Aprilia RS 457 dilancarkan di Malaysia, harga dari RM33,900
Pasaran motosikal bersaiz sederhana di Malaysia kini semakin menarik dengan kehadiran pesaing terbaru iaitu Aprilia RS 457.
Diperkenalkan di peringkat global pada September tahun lalu, RS 457 dibangunkan dengan formula yang sama dengan RS 660.
Ini boleh dilihat dengan jelas menerusi reka bentuknya, di mana RS 457 diberikan elemen-elemen yang sama seperti RS 660 seperti tiga lampu LED yang mengintegrasikan lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok, double fairing dan ekzos pada bahagian ‘perut’.
Nadi RS 457 adalah enjin silinder kembar selari DOHC bersesaran 457 cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 47 hp dan 43.5 Nm. Antara teknologi yang ditampilkan adalah sistem penyejukan cecair dan empat injap bagi setiap silinder.
Seperti RS 660, model ini dibina menggunakan kerangka aluminium dengan crankcase yang berfungsi sebagai elemen penggalas beban. Selain memberikan prestasi tunggangan dinamik, ini memastikan berat RS 457 kekal pada 175 kg.
Kerangka itu digandingkan dengan fork 41 mm dengan jarak pergerakan 120 mm di hadapan, serta penyerap hentak tunggal dengan jarak pergerakan 130 mm di belakang. Kedua-duanya mempunyai pelarasan pra-muatan.
Untuk brek, RS 457 menggunakan cakera berukuran 320 mm di depan dan 220 mm di belakang, digandingkan dengan angkup radial empat piston keluaran ByBre.
Untuk tayar pula, ia didatangkan dengan rim berukuran 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.
Ciri elektronik pula terdiri daripada kluster instrumen TFT lima inci, ABS dwi saluran, sistem Ride-by-Wire, tiga mod tunggangan, Traction Control dengan tiga tahap pelarasan. Quickshifter ditawarkan sebagai pilihan pada harga RM399.
Harga jualan bermula dari RM33,900 untuk warna Prismatic Dark dan Opalescent Light, dan RM35,900 untuk Racing Stripes.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.