Arkib Tag: aston martin

Aston Martin DBX707 2025 kini dengan ruang kabin yang lebih praktikal

Pesaing kepada SUV mewah Bentley Bentayga dan Mercedes-Benz G-Class, Aston Martin DBX telah dikemaskini untuk penawaran model tahun 2025.

Apa yang menariknya, Aston Martin DBX707 kini menjadi satu-satunya varian yang ditawarkan oleh pengeluar automotif mewah Britain tersebut, disebabkan populariti yang tinggi di kalangan peminatnya.

Ada beberapa perubahan yang dibawakan pada model DBX707 tahun 2025 ini, antaranya:

 

1. Lima warna baharu, rim 23 inci

Aston Martin menawarkan sehingga lima warna baharu, iaitu Epsilon Black, Helios Yellow, Sprint Green, Malachite Green dan Aura Green sebagai tambahan kepada warna eksklusif Podium Green untuk model AMR23 Edition.

Secara standard, DBX707 dibekalkan dengan rim bersaiz 22 inci, sementara opsyen rim 23 inci pula didatangkan dengan dua kemasan baharu iaitu Satin Black (rekaan Fortis) dan Copper Bronze (rekaan Forged).

Tidak banyak perubahan dibawakan pada bahagian luar, melainkan rekaan pemegang pintu tertanam yang boleh timbul saat kereta dinyahkunci, serta rekaan cermin sisi baharu yang mengintegrasikan kamera untuk fungsi parkir 3D.

 

2. Ruang kabin yang lebih praktikal

Diinspirasikan daripada DB12 dan Vantage, ruang kabin DBX707 membawakan perubahan besar di mana ia kini menampilkan skrin kluster digital 12.3 inci yang lebih besar, serta sistem infohibur generasi baharu bersaiz 10.25 inci di bahagian tengah.

Ia bukan sahaja menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, akan tetapi ia juga turut memasukkan sekali fungsi kawalan iklim.

Untuk memudahkan urusan pemandu, Aston Martin DBX707 masih lagi mengekalkan butang fungsi mekanikal fizikal yang penting seperti penukaran gear, mod pemanduan, fungsi pemanasan dan aliran udara, diikuti butang kawalan untuk tetapan kenderaan seperti suspensi, ekzos, ESP, bantuan kekal lorong dan kawalan jarak parkir.

 

3. Tiga pilihan trim

DBX707 turut membawakan rekaan roda stereng baharu, serta panel venir pintu depan yang lebih besar dan boleh dipadankan dengan pelbagai pilihan bahan termasuklah kayu oak dan jaring titanium berkilat, serta kemasan venir kayu ziricote, hitam piano atau gentian karbon.

Bukan itu sahaja, terdapat tiga pilihan trim yang tersedia, iaitu Inspire Comfort (kemasan fabrik berlapis dan sulaman matriks), Inspire Sport (sulaman vektor dan Alcantara), serta Q by Aston Martin yang memberikan lebih kebebasan kepada pemilik untuk menentukan bahan yang terbaik untuk bahagian tersebut.

 

4. Sistem audio untuk golongan audiophiles

Secara standard, Aston Martin DBX707 datang dengan sistem audio Aston Martin Premium 800W dengan 14 pembesar suara dan pemprosesan bunyi keliling QuantumLogic® untuk pengalaman bunyi yang lebih mendalam.

Namun untuk golongan audiophiles, terdapat opsyen untuk memadankan sistem bunyi daripada Bowers & Wilkins 1,600W dengan tetapan 23 pembesar suara, subwoofer, bass, tweeter Aluminium Double Dome dan pembesar suara midrange Continuum®.

 

5. Kuasa 707 PS, 900 Nm

Unit rangkaian kuasa yang asal masih lagi dikekalkan di mana nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar itu mampu menjana kuasa setinggi 707 PS dan 900 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik klac basah sembilan nisbah kelajuan.

Dengan bantuan sistem pacuan semua roda, DBX707 mampu memecut sepantas 3.1 saat dari 0-96 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 311 km/j.

Memastikan SUV pantas ini berhenti dengan berkesan ialah penggunaan sistem brek seramik karbon yang terdiri daripada rotor bersaiz 420 mm depan dan 390 mm di bahagian belakang.

 

 

Aston Martin Vantage 2025 lebih berkuasa, lincah dan tangkas

SETELAH enam tahun berada di pasaran, Aston Martin Vantage kini diberikan kemaskini yang meliputi aspek dari segi reka bentuk, prestasi dan casis.

Untuk bahagian luaran, Vantage dikatakan mengambil inspirasi daripada One-77 dengan badan yang lebih lebar (+30 mm) dan rekaan bahagian hadapan baharu yang menampilkan gril yang lebih besar.

Menurut Aston Martin, gril berkenaan meningkatkan aliran udara sebanyak 29% untuk membantu penyejukan, dibantu dengan liang udara pada bahagian kiri dan kanan bampar. Splitter baharu pula meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.

Ruang dalaman pula menampilkan susun atur serba baharu yang menampilkan corong pendingin hawa yang lebih langsing dan skrin sentuh berukuran 10.25 inci yang sama seperti yang terdapat pada DB12.

Selain itu, terdapat juga sistem audio Aston Martin dengan 11 pembesar suara dan suis kawalan untuk casis, ESP, ekzos serta sistem bantuan pemandu seperti Lane Assist dan Park Distance Control.

Sebagai alternatif, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan sistem audio Bowers & Wilkins berkapasiti 1,170 watt yang mempunyai 15 pembesar suara, termasuk subwoofer dan tweeter aluminium.

Vantage masih kekal dengan enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang dihasilkan oleh Mercedes-AMG namun enjin berkenaan kini menjana 665 PS dan 800 Nm, mewakili peningkatan sebanyak 155 PS dan 115 Nm berbanding sebelum ini.

Output yang lebih tinggi ini dicapai menerusi ubahsuai terhadap cam profile dan nisbah mampatan, serta penggunaan pengecas turbo yang lebih besar.

Digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dari ZF, kereta sport dua tempat duduk itu boleh memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.

Aston Martin berkata prestasi pecutan itu dibantu oleh sistem Launch Control baharu yang bertindak untuk menyalurkan sebanyak mungkin tork ke roda belakang, dengan E-Diff, ESP dan pengurusan tork enjin membantu mengekalkan kegelinciran pada tahap optimum.

Selain enjin yang lebih berkuasa, Vantage turut mendapat manfaat daripada struktur aluminium terikat yang memberikan kereta itu pengagihan berat 50:50 dan ketegaran kilasan yang lebih tinggi.

Selain itu, sistem stereng bantuan kuasa elektronik (EPAS) juga telah ditala semula untuk memberikan pemandu respon yang lebih segera dan tepat.

Aston Martin DB12 mendarat di Malaysia – dari RM1.088 juta

TIDAK lama selepas pelancaran global pada Mei lepas, Aston Martin DB12 kini mendarat ke Malaysia. Pengganti kepada DB11 ini menggunakan pelantar yang sama, tetapi terdapat penambahbaikan di merata tempat bagi memastikannya menjadi lebih mantap.

DB12 ini lebih lebar di bahagian gandar depan dan belakang, iaitu masing-masing sebanyak 6mm dan 12mm. Rekaan luaran juga kini lebih tajam dan dinamik, berserta lampu depan LED dan DRL baharu.

Di bawah bonet depan panjang DB12 ini tersimpannya enjin 4.0-liter V8 biturbo yang mampu menghamburkan 680hp pada 6,000rpm dan 800Nm tork dari 2,750 hingga 6,000rpm. Menurut Aston Martin, output ini merupakan anjakan prestasi sebanyak 34 peratus berbanding DB11.

Output lebih tinggi ini dicapai dengan beberapa pembaharuan seperti pengecas turbo lebih besar dan sistem penyejukan lebih baik.

Kuasa dihantar ke gandar belakang melalui kotak gear automatik 8-kelajuan dan buat pertama kali, terdapat LSD (limited-slip differential) elektronik untuk model DB. Ia boleh dibuka dan ditutup sepenuhnya dalam masa beberapa milisaat sahaja, memberikan respon dan kawalan tepat.

Dari segi prestasi pecutan, Aston Martin DB12 baharu mampu mencapai 100km/j dalam hanya 3.6 saat, dengan kelajuan maksima 325km/j.

Dengan prestasi lebih tinggi ini, kawalan pengendalian juga ditingkatkan dengan ketegaran casis ditambahn sebanyak tujuh peratus. Ini disumbang oleh penggunaan pengukuh casis di depan dan belakang serta di pemegang suspensi.

Bercakap mengenai suspensi, DB12 mendapat penyerap hentak adaptif generasi baharu yang mampu menawarkan keselesaan dan kawalan jauh lebih baik dari sebelum ini.

DB12 juga mempunyai mod pemanduan GT, Sport, Sport Plus, Wet, dan Individual. Tetapi khas untuk Stability Control, ia mempunyai tetapan Wet, On, Track, dan Off – yang boleh dipilih dari butang di konsol tengah.

Aston Martin DB12 didatangkan dengan rim aloi 21-inci dengan tiga pilihan warna. Rim dengan bilah berbentuk-Y ini dibaluti dengan Michelin Pilot Sport 5 S bersaiz 275/35 depan dan 315/30 belakang. Tayr ini mempunyai tulisan ‘AML’ menunjukkan ia dibangunkan khas untuk DB12.

Ciri di dalam kabin Aston Martin DB12 termasuklah stereng flat-bottomed, pilihan kulit Bridge of Weir atau Alcantara, paparan infotainmen 10.25-inci, dan sistem audio premium Bowers & Wilkins dengan 15 pembesar suara.

Jentera Super Tourer ini kini boleh dilihat dengan lebih dekat di bilik pameran Aston Martin Kuala Lumpur, berdekatan KLCC. Ia boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM1,088,000 sebelum cukai, duti, pilihan, dan opsyen. Ia juga boleh dipilih dengan jaminan sehingga 20 tahun.

Jangan keliru dengan nama Aston Martin DB12, ia sebenarnya tiada enjin V12 pun

ASTON Martin telah memperkenalkan pengganti kepada DB11 yang diperkenalkan tujuh tahun lalu. Dikenali sebagai DB12, ia dikatakan sebagai super tourer pertama di dunia dan model DB yang paling lengkap setakat ini.

Melihat kepada namanya, mungkin ramai yang menganggap bahawa jentera ini mempunyai ‘jantung’ V12. Sebenarnya ia mempunyai enjin 4.0-liter twin-turbo V8 keluaran Mercedes-AMG yang digunakan oleh Aston Martin untuk beberapa modelnya sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, enjin itu telah dinaik taraf dengan cam profile baharu, pengecas turbo yang lebih besar dan sistem penyejukan yang direka semula. Hasilnya adalah 680 PS pada 6,000 rpm dan 800 Nm dari 2,750 hingga 6,000 rpm, 34 peratus lebih tinggi berbanding DB11.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda belakang, DB12 hanya memerlukan 3.5 saat untuk memecut dari 0 hingga 96 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.

Pemandu boleh memilih daripada lima mod pemanduan yang disediakan iaitu GT, Sport, Sport+, Wet dan Individual. Untuk Electronic Stability Programme (ESP) pula, terdapat empat mod (Wet, On, Track dan Off). Setiap satu diprogramkan untuk kawalan progresif tanpa campur tangan mengejut dari sistem elektronik.

Buat pertama kalinya bagi model DB, DB12 didatangkan dengan Electronic Rear Differential (E-Diff). Tidak seperti Limited Slip Differential (LSD) konvensional, sistem baharu ini boleh dikunci 100 peratus dalam beberapa milisaat sahaja untuk memberikan respon yang lebih tepat dan pengendalian yang konsisten.

DB12 mempunyai struktur aluminium dengan beberapa komponen yang telah diubah suai, menjadikan ia tujuh peratus lebih tegar berbanding sebelum ini. Struktur ini dipadankan dengan peredam adaptif dan anti-roll bar yang lebih keras.

Bagi memastikan ia mempunyai kuasa membrek yang secukupnya, Aston Martin menggunakan cakera besi berukuran 400 mm di depan dan 360 mm di belakang. Booster brek juga telah ditela semula untuk maklum balas pedal yang lebih baik.

Pelanggan bagaimanapun boleh mendapatkan brek karbon seramik yang bukan sahaja tahan haba sehingga 800°C, malah 27 kg lebih ringan berbanding cakera brek besi tadi.

Dari segi reka bentuk, DB12 tampil lebih ‘sado’ dengan track depan dan belakang yang lebih lebar, serta gril radiator yang lebih besar berbanding model yang digantikannya. Ia didatangkan dengan rim aloi tempaan berukuran 21 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 5 S.

Ruang kabin kelihatan lebih canggih dengan adanya skrin berukuran 10.25 inci pada konsol tengah. Ia menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, selain mempunyai sistem navigasi dengan peta 3D dan kemas kini perisian secara Over-the-Air (OTA).

Menurut Aston Martin, penyerah DB12 akan bermula sekitar suku ketiga tahun ini. Harga tidak diumumkan (macamlah kami mampu).

Geely gandakan pegangan saham dalam Aston Martin

GEELY kini menjadi pemegang saham ketiga terbesar dalam Aston Martin Lagonda (AML). Selepas mula menjadi pemegang saham pada September 2022, gergasi automotif China itu telah menaikkan pegangannya dari 7.6 kepada 17 peratus.

Pengerusi Aston Martin, Lawrence Stroll telah menyerahkan 42 juta saham bernilai 2.31 Pound (RM13.08) setiap satu kepada 3.35 Pound (RM18.96) seunit. Konsortium Stroll, Yew Tree turut melanggan 28 juta saham pada harga sama.

Ketika ini, konsortium Yew Tree milik pengerusi Aston Martin, Lawrence Stroll ialah pemegang saham terbesar syarikat itu, diikuti oleh Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi.

 

 

“Geely Holding, yang pada mulanya menjadi pemegang saham tahun lalu, melihat potensi besar untuk pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang Aston Martin,” kata Stroll dalam satu kenyataan.

“Mereka menawarkan kepada kami pemahaman mendalam mengenai pasaran pertumbuhan strategik utama yang diwakili oleh China, serta peluang untuk mengakses rangkaian teknologi dan komponen.”

Sebagai pertukaran dari dana, akses dan teknologi, Geely juga akan mendapat kerusi Lembaga. Ini penting kerana Geely merupakan syarikat penaung jenama-jenama seperti Volvo, Lotus, Polestar dan Proton.

Buat masa ini, pegangan saham Geely terhad kepada 22 peratus dalam Aston Martin sebelum Ogos 2024. Mereka juga mempunyai saham dalam Mercedes-Benz, yang juga mempunyai pegangan dalam AML. Menarik.

Aston Martin DBX707 AMR23 Edition tampil dengan gaya F1

PASUKAN Aston Martin Aramco Cognizant memulakan saingan Formula 1 musim 2023 dengan baik apabila berjaya mengumpul 102 mata dari lima perlumbaan setakat ini, 122 mata di belakang pendahulu iaitu Red Bull Racing Honda.

Walaupun masih di awal musim, Aston Martin mengambil keputusan untuk meraikan pencapaian itu dengan melancarkan model eksklusif DBX707 AMR23 Edition.

Jika dibandingkan dengan versi standard, AMR23 Edition tampil dengan skema warna yang diinspirasikan daripada jentera lumba pasukan itu. Tiada sebarang penambahbaikan mekanikal memandangkan DBX707 adalah antara SUV paling berkuasa di dunia.

Rona hijau gelap yang dikenakan pada model ini digelar sebagai Podium Green dan dihasilkan oleh divisyen kustom Q by Aston Martin. Ia dipadankan dengan perincian Lime pada bahagian lip, skirt sisi dan diffuser, serta kaliper berwarna Aston Martin Green.

Turut disertakan sebagai pelengkap imej adalah lencana ‘Q by Aston Martin’ pada fender hadapan, berdekatan dengan liang udara.

Untuk ruang dalaman, DBX707 AMR23 Edition menggunakan jahitan kontras Lime untuk menaikkan seri upholsteri yang didatangkan dalam warna Onyx Black/Eifel Green. Kemasan gentian karbon dan satin gelap menghiasi konsol tengah, manakala logo AMR23 pula diletakkan pada ambang pintu.

Kuasa masih dibekalkan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 keluaran Mercedes-AMG yang mampu menghasilkan 707 PS dan 900 Nm, iaitu 157 PS dan 200 Nm lebih tinggi berbanding DBX.

Dengan transmisi automatik sembilan kelajuan, SUV ini hanya memerlukan 3.3 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j. Kelajuan maksimum pula dikatakan boleh mencapai 310 km/j.

Harga dan jumlah unit yang akan dikeluarkan tidak diumumkan namun apa yang pasti, ia sudah tentu lebih mahal daripada DBX707 standard.

Aston Martin Vantage F1 rai kembalinya dalam Grand Prix – RM978k

SEBAGAI meraikan kembalinya Aston Martin ke dalam Formula 1, jenama British itu mendedahkan Vantage F1 Edition. Mereka kembali ke grid Grand Prix selepas kira-kira enam dekad.

Difahamkan model ini mendapat input terus dari CEOnya, Tobias Moers dan diasaskan dari Safety Car rasmi F1 musim ini. Jadi, segala naik taraf adalah mengikut Safety Car itu.

Pertamanya, nadi kepada jentera ini ialah enjin AMG 4.0-liter V8 twin-turbo dengan lebih kuasa, kini 535hp pada 6,000rpm, menjadikannya model Vantage paling berkuasa setakat ini.

Tork kekal 685Nm pada 2,000 hingga 5,000rpm, dan boleh dikekalkan lebih lama. Kotak gear ZF 8-kelajuan dinaik taraf agar pertukaran gear lebih tepat dan pantas.

Dari segi prestasi, Vantage F1 mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 3.6 saat, manakala kelajuan maksima ialah 314km/j. Pecutan dan kelajuan maksima bagi model roadster adalah 3.7saat dan 305km/j.

Untuk menampung segala prestasi yang lebih tinggi, casis Vantage F1 telah diperkukuhkan, lantas memberikan respon stereng lebih baik. Bahagian dalam penyerap hentak telah dinaik taraf, dan keseluruhannya Aston Martin berkata kawalan badan Vantage F1 telah ditambah baik.

Selain itu, kekerasan spring belakang ditambah, memberikan belokan lebih tajam dan cengkaman lebih tinggi. Vantage F1 Edition mendapat rim 21-inci untuk pertama kali, yang dibaluti tayar Pirelli P Zero. Ia juga mendapat kit aero yang memberikan downforce 200kg lebih banyak dari Vantage biasa.

Aston Martin Vantage F1 boleh dipilih dengan tiga warna iaitu Jet Black, Lunar White dan Aston Martin Racing Green. Warna ketiga ini mirip dengan livery perlumbaan pasukan itu.

Bahagian dalam pula boleh dipilih dengan trim kulit Obsidian Black dan Phantom Grey Alcantara, dengan kombinasi Lime Green, Obsidian Black, Wolf Grey, atau Spicy Red.

Aston Martin Vantage F1 coupe dan roadster dijual pada harga bermula RM978,000 sebelum cukai dan duti.

Aston Martin DBS 770 Ultimate – edisi terakhir, 499 unit habis ditempah

ASTON Martin telah memperkenalkan DBS 770 Ultimate, edisi terakhir bagi DBS generasi semasa yang sudah berada dalam pasaran sejak 2018.

Seperti yang dijangka, model ini bukan calang-calang kerana ia bukan sahaja DBS yang terpantas dan paling berkuasa setakat ini, malah merupakan model produksi Aston Martin paling berkuasa pernah dihasilkan.

Namun hanya segelintir pelanggan yang bertuah berpeluang memiliki DBS 770 Ultimate kerana Aston Martin hanya akan menawarkan 300 unit bagi versi Coupe dan 199 unit bagi Volante, dengan semuanya sudah pun habis ditempah.

Seperti yang tertera pada namanya, DBS 770 Ultimate mempunyai 770 PS dan 900 Nm yang dibekalkan oleh enjin 5.2 liter V12. Dengan peningkatan turbo boost sebanyak 7 peratus dan transmisi automatik lapan kelajuan yang dikalibrasi semula, ia mampu memecut sehingga mencapai kelajuan maksimum 340 km/j.

Model ini masih kekal dengan brek seramik karbon berukuran 410 mm (hadapan) dan 360 mm (belakang) seperti yang terdapat pada DBS. Namun untuk pengendalian, Aston Martin menggunakan kolum stereng baharu yang dikatakan dapat meningkatkan tindak balas stereng.

Selain itu, casis DBS 770 Ultimate lebih keras dan Adaptive Damping System (ADS) yang terdapat padanya telah ditala dengan perisian baharu yang memfokuskan kepada kawalan tanpa menjejaskan kualiti.

Dari segi penampilan, jentera edisi terhad ini boleh dibezakan dengan rim 21 inci yang diinspirasikan daripada Valkyrie, splitter hadapan baharu, lubang udara ‘horseshoe’ dan diffuser yang lebih agresif. Di dalam, terdapat kerusi Sport Plus dengan balutan kulit dan Alcantara, logo eksklusif dan plak nombor sisi pengeluaran.

Sudah tentu, pelanggan boleh menyesuaikan supercar mereka dengan pelbagai jenis warna, livery, grafik, kemasan dan trim mengikut citarasa sendiri menerusi program Q by Aston Martin.

Aston Martin i8 Vantage GT4 singgah di Litar Sepang selepas acara Thailand Super Series 2022

ASTON Martin Racing Asia memberi penghormatan kepada penampilan sulung i8 Vantage GT4 di Thailand Super Series 2022 menerusi satu acara di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.

Dalam perlumbaan pertama penuh aksi dan mendebarkan yang diadakan antara 27 Oktober hingga 30 Oktober di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Bangkok, i8 Vantage GT4 yang dipandu Adam Khalid telah berjaya menduduki tempat ketiga dalam Kelas GTC Production.

Aston Martin i8 Vantage GT4 merupakan sebuah kereta yang dibina khusus untuk perlumbaan litar yang ekstrem.

Ia berjaya mempamerkan prestasi tinggi dengan enjin V8 4.0 liter yang lebih besar dan suspensi yang dinaik taraf, sekaligus menyediakan pakej aerodinamik yang lebih baik di arena.

“Saya berterima kasih kepada Aston Martin Racing Asia dan penaja kami kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk memandu i8 Vantage GT4 ke tahap maksima di Thailand Super Series 2022,” kata Adam Khalid.

“Saya berharap dapat mencipta sejarah dengan i8 Vantage GT4 dalam perlumbaan seterusnya pada bulan Disember,” tambahnya.

Adam telah membuat pendakian menakjubkan dalam tangga perlumbaan di Asia. Dalam jangka masa yang singkat, beliau merangkul anugerah “Rookie of the Year”, menjuarai Festival Kelajuan sebanyak tiga kali dan menjadi pemenang dua kali Kejohanan Endurance Malaysia.

Pengalamannya kini melonjak jauh apabila beliau merentas batasan dengan i8 Vantage GT4.

Semasa acara di Litar Antarabangsa Sepang, para penonton telah berpeluang untuk mendekati dan menyaksikan aksi i8 Vantage GT4 melalui interaksi langsung bersama pemandunya, Adam Khalid dan pasukan perlumbaan beliau.

Pengunjung terpilih juga telah menikmati peluang eksklusif, sekali seumur hidup dipandu mengelilingi litar oleh Weiron Tan, Pengetua Pasukan Aston Martin Racing Asia, dalam satu-satunya i8 Vantage GT4.

Viper Niza Racing kini sertai perlumbaan GT3 dan GT4 dengan Aston Martin Vantage

SELEPAS tujuh tahun berentap dan mengukir nama dalam perlumbaan kelas Touring Car dan Prototype, Viper Niza Racing kali ini akan meneroka kelas Sports Car iaitu GT3 dan GT4.

Untuk itu, mereka telah bekerjasama dengan Aston Martin Racing Asia yang akan menyaksikan pasukan Malaysia sepenuhnya itu menggunakan jentera Vantage GT3 dan GT4 untuk bersaing dalam siri-siri perlumbaan GT Sports Car di peringkat rantau dan antarabangsa.

Viper Niza Racing diketuai oleh pemilik yang juga pemandu, Douglas Khoo dan rakan kongsinya, Dominic Ang.

Pasukan ini akan menggunakan jentera Aston Martin Vantage terkini yang dikuasakan oleh enjin 4.0-liter V8 twin-turbo yang menggantikan enjin V12 pada versi sebelumnya. Output dan spesifikasi untuk kedua-dua kereta adalah berbeza disebabkan piawaian kelas perlumbaan.

Vantage GT3 merupakan jentera lumba sepenuhnya yang mendapat teknologi perlumbaan terkini. Enjinnya menjana 530hp dan 700Nm tork, serta menghantar kuasa ke roda belakang melalui kotak gear sequential 6-kelajuan.

Sementara itu, Vantage GT4 pula ‘lebih dekat’ dengan kereta standard jalanan. Ia direka untuk pemandu gentlemen, atau pelanggan dan peminat yang mahu merasai pangalaman perlumbaan kompetitif dengan ciri dan pakej dunia perlumbaan sebenar.

Enjin pada Vantage GT4 ini menghasilkan sekitar 470hp dan 550Nm tork, dan ia digandingkan dengan kotak gear 8-kelajuan serta LSD mekanikal.

“Perlumbaan endurance (ketahanan) telah menjadi minat kami dan kami akan terus fokus kepada perlumbaan sebegini seperti yang kami lakukan dengan TCR dan Asian Le Mans Series,” kata Khoo.

“Pengalaman kami dengan LMP3 telah memberikan banyak pengetahuan, dan selepas banyak bersaing dalam kelas ini, kami rasakan ini masa paling sesuai untuk mara ke kelas GT3 dan GT4 yang juga semakin popular dalam kalangan pengeluar.”

Aston Martin Vantage GT3 oleh Viper Niza Racing ini akan membuat kemunculan pertama pada Singapore F1 Grand Prix pada 1 dan 2 Oktober depan.

Untuk pengetahuan, Viper Niza Racing bukanlah satu nama yang asing dalam dunia perlumbaan di peringkat anatrabangsa.

Sebelum ini, mereka pernah memenangi kelas TCR SPA500 di dalam perlumbaan ketahanan 24 jam di Litar Spa-Francorchamps, Belgium dengan memandu Seat Leon Cupra.

Viper Niza Racing juga merupakan pasukan Malaysia sepenuhnya yang pertama mengambil bahagian dalam Road To Le Mans pada 2019. Mereka bersaing di perlumbaan berprestij itu dengan jentera Ligier JS P3 LMP3.

Aston Martin DBX707 mendarat di Malaysia – RM1.098 juta tidak termasuk cukai

ASTON Martin Kuala Lumpur hari ini melancarkan Aston Martin DBX707 baharu untuk pasaran tempatan. Digelar sebagai SUV mewah paling berkuasa di dunia, ia dijual pada harga bermula dari RM1,098,000 sebelum duti, cukai dan opsyen.

DBX707 mendapat namanya dari jumlah kuasa yang dibawanya. Seperti DBX standard, model ini masih dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 keluaran Mercedes-AMG namun outputnya telah ditingkatkan dari 550 PS/700 Nm kepada 707 PS dan 900 Nm.

Menurut Aston Martin, peningkatan kuasa ini dicapai menerusi penggunaan pengecas turbo galas bebola (ball bearing) dan kalibrasi enjin baharu.

Tugas untuk menyalurkan kuasa ke roda diserahkan kepada transmisi automatik sembilan kelajuan dengan klac basah dan Limited Slip Differential elektronik (e-diff) belakang yang diperkukuhkan untuk menampung 900 Nm.

Ditambah pula dengan nisbah pacuan akhir yang lebih pendek, gabungan ini membolehkan DBX707 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.3 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 310 km/j.

Aston Martin turut mempertingkatkan sistem brek SUV ini menerusi penggunaan cakera brek karbon seramik berukuran 420 mm di depan dan 390 mm di belakang, serta angkup enam piston. Ia bukan sahaja lebih berkuasa, malah lebih ringan sebanyak 40.5 kg berbanding sistem brek standard.

Selain itu, mod pemanduan GT Sport dan Sport + kini mempunyai ciri Race Start, manakala ‘transfer case’ ditala semula bagi mempertingkatkan kawalan sekaligus memberikan pengalaman pemanduan yang lebih natural seperti kereta sport sebenar.

Turut ditambah baik adalah sistem suspensi udara yang kini menampilkan ‘damper valving’ dengan untuk kawalan badan yang lebih baik. Stereng kuasa elektrik juga dioptimumkan bagi mendapatkan tindak balas yang lebih baik terutamanya semasa mengambil selekoh.

Dari segi penampilan, DBX707 boleh dibezakan dengan versi standard menerusi gril yang lebih besar dengan enam bar melintang dan lampu DRL baharu. Lubang ambilan udara baharu, corong penyejukan brek dan splitter baharu pula mempertingkatkan aliran udara bagi tujuan penyejukan dan aerodinamik.

Di belakang, terdapat lip spoiler baharu yang dikatakan dapat mengurangkan efek ‘lift’ dan meningkatkan kestabilan, diffuser yang lebih menonjol serta sistem ekzos quad dengan muncung yang lebih besar.

Masuk ke dalam, anda akan menemui tempat duduk Sport, serta kemasan krom hitam dan hitam satin. Aston Martin menawarkan tiga pilihan kemasan iaitu Accelerate, Inspire dan Sport. Sudah tentu, pelanggan boleh menyesuaikan ruang kabin menerusi perkhidmatan kustom Q by Aston Martin.

Aston Martin Vantage AddArmor versi kali peluru, tambahan RM137k dari harga kereta

SEKALI pandang, Aston Martin Vantage ini nampak seperti mana-mana Vantage yang keluar dari kilang Gaydon namun tahukah anda, unit ini berupaya menahan peluru jenis magnum .44 magnum .357, serta parabellum 9mm?

Supercar kalis peluru ini menggunakan sistem perlindungan B4 daripada AddArmor, sebuah syarikat penghasilan perisai kenderaan dari Amerika Syarikat yang diasaskan oleh bekas penguatkuasa undang-undang dan pakar Operasi Khas.

Sistem perlindungan berkenaan merangkumi kaca kalis peluru yang digunakan pada cermin penghadang angin dan cermin sisi, bahan kevlar seberat 204kg, serta keluli yang diperkuatkan bagi tujuan melindungi bumbung dan tangki bahan api. Turut disertakan adalah material komposit pada firewall.

Perlindungan yang ada pada Vantage ini tidak terhenti di situ sahaja kerana AddArmor turut memasang alat perenjat elektrik pada pemegang pintu yang boleh diaktifkan dengan menekan butang dari dalam kereta.

Bukan itu sahaja, jentera ini juga dilengkapi dengan tayar jenis run-flat bagi membolehkan pemandu meloloskan diri dari situasi berbahaya, manakala lubang ekzosnya ditutup dengan pelindungan khas bagi menghalang musuh daripada memasukkan sebarang objek asing.

Selain itu, berat tambahan daripada kevlar dan plat besi di bawah badan Vantage ini memaksa AddArmor untuk menaik taraf sistem suspensi asal.

Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa modifikasi-modifikasi tersebut tidak menjejaskan prestasinya kerana perisai yang digunakan lebih ringan berbanding keluli balistik konvensional.

Tiada sebarang talaan yang dilakukan pada enjin, bermakna unit 4.0-liter twin-turbo V8 yang diperoleh daripada Mercedes-AMG itu kekal dengan 510PS dan 685Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda belakang.

Vantage standard mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.6 saat namun versi AddArmor ini mungkin memerlukan masa yang lebih lama disebabkan berat tambahan yang dibawanya.

Menurut AddArmor, kos pakej perlindungan ini mencecah $32,500 (RM136,840) tidak termasuk kereta itu sendiri.

Aston Martin DBX 707 kini SUV paling berkuasa di dunia

DBX 707 baharu merupakan versi dengan prestasi yang dinaiktaraf dari Aston Martin DBX, menampilkan perubahan mekanikal yang menjadikannya SUV paling berkuasa dari pengeluar mainstream (arus perdana).

DBX 707 ini diposisikan sebagai alternatif dinamik dan sporti kepada pesaing-pesaing seperti Bentley Bentayga S, Porsche Cayenne Turbo GT dan Range Rover Sport SVR.

CEO Aston Martin, Tobias Moers memaklumkan model ini mampu memegang 60 peratus dari keseluruhan pasaran DBX.

“Saya nampak banyak potensi dalam pasaran dimana ada satu pengeluar yang mencatatkan rekod jualan tinggi dan kini terlalu selesa,” katanya.

Perubahan paling ketara melibatkan nadi DBX 707 iaitu enjin 4.0-liter V8 twin-turbo Mercedes-AMG dimana jurutera di Gaydon telah menala sehingga menghasilkan tambahan 155hp dan 200Nm tork.

Ini menjadikan output penuh kini setinggi 697hp (707PS) dan 900Nm tork! Talaan lain termasuklah penggunaan bearing bebola pada pengecaj turbo.

Penambahan kuasa digandingkan dengan kotak gear 9-kelajuan yang pantas dan responsif membolehkan DBX 707 ini mencapai 100km/j dalam hanya 3.3 saat, iaitu 1.2 saat lebih pantas dari DBX ‘biasa’.

Selain itu, DBX 707 turut menawarkan pengendalian lebih dinamik, hasil dari suspensi udara yang ditambahbaik, sistem stereng yang ditala semula, LSD (limited-slip differential) lebih kukuh, dan brek karbon-seramik (lebih ringan).

“Biasanya kategori ini dikatakan mempunyai kuasa yang kasar. Dengan DBX 707, objektif kami ialah untuk menggabungkan prestasi menakjubkan dengan kawalan mantap dan ketepatan, selain dari karakter sporti sebuah Aston Martin,” kata Moers.

Penambahbaikan pada casis DBX 707 ini menjanjikan belokan lebih rata, pengurangan pergerakan badan di jalan tidak rata dan semasa memecut serta membrek.

Moers juga berkata DBX 707 mampu menyaingi rekod SUV baru catatan masa di Nurburgring yang kini dipegang oleh Porsche Cayenne Turbo GT dengan 7 minit 38.9 saat.

“Kami memerlukan tayar bercengkaman tinggi saya rasa, mereka menggunakan Corsa pada Cayenne. Kami belum mencuba tayar Corsa setakat ini.”

DBX 707 mendapat penggayaan lebih unik berbanding versi standard. Ini termasuklah gril depan lebih besar, dan rekaan semula pada kluster lampu, ruang kemasukan udara, dan bampar.

Terdapat juga kemasan hitam pada beberapa panel badan, spoiler baharu, dan ekzos quad lebih besar.

Harga Aston Martin DBX 707 bermula pada £189,000 (RM1.07 juta) dan penghantaran dijangka bermula pada suku kedua tahun ini.

Jualan Aston Martin meningkat untuk 2021, dan anda pasti tahu kenapa

KIRA-kira setahun lepas, Aston Martin melaporkan kerugian kewangan serius untuk separuh masa pertama 2020. Tidak mengejutkan memandangkan pandemik pada masa itu. Tetapi pengeluar kereta sports British itu dilaporkan semakin pulih dari krisis.

Laporan jualan jenama itu untuk enam bulan pertama 2021 mencatatkan peningkatan 224 peratus dan satu model menyumbang kepada lebih separuh dari jualan itu. Kami rasa anda pasti tahu kenapa.

Ya, sebab SUV. Lebih tepat lagi, Aston Martin DBX.

Pengeluar itu menyerahkan 2,901 kenderaan dari Januari hingga Jun tahun ini. Dari jumlah itu, lebih dari 1,500 unit adalah DBX. Keuntungannya juga meningkat dari £146 juta (RM862 juta) kepada £498.8 juta (RM2.9 bilion).

“Permintaan yang kami lihat untuk produk kami, rancangan produk baharu dan pasukan kerja yang baik memberikan saya keyakinan untuk kejayaan kami yang berterusan,” kata Lawrence Stroll, pengerusi Aston Martin dalam satu kenyataan.

Produk baharu yang dimasudkan Stroll merujuk kepada Valhalla dan hypercar Valkyrie yang berharga lebih £600,000 (RM3.5 juta).

Nampaknya Aston Martin mengulangi situasi yang dialami Porsche satu masa dahulu dimana SUV menjadi penyelamat untuk sebuah syarikat pengeluar kereta sports. Lamborghini juga melaporkan SUV mereka, Urus mendapat sambutan baik dari kalangan pelanggan.

Aston Martin dan JDT jalin kerjasama, bakal keluar edisi terhad

KELAB Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjalin kerjasama bersejarah dengan pengeluar kereta sports British, Aston Martin. Dalam majlis ringkasi di ibu pejabat JDT petang tadi, kerjasama itu dikatakan akan mengukuhkan lagi nama Harimau Selatan sebagai peneraju bolasepak di Asia Tenggara.

Kerjasama itu juga bakal menyaksikan Aston Martin mendapat hak untuk mengeluarkan edisi kash JDT dan akan dijual oleh kelab.

“JDT amat berbangga serta gembira dapat mencapai persetujuan dengan ibu pejabat jenama tersebut yang berpusat di United Kingdom (UK) dan pejabat Asia.

“Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang,” menurut kenyataan itu.

“JDT adalah juara di padang dengan kejayaan yang konsisten dan mendominasi tajuk-tajuk berita di luar padang dengan infrastruktur berkelas dunia, kekuatan jenama serta hubungan dengan kelab terkemuka antarabangsa, individu, organisasi dan entiti perniagaan.”

JDT sebelum ini telah menjalin kerjamasa dengan gergasi antarabangsa lain seperti Nike, Hublot, Subway, SWAG EV dan Unicef.

Kerjasama-kerjasama itu menunjukkan peningkatan jenama kelab sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa sejak JDT ditubuhkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas melakukan transformasi sejak 2013.

Setakat ini kami belum mempunyai sebarang maklumat mengenai model mana yang akan dijadikan edisi terhad JDT itu, tapi kami rasa mungkin DBX atau Vantage. Anda rasa yang mana akan dijadikan edisi terhad itu?

Gambar oleh: JOHOR DARUL TA’ZIM FC