fbpx

Viper Niza Racing kini sertai perlumbaan GT3 dan GT4 dengan Aston Martin Vantage

viper niza racing aston martin thumb

SELEPAS tujuh tahun berentap dan mengukir nama dalam perlumbaan kelas Touring Car dan Prototype, Viper Niza Racing kali ini akan meneroka kelas Sports Car iaitu GT3 dan GT4.

Untuk itu, mereka telah bekerjasama dengan Aston Martin Racing Asia yang akan menyaksikan pasukan Malaysia sepenuhnya itu menggunakan jentera Vantage GT3 dan GT4 untuk bersaing dalam siri-siri perlumbaan GT Sports Car di peringkat rantau dan antarabangsa.

Viper Niza Racing diketuai oleh pemilik yang juga pemandu, Douglas Khoo dan rakan kongsinya, Dominic Ang.

Pasukan ini akan menggunakan jentera Aston Martin Vantage terkini yang dikuasakan oleh enjin 4.0-liter V8 twin-turbo yang menggantikan enjin V12 pada versi sebelumnya. Output dan spesifikasi untuk kedua-dua kereta adalah berbeza disebabkan piawaian kelas perlumbaan.

Vantage GT3 merupakan jentera lumba sepenuhnya yang mendapat teknologi perlumbaan terkini. Enjinnya menjana 530hp dan 700Nm tork, serta menghantar kuasa ke roda belakang melalui kotak gear sequential 6-kelajuan.

Sementara itu, Vantage GT4 pula ‘lebih dekat’ dengan kereta standard jalanan. Ia direka untuk pemandu gentlemen, atau pelanggan dan peminat yang mahu merasai pangalaman perlumbaan kompetitif dengan ciri dan pakej dunia perlumbaan sebenar.

Enjin pada Vantage GT4 ini menghasilkan sekitar 470hp dan 550Nm tork, dan ia digandingkan dengan kotak gear 8-kelajuan serta LSD mekanikal.

“Perlumbaan endurance (ketahanan) telah menjadi minat kami dan kami akan terus fokus kepada perlumbaan sebegini seperti yang kami lakukan dengan TCR dan Asian Le Mans Series,” kata Khoo.

“Pengalaman kami dengan LMP3 telah memberikan banyak pengetahuan, dan selepas banyak bersaing dalam kelas ini, kami rasakan ini masa paling sesuai untuk mara ke kelas GT3 dan GT4 yang juga semakin popular dalam kalangan pengeluar.”

Aston Martin Vantage GT3 oleh Viper Niza Racing ini akan membuat kemunculan pertama pada Singapore F1 Grand Prix pada 1 dan 2 Oktober depan.

Untuk pengetahuan, Viper Niza Racing bukanlah satu nama yang asing dalam dunia perlumbaan di peringkat anatrabangsa.

Sebelum ini, mereka pernah memenangi kelas TCR SPA500 di dalam perlumbaan ketahanan 24 jam di Litar Spa-Francorchamps, Belgium dengan memandu Seat Leon Cupra.

Viper Niza Racing juga merupakan pasukan Malaysia sepenuhnya yang pertama mengambil bahagian dalam Road To Le Mans pada 2019. Mereka bersaing di perlumbaan berprestij itu dengan jentera Ligier JS P3 LMP3.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved