Arkib Tag: lesen memandu

Kemalangan libatkan warga emas, wajibkan pemeriksaan doktor sebelum perbaharui lesen?

KITA biasa melihat atau membaca laporan kemalangan yang melibatkan warga emas. Kebanyakan insiden sebegini bukanlah pada kelajuan tinggi, cuma faktor umur pemandu yang menyebabkan berlakunya kemalangan.

Tahun lepas contohnya, seorang pemandu warga emas maut dalam kemalangan dipercayai kerana memandu melawan arus.

Untuk kemalangan kecil pula, baru-baru ini contohnya, sebuah trak pikap mengundur dan melanggar pagar rumah jirannya, juga dipandu oleh warga emas. Mujur tiada kecederaan jiwa dilaporkan untuk kes ini.

Gambar oleh: Sinar Harian

Terkini, seorang wanita warga emas berumur 75 tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki yang juga warga emas, berumur 78 tahun, difahamkan akibat tertekan pedal minyak.

Solusi?

Jadi, bagaimana kitab oleh elakkan atau setidak-tidaknya mengurangkan kejadian sebegini?

Pada September 2021, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman pada masa itu, Datuk Azisman Alias mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu.

Cadangan memperkenalkan syarat khas itu katanya adalah untuk tujuan menjaga keselamatan golongan berkenaan sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ini kerana, menurutnya, keadaan kesihatan tubuh badan juga menjadi antara faktor kemalangan dengan penyakit seperti alzheimer dan masalah mata akan dihadapi warga emas.

“Kita lihat kes-kes memandu melawan arus sudah menjadi seperti satu trend pula, ada juga kes melibatkan orang tua berusia 60 dan 70 tahun ke atas. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kemalangan di jalan raya,” kata Azisman.

“Warga emas berusia 70 tahun ke atas ini ada yang mempunyai penyakit mudah lupa atau nyanyuk dan kebanyakan kes lawan arus melibatkan golongan ini disebabkan salah masuk jalan.

“Ada kes sebelum ini warga emas memandu kenderaan memasuki lorong motosikal,” tambahnya.

Menurutnya, syarat seperti warga emas menjalani pemeriksaan doktor dan mendapat surat pengesahan bahawa mereka sihat untuk memandu adalah bagi menjaga keselamatan diri dan pengguna lain.

“Sepatutnya golongan warga emas hanya dibenarkan memperbaharui lesen dengan syarat mempunyai pengesahan daripada doktor yang menyatakan individu berkenaan mampu untuk memandu dari segi mental dan fizikal,” tambahnya.

Di Malaysia, secara amnya tiada ujian kesihatan atau syarat khas melibatkan faktor umur untuk pembaharuan lesen memandu, dan tempoh sah boleh dipilih antara satu hingga lima tahun.

Walaupun ada yang berkata mungkin tidak perlu melakukan ujian kesihatan untuk mereka yang berumur sebelum memperbaharui lesen memandu, mari kita lihatkan syarat yang dipraktikkan di seluruh dunia.

Asia

Di Jepun, sebuah negara yang menurut kajian oleh Population Research Bureau pada 2019 mempunyai populasi tertua di dunia, memerlukan pemandu berusia 71 tahun ke atas untuk memperbaharui lesen setiap tiga tahun, berbanding lima tahun kebiasaannya.

Gambar oleh: Bloomberg

Mereka yang berusia lebih 75 tahun pula harus mengambil ujian khas untuk memperbaharui lesen. Mereka yang semasa ujian disyaki mengalami dementia perlu menjalan ujian kesihatan.

Jiran kita, Singapura, mewajibkan mereka yang berumur 65 tahun ke atas untuk memperbaharui lesen setiap tiga tahun.

Mereka yang berusia lebib 75 tahun dilarang memandu kenderaan seperti bas, lori, dan jentera berat seperti kren.

Di Indonesia, semua pemandu tanpa mengira usia perlu mengambil ujian penglihatan semasa memperbaharui lesen, dan sah hanya untuk lima tahun.

Di Kora Selatan pula, semua pemandu perlu mengambil ujian aptitud sebelum memperbaharui lesen. Walaubagaimanapun, pemandu berusia lebih 75 tahun hanya boleh memperbaharui lesen untuk tiga tahun, berbanding pemandu muda yang dibenarkan sehingga 10 tahun.

Eropah

Di UK, pemandu berusia tidak memerlukan sebarang ujian untuk memperbaharui lesen, tetapi mereka perlu memohon semula lesen pada umur 70 dan setiap tiga tahun kemudiannya.

Sebagai tambahan, mereka yang berusia lebih 70 tahun mesti mengisytiharkan bahawa mereka sihat dan mampu memandu serta penglihatan mereka menepati syarat minima untuk memandu.

Tetapi mereka dalam kategori usia ini yang mahu memandu kenderaan komersial saiz sederhana atau bas mini perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Negara-negara Eropah lain mengamalkan undang-undang lebih ketat. Di Belanda, pemeriksaan kesihatan diwajibkan setiap lima tahun untuk pemandu berusia lebih 70 tahun.

Di Itali pula, ujian kesihatan diperlukan untuk memperbaharui lesen tanpa mengira umur, tetapi kekerapannya meningkat dari setiap 10 tahun untuk di bawah umur 50, kepada setiap tiga tahun untuk mereka yang melebih 70 tahun.

Pengangkutan awam

Penulis rasa tidak perlu berkongsi syarat pembaharuan lesen di semua benua dan semua negara dalam dunia ini, kami rasa anda pun dapat agak kebanyakannya mengenakan syarat yang agak ketat bagi membolehkan warga emas memandu.

Tetapi dari sudut lain, faktor pengangkutan awam juga memainkan peranan. Di negara-negara maju dengan pembinaan bandar terancang, terdapat jaringan pengangkutan awam yang menyeluruh dan komprehensif, jadi tiada keperluan untuk warga emas memandu sendirian.

Warga emas juga sering diberi keutamaan seperti tiket/pas percuma, tidak perlu beratur, atau keutamaan tempat duduk.

Gambar oleh: Kosmo Digital

Ini belum dikira dengan infrastruktur seperti laluan pejalan kaki dan lintasan pejalan kaki yang konsisten, lengkap dan berkeadaan baik, menyokong lagi kebolehan warga emas (atau mana-mana penduduk) untuk berjalan sedikit ke stesen pengangkutan awam, dalam jarak kurang 500 meter contohnya.

Untuk Malaysia, penulis rasa anda pun faham perkara-perkara ini seperti sudah terlambat untuk dibaiki. Sistem pengangkutan awam di bandar-bandar utama tidak cukup menyeluruh, walaupun sentiasa ditambah baik.

Gambar oleh: Reddit

Tetapi paling menyedihkan bagi penulis ialah infrastruktur jalan raya yang langsung tidak mesra pejalan kaki, buat seperti melepaskan batok di tangga.

Ada tempat pejalan kaki, tetapi ada masalah seperti permukaan licin, ‘dirosakkan’ oleh akar pokok-pokok besar yang tidak diperlukan, ada bahagian landai untuk penunggang basikal turun melintas jalan tetapi tidak cukup sifat, terlalu banyak.

Masalahnya tiada standard atau ketetapan dalam pembinaan infrastruktur sebegini. Anda pergi ke Ampang, rekaannya begini. Anda pergi ke Petaling Jaya, bentuknya begini.

Kenapa tidak boleh gunakan rekaan yang sama untuk satu bandar seperti di luar negara? Mungkin #ytjt.

Perkara ini tidak mungkin diselesaikan dalam tempoh sebulan dua, tetapi jika mereka yang bertanggungjawab ada rasa integriti dalam diri, mungkin boleh mulakan dari sekarang untuk penambah baikan sedikit demi sedikit.

Rujukan berita: Berita Harian, Malay Mail

Dasar baharu lesen memandu bakal mudahkan golongan muda, diumum minggu depan

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) dijangka mengumumkan satu dasar baharu berkaitan lesen memandu yang bakal memanfaatkan golongan muda, minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata dasar baharu itu akan memudahkan golongan muda, khususnya yang masih belum memiliki lesen memandu untuk mendapatkan lesen berkenaan.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

“Ada satu lagi inisiatif akan saya umumkan pada minggu depan yang bakal memberikan kesenangan kepada golongan muda, khususnya yang belum mendapatkan lesen memandu.

“Inisiatif yang akan diumumkan ini satu dasar baharu yang boleh memudahkan pemohon lesen memandu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat semalam.

Anthony menambah bahawa pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat menjadi kerangka ekonomi baharu di bawah Kerajaan Perpaduan, yang menggariskan visi dan matlamat jelas untuk dijadikan matlamat kepada semua jentera kerajaan.

Katanya, pengumuman itu juga memperkukuhkan lagi komitmen kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan beberapa projek penting negara, khususnya pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3), LRT di Pulau Pinang dan projek pengangkutan di Johor.

“Komitmen ini juga merangkumi jaringan bas dari luar bandar ke bandar dan juga dalam bandar di Sabah dan Sarawak. Projek ini akan diberi perhatian dan dilaksanakan.

‘Yang penting juga agenda pendigitalan dalam perkhidmatan kita. MOT akan memberi pengkhususan untuk mendigitalisasikan perkhidmatan kita, terutama perkhidmatan JPJ dan memudahcarakan rakyat dalam segala urusan kerajaan,” katanya.

JPJ tetap ambil tindakan terhadap pemegang lesen 10 tahun yang ingkar

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke berkata walaupun pemegang lesen sudah memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun, tindakan penguatkuasaan tetap akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan jalan raya.

Menurut Loke, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai sistem yang mampu mengesan pesalah dan tindakan seperti penggantungan lesen atau menarik lesen bagi kesalahan tertentu tetap dilakukan.

“Walaupun ada pihak mendakwa dengan cara ini orang tidak bayar saman dan sebagainya, kami ada cara lain iaitu digital. Kalau mereka ada kesalahan seperti kes kemalangan, hukuman gantung lesen mereka tetap dilakukan, bukan bermaksud pemegang lesen itu sudah bayar (lesen) tidak akan digantung,” katanya.

Loke sebelum ini telah mengumumkan rakyat Malaysia boleh memperbaharui LMM untuk tempoh sehingga 10 tahun di pejabat atau kaunter JPJ.

Pemegang LMM yang memperbaharui lesen memandu mereka untuk tempoh maksimum itu akan menikmati diskaun 10 peratus.

“Cuma bayar RM270 berbanding RM300. Itu adalah dasar baharu yang kami perkenalkan untuk memudahkan orang ramai. Saya banyak mendapat maklum balas dan permintaan daripada orang ramai tempoh untuk memperbaharui lesen memandu dipanjangkan,” katanya.

Kini anda boleh perbaharui lesen memandu sehingga 10 tahun

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan dua inisiatif yang akan akan memudahkan urusan pemegang lesen memandu di Malaysia.

Pertama sekali, bermula 8 Mei rakyat Malaysia boleh memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh sehingga 10 tahun.

“Mana-mana pemegang LMM yang memperbaharui lesen mereka untuk tempoh 10 tahun sekali gus hanya akan dikenakan bayaran untuk tempoh sembilan tahun sahaja,” kata Loke.

Ini bermakna pemegang LMM yang memperbaharui lesen memandu mereka untuk tempoh 10 tahun hanya perlu membayar RM270 dan menikmati penjimatan sebanyak RM30.

Menurut Loke lagi, mereka yang berminat perlu memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

Beliau memaklumkan, inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja. Pembaharuan untuk tempoh 10 tahun ini juga hanya boleh dilakukan di pejabat atau kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja.

Inisiatif kedua yang diumumkan adalah semua pemandu dengan LMM yang tamat tempoh sah laku bermula 1 Januari 2018 boleh melakukan pembaharuan tanpa perlu mengambil semula ujian.

Loke berkata inisiatif ini mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 dan kekangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM mereka kerana tidak dapat pulang ke tanah air.

“MOT akan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM yang telah tamat tempoh sah laku untuk memperbaharui LMM masing-masing tanpa perlu menjalani semula ujian,” beliau berkata kepada pemberita.

Inisiatif ini sah sehingga 31 Disember tahun ini dan peraturan sedia ada akan berkuat kuasa semula pada 1 Januari 2024.

Satu ujian teori sahaja untuk ambil lesen kereta dan motosikal

UJIAN teori bagi mereka yang ingin mengambil lesen kereta dan motosikal akan diseragamkan semula tidak lama lagi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurut Loke, ramai pemandu memberitahunya bahawa mereka terpaksa mengambil ujian teori untuk lesen motosikal mereka, dan mengulangi proses yang sama untuk lesen memandu kereta.

“Ini tidak seperti dulu di mana kita hanya perlu melengkapkan ujian teori sekali sahaja untuk kedua-dua lesen. Saya rasa kita boleh ringkaskannya untuk mengurangkan beban orang ramai,” katanya dalam satu temu ramah radio baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, cadangan itu telah dikemukakan semasa beliau menjadi Menteri Pengangkutan pada 2018.

Di bawah peraturan sedia ada, sesiapa yang ingin memperoleh lesen motosikal dan lesen kereta secara berasingan perlu menduduki dua ujian teori.

Foto: Metro Driving Academy

Ujian berkenaan mempunyai 50 soalan aneka pilihan, dengan calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 42 soalan dengan betul untuk lulus.

Sementara itu, ujian teori untuk mereka yang ingin mengambil kedua-dua lesen motosikal dan kereta secara serentak mengandungi 70 soalan dan calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 59 soalan dengan betul.

Dalam masa yang sama, Loke berkata beliau akan membuat satu kenyataan berkenaan lanjutan tempoh sah lesen memandu yang mana buat masa ini boleh diperbaharui sehingga tempoh maksimum lima tahun.

Menurut Loke, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan untuk melanjutkan tempoh tersebut kepada 10 tahun.

Gadis Sweden ini boleh pandu BMW walaupun berusia 15 tahun, kelajuan tak lebih 30km/j

WALAUPUN masih muda, gadis ini sudahpun boleh memandu BMW baharu di Sweden. Evelina Christiansen, 15, boleh memandu secara sah berikutan satu undang-undang di Sweden yang berusia hampir 100 tahun.

Undang-undang itu mengatakan remaja berumur sekurang-kurangnya 15 tahun dibenarkan memandu asalkan kelajuan kenderaan dihadkan kepada 30km/j.

Dikenali sebagai “A-traktor”, kereta-kereta ini semakin popular dan ia membuatkan pihak berkuasa bimbang akan peningkatan kemalangan jalan raya.

“Saya mendapatnya setahun lepas, pada April, untuk hadiah hari jadi saya,” kata Evelina yang memandu BMW 5-Series berwarna biru gelap dan tinggal di pinggir bandar Stockholm.

Hadiah itu merupakan ganjaran istimewa dari pencapaian cemerlangnya di sekolah.

Situasi ini pastinya agak janggal bagi kita yang biasanya hanya boleh menunggang kapcai atau skuter pada umur sebegini. Tetapi remaja di Sweden sudah boleh memandu secara sah. Malah di kawasan-kawasan elit Stockholm, mereka sering dilihat memandu Porsche Cayenne.

“Saya selalu memandunya untuk ke sekolah atau bertemu dengan kawan-kawan,” kata Evelina.

Terdapat tanda amaran segi tiga di belakang menunjukkan kenderaan yang bergerak perlahan, ianya wajib untuk “A-traktor”.

Tempat duduk belakang juga mesti dikeluarkan supaya kenderaan ini hanya boleh memuatkan pemandu dan satu penumpang.

Sistem ini nampaknya sangat longgar, bertentangan dengan negara yang dikenali sebagai juara dalam keselamatan jalan raya. Malah, tali pinggang keledar tiga-poin juga dicipta oleh Sweden.

Mungkin remaja yang memandu berada di bawah pemantauan rapat ibu-bapa mereka, dan kadar kemalangan mereka cukup rendah. Bolehkah sistem sebegini dibuat di Malaysia untuk membenarkan remaja 15 tahun memandu?

Lesen memandu boleh diperbaharui hingga 10 tahun?

KERAJAAN sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh pembaharuan lesen memandu hingga 10 tahun, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurut beliau, pegawai Kementerian Pengangkutan telah diarahkan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan itu.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga bercadang untuk menawarkan diskaun kepada mereka yang memperbaharui lesen memandu hingga 10 tahun.

Langkah ini bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia memperbaharui lesen mereka untuk tempoh yang lebih lama.

Buat masa ini, lesen memandu Malaysia boleh diperbaharui setiap tahun atau maksimum lima tahun.

Dalam pada itu, Loke turut berkata bahawa kementeriannya sedang menjalankan kajian mengenai struktur cukai jalan semasa untuk mengurangkan kosnya.

“Kita mesti faham bahawa cukai jalan adalah sumber pendapatan yang besar kepada kerajaan, hampir RM3 bilion. Setakat ini, tiada keputusan dibuat mengenai perkara itu tetapi saya akan mempertimbangkannya,” kata beliau.

Sebelum ini, Loke mengumumkan bahawa lesen kenderaan bermotor tidak lagi perlu dipamerkan pada kenderaan milik persendirian rakyat Malaysia.

Lesen memandu khas untuk trak pikap bagi bendung kemalangan – Ketua Jurulatih TIC Advanced Driving Academy

KERAJAAN disarankan supaya mewujudkan lesen memandu khas untuk pemandu trak pikap ekoran banyak kes kemalangan maut yang melibatkan kenderaan jenis itu di negara ini.

Ketika ini, sesiapa sahaja boleh memandu trak pikap asalkan mempunyai lesen Kelas D ia­itu motokar berat tanpa muatan tidak melebihi 3,500 kilogram.

Ketua Jurulatih TIC Advanced & Performance Driving Academy, Azad Jasmi berkata: “Lesen memandu khas itu penting supaya pemandu trak pikap memiliki kemahiran serta teknik pengendalian kenderaan dengan cara yang betul dan selamat.”

Menurutnya, lesen Kelas D yang digunakan pemandu pa­cuan empat roda ketika ini tidak sesuai dengan cara pengendaliannya yang berbeza dengan kereta lain.

“Jika sebelum ini, kebanyakan mereka yang mengambil lesen memandu Kelas D akan berlatih dengan menggunakan kereta jenis Perodua Kancil atau Axia.

 

“Bagaimanapun, selepas mendapat lesen, mereka pandu pacuan empat roda yang mempunyai fizikal yang jauh lebih besar, tinggi serta enjin yang lebih berkuasa,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Azad memberitahu, secara umumnya pacuan empat roda digunakan untuk mengangkut barang atau beban dan ­ken­de­­ra­an tersebut tidak boleh dipandu terlalu laju.

Jelasnya, kedudukan titik graviti trak pikap adalah lebih tinggi menyebabkan ia menjadi kurang stabil berbanding kende­raan yang lebih rendah dan dekat dengan permukaan jalan.

“Lebih teruk apabila sikap pemilik yang tidak mengenali secara menyeluruh sifat kenderaan itu dan terus memandu laju sehingga hilang kawalan dan mudah untuk memasuki laluan bertentangan atau terbabas,” ujarnya.

Justeru, Azad mencadangkan supaya pemandu trak pikap perlu memiliki lesen memandu khas seperti pemandu lori dan bas iaitu Lesen Memandu Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Lesen Kende­raan Pe­ngangkutan Awam (PSV).

“Keupayaan pengendalian dan memahami karakter sesebuah pacuan empat roda ini penting kerana jika berlaku kecemasan, pemandu akan tahu cara yang selamat untuk membrek supaya kereta itu tidak berpusing atau terbalik,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Jalan raya Kebangsaan, Datuk Mohammad Hisham Shafie pula berkata, mana-mana individu yang mahu memandu trak pikap juga perlu menjalani latihan atau kursus bagi meningkatkan advokasi.

Katanya, antara sebab utama kemalangan masih ber­ulang disebabkan sikap pemandu selain terdapat perbezaan antara cara pemanduan pikap dengan kereta.

“Kita sedia maklum bahawa trak pikap adalah lebih besar dan memiliki kuasa yang lebih tinggi menyebabkan segelintir pemandu tidak mahu bertolak ansur dan juga bersikap ego.

“Jadi, satu program advokasi melibatkan teknik memandu dan pemanduan berhemah perlu diterapkan dalam sistem sedia ada,” ujarnya.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan institut memandu juga disarankan untuk melakukan pemeriksaan ke atas pemandu untuk tempoh tiga tahun hingga lima tahun sekali bagi memastikan mereka layak untuk mengendalikan kenderaan itu.

“Sepatutnya selepas individu ambil lesen, pemandu perlu menjalani semula latihan, teori dan praktikal dalam tempoh tiga hingga lima tahun sekali.

“Ini bagi memastikan kompetensi dan kecekapan pemandu adalah berada pada tahap yang baik dan memuaskan,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan, penguatkuasaan un­dang-undang juga perlu ditingkatkan supaya tiada individu memandang ringan terhadap peraturan sedia ada.

‘Ikon permotoran’ disaman gara-gara tiada lesen

LEMAHHH! Itu sahaja yang mampu diucapkan apabila mendapat laporan bahawa seorang ‘influencer’ yang dikenali sebagai ikon permotoran disaman gara-gara tidak mempunyai lesen memandu.

Lelaki itu yang lebih dikenali sebagai Haqiem Stopa disaman dalam pemeriksaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut, baru-baru ini.

Difahamkan, dia yang berusia 20-an berkenaan ditahan ketika sedang memandu sebuah Audi kira-kira pukul 11 malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengesahkan kejadian berkenaan yang berlaku ketika operasi motosikal dan pelbagai kesalahan dijalankan JSPT KL.

“Tindakan saman telah diambil terhadap sebuah kenderaan jenis Audi berwarna hitam di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak mempamerkan nombor pendaftaran di bahagian hadapan kenderaan.

“Selain itu, tindakan saman turut dikenakan kerana memandu tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular hari ini di media sosial memaparkan gambar saman polis trafik yang dimuat naik di Facebook berhubung seorang ‘influencer’ disaman kerana tiada lesen memandu.

Wanita ditahan di Australia kerana guna ‘lesen terbang’

SEORANG wanita telah ditahan di Australia kerana menunjukkan lesen memandu palsu. Lesen itu juga lengkap dengan kelas B penuh untuk motosikal 500cc dan ke atas.

Perkara ini tular di media sosial selepas dikongsi oleh laman Facebook Traffic and Highway Patrol Command – NSW Police Force semalam.

Menurut posting itu, polis NSW telah membuat pemeriksaan dengan INTERPOL dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pengesahan lesen itu, sebelum ia disahkan sebagai palsu.

Polis NSW telah memberi amaran dan bertanya kepada pemandu itu, dan dia kemudiannya mengaku, “Saya suruh orang buatkan.”

Pemandu tersebut yang ditahan semasa memandu Honda Accord sedan kini tinggal di New South Wales selama enam tahun lepas dengan visa.

Dia didakwa di mahkamah Griffith Local Court pada 13 April 2022 di atas kesalahan “mempunyai dokumen palsu untuk memperdaya petugas awam”. Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman maksima 10 tahun penjara.

Ya, lesen dan IC (kad pengenalan) palsu bukanlah perkara baharu di Malaysia. Tetapi jika sehingga tahap rakyat Malaysia berani menggunakannya di luar negara, boleh dikira suatu perkara yang berat.

Menurut laporan oleh FMT baru-baru ini, lesen memandu palsu diiklankan secara terbuka melalui media sosial. Ia berharga serendah RM180 untuk GDL atau PSV, RM200 untuk B2 atau RM350 untuk B penuh, serta RM450 untuk kelas D.

Selain itu, The Sun Daily pada 2018 pernah melaporkan bahawa terdapat kira-kira 14,000 lesen memandu palsu – juga dikenali sebagai Lesen Terbang – telah dikenalpasti.

Warga emas boleh terus memandu – Menteri Pengangkutan

WARGA emas berumur 70 tahun dan ke atas tidak perlu menyerahkan lesen memandu mereka, kata Menteri Pengangkuta, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata kepada Dewan Rakyat bahawa kementeriannya tidak pernah menetapkan syarat sebegitu kerana kecekapan memandu bukan berdasarkan umur seseorang.

“Kecekapan (memandu) adalah berlainan. Macam YB Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) beliau dapat memandu dengan baik. Jauh lebih baik daripada orang lebih muda. Tidak boleh ada diskriminasi,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Menteri itu juga mengesahkan warga emas akan diberikan lesen memandu jika mereka mampu berbuat demikian.

Dr Wee Ka Siong. Sumber: Malay Mail

Dr Wee pada Sabtu lepas berkata, “Mengehadkan umur untuk lesen memandu warga emas sepatutnya menjadi pilihan terkahir melainkan terbukti mereka tidak mampu memandu.” Menurutnya, isu itu perlu dilihat dengan skop lebih luas dan bukan dari faktor umur semata-mata.

Menjawab soalan asal Syed Ibrahim, statistik kemalangan jalan raya membabitkan kesalahan pemanduan lawan arus, Ka Siong berkata, sebanyak 807 kes dicatatkan sejak Januari lalu.

“Berdasarkan data Kementerian Dalam Negeri (KDN), statistik kemalangan jalan raya membabitkan kesalahan memandu lawan arus adalah 29 kes menyebabkan maut, parah (17), cedera ringan (49) dan kenderaan rosak (712).

“Kajian mendapati bahawa faktor manusia adalah penyumbang utama kepada berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutamanya yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus (seperti menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah) dan tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Boleh perbaharui lesen memandu dan cukai jalan di Pos Malaysia mulai hari ini

Mereka yang berhasrat memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan boleh mendapatkan kemudahan itu di semua cawangan Pos Malaysia di seluruh negara bermula hari ini.

Dalam satu kenyataan, Pos Malaysia berkata, bagi mereka yang sudah mendapat temu janji di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh terus ke JPJ di tarikh dan lokasi ditetapkan atau ke mana-mana cawangan pejabat pos.

“Pelanggan juga boleh memperbaharui insurans motor mereka di kaunter pejabat pos atau dalam talian melalui laman sesewang dan aplikasi mudah alih,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut bolehlah melayari AskPos di www.pos.com.my atau terus ke aplikasi mudah alih Pos Malaysia.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan tempoh moratorium untuk memperbaharui lesen kenderaan bermotor dan lesen memandu dilanjutkan hingga 31 Disember 2021.