-dua enjin tersebut didatangkan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan, serta pek bateri ternary lithium yang tidak diketahui kapasitinya.

 

3. Lampu depan canggih

Menurut laporan CarNewsChina, Hongqi Guoya mempunyai sistem lampu depan canggih yang mengguna pakai teknologi pemprosesan lampu digital (DLP).

Dengan adanya sistem DLP ini, lampu depan Guoya boleh memancarkan simbol atau logo ke atas permukaan jalan raya.

 

4. Ada ciri Rolls-Royce

Selain daripada elemen rekaan yang mengingatkan kita kepada model-model Rolls-Royce, Bentley dan Cadillac, Hongqi Guoya juga mempunyai satu ciri unik.

Nampak logo Hongqi yang bertenggek di atas struktur jeriji gergasi di depan?

Logo berbentuk tiga dimensi seakan Spirit of Ecstacy itu sebenarnya boleh disimpan, macam kereta Rolls-Royce!

 

5. Kabin mewah

Masuk ke dalam ruang kabin, anda akan dapat melihat ciri kemewahan yang cuba diterapkan pada Guoya.

Antaranya ialah upholsteri dua tona ungu/putih, kemasan venir kayu yang meluas, serta tidak ketinggalan balutan bahan kulit lembut dan metalik.

Terdapat juga roda stereng dua jejari, trim hitam piano, skrin kluster digital, skrin infohibur bersaiz besar, serta kehadiran jam analog kecil.

6. 4 atau 5 tempat duduk

Hongqi Guoya boleh didapati dalam konfigurasi lima tempat duduk, atau versi empat tempat duduk yang lebih premium.

Untuk versi 4-tempat duduk, kerusi baris belakang menempatkan dua ruang individu yang diasingkan oleh konsol perehat tangan di bahagian tengah.

Konsol tengah itu juga turut menempatkan skrin sentuh untuk kawalan fungsi dalam kenderaan seperti pemanas tempat duduk, urut, dan suhu kabin.

Buat masa ini, Hongqi masih lagi belum mendedahkan harga jualan sebenar.

Namun, tempahan bagi model sedan ini sudah pun dibuka kepada golongan pemimpin tertinggi di seluruh dunia yang mahukan alternatif kepada model-model sedan Rolls-Royce atau Mercedes-Maybach.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved