fbpx

Aprilia SR GT Replica, RS660 Extrema dilancarkan di Malaysia

Aprilia RS660 Extrema 03

BERSEMPENA dengan saingan MotoGP Malaysia yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini, Didi Resources selaku pengedar rasmi Aprilia telah melancarkan dua model menarik iaitu SR GT Replica dan RS 660 Extrema.

Kedua-dua model tersebut dirasmikan oleh dua pelumba dari pasukan Aprilia Racing Team iaitu Aleix Espargaro dan Maverick Vinales.

Aprilia SR GT Replica

SR GT Replica tampil lebih menonjol berbanding versi standard dengan warna hitam matte, dan grafik merah dan ungu yang diinspirasikan daripada jentera Aprilia RS-GP yang ditunggang oleh Espargaro dan Vinales dalam MotoGP.

Bukan itu sahaja, ia juga menampilkan logo Aprilia yang merentangi sepanjang bahagian sisi dan rim berwarna hitam dan merah. Pemegang tangan untuk pembonceng juga dicat warna hitam matte.

Satu lagi kelainan yang terdapat pada model ini adalah tayar sporty yang menggantikan tayar jenis all terrain yang digunakan pada versi Standard dan Sport.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal, bermakna ia masih dipacu oleh enjin 174 cc SOHC dengan sejukan cecair dan suntikan bahan api. Enjin ini menghasilkan 17.4 hp dan 16.5 Nm tork, digandingkan dengan transmisi CVT.

Harga jualan Aprilia SR GT Replica bermula dari RM20,900.

Aprilia RS660 Extrema

Sekali imbas, RS660 Extrema tampak sama seperti RS660 yang dilancarkan di Malaysia hampir tiga tahun lalu. Bagaimanapun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, model ini sebenarnya lebih istimewa kerana ia dilengkapi dengan ‘perisa’ tambahan.

Apa yang dimaksudkan adalah ekzos gentian karbon SC Project yang diposisikan pada bahagian kanan motosikal. Menurut Aprilia, ekzos ini lebih ringan dan sah untuk digunakan di jalan raya.

Bukan itu sahaja, RS660 Extrema juga didatangkan dengan mudguard hadapan dan belly pan yang diperbuat daripada gentian karbon bagi mengurangkan lagi berat keseluruhan jentera.

Selain itu, ia mempunyai pelana tunggal namun tempat duduk pembonceng akan disertakan bagi membolehkan penunggang membawa pembonceng sekiranya perlu.

Dari segi kelengkapan, jentera ini didatangkan dengan ciri elektronik termasuk Cornering ABS, Traction Control, Engine Brake dan sebagainya. Penunggang juga boleh menetapkan Quickshifter kepada corak perlumbaan.

Harga jualan Aprilia RS660 Extrema bermula dari RM79,900.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved