fbpx

Aprilia Tuono 660 Factory sudah sampai di Malaysia – harga dari RM73,900

photo: Simon Palfrader©editorial use only

VERSI Factory merupakan produk flagship untuk barisan motosikal Aprilia yang dibangunkan khusus untuk penunggang berkemahiran. Kini, versi itu boleh didapati pada Tuono 660 dan model ini sudah pun tiba di Malaysia pada harga RM73,900.

Dari segi penampilan, Tuono 660 Factory boleh dibezakan dengan versi standard menerusi grafik Factory Dark dan penutup pelana pembonceng berwarna hitam dan merah. Ia juga didatangkan standard dengan peletak kaki belakang.

Menurut Aprilia, peletak kaki depan dan belakang Tuono 660 Factory adalah sama dengan yang digunakan pada RS 660 namun lebih ringan.

Sudah tentu, sebagai versi Factory, model ini mendapat beberapa kelengkapan tambahan bagi menjadikan ia lebih berprestasi tinggi. Ini termasuk sistem suspensi yang terdiri daripada fork 41 mm Kayaba dan penyerap hentak Sachs dengan tabung berasingan dan pelarasan mampatan dan lantunan.

Ia juga mempunyai nisbah berat-kuasa yang lebih baik. Ini dicapai menerusi penggunaan bateri jenis lithium ion yang membantu mengurangkan berat keseluruhan jentera sebanyak 2 kg kepada 181 kg.

Turut menyumbang adalah enjin 660 cc silinder berkembar DOHC yang kompak. Pada Tuono 660 Factory, ia menghasilkan 100 hp, iaitu 5 hp lebih tinggi berbanding Tuono 660, namun jumlah tork kekal 67 Nm pada 8,500 rpm.

Untuk kawalan elektronik pula, Tuono 660 Factory didatangkan dengan sistem Aprilia Performance Ride Control (APRC) yang lengkap dengan pendikit elektronik Ride-by-Wire dan platform IMU enam paksi.

Selain itu, APRC juga merangkumi Traction Control (ATC), Wheelie Control (AWC), Cruise Control (ACC), Quick Shift (AQS), Engine Brake (AEB) dan Engine Map (AEM). Turut disertakan untuk tujuan keselamatan adalah Cornering ABS.

Seperti Tuono 660, versi Factory ini mempunyai lima mod tunggangan, di mana tiga adalah untuk tunggangan di jalan raya, manakala dua lagi untuk digunakan di litar lumba. Antara sistem yang dikawal oleh mod tunggangan termasuklah ATC, AWC, AEB dan ABS.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved