fbpx

Kemalangan libatkan warga emas, wajibkan pemeriksaan doktor sebelum perbaharui lesen?

warga emas kemalangan

KITA biasa melihat atau membaca laporan kemalangan yang melibatkan warga emas. Kebanyakan insiden sebegini bukanlah pada kelajuan tinggi, cuma faktor umur pemandu yang menyebabkan berlakunya kemalangan.

Tahun lepas contohnya, seorang pemandu warga emas maut dalam kemalangan dipercayai kerana memandu melawan arus.

Untuk kemalangan kecil pula, baru-baru ini contohnya, sebuah trak pikap mengundur dan melanggar pagar rumah jirannya, juga dipandu oleh warga emas. Mujur tiada kecederaan jiwa dilaporkan untuk kes ini.

Gambar oleh: Sinar Harian

Terkini, seorang wanita warga emas berumur 75 tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki yang juga warga emas, berumur 78 tahun, difahamkan akibat tertekan pedal minyak.

Solusi?

Jadi, bagaimana kitab oleh elakkan atau setidak-tidaknya mengurangkan kejadian sebegini?

Pada September 2021, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman pada masa itu, Datuk Azisman Alias mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu.

Cadangan memperkenalkan syarat khas itu katanya adalah untuk tujuan menjaga keselamatan golongan berkenaan sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ini kerana, menurutnya, keadaan kesihatan tubuh badan juga menjadi antara faktor kemalangan dengan penyakit seperti alzheimer dan masalah mata akan dihadapi warga emas.

“Kita lihat kes-kes memandu melawan arus sudah menjadi seperti satu trend pula, ada juga kes melibatkan orang tua berusia 60 dan 70 tahun ke atas. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kemalangan di jalan raya,” kata Azisman.

“Warga emas berusia 70 tahun ke atas ini ada yang mempunyai penyakit mudah lupa atau nyanyuk dan kebanyakan kes lawan arus melibatkan golongan ini disebabkan salah masuk jalan.

“Ada kes sebelum ini warga emas memandu kenderaan memasuki lorong motosikal,” tambahnya.

Menurutnya, syarat seperti warga emas menjalani pemeriksaan doktor dan mendapat surat pengesahan bahawa mereka sihat untuk memandu adalah bagi menjaga keselamatan diri dan pengguna lain.

“Sepatutnya golongan warga emas hanya dibenarkan memperbaharui lesen dengan syarat mempunyai pengesahan daripada doktor yang menyatakan individu berkenaan mampu untuk memandu dari segi mental dan fizikal,” tambahnya.

Di Malaysia, secara amnya tiada ujian kesihatan atau syarat khas melibatkan faktor umur untuk pembaharuan lesen memandu, dan tempoh sah boleh dipilih antara satu hingga lima tahun.

Walaupun ada yang berkata mungkin tidak perlu melakukan ujian kesihatan untuk mereka yang berumur sebelum memperbaharui lesen memandu, mari kita lihatkan syarat yang dipraktikkan di seluruh dunia.

Asia

Di Jepun, sebuah negara yang menurut kajian oleh Population Research Bureau pada 2019 mempunyai populasi tertua di dunia, memerlukan pemandu berusia 71 tahun ke atas untuk memperbaharui lesen setiap tiga tahun, berbanding lima tahun kebiasaannya.

Gambar oleh: Bloomberg

Mereka yang berusia lebih 75 tahun pula harus mengambil ujian khas untuk memperbaharui lesen. Mereka yang semasa ujian disyaki mengalami dementia perlu menjalan ujian kesihatan.

Jiran kita, Singapura, mewajibkan mereka yang berumur 65 tahun ke atas untuk memperbaharui lesen setiap tiga tahun.

Mereka yang berusia lebib 75 tahun dilarang memandu kenderaan seperti bas, lori, dan jentera berat seperti kren.

Di Indonesia, semua pemandu tanpa mengira usia perlu mengambil ujian penglihatan semasa memperbaharui lesen, dan sah hanya untuk lima tahun.

Di Kora Selatan pula, semua pemandu perlu mengambil ujian aptitud sebelum memperbaharui lesen. Walaubagaimanapun, pemandu berusia lebih 75 tahun hanya boleh memperbaharui lesen untuk tiga tahun, berbanding pemandu muda yang dibenarkan sehingga 10 tahun.

Eropah

Di UK, pemandu berusia tidak memerlukan sebarang ujian untuk memperbaharui lesen, tetapi mereka perlu memohon semula lesen pada umur 70 dan setiap tiga tahun kemudiannya.

Sebagai tambahan, mereka yang berusia lebih 70 tahun mesti mengisytiharkan bahawa mereka sihat dan mampu memandu serta penglihatan mereka menepati syarat minima untuk memandu.

Tetapi mereka dalam kategori usia ini yang mahu memandu kenderaan komersial saiz sederhana atau bas mini perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.

Negara-negara Eropah lain mengamalkan undang-undang lebih ketat. Di Belanda, pemeriksaan kesihatan diwajibkan setiap lima tahun untuk pemandu berusia lebih 70 tahun.

Di Itali pula, ujian kesihatan diperlukan untuk memperbaharui lesen tanpa mengira umur, tetapi kekerapannya meningkat dari setiap 10 tahun untuk di bawah umur 50, kepada setiap tiga tahun untuk mereka yang melebih 70 tahun.

Pengangkutan awam

Penulis rasa tidak perlu berkongsi syarat pembaharuan lesen di semua benua dan semua negara dalam dunia ini, kami rasa anda pun dapat agak kebanyakannya mengenakan syarat yang agak ketat bagi membolehkan warga emas memandu.

Tetapi dari sudut lain, faktor pengangkutan awam juga memainkan peranan. Di negara-negara maju dengan pembinaan bandar terancang, terdapat jaringan pengangkutan awam yang menyeluruh dan komprehensif, jadi tiada keperluan untuk warga emas memandu sendirian.

Warga emas juga sering diberi keutamaan seperti tiket/pas percuma, tidak perlu beratur, atau keutamaan tempat duduk.

Gambar oleh: Kosmo Digital

Ini belum dikira dengan infrastruktur seperti laluan pejalan kaki dan lintasan pejalan kaki yang konsisten, lengkap dan berkeadaan baik, menyokong lagi kebolehan warga emas (atau mana-mana penduduk) untuk berjalan sedikit ke stesen pengangkutan awam, dalam jarak kurang 500 meter contohnya.

Untuk Malaysia, penulis rasa anda pun faham perkara-perkara ini seperti sudah terlambat untuk dibaiki. Sistem pengangkutan awam di bandar-bandar utama tidak cukup menyeluruh, walaupun sentiasa ditambah baik.

Gambar oleh: Reddit

Tetapi paling menyedihkan bagi penulis ialah infrastruktur jalan raya yang langsung tidak mesra pejalan kaki, buat seperti melepaskan batok di tangga.

Ada tempat pejalan kaki, tetapi ada masalah seperti permukaan licin, ‘dirosakkan’ oleh akar pokok-pokok besar yang tidak diperlukan, ada bahagian landai untuk penunggang basikal turun melintas jalan tetapi tidak cukup sifat, terlalu banyak.

Masalahnya tiada standard atau ketetapan dalam pembinaan infrastruktur sebegini. Anda pergi ke Ampang, rekaannya begini. Anda pergi ke Petaling Jaya, bentuknya begini.

Kenapa tidak boleh gunakan rekaan yang sama untuk satu bandar seperti di luar negara? Mungkin #ytjt.

Perkara ini tidak mungkin diselesaikan dalam tempoh sebulan dua, tetapi jika mereka yang bertanggungjawab ada rasa integriti dalam diri, mungkin boleh mulakan dari sekarang untuk penambah baikan sedikit demi sedikit.

Rujukan berita: Berita Harian, Malay Mail

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved