Aston Martin Vantage 2025 lebih berkuasa, lincah dan tangkas
SETELAH enam tahun berada di pasaran, Aston Martin Vantage kini diberikan kemaskini yang meliputi aspek dari segi reka bentuk, prestasi dan casis.
Untuk bahagian luaran, Vantage dikatakan mengambil inspirasi daripada One-77 dengan badan yang lebih lebar (+30 mm) dan rekaan bahagian hadapan baharu yang menampilkan gril yang lebih besar.
Menurut Aston Martin, gril berkenaan meningkatkan aliran udara sebanyak 29% untuk membantu penyejukan, dibantu dengan liang udara pada bahagian kiri dan kanan bampar. Splitter baharu pula meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Ruang dalaman pula menampilkan susun atur serba baharu yang menampilkan corong pendingin hawa yang lebih langsing dan skrin sentuh berukuran 10.25 inci yang sama seperti yang terdapat pada DB12.
Selain itu, terdapat juga sistem audio Aston Martin dengan 11 pembesar suara dan suis kawalan untuk casis, ESP, ekzos serta sistem bantuan pemandu seperti Lane Assist dan Park Distance Control.
Sebagai alternatif, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan sistem audio Bowers & Wilkins berkapasiti 1,170 watt yang mempunyai 15 pembesar suara, termasuk subwoofer dan tweeter aluminium.
Vantage masih kekal dengan enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang dihasilkan oleh Mercedes-AMG namun enjin berkenaan kini menjana 665 PS dan 800 Nm, mewakili peningkatan sebanyak 155 PS dan 115 Nm berbanding sebelum ini.
Output yang lebih tinggi ini dicapai menerusi ubahsuai terhadap cam profile dan nisbah mampatan, serta penggunaan pengecas turbo yang lebih besar.
Digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dari ZF, kereta sport dua tempat duduk itu boleh memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.
Aston Martin berkata prestasi pecutan itu dibantu oleh sistem Launch Control baharu yang bertindak untuk menyalurkan sebanyak mungkin tork ke roda belakang, dengan E-Diff, ESP dan pengurusan tork enjin membantu mengekalkan kegelinciran pada tahap optimum.
Selain enjin yang lebih berkuasa, Vantage turut mendapat manfaat daripada struktur aluminium terikat yang memberikan kereta itu pengagihan berat 50:50 dan ketegaran kilasan yang lebih tinggi.
Selain itu, sistem stereng bantuan kuasa elektronik (EPAS) juga telah ditala semula untuk memberikan pemandu respon yang lebih segera dan tepat.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.