Kempen jualan eksklusif Aprilia SR GT 200 tawar rebat tunai sehingga RM6,000
Didi Group, pengedar dan pengimport rasmi Aprilia di Malaysia, telah mengumumkan kempen jualan eksklusif untuk Aprilia SR GT 200.
Bermula pada Disember 2024 sementara stok masih ada, kempen ini menawarkan rebat tunai eksklusif untuk ketiga-tiga varian SR GT 200 iaitu varian asas, Sport dan Replica.
Untuk varian asas, ia dijual pada harga RM19,900 dan didatangkan dengan rebat tunai RM6,000, manakala varian Sport yang berharga RM20,900 didatangkan dengan rebat tunai RM5,000.
Sementara itu, SR GT 200 Replica, yang juga dijual pada harga RM20,900, ditawarkan dengan rebat tunai bernilai RM2,000.
Lebih dari sebuah skuter, SR GT 200 menggabungkan rekaan yang diinspirasikan daripada DNA lumba Aprilia dengan susun atur yang ergonomik untuk keselesaan penunggang.
Ia dikuasakan oleh enjin i-get 174 cc SOHC dengan sejukan cecair dan suntikan bahan api yang menghasilkan 17.4hp dan 16.5Nm tork. Kuasa disalurkan menerusi transmisi jenis CVT.
Ia didatangkan dengan lampu depan dan belakang LED sepenuhnya, panel meter digital, pengecaj USB, ruang simpanan 25 liter bawah tempat duduk, dan sambungan telefon pintar melalui aplikasi Aprilia MIA.
Untuk sistem suspensi, ia menggunakan fork teleskopik 33 mm di depan dan penyerap hentak berkembar di belakang dengan pelarasan pre-load.
Sistem brek pula terdiri daripada cakera 220 mm di depan dan belakang namun ABS hanya tersedia untuk tayar depan. Rim yang digunakan adalah 14 inci di depan dan 13 inci di belakang, masing-masing dibaluti tayar 110/80 dan 130/70.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.