Arkib Tag: Aprilia

Aprilia juara keseluruhan Africa Eco Race 2024 dengan Tuareg 660

Ketika Aprilia mengembalikan legasi Tuareg pada tahun 2021 menerusi Tuareg 660, ramai yang kurang yakin dengan kemampuan model itu untuk menyaingi pesaing utama antaranya Yamaha Tenere 700. 

Bagaimanapun, Aprilia membuktikan sebaliknya apabila berjaya menjuarai Africa Eco Race 2024 baru-baru ini dengan Tuareg 660 yang dikemudi Jacopo Cerutti. 

Cerutti bersama rakan sepasukan Francesco Montanari sama-sama bersaing di Africa Eco Race 2024 yang merupakan antara kejohanan paling sukar. 

Menariknya, Cerutti muncul juara dengan hanya melakukan modifikasi kecil termasuk menukar kepada suspensi Öhlins, ekzos titanium SC-Project dan penapis udara Sprint Filter. 

Cerutti yang merupakan pelumba senior berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik sepanjang kejohanan berlangsung bersama-sama dua pelumba Yamaha Tenere World Raid Team, Alessandro Botturi dan Pol Tarres. 

Trio berkenaan bertukar kedudukan sepanjang peringkat perlumbaan tetapi selepas 12 peringkat, Cerutti berjaya di depan dengan perbezaan hanya 26 minit. 

Pusat pameran 3S Vespa dan skuter Aprilia dibuka di Melaka

Berita baik buat peminat jenama Vespa dan skuter Aprilia sekitar Melaka kerana pusat pameran 3S baru sahaja dirasmikan hujung minggu lalu di Klebang, Melaka. 

Pusat pameran 3S itu menempatkan tawaran serba lengkap termasuk servis, jualan dan alat ganti dan dikendalikan sepenuhnya Zen Sports Sdn Bhd. 

Sementara itu, Pengerusi Didi Group (selaku pengedar rasmi jenama Vespa dan Aprilia di Malaysia) turut gembira dengan pembukaan pusat 3S terbaru itu yang merupakan pertama di Melaka. 

Bagi pelanggan yang hadir, mereka akan disajikan dengan identiti korporat Piaggio yang menjaminkan pengalaman yang terbaik dan efisien. 

Menurut Didi Group, pusat 3S terbaru itu menawarkan rangkain model Vespa serba lengkap termasuk Vespa Sprint 150 dan GTV terbaru serta model skuter Aprilia SR GT 200. 

Pasukan NASCAR Trackhouse Racing ambil alih RNF Aprilia di MotoGP

Pasukan NASCAR, Trackhouse Racing telah mengikat kontrak tiga tahun bersama Aprilia bagi mengambil alih pasukan satelit.

Pasukan dari Amerika Syarikat itu secara rasmi menggantikan CryptoData RNF Racing kendalian Datuk Razlan Razali sebelum ini bermula musim 2024. Pasukan itu juga mengekalkan dua pelumba sedia ada, Migeul Oliveria dan Raul Fernandez. 

Untuk rekod, Trackhouse Racing dimiliki bekas pelumba NASCAR, Justin Marks bersama Armando Christian Perez atau lebih dikenali sebagai Pitbull. 

Menurut Aprilia, mereka akan mengendalikan segala aspek teknikal pasukan itu termasuk segala yang berkaitan dengan jentera RS-GP. 

Laporan media antarabangsa juga menyebut bahawa Trackhouse Racing akan turut mengekalkan kru sama dari RNF sebelum ini. 

Aprilia Shiver 900 diberi nafas baharu di bawah jenama Gilera

Aprilia Shiver 900 yang telah dihentikan pengeluaran pada 2021 akan kembal semula dibawah jenama Gilera. 

Perkara itu disahkan menerusi pendaftaran rekaan yang telah difailkan di China oleh pihak Zongshen-Piaggio. 

Menariknya, berdasarkan rekaan yang dikongsikan itu jelas menampakkan rupa Shiver 900 kecuali beberapa perubahan kecil termasuk lampu depan dan panel sisi. 

Meskipun begitu, model Gilera itu akan terus dikuasakan enjin V-Twin 896cc yang sama sekaligus menawarkan 95hp dan 90Nm. Model tersebut juga tampil dengan casis, ‘subframe’ serta ekzos yang sama diambil dari Shiver 900. 

Difahamkan, model Gilera ini akan hadir dengan harga yang lebih mampu milik ekoran proses pembuatan akan dibuat sepenuhnya di China. 

Aprilia SR GT Replica, RS660 Extrema dilancarkan di Malaysia

BERSEMPENA dengan saingan MotoGP Malaysia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini, Didi Resources selaku pengedar rasmi Aprilia telah melancarkan dua model menarik iaitu SR GT Replica dan RS 660 Extrema.

Kedua-dua model tersebut dirasmikan oleh dua pelumba dari pasukan Aprilia Racing Team iaitu Aleix Espargaro dan Maverick Vinales.

Aprilia SR GT Replica

SR GT Replica tampil lebih menonjol berbanding versi standard dengan warna hitam matte, dan grafik merah dan ungu yang diinspirasikan daripada jentera Aprilia RS-GP yang ditunggang oleh Espargaro dan Vinales dalam MotoGP.

Bukan itu sahaja, ia juga menampilkan logo Aprilia yang merentangi sepanjang bahagian sisi dan rim berwarna hitam dan merah. Pemegang tangan untuk pembonceng juga dicat warna hitam matte.

Satu lagi kelainan yang terdapat pada model ini adalah tayar sporty yang menggantikan tayar jenis all terrain yang digunakan pada versi Standard dan Sport.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal, bermakna ia masih dipacu oleh enjin 174 cc SOHC dengan sejukan cecair dan suntikan bahan api. Enjin ini menghasilkan 17.4 hp dan 16.5 Nm tork, digandingkan dengan transmisi CVT.

Harga jualan Aprilia SR GT Replica bermula dari RM20,900.

Aprilia RS660 Extrema

Sekali imbas, RS660 Extrema tampak sama seperti RS660 yang dilancarkan di Malaysia hampir tiga tahun lalu. Bagaimanapun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, model ini sebenarnya lebih istimewa kerana ia dilengkapi dengan ‘perisa’ tambahan.

Apa yang dimaksudkan adalah ekzos gentian karbon SC Project yang diposisikan pada bahagian kanan motosikal. Menurut Aprilia, ekzos ini lebih ringan dan sah untuk digunakan di jalan raya.

Bukan itu sahaja, RS660 Extrema juga didatangkan dengan mudguard hadapan dan belly pan yang diperbuat daripada gentian karbon bagi mengurangkan lagi berat keseluruhan jentera.

Selain itu, ia mempunyai pelana tunggal namun tempat duduk pembonceng akan disertakan bagi membolehkan penunggang membawa pembonceng sekiranya perlu.

Dari segi kelengkapan, jentera ini didatangkan dengan ciri elektronik termasuk Cornering ABS, Traction Control, Engine Brake dan sebagainya. Penunggang juga boleh menetapkan Quickshifter kepada corak perlumbaan.

Harga jualan Aprilia RS660 Extrema bermula dari RM79,900.

Aprilia RS 457 diperkenalkan sebagai sportbike entry-level dengan 47 hp

SAINGAN dalam segmen motosikal sports entry-level bakal menjadi lebih sengit dengan kehadiran Aprilia RS 457.

Menurut Aprilia, model ini dibangunkan dengan formula yang sama dengan RS 660 yang telah menjadi motosikal sports paling laris di Eropah sejak pelancarannya tiga tahun lalu.

Ini bermula dengan penggayaan, di mana RS 457 tampil dengan elemen-elemen sama yang dilihat pada RS 660 seperti tiga lampu LED yang mengintegrasikan lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok, double fairing dan ekzos pada bahagian ‘perut’.

RS 457 dikuasakan oleh enjin parallel twin DOHC berkapasiti 457 yang dilengkapi dengan teknologi penyejukan cecair dan empat injap setiap silinder. Kuasa yang dihasilkan adalah 47 hp namun jumlah tork tidak didedahkan.

Jentera ini menggunakan kerangka aluminium dengan crankcase yang berfungsi sebagai elemen penggalas beban seperti RS 660. Ini memastikan berat berada pada tahap rendah (175 kg) dan prestasi tunggangan yang dinamik.

Kerangka itu digandingkan dengan fork 41 dengan jarak pergerakan 120 mm di hadapan, serta penyerap hentak jenis monoshock dengan jarak pergerakan 130 mm di belakang. Kedua-duanya mempunyai pelarasan pramuatan.

Sementara itu, sistem brek pula merangkumi cakera bersaiz 320 mm di hadapan, 220 mm di belakang, serta angkup radial empat piston dari ByBre. Model ini menggunakan rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

Dari segi elektronik, RS 457 didatangkan dengan kluster instrumen TFT lima inci, ABS dwi saluran, sistem Ride-by-Wire, tiga mod tunggangan, Traction Control dengan tiga tahap pelarasan. Quickshifter ditawarkan sebagai aksesori.

Didi Group buka pusat 3S Vespa dan Aprilia di Alor Setar, Kedah

PENGEDAR rasmi Vespa dan Aprilia di Malaysia iaitu Didi Group meluaskan lagi rangkaiannya dengan pembukaan pusat 3S baharu di Alor Setar, Kedah.

Dioperasikan oleh Chin Hin Jitra Motors (CHJ Motors), pusat 3S ini menampilkan identiti korporat terkini Piaggio serta menawarkan barisan model Vespa dan Aprilia, menjadikannya destinasi yang perlu dikunjungi oleh peminat dua roda.

Sebagai pusat 3S, ia juga menyediakan aksesori, alat ganti serta pusat servis yang serba lengkap bagi memenuhi keperluan pemilik Vespa dan Aprilia, terutamanya mereka yang berada di Alor Setar dan kawasan sekitarnya.

Selain itu, terdapat juga ruang menunggu yang selesa dan pelbagai kemudahan gaya hidup.

Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Didi Group berkata pelancaran ini menandakan peristiwa penting kerana ia merupakan kemudahan 3S Vespa dan Aprilia yang pertama di Kedah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Chin Hin Jitra kerana memperkenalkan dan membawa jenama skuter Vespa dan Aprilia di Kedah, yang akan membantu kami mengukuhkan lagi kedudukan kami dan meningkatkan kehadiran kami di Malaysia,” katanya.

Pusat 3S Vespa dan Aprilia kendalian CHJ Motors ini beralamat di 1001 & 1002-A, Kompleks Sri Putra, Seberang, Jalan Putra, 05150 Alor Setar, Kedah.

MotoPlex Butterworth jadi hab jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi

DIDI Group baru-baru ini merasmikan pembukaan MotoPlex Butterworth, bilik pameran pertama yang menempatkan empat jenama premium di bawah kumpulan ini; Piaggio, Vespa, Aprilia, dan Moto Guzzi.

MotoPlex Butterworth merupakan bilik pameran konsep dinamik dan akan menampilkan barisan produk yang lengkap dan pusat servis, menjadikannya destinasi ideal untuk para peminat jentera dua roda.

Hab motosikal iniakan dikendalikan oleh GB Motorcycles Sdn Bhd iaitu pengedar rasmi Piaggio, Aprilia, Vespa dan Moto Guzzi di negara ini.

Memasuki fasiliti MotoPlex Butterowrth, anda akan disambut dengan suasana berkonsepkan Itali. Ianya mempunyai keluasan 2,600 kaki persegi untuk ruang pameran, sementara 600 kaki persegi untuk pusat servis.

Ruangan servis akan menempatkan peralatan diagnostik canggih serta mekanik dan juruteknik terlatih, menjanjikan khidmat dan alat ganti terbaik untuk pelanggan.

Rewi Hami Bugo, Pengerusi Didi Group berkata: “Pembukaan MotoPlex akan membantu kami memperkukuhkan lagi kehadiran kami di Malaysia.”

Sementara itu, Kheoh Hock Seng, Pengarah GB Motorcycles berkata, “Kami berbangga dapat menghimpunkan semua jenama premium Didi Group iaitu Vespa, Aprilia, Moto Guzzi dan Piaggio bawah satu bumbung di MotoPlex Butterworth.

“Kami juga komited untuk memberikan servis terbaik kepada para peminat di sini. Kami bukan sahaja menghasilkan kenderaan, tetapi juga mengubah cara orang bergerak,” tambahnya.

Aprilia Tuono 660 Factory sudah sampai di Malaysia – harga dari RM73,900

VERSI Factory merupakan produk flagship untuk barisan motosikal Aprilia yang dibangunkan khusus untuk penunggang berkemahiran. Kini, versi itu boleh didapati pada Tuono 660 dan model ini sudah pun tiba di Malaysia pada harga RM73,900.

Dari segi penampilan, Tuono 660 Factory boleh dibezakan dengan versi standard menerusi grafik Factory Dark dan penutup pelana pembonceng berwarna hitam dan merah. Ia juga didatangkan standard dengan peletak kaki belakang.

Menurut Aprilia, peletak kaki depan dan belakang Tuono 660 Factory adalah sama dengan yang digunakan pada RS 660 namun lebih ringan.

Sudah tentu, sebagai versi Factory, model ini mendapat beberapa kelengkapan tambahan bagi menjadikan ia lebih berprestasi tinggi. Ini termasuk sistem suspensi yang terdiri daripada fork 41 mm Kayaba dan penyerap hentak Sachs dengan tabung berasingan dan pelarasan mampatan dan lantunan.

Ia juga mempunyai nisbah berat-kuasa yang lebih baik. Ini dicapai menerusi penggunaan bateri jenis lithium ion yang membantu mengurangkan berat keseluruhan jentera sebanyak 2 kg kepada 181 kg.

Turut menyumbang adalah enjin 660 cc silinder berkembar DOHC yang kompak. Pada Tuono 660 Factory, ia menghasilkan 100 hp, iaitu 5 hp lebih tinggi berbanding Tuono 660, namun jumlah tork kekal 67 Nm pada 8,500 rpm.

Untuk kawalan elektronik pula, Tuono 660 Factory didatangkan dengan sistem Aprilia Performance Ride Control (APRC) yang lengkap dengan pendikit elektronik Ride-by-Wire dan platform IMU enam paksi.

Selain itu, APRC juga merangkumi Traction Control (ATC), Wheelie Control (AWC), Cruise Control (ACC), Quick Shift (AQS), Engine Brake (AEB) dan Engine Map (AEM). Turut disertakan untuk tujuan keselamatan adalah Cornering ABS.

Seperti Tuono 660, versi Factory ini mempunyai lima mod tunggangan, di mana tiga adalah untuk tunggangan di jalan raya, manakala dua lagi untuk digunakan di litar lumba. Antara sistem yang dikawal oleh mod tunggangan termasuklah ATC, AWC, AEB dan ABS.

Wing belakang Aprilia RS-GP ini macam mainan, tapi ada kesan aerodinamik!

DALAM pada beberapa pasukan MotoGP mengurangkan saiz wing (sayap/spoiler) depan untuk mendapat kelajuan maksima di litar Mugello, Aprilia pula menambah satu wing yang inovatif di belakang.

Imej oleh: MotoGP

Wing itu dilihat di belakang jentera RS-GP penunggang ujian Lorenzo Savadori semasa sesi latihan pada Jumaat lepas.

Walaupun ciri aerodinamik ini tidak dicuba oleh Aleix Espargaro yang mencatatkan masa terpantas pada hari itu, dia menerangkan bahawa wing itu direka untuk meningkatkan beban di roda belakang, menambah baik prestasi membrek di peringkat awal:

“Saya tidak dapat mencuba wing belakang baharu itu, tapi saya dapat melihat data dari terowong angin dan ia cukup menarik,” kata Espargaro. “Ia nampak seperti pemasaran semata-mata, tetapi percayalah, ia memberi kesan.”

“Ya, ia mengingatkan anda kepada Formula Satu, tetapi ia memberi banyak kesan di beberapa tempat dan kini di MotoGP kita bercakap mengenai perincian.”

Imej oleh: Crash.net

“Kami kekurangan sedikiti berat di belakang. Ini sebabnya saya tidak dapat meningkatkan brek enjin, jadi saya meminta mereka untuk mendapatkan sedikit beban di belakang.”

“Mereka berusaha di beberapa aspek untuk menambah baik dan satu solusi ialah aerodinamik,” terangnya.

Tetapi dengan keputusan cukup baik di Mugello, Espargaro berpendapat dia hanya akan mencubanya di sesi Catalunya nanti.

Aprilia Tuareg 660 2022 tiba di Malaysia, RM76k

SELAIN pelancaran skuter SR GT 200, Didi Group juga memperkenal Tuareg 660 di acara sama. Motosikal adventure kelas sederhana ini membawakan beberapa pembaharuan untuk 2022.

Ia hadir dengan lampu LED penuh untuk depan dan belakang, skrin TFT-LCD 5.0-inci, dan sebagai sebuah jentera adventure, mempunyai suspensi dengan jarak pergerakan roda (wheel travel) sebanyak 240mm untuk depan dan belakang.

Tinggi tempat duduknya pula ialah 860m, dan jarak rodanya ialah 1,525mm.

Aprilia Tuareg 660 dikuasakan enjin 659cc dua-silinder DOHC yang mampu menjana 80hp pada 9,250rpm dan 70Nm tork pada 6,500rpm. Kuasa disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan jenis klac basah multiplate dengan slipper system.

Untuk tunggangan di pelbagai permukaan, Tuareg 660 dilengkapi beberapa teknologi seperti Aprilia Ride Performance Control (APRC) yang merangkumi Aprilia Traction Control (ATC), AEB (brek enjin), AEM (pemetaan enjin), ACC (cruise control) dan empat mod tunggangan (Urban, Explore, Off-road, dan Individual).

Suspensi depan menggunakan fork terbalik Kayaba dengan pelarasan penuh di depan, sementara suspensi belakang adalah swingarm aluminium dengan monoshock boleh-laras yang juga dari Kayaba.

Untuk brek pula, Tuareg 660 mendapat sistem Brembo dengan cakera berkembar 300mm di depan serta cakera tunggal 260mm di belakang.

Aprilia Tuareg hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Indaco Tagelmust (biru), Acid Gold (emas) dan Martian Red (merah), dengan harga pengenalan RM75,900.

Aprilia SR GT 200 dilancar di Malaysia – Pilihan Standard dan Sport, dari RM20k

DIDI Group selaku pengedar rasmi motosikal Aprilia di Malaysia hari ini telah memperkenalkan SR GT 200. Skuter ini ditawarkan dalam dua pilihan iaitu Standard pada RM19,900 dan Sport pada RM20,900.

Perbezaan bagi kedua-dua varian hanyalah pada grafik dan warna. Standard hadir dengan warna Aprilia Black, Infinity Blue dan Street Grey, dilengkapi rim berwarna hitam.

Sementara itu SR GT 200 Sport pula hadir dengan warna Street Gold, Red Raceway dan Iridium Grey, berserta rim berwarna merah.

Aprilia SR GT 200 ini dilengkapi lampu depan dan belakang LED sepenuhnya, panel meter digital, pengecaj USB, ruang simpanan 25 liter bawah tempat duduk, dan sambungan telefon pintar melalui aplikasi Aprilia MIA.

Skuter ini mendapat fork teleskopik 33mm di depan dan dua penyerap hentak di belakang dengan pelarasan pre-load. Sistem brek pula adalah cakera 220mm di depan dan belakang, walaubagaimanapun ABS hanya di brek depan.

Rim adalah 14-inci di depan manakala 13-inci di belakang, masing-masing dibaluti tayar 110/80 dan 130/70.

Dari segi janaan kuasa, SR GT 200 ini dipacu enjin 174cc SOHC dengan sejukan cecair dan suntikan bahan api. Enjin ini menghasilkan 17.4hp dan 16.5Nm tork, digandingkan dengan transmisi CVT.

MotoPlex PJ dibuka, himpun jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi

PIAGGIO Group baru-baru ini mengumumkan pembukaan Motoplex Petaling Jaya iaitu bilik pameran pertama yang menempatkan empat jenama premium di bawahnya – Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi.

Dikenali sebagai stor konsep dinamik, MotoPlex PJ membawakan rangkaian produk meluas serta pusat khidmat pelanggan, menjadikannya destinasi ideal untuk peminat dan pemilik jentera dua roda.

Motoplex PJ akan diselia oleh Goh Brothers Motorcycles Sdn Bhd iaitu pengedar rasmi yang dilantik oleh Didi Group yang bertanggungjawab membawa kesemua empat jenama tadi ke Malaysia.

Dengan rekaan berinspirasikan Itali, fasiliti berkeluasan 540 meter persegi ini dibahagikan kepada 285 meter persegi untuk ruang pameran dan 255 meter persegi untuk pusat servis.

Bahagian servisnya dilengkapi alatan diagnostik canggih dan juruteknik serta mekanik motosikal terlatih, memberikan khidmat dan alat ganti berkualiti.

“Motoplex ialah ‘rumah’ untuk jenama-jenama ikonik Piaggio. Menempatkan kesemuanya bawah satu bumbung membolehkan kami memberikan lebih banyak pilihan kepada bakal pelanggan yang mahukan pengalaman tunggangan jentera Itali,” kata Simone Niccolai, naib presiden senior Piaggio Group Asia Pasifik.

MotoPlex Pj terletak di Tower B, Pacific Towers, Jalan 13/6, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor.

EICMA 2021: Aprilia Tuono 660 Factory dengan lebih kuasa dan IMU 6-axis

SELEPAS hampir setahun memperkenalkan Tuono 660, kini Aprilia melancarkan pula Tuono 660 Factory di EICMA 2021. Versi Factory hadir dengan spesifikasi lebih tinggi dan sporti.

Pertamanya dari segi enjin, Tuono 660 Factory dipacu oleh enjin 659cc dua-silinder yang menjana 100hp (5hp tambahan) dan 67Nm tork.

Kuasa disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan dengan quickshifter. Sprocket juga ditukar kepada 16/43 untuk pecutan lebih baik.

Suspensi dikekalkan dati Tuono 660 biasa iaitu fork Kayaba 41mm boleh-laras di depan, dan monoshock Sachs di belakang. Tetapi berat Tuono 660 Factory dikurang menjadi 181kg, hasil penggunaan bateri lithium-ion.

Lima mod tunggangan masih dikekalkan iaitu Road, Track, dan tiga mod pre-set serta kustom. Tetapi dengan penambahan IMU 6-axis, sportbike ini mempunyai kawalan tambahan Traction Control, Wheelie Control, Engine Braking Control dan Cornering ABS.

Kuasa memberhenti digalas oleh sepasang angkup Brembo di depan dan belakang dengan cakera bersaiz 320mm (depan) dan 220mm (belakang).

Tuono 660 Factory hadir dengan tangki bahan api 15 liter (termasuk 4 liter simpanan) dan menurut Aprilia, jentera ini mempunyai kecekapan sekitar 4.9 liter/100km.

Hanya satu warna ditawarkan iaitu Factory Dark.

Krisis dengan Yamaha, Vinales sah sertai pasukan Aprilia musim depan

PELUMBA MotoGP Maverick Vinales sah berhijrah ke pasukan Aprilia Racing musim depan.

Aprilia Racing dalam satu kenyataan berkata, keputusan dibuat sebagai usaha meningkatkan prestasi pasukan itu dalam saingan MotoGP.

“Vinales merupakan penunggang bertaraf dunia dan sangat berbakat.

“Tumpuan kami kini adalah meningkatkan prestasi dengan kehadiran Vinales sekaligus memberi cabaran sengit dalam saingan MotoGP,” kata Ketua Pegawai Operasi Aprilia Racing Massimo Rivola.

Vinales merupakan pelumba pasukan Yamaha sejak tahun 2017 dan pernah bergandingan dengan legenda MotoGP, Valentino Rossi.

Mencipta beberapa kejayaan bersama pasukan Yamaha, pelumba itu bagaimanapun dihimpit pelbagai kontroversi baru-baru ini.

Ia susulan krisis dalaman Vinales dan pasukannya sehingga menyaksikan pelumba itu direhatkan pada perlumbaan minggu lalu di Austria.

Pada perlumbaan MotoGP Styria, Vinales didapati sengaja menunggang dalam keadaan berbahaya selain wujud cubaan merosakkan jenteranya.

Namun, pelumba itu kemudian memohon maaf kepada Yamaha selain mengakui ia merupakan tindakan tidak profesional.

Antara kejayaan pernah dikecapi Vinales termasuk bergelar juara dunia pada tahun 2011 bagi kategori 125cc.

Pelumba kelahiran Sepanyol itu juga pernah berlumba bagi pasukan Suzuki pada tahun 2015 sebelum menyertai Yamaha dua tahun kemudian

Maverick Vinales ketika bersama pasukan Suzuki. – Foto ihsan Wikipedia

Aprilia Tuono 660 janji kepuasan fun ride

SEGMEN naked sport bike pasaran tempatan terus ‘meriah’ dengan kehadiran model terbaharu, Aprilia Tuono 660.

Muncul kali pertama di laman web pengeluar motosikal asal Itali itu semalam, Tuono 660 dijangka bakal menjadi pesaing hebat bagi segmen setarafnya di negara ini.

Memetik siaran media pengedar tunggal Aprilia di Malaysia Didi Resources Sdn Bhd, Tuono 660 didatangkan dengan berat lebih ringan.

Pada masa sama, Tuono juga memiliki ‘kuasa’ luar biasa!

Ini terbukti yang mana motosikal ini hanya mempunyai berat 183 kilogram dengan kuasa 95 CV.

Ia sekaligus ‘mesra’ kepada individu yang baru berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi.

Tuono 660 menawarkan struktur luar biasa yang mana bingkai dan bahagian swingarm diperbuat daripada aluminium die-cast.

Selain itu, Tuono 660 dilengkapi sistem elektronik lebih canggih seperti kawalan anti roda, kawalan pelayaran, enjin brek dan pemilihan peta enjin.

Terdapat lima mod tunggangan terbahagi kepada jalan raya dan litar. Maka, para penunggang hanya perlu memilih mod pilihan paling sesuai ketika menunggang.

Harga bagi sebuah Tuono 660 bermula pada RM77,900.

Kelibat Dovizioso di Jerez, peminat MotoGP berteka-teki

PELUMBA motosikal profesional kelahiran Itali, Andrea Dovizioso memberi kejutan bagi peminat MotoGP apabila muncul di litar Jerez, Sepanyol bagi menguji jentera RS-GP 2021 untuk pasukan Gresini Aprilia.

Kemunculan Dovizioso menimbulkan pelbagai spekulasi serta tanda tanya sama ada dirinya akan kembali menyertai perlumbaan MotoGP.

Bagaimanapun, laporan media antarabangsa mendedahkan Dovizioso telah menandatangani kontrak bersama pasukan Aprilia sebagai pelumba ujian sepanjang musim ini.

Sebelum ini, Dovizioso bersama pasukan Ducati mengambil keputusan untuk berehat sebagai pelumba MotoGP.

Sepanjang rekod sebagai pelumba MotoGP, Dovizioso merupakan antara pelumba yang memberi saingan sengit terutama kepada wakil Honda, Marc Marquez.

Pada musim lalu, Dovizioso mengumpul 135 mata keseluruhan perlumbaan MotoGP yang menyaksikannya berada di kedudukan keempat carta pelumba.

Aprilia perkenal RS660, tampil ciri teknologi terkini

SYARIKAT pengeluar motosikal berkuasa tinggi Aprilia melancarkan model terbaharu mereka, Aprilia RS660 2021 pada Rabu (31 Mac).

Aprilia RS660 2021 dihasilkan syarikat berpangkalan di Itali itu bukan sahaja dilengkapi teknologi terkini malah, didatangkan dengan harga yang munasabah.

Antara menarik perhatian termasuk pengenalan konsep pengayaan baharu dengan nisbah kuasa enjin ke berat motosikal yang optimum.

Berikut antara ciri-ciri menarik lain yang terdapat pada Aprilia RS660 2021:-

  • Casis yang langsing 
  • Enjin dua silinder 100bhp
  • Sistem elektronik premium
  • Enjin V-Twin dengan capaian 10,500rpm & 67Nm

Harga Aprilia RS660 2021 bermula Rm59,000 (tidak termasuk cukai jalan & insurans).

Terdapat dua pilihan warna iaitu Lava Red (versi Reggiani Replica) serta Apex Black.