Arkib Kategori: DUNIA

MotoGP: Ducati pilih Jorge Martin berbanding Marc Marquez?

Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin didakwa menjadi pelumba pilihan bagi pasukan kilang Ducati bagi musim 2025. 

Memetik laporan Gazzetta dello Sport, Ducati telah membuat keputusan untuk memilih Martin berbanding lapan kali juara dunia Marc Marquez untuk digandingkan bersama Fracesco Bagnaia musim depan. 

“Dalam tempoh beberapa hari ini, perbincangan (antara Ducati dan Martin) sedang berjalan rancak,” dakwa akhbar Itali itu. 

Difahamkan, “perjanjian” antara Ducati dan Martin akan turut termeterai dalam tempoh beberapa hari ini. 

“Ducati sedar mereka tidak boleh kehilangan khidmat Martin,” dakwa Gazzeta dello Sport. 

Dalam pada itu, Ducati sebelum ini telah mengesahkan mereka tidak akan mengumumkan barisan pelumba bagi musim 2025 hujung minggu ini di Mugello. 

Ketika ini, Ducati mempunyai tiga pilihan, memilih Jorge Martin yang ketika ini mendahului kejuaraan dunia, Marc Marquez atau kekal dengan Enea Bastianini. 

Terbaru, Marquez juga telah menegaskan bahawa dia mahu beraksi dengan jentera ‘factory’ musim depan dan turut menolak untuk sertai Pramac Racing menggantikan Martin sekiranya pelumba itu sah sertai pasukan kilang Ducati. 

Kereta sports enjin rotari berkembar sedang dipertimbangkan – Mazda

Minggu ini, tiga syarikat gergasi Jepun iaitu Toyota, Subaru dan Mazda mengejutkan dunia dengan membentuk satu pakatan baharu yang akan memfokuskan kepada pembangunan enjin pembakaran dalaman yang lebih cekap tenaga.

Ketiga-tiga syarikat itu akan menumpukan perhatian kepada enjin ‘signature‘ masing-masing, di mana Toyota akan melabur untuk enjin empat silinder sebaris, manakala Subaru pula dengan enjin bentangan mendatar mereka.

Mazda pula dilapor akan terus mempertahankan peranan enjin rotari dalam kenderaan baharu mereka.

 

 

Dalam Multipathway Workshop yang dianjurkan baru-baru ini, Mazda turut memperlihatkan bukan satu, tapi dua jenis sistem enjin rotari iaitu 1-Rotor Rotary-EV dan 2-Rotor Rotary EV.

Untuk makluman, sistem 1-Rotor Rotary-EV telah pun diguna pakai pada model Mazda MX-30 e-Skyactiv R-EV, di mana enjin rotari tunggal bersesaran 830 cc (75 hp/116 Nm) itu digunakan sebagai unit penjana tenaga untuk kegunaan motor elektrik dan bateri.

 

 

Untuk sistem 2-Rotor, Mazda memberitahu, “Unit konsep ini dilengkapi dengan enjin rotari dengan rotor berkembar yang dipasang membujur untuk penjanaan kuasa, membolehkan bekalan kuasa yang lebih besar dan merealisasikan perkadaran pusat graviti yang rendah.

Lebih menarik lagi apabila sistem enjin twin-rotor ini juga sedang dipertimbangkan untuk kegunaan kereta sports!

Dengan rekaan yang lebih kompak dan titik graviti yang rendah, ia membolehkan para pereka menghasilkan garis hud yang lebih rendah, bertujuan untuk menambah baik aspek aerodinamik.

Selain itu, Mazda akan menggunakan teknologi elektrifikasi untuk memanaskan enjin dan penukar bermangkin ketika suhu sejuk, di mana pendekatan ini mampu mengurangkan emisi dan memanjangkan hayat enjin.

 

 

Sistem enjin dua rotor itu mungkin sekali calon yang sesuai untuk dipadankan dengan kereta sports RX generasi baharu, ditambah pula dengan beberapa petunjuk besar yang telah diperlihatkan oleh Mazda sebelum ini.

Bertempat di Japan Mobility Show 2023, Mazda telah mengejutkan dunia menerusi model Iconic SP, sebuah konsep kereta sports berkuasa 365 hp berenjin rotari yang digandingkan dengan platform kenderaan elektrik.

Februari yang lepas, Mazda telah menubuhkan satu pasukan pembangunan enjin rotari khas terdiri daripada 36 orang jurutera yang akan bekerjasama membina barisan kereta-kereta menarik untuk menarik minat pelanggan.

Jadi, adakah ini bermakna kita semua akan dapat melihat kemunculan model pengganti Mazda RX-7 kelak?

 

Subaru tamatkan program CKD di Asia Tenggara, jual unit CBU Jepun 2025

Subaru Corporation dan Tan Chong International Limited (TCIL) dalam satu kenyataan bersama mengumumkan penamatan operasi pemasangan kenderaan complete knock down (CKD) di Asia Tenggara.

Menurut kenyataan tersebut, kedua-dua pihak percaya model perniagaan CKD yang diamalkan pada masa ini tidak lagi mampan untuk tempoh jangka masa panjang.

“Bermula tahun depan, pasaran CKD di Thailand, Vietnam, Malaysia dan Kemboja akan berubah kepada model complete build up (CBU) yang diimport sepenuhnya dari Jepun.”

 

 

Di Malaysia, Subaru menerusi Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) memasang model generasi kedua Subaru XV untuk pasaran domestik dan eksport di kilang Segambut.

Model generasi keempat Subaru Forester sebelum ini turut dipasang di fasiliti tersebut, sebelum operasinya dipindahkan ke kilang pemasangan di Thailand.

TCIL dan Subaru Corporation percaya keputusan strategik ini akan memastikan kejayaan yang berterusan Subaru di dalam pasaran yang dinamik, selain komited dalam menawarkan nilai yang luar biasa kepada pelanggan, rakan kongsi serta pihak berkepentingan.

 

Lancia umum kemunculan semula dalam sukan rali, dedah jentera Ypsilon Rally 4 HF

Suatu ketika dahulu, nama Lancia gah di persada rali selain daripada jenama yang terkemuka seperti Audi, Ford, Peugeot dan Renault.

Lancia juga pernah berada di ambang kepupusan sejak generasi ketiga Ypsilon dilancarkan, di mana ia kekal menjadi satu-satunya model yang masih dijual di pasaran tunggal, Itali yang juga merupakan negara asal jenama itu.

Kini, di bawah naungan Stellantis, Lancia dilapor mahu mengembalikan semula era kegemilangan mereka dengan menyertai acara perlumbaan rali aras mula Rally 4.

 

 

Masalahnya, Lancia (pada ketika ini) tidak mempunyai model berenjin pembakaran dalaman, memandangkan jenama itu baru sahaja melancarkan generasi keempat Ypsilon yang merupakan sebuah hatchback berkuasa elektrik (EV) sepenuh masa.

Jadi, Lancia membuat keputusan untuk memperkenalkan Lancia Ypsilon Rally 4 HF, secara asasnya sebuah Ypsilon generasi keempat yang dipadankan dengan enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter turbo berkuasa 212 hp.

Kuasa itu disalurkan kepada roda hadapan menerusi kotak gear mekanikal lima nisbah kelajuan, dibantu dengan komponen pembeza gelincir terhad (LSD) mekanikal.

 

 

Rupa luaran Ypsilon Rally 4 HF ini  juga sememangnya mengingatkan kita kepada liveri ikonik yang pernah menghiasi mana-mana jentera Lancia suatu ketika dahulu.

Apa yang pasti, jentera ini dibangunkan untuk memenuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan untuk kategori Rally4 FIA.

 

 

Namun untuk golongan kebanyakan, mereka boleh mendapatkan Lancia Ypsilon HF, sebuah EV berkuasa 240 hp dan mampu memecut sepantas 5.8 saat dari 0-100 km/j.

Selain talaan motor elektrik yang lebih berkuasa, Ypsilon HF juga menampilkan tetapan suspensi yang lebih rendah, jarak trek yang lebih lebar, dan penampilan agresif yang diinspirasikan daripada jentera rali ikonik jenama itu.

 

 

Pengenalan model Ypsilon HF ini turut menandakan kemunculan semula logo varian prestasi tinggi HF (High Fidelity) yang sebelum ini digunakan pada model seperti Delta HF dan Stratos HF.

Logo HF pada asalnya diperkenalkan pada acara Geneva Motor Show 1960, di mana pada ketika itu ia digunakan untuk sebuah kelab eksklusif bagi pelanggan jenama yang paling setia dan dikhususkan untuk mereka yang memiliki sekurang-kurangnya enam buah kereta baharu Lancia.

Ikon gajah merah telah dipilih sebagai satu azimat bertuah yang melambangkan prestasi dan keseronokan pemanduan.

 

Lancia Ypsilon Rally 4 HF


Lancia Ypsilon HF EV

Selepas GR Starlet, Toyota S-FR pula dapat lampu hijau, pacuan belakang, 1.3L turbo, 150 PS, 220 Nm

Selepas wujudnya laporan Toyota mahu membangunkan hot hatch Starlet FWD, pengeluar itu dikatakan berminat untuk memulakan semula projek pembangunan kereta sports pacuan roda belakang Toyota S-FR yang tertangguh sejak sekian lama.

Menurut laporan Best Car Web, projek S-FR tercetus kembali disebabkan oleh kehadiran enjin tiga silinder sebaris 1.3 liter turbo berkuasa 150 PS/220 Nm yang asalnya direka untuk model GR Starlet.

 

 

Ini kerana, pihak Toyota berpendapat adalah tidak masuk akal untuk membangunkan satu enjin baharu yang khas untuk kegunaan satu model sahaja.

Selain daripada itu, laman penerbitan Jepun itu turut mendakwa projek pembangunan kereta sports kompak ini sebenarnya melibatkan tiga pihak, iaitu Toyota, Daihatsu dan Suzuki.

 

 

Sumber yang rapat dengan perkara tersebut memberitahu projek pembangunan S-FR tersebut masih lagi berjalan, namun pendekatan yang digunakan mungkin berbeza disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah isu skandal keselamatan yang melanda Daihatsu tempoh hari.

Terdapat kemungkinan besar selain daripada Toyota S-FR, kereta sports itu akan muncul menerusi jenama yang berbeza, seperti contoh Daihatsu menggunakan Vision Copen Concept, manakala Suzuki pula mungkin tampil dengan model pengganti Cappucino.

 

 

Toyota S-FR (Small, Front-engined, Rear wheel drive) pada mulanya diperlihatkan secara rasmi pada acara Tokyo Motor Show 2015.

Berdasarkan spesifikasi dalam permainan simulasi Gran Turismo, ia dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter aspirasi semula jadi berkuasa 133 hp dan 150 Nm yang memacu roda belakang menerusi kotak gear manual enam nisbah kelajuan.

Best Car Web mendedahkan S-FR yang bakal muncul tahun 2026 kelak mempunyai ukuran dimensi sepanjang 4,000 mm, lebar 1,730 mm, tinggi 1,320 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,480 mm, dan berat badan sekitar 1,100 kg sahaja.

BYD Qin L dilancar, PHEV dengan jarak pemanduan sehingga 2,100km!

BYD Qin L dilancarkan dalam satu acara di Xi’ An, China dengan penawaran lima varian berharga 99,800 Yuan (RM64,846) hingga 139,800 Yuan (RM90,836). Menariknya, sistem hibrid PHEV padanya mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 2,100km setiap tangki.

Qin L merupakan sebahagian dari rangkaian Dynasty oleh BYD yang menggunakan astetik muka naga iaitu binatang kebangsaan China.

Disebabkan itu, Qin L mempunyai garisan karakter bar krom, gril besar, dan garisan sisi ketara. Menariknya, ia mengekalkan hendal pintu seperti biasa, bukannya jenis retractable atau flush.

Rekaan belakang pula menampilkan lampu nyalaan bersambung panjang dari sisi ke sisi, dengan grafik yang diinspirasikan dari ikatan China tradisional.

Dari segi ukuran, BYD Qin L adalah 4,830mm panjang, 1,900mm lebar, dan 1,495mm  tinggi. Jarak roda pula ialah 2,790mm. Ia menggunakan suspensi MacPherson di depan dan multi-link di belakang.

Bahagian dalam juga mendapat rekaan diinspirasikan dari lukisan China dan banyak grafik berbentuk ikatan. Terdapat beberapa butang fizikal berdekatan tombol gear.

Kemudian terdapat skrin tengah 15.6-inci yang boleh berpusing, dengan skrin instrumen digital 8.8-inci. Ciri standard lain termasuklah enam beg udara, kunci telefon pintar NFC, pendingin hawa automatik, dan enam pembesar suara.

Model spesifikasi tinggi didatangkan dengan bumbung panoramik, sistem DiPilot L2, tempat duduk berkuasa di depan, dashcam, rim 18-inci, sistem audio lapan pembesar suara, dan pemanas serta penyejuk tempat duduk.

Rahsia kepada jarak pemanduan 2,100km tadi adalahsistem PHEV (plug-in hybrid) baharu yang memastikan enjin dan motor elektrik bekerja pada tahap kecekapan tinggi. Ia menggunakan bahan api serendah 2.9 liter/100km.

Versi PHEV menggunakan enjin 1.5-liter dengan 99hp dan 126Nm tork. Varian rendah mempunyai jarak pemanduan elektrik 80km dan menggunakan bateri 10.08kWh serta motor elektrik 160hp/210Nm.

Varian lebih tinggi mendapat bateri 15.874kWh yang memberikan jarak pemanduan mod elektrik sejauh 120km. Ini menggunakan motor lebih berkuasa EHS160 dengan 214hp dan 260Nm tork. Model ini mampu memberikan jarak sehingga 2,100km untuk setiap tangki petrol.

Produksi Toyota GR Supra berakhir 2026, kilang Magna Steyr buang 500 pekerja – laporan

Berita kurang enak, anda hanya mempunyai tempoh masa sehingga dua tahun sahaja untuk mendapatkan model grand tourer Toyota GR Supra, sebelum produksinya ditamatkan pada tahun 2026.

Ini kerana menurut laporan Automobilwoche, pengeluar kenderaan Magna Steyr yang berpangkalan di Graz, Austria akan membuang kira-kira 500 orang pekerja setelah produksi beberapa model penting seperti BMW 5 Series, Jaguar E-Pace dan I-Pace, dan Fisker Ocean berakhir.

Untuk makluman, kilang yang sama juga turut digunakan untuk memasang model kembar tidak seiras BMW Z4 dan Toyota GR Supra sejak tahun 2019.

 

Kilang Magna Steyr di Graz, Austria

 

Laman Carscoops memetik kata-kata Naib Presiden Toyota Motor North America, Dave Christ yang menjelaskan, “kami bekerjasama dengan BMW, dan ia merupakan satu kejayaan.”

Beliau kemudiannya menambah, “kami akan menilai semula perkara seterusnya. Saya fikir, jika kami mahu membina sesuatu, kami akan memikirkan bagaimana untuk membinanya.”

Ayat tersebut memberikan bayangan Toyota berkemungkinan besar akan membangunkan GR Supra generasi baharu secara bersendirian, atau mungkin sekali menjalinkan kerjasama dengan pengeluar yang berbeza.

 

 

Toyota GR Supra merupakan kereta berprestasi tinggi produksi massa yang pertama dibangunkan oleh Toyota Gazoo Racing setelah sebelum ini menawarkan model-model produksi terhad di bawah sub-jenama GRMN (Gazoo Racing Meister of Nurburgring).

Ia boleh didapati dalam dua versi enjin, iaitu nadi empat silinder sebaris 2.0 liter berkuasa 258 hp dan 400 Nm, atau enjin enam silinder sebaris 3.0 liter dengan janaan kuasa setinggi 382 hp dan 500 Nm yang memacu roda belakang.

Untuk permulaan, GR Supra hanya ditawarkan dalam versi automatik sahaja, sebelum transmisi manual yang dibangunkan khas mula dijual pada tahun 2022, di mana ia dihadkan untuk model Supra berenjin inline-6.

 

BMW M3 Competition xDrive 2025, kuasa 523 hp tapi rupa depan kurang garang

BMW akhirnya mengemas kini penawaran model sedan pantas M3 untuk model tahun 2025.

Kemas kini pertengahan kitaran tersebut membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik yang tidak begitu ketara, namun menjadikannya kurang garang berbanding penawaran terdahulu.

 

 

Seperti contoh, unit lampu utama yang telah direka semula dengan grafik LED yang lebih ringkas, rim aloi tempa dengan kemasan baharu, serta logo dengan kemasan luaran perak untuk M3 Competition.

Ada duit ekstra? Anda boleh mendapatkan pakej M Carbon Exterior yang menambah komponen CFRP seperti inlay liang kemasukan udara hadapan, perumah cermin sisi, diffuser serta spoiler belakang, serta opsyen untuk menambah brek seramik karbon, tempat duduk bucket M Carbon, roda stereng balutan Alcantara dan trim gentian karbon.

 

 

Untuk ruang kabin, BMW M telah meringkaskan lagi kokpit dengan mengurangkan butang fizikal, diikuti dengan roda stereng tiga jejari bawah rata, serta skrin sebesar 12.3 inci dan 14.9 inci yang dikawal oleh BMW Operating System 8.5.

Selain itu, terdapat juga penggunaan bahan yang lebih premium, seperti kemasan Sensatec dan Aluminum Rhombicle Anthracite, serta opsyen M Carbon Fiber dan M Fine Brushed Aluminum.

Tidak seperti Mercedes-AMG C 63 yang mahu tunjuk kuasa dengan enjin hibrid empat silinder sebaris, kesemua model M3 mengekalkan penawaran enjin enam silinder sebaris 3.0 liter berkuasa 473 hp yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan dan pacuan roda belakang, atau 503 hp dalam trim M3 Competition dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.8 saat, sementara model tiga pedal pula sepantas 4.1 saat.

 

 

Mahukan opsyen yang lebih berkuasa, pilih sahaja M3 Competition xDrive, di mana BMW M telah ‘mengurut’ semula unit rangkaian kuasa itu supaya mampu menjana kuasa setinggi 523 hp (+20 hp) dan daya kilas puncak 649 Nm yang masuk antara 2,750 hingga 5,730 rpm.

Dalam versi ini, M3 Competition xDrive berupaya memecut sepantas 3.4 saat dari pegun ke 100 km/j.

Produksi BMW M3 2025 hanya akan bermula pada bulan Julai 2024 di kilang BMW Munich, Jerman.

 

Dua kereta Volvo tersedia dalam Gran Turismo 7 – V40 T5 R-Design dan wagon klasik 240!

Polyphony Digital selaku pihak pembangun permainan simulasi video pemanduan Gran Turismo 7 mengumumkan Update 1.48 yang boleh dimuat turun bermula hari ini (30 Mei 2024).

Tidak seperti kemas kini yang terdahulu, GT7 Update 1.48 menawarkan sehingga lima kereta ‘baharu’ yang boleh dipandu, di mana dua daripadanya menandakan kemunculan semula jenama Sweden ke dalam permainan tersebut.

 

 

Dua kereta yang dimaksudkan ialah Volvo V40 T5 R-Design tahun 2013 yang dikuasakan oleh enjin inline-5 250 hp, diikuti sebuah wagon klasik Volvo 240 SE Estate 1993.

Para peminat kereta klasik Jepun boleh menikmati tiga model yang ditawarkan, iaitu Honda Civic SiR-II 1993, Honda NSX GT500 2000, serta Nissan Skyline GTS-R (R31) 1987.

 

 

Selain daripada lima kereta baharu, Polyphony Digital turut mengemas kini menu baharu dengan menambah perkara berikut:
-Extra Menu No. 39: Racers of Japanese GTs (khusus untuk pemain Level 48 ke atas)
-Empat acara perlumbaan baharu dalam World Circuits
-Larasan sudut kamera baharu dalam menu Scapes

 

 

Honda Civic SiR-II 1993

 

Honda NSX GT500 2000

 

Nissan Skyline GTS-R (R31) 1987

 

Volvo 240 SE Estate 1993

 

Volvo V40 T5 R-Design 2013

Volkswagen Golf GTI Clubsport baharu akan muncul 31 Mei ini

VOLKSWAGEN telah menyiarkan imej teaser bagi Golf GTI Clubsport baharu, yang akan didedahkan sepenuhnya kepada umum pada 31 Mei depan.

Walaupun masih dibalut pelekat samaran, hot hatch ini dilihat mempunyai lampu LED baharu, serta bampar depan dan belakang yang direka semula. Ia juga didatangkan dengan logo VW yang bercahaya serta spoiler yang besar untuk menjana downforce maksimum.

Golf GTI Clubsport akan didatangkan standard dengan rim aloi Queenstown berukuran 19 inci yang direka berinspirasikan rim Detroit yang diperkenalkan pada Golf Mk5.

Walau bagaimanapun, sebagai alternatif, pelanggan boleh mendapatkan rim tempaan Warmenau 19 inci dengan berat hanya 8 kg setiap satu.

Imej ruang dalaman tidak disiarkan namun menurut Volkswagen, model ini didatangkan dengan stereng sport baharu yang dibalut kulit, serta sistem infotainmen baharu yang dikatakan lebih intuitif. Turut disertakan adalah sistem bantuan suara IDA dengan fungsi Chat GPT.

Perubahan mekanikal juga masih menjadi misteri namun Volkswagen mendakwa yang Golf GTI Clubsport baharu ini akan menjadi model GTI pacuan roda hadapan yang paling berkuasa setakat ini.

Sebagai rujukan, Golf GTI Clubsport Mk8 yang diperkenalkan pada 2020 mempunyai 300 PS dan 400 Nm, membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam bawah enam saat.

Apa yang kami tahu, model Clubsport baharu akan didatangkan dengan differential lock pada gandar depan dan mod pemanduan Special yang ditala khas mengikut litar Nurbugring Nordschleife. Kawalan casis adaptif (DCC) pula ditawarkan sebagai aksesori tambahan.

Toyota, Mazda, Subaru tubuh pakatan bangunkan enjin inline-4, rotari, boxer baharu

Tiga gergasi utama Jepun, iaitu Toyota, Mazda dan Subaru mengumumkan satu pakatan baharu dalam usaha untuk mengekalkan peranan enjin pembakaran dalaman (ICE) bagi mencapai sasaran neutral karbon.

Menariknya, pakatan terbaru itu tidak akan menghasilkan satu siri enjin tunggal yang boleh dikongsi, sebaliknya setiap satu pengeluar akan memfokuskan kepada teknologi yang unik untuk setiap pihak.

 

 

Ini bermakna, Toyota akan terus kekal memperbaharui teknologi enjin empat silinder sebaris, Mazda pula akan membangunkan rangkaian kuasa rotari, sementara Subaru pula dengan enjin boxer ikonik mereka.

Selain daripada membangunkan unit hibrid generasi baharu untuk mencapai neutraliti karbon, ketiga-tiga syarikat itu juga akan memfokuskan kepada penyelesaian alternatif termasuklah bahan api sintetik (e-fuel), bahan api bio, dan cecair hidrogen yang sedang diuji oleh Toyota dalam lapangan perlumbaan – sama seperti apa yang diunjurkan oleh Toyota menerusi strategi berbilang jalan (multi-pathway) sebelum ini.

 

 

Yang pasti, enjin pembakaran dalaman generasi baharu yang akan dibangunkan itu mempunyai tahap kecekapan yang tinggi, prestasi yang lebih berkuasa, serta mampu memenuhi undang-undang pelepasan emisi yang semakin ketat untuk beberapa pasaran di seluruh dunia.

Saiz unit rangkaian kuasa baharu itu juga akan menjadi lebih kecil dan kompak bagi membenarkan model kenderaan masa hadapan mempunyai rekaan hud yang rendah, sekaligus menawarkan tahap aerodinamik yang lebih baik.

Dalam pada itu, ketiga-tiga pihak turut memperlihatkan konsep kenderaan dan enjin yang bakal direalisasikan pada masa akan datang.

 

Toyota memperlihatkan sebuah model prototaip Prius dilengkapi dengan enjin empat silinder 1.5 liter yang sedang dalam proses pembangunan, serta sebuah lagi enjin inline-4 bersesaran 2.0 liter.

 

Subaru mempamerkan sebuah Crosstrek (sebelum ini dikenali sebagai XV) yang sarat dengan pelekat samaran dan dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa hibrid generasi berikutnya.

 

Mazda pula mempamerkan sistem hibrid rotari yang telah diperkenalkan sebelum ini menerusi model MX-30 R-EV, di mana enjin rotari tersebut hanya digunakan sebagai unit penjana kuasa (atau penambah jarak) ke atas sistem EV sedia ada.

 

Porsche 911 hybrid telah tiba untuk Carrera GTS – enjin 3.6-liter baharu, 532hp, 0-100 2.9 saat

INI satu berita penting. Walaupun ‘hanya’ facelift, Porsche 911 kini memasuki era baharu. Ini kerana kereta sports ini telah menerima hybrid buat kali pertama dalam sejarah.

Seperti kami laporkan sebelum ini, Porsche 911 akan menjadi hybrid, dan ia tiba untuk kemas kini generasi 992 (dipanggil 992.2) pada varian Carrera GTS.

Untuk 2025, Porsche 911 Carrera GTS mengekalkan identiti enjin flat-six di belakang, tetapi dengan sebuah motor elektrik dengan turbo elektrik. Ini melonjakkan kuasa kepada 532hp dan 608Nm tork.

Enjin yang digunakan ialah unit 3.6-liter baharu menggantikan 3.0-liter sebelum ini. Enjin ini sahaja menghasilkan 478hp dan 569Nm tork. Sistem hybrid menggantikan pakej twin turbo sebelum ini kepada pengecas turbo elektrik tunggal.

Ianya seperti pengecas turbo ekzos-gas tradisional tetapi dengan motor 11kW (14.7hp) pada syaf antara turbin dan compressor. Motor ini mampu memutarkan turbo dengan sangat pantas untuk respon cepat, mengurangkan turbo lag dengan drastik. Ia juga mampu menghantar semula kuasa ke bateri 400 volt.

Terdapat juga motor penjana 32.6hp diapit antara enjin flat-six dengan kotak gear dwi-klac 8-kelajuan. Kedua-dua ini dipacu oleh bateri 1.9kWh yang sangat kecil, terletak di bawah hud depan.

Powertrain dengan nama T-Hybrid ini direka untuk meningkatkan prestasi di semua julat rpm sambil bekerja pada nisbah udara-petrol yang ideal iaitu 14.7:1 pada hampir setiap masa. Hybrid ini juga bermakna tiada lagi transmisi manual untuk 911 Carrera GTS.

Porsche 911 Carrera GTS baharu ini lebih berat dari model sebelumnya, antaranya disebabkan ciri standard seperti stereng roda-belakang, tetapi kuasa tambahan mengatasi pertambahan berat ini. Ia juga 911 Carrera pertama yang mampu memecut ke 100km/j kurang 3 saat, lebih tepat lagi 2.9 saat.

Selain T-Hybrid, Carrera GTS 2025 mendapat flap aerodinamik aktif baharu di depan untuk penyejukan lebih baik tanpa kompromi pada seretan (drag). Terdapat juga perubahan kosmetik pada muka depan dan belakang selain pilihan rim baharu.

Tayar belakang juga lebih lebar, kini 315/30/21, tetapi depan dikekalkan pada 245/35/20. Di bahagian dalam, perubahan terbesar ialah kluster instrumen digital sepenuhnya. Ya, tiada lagi jarum tachometer analog.

Varian asas 911 (992) Carrera 2025 diberikan turbo dan intercooler dari model GTS dan Turbo sebelum ini. Ini memberikan tambahan 9hp, manakala tork kekal 448Nm.

Untuk 2025, hanya Carrera dan Carrera GTS yang menerima facelift, varian-varian lain seperti Turbo, GT3, GT3 RS dan GT2 akan menyusul kemudian. Porsche 911 992.2 2025 dijangka tiba menjelang hujung tahun ini.

Ducati Diavel V4 menang anugerah Red Dot: Best of the Best

DUCATI Diavel V4 telah dianugerahkan takhta “Best of the Best” dalam kategori Product Design di 2024 Red Dot Awards. Pengiktirafan ini ialah antara yang paling berprestij di peringkat antarabangsa, meraikan kecemerlangan rekaan setiap tahun.

Red Dot Award yang ditubuhkan sejak 1955 mengiktiraf inovasi dan gaya asli, serta diadili oleh juri pakar dalam reka bentuk produk.

Diavel V4 memenangi Red Dot Award 2024: Best of the Best yang merupakan anugerah paling berprestij bagi badan ini.

Ducati sebelum ini pernah memenangi anugerah reka bentuk dari Red Dot dengan 1199 Panigale pada 2013, XDiavel pada 2016, dan Diavel 1260 pada 2019.

Diavel V4 mempunyai rekaan berotot dengan garisan-garisan elegan. Kebanyakan elemen tertumpu ke depan manakala bahagian belakangnya kurus dan lincah. Ini ditambah pula dengan perincian-perincian halus seperti pemijak kaki dan hendal pembonceng jenis retractable.

Di Malaysia, Diavel V4 dijual pada harga (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM179,865 untuk warna Ducati Red. Satu lagi pilihan warna yang ada iaitu Thrilling Black boleh dimiliki dengan bayaran tambahan sebanyak RM3,000.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin V4 Granturismo bersesaran 1,158 cc yang berupaya menjana 168hp pada 10,500 rpm dan 126Nm pada 7,500 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang mempunyai ciri Quickshifter.

Dengan berat sekitar 223 kg tidak termasuk bendalir, ia 13kg lebih ringan berbanding model 1260 S, di mana 5 kg adalah daripada enjin dan 8 kg daripada badan.

Diavel V4 menggunakan rim 17-inci yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso III berukuran 120/70 di hadapan dan 240/45 di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada Brembo Stylema Monobloc dengan angkup empat piston. Kapasiti tangki bahan api adalah 20-liter.

Sementara itu, sistem elektronik pula merangkumi Power Mode, Riding Mode, Cornering ABS, Traction Control, Wheelie Control, Power Launch dan Cruise Control.

BMW Concept Skytop sebuah konsep futuristik dengan inspirasi masa silam

BMW suka mempertontonkan kereta baharu di acara Villa d’Este. Tahun ini, mereka mendedahkan Skytop, sebuah jentera convertible dua tempat duduk yang dikatakan mengambil inspirasi dari Z8 dan 503.

“BMW Concept Skytop ialah model unik dengan reka bentuk eksotik, mengikut tradisi Concorso d’Eleganza Villa d’Este,” kata Adrian van Hooydonk, ketua bahagian BMW Group Design.

“Ia menawarkan kombinasi pemanduan dinamik dan elegan di tahap tertinggi, mengikut model-model sebelumnya seperti Z8 atau BMW 503.”

Hubungan Concept Skytop dengan Z8 cukup jelas. Lampu belakang nipis dengan hidung seperti jerung merupakan inspirasi jelas dari roadster awal 2000-an itu. Reka bentuk hud berukir, lampu depan kecil, dan dek belakang menegak pula mengingatkan kita pada 503 dari tahun 1950-an.

BMW tidak memberikan sebarang perincian atau spesifikasi prestasi, tetapi jika diteka, mungkin ia menggunakan enjin 4.4-liter V8, kotak gear automatik 8-kelajuan, dan pacuan semua-roda dari M8 Competition.

Tema seperti M8 diteruskan ke bahagian dalam. Papan pemukanya seperti diambil terus dari 8-Series, dengan paparan instrumen digital, infotainmen, dan konsol tengah seperti yang biasa kita lihat.

Tetapi bar guling unik di belakang tempat duduk nampak betul-betul unik untuk konsep ini, yang menampilkan tingkap berkuasa. Bumbung pula ialah dengan mekanisma dua-bahagian yang boleh dicabut secara manual dan disimpan di but.

Walaupun Skytop nampak seperti sebuah konsep yang masuk akal untuk direalisasikan, kami tida rasa ia akan dikeluarkan secara rasmi.

BMW telahpun mempunyai 8-Series coupe dan convertible, jadi pastinya tiada alasan untuk menghasilkna versi targa sebegini walaupun ia nampak begitu cool.

Kia EV3 ialah SUV kompak elektrik sehingga 600km jarak pemanduan, pesaing Volvo EX30?

KIA terus menambah barisan model EV mereka, kali ini EV3 pula diperkenalkan, sebuah SUV kompak. Model ini menyertai abang-abang sedia ada seperti EV5, EV6, dan EV9.

Kia EV3 dibangunkan pada pelantar E-GMP (Electric-Global Modular Platform) tetapi tidak mendapat binaan 800-volt seperti EV6 dan EV9. Sebaliknya, ia didatangkan dengan binaan 400-volt seperti EV5, membolehkan pengecasan DC dari 10 hingga 80 peratus dalam 31 minit.

Dengan cas penuh, ia mampu dipandu sehingga 600km mengikut kitaran WLTP. Angka ini adalah bagi model Long Range, sementara itu varian Standard Range menawarkan jarak yang sedikit kurang.

Kuasa dibekalkan oleh bateri nikel manganese kobalt (NMC) kerana dikatakan menawarkan kuasa lebih baik dan mempunyai jangka hayat lebih lama.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan motor elektrik yang sama, dipasang pada gandar depan. Motor ini mempunyai output 201hp dan 283Nm tork, membolehkan EV3 memecut ke 100km/j dalam masa 7.5 saat. Kelajuan maksima dihadkan pada 170km/j.

Kia EV3 dibekalkan dengan eDTVC (Electric Dynamic Torque Vectoring Control) untuk cengkaman optima, dan satu ciri baharu iaitu i-Pedal 3.0 yang merupakan fungsi regenerative braking.

EV3 mempunyai ruang kargo sebanyak 460 liter dan memandangkan ia tiada enjin, bawah hud depan juga mempunyai tambahan ruang sebanyak 25 liter.

Dari segi rupa, Kia EV3 mendapat ‘Tiger Face Star Map’ hasil bentuk lampu DRL dan lampu utama. Gril juga jenis bertutup dengan dua pilihan rekaan bampar bergantung kepada varian.

Walaupun anda lihat Kia EV3 mempunyai bentuk berkotak dan bersegi, ia tetap aerodinamik, dengan pekali sereta serendah 0.263.

Rekaan kabin menampilkan konsep minimalis. Terdapat corong pendingin hawa tunggal yang direka melintang, membahagikan papan pemuka kepada dua bahagian. Terdapat beberapa butang fizikal di konsol tengah.

Skrin yang anda dapat lihat di papan pemuka ini cukup besar, yang terdiri dari paparan instrumen 12.3-inci, paparan infotainment 12.3-inci, dan panel pendingin hawa 5-inci.

Beberapa bahagian dalam kabin juga diperbuat dari bahan kitar semula dengan pilihan trim Air, Earth, atau Water.

Kelengkapan lain termasuklah sistem audio Harman Kardon, bantuan AI, Automotive Content Platform, dan sistem ADAS.

Mercedes-AMG PureSpeed Concept, speedster V8 dengan bar halo gaya F1!

Ini ialah model pertama Mercedes-AMG yang dilancarkan dalam siri “Mythos”, iaitu Mercedes-AMG PureSpeed.

Ia merupakan sebuah speedster jenis open-top dengan rekaan yang diinspirasikan daripada jentera lumba vintaj ikonik Mercedes serta kereta lumba Formula Satu (F1).

Apa yang menarik pasal Mercedes-AMG PureSpeed ini?

 

1. Guna asas Mercedes-AMG SL Convertible

Jika dilihat sekali imbas, anda sebenarnya dapat meneka asas jentera PureSpeed ini, iaitu convertible Mercedes SL berdasarkan unit lampu depan dan belakang.

Namun begitu, rekaan bampar tradisional Panamericana telah ditolak ke tepi dan digantikan dengan muncung jerung yang lebih bersih.

Bukaan pada bampar yang agresif itu pula telah dicat dengan logo AMG berwarna putih.

 

2. Tiada cermin penghadang angin

Untuk disesuaikan dengan imej yang diinspirasikan daripada jentera 300 SLR yang dipandu oleh Stirling Moss dan Denis Jenkinson, Mercedes-AMG membuat keputusan untuk membuang terus cermin penghadang angin.

Ia telah digantikan dengan struktur bar halo seperti yang anda biasa lihat pada jentera F1.

 

3. Aspek aerodinamik banyak dipelajari daripada Mercedes-AMG One

Untuk aspek aerodinamik, Mercedes banyak mengambil pengajaran semasa pembangunan hypercar Mercedes-AMG One untuk dicurahkan pada jentera ini.

Seperti contoh, terdapat komponen aero gentian karbon pada seksyen bawah, diikuti pelindung rim (juga daripada gentian karbon) untuk kecekapan aerodinamik, selain mengoptimasikan aliran udara di sekitar tayar dan menambah baik aspek penyejukan brek.

 

4. Tiada perincian trenkuasa didedahkan

Mercedes-AMG nampaknya tidak memperincikan aspek rangkaian kuasa yang digunakan pada PureSpeed.

Besar kemungkinan ia meminjam nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar daripada model SL 63, berkuasa antara 577 hp untuk versi standard atau sehingga 805 hp dalam trim hibrid E Performance.

 

5. Produksi 250 unit sahaja

Roadster PureSpeed akan dihasilkan sebanyak 250 unit sahaja, di mana Mercedes-AMG akan mengehadkan model ini untuk golongan peminat dan pengumpul tegar yang berdedikasi terhadap jenama itu.

Harga jualan juga masih lagi dirahsiakan. Apa jua nombor yang bakal diumumkan kelak, sudah pasti ia tidak akan memberikan sebarang masalah kepada golongan pembeli yang berpotensi.

 

Volkswagen dan Renault tak dapat kata sepakat untuk EV kos rendah

DENGAN lambakan kenderaan elektrik (EV) murah dari China, pengeluar-pengeluar Eropah kini mula gusar. Renault mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Volkswagen untuk persaingan ini tetapi tidak berjaya nampaknya.

EV kos rendah yang dibangunkan bersama tidak akan diteruskan. CEO Renault, Luca de Meo berkata bahawa perbincangan antara kedua-dua pihak telah berakhir.

Katanya, projek itu suatu “kerugian peluang”, tetapi menurutnya Renault masih terbuka untuk kerjasama dengan pengeluar-pengeluar lain: “Mungkin ada yang lain.”

VW enggan mengulas, tetapi kedua-dua pengeluar gergasi itu sah tidak meneruskan kerjasama. Sementara itu, Renault, akan terus menghasilkan Twingo generasi baharu yang dijangka tiba pada 2026.

Twingo generasi semasa masih dijual, dengan pilihan enjin tradisional dan EV. Model generasi baharu nanti hanya akan ditawarkan sebagai EV, dengan harga jangkaan kurang dari €20,000 (RM101,965).

Dari pihak VW, masih belum jelas perancangan mereka selepas menamatkan perbincangan dengan Renault. Buat masa ini, pengeluar Jerman itu mempunyai EV kompak ID.3. Pengganti e-up! juga kini dalam pembangunan, dijangka tiba pada 2027, mungkin dengan nama ID.1.

Toyota beri bayangan kemunculan GR Corolla versi automatik dua pedal!

Umum mengetahui bahawa Toyota kini merupakan satu-satunya pengeluar automotif Jepun yang berani menawarkan pelbagai jenis kereta sports berprestasi tinggi di bawah sub-jenama Gazoo Racing.

Bermula dari GR Supra, Toyota kemudian menawarkan pula hot hatch GR Yaris yang diinspirasikan daripada dunia rali, diikuti generasi kedua 86 (atau nama rasminya GR86), dan GR Corolla.

Sebut pasal GR Corolla, model tersebut direka untuk memberikan saingan kepada model Golf GTI dan Golf R, namun sayang sekali hot hatch AWD itu buat masa ini hanya boleh didapati dalam versi manual sahaja.

 

 

Adakah keadaan itu akan berubah?

Menurut laporan terbaharu daripada laman penerbitan Australia Drive, Sean Hanley selaku ketua unit jualan dan pemasaran Toyota Australia mendedahkan lebih separuh pembeli GR86 dan GR Supra lebih gemar memilih model automatik.

Beliau menambah, “data tersebut memberikan petunjuk lebih ramai orang akan cenderung memilih model auto sekiranya ia sedia untuk dijual.”

Dalam pada itu, presiden Toyota Gazoo Racing Tomoya Takahashi turut mencadangkan GR Corolla bertransmisi automatik mungkin akan muncul kelak, sekiranya terdapat permintaan.

 

 

Spesifikasi GR Corolla automatik – sekiranya ditawarkan kelak – berkemungkinan besar akan mengikut rapat apa yang ditawarkan oleh Toyota pada model GR Yaris AT seperti yang telah dilancarkan pada awal tahun yang lalu.

Ia masih lagi mengekalkan enjin tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo (G16E-GTS), namun dengan hamburan kuasa 300 hp dan 400 Nm, di mana kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda GR-Four menerusi kotak gear automatik jenis torque-converter lapan nisbah kelajuan.

 

Toyota GR Corolla: Hot hatch AWD dengan alasan paling munasabah – Pandu uji

Honda Civic 2025 facelift, majoriti varian kini guna enjin 2.0 e:HEV

Honda telah pun mengemaskini penawaran bagi sedan segmen C Honda Civic untuk model tahun 2025.

Perubahan pada bahagian luar Civic 2025 ini sebenarnya telah pun diperlihatkan pada awal tahun yang lalu, menepati rupa paras Civic RS Prototype yang muncul di Tokyo Auto Salon 2024.

 

 

Pada muka hadapan, Civic kini dipadankan dengan rekaan bampar baharu, di mana perumah lampu kabus telah ditiadakan, diikuti dengan struktur jeriji yang telah dikemaskini.

Selain perubahan yang kecil yang terdapat pada bahagian luar, Honda sebenarnya merombak kembali penawaran varian sedia ada, di mana kebanyakan trim kini tidak lagi menggunakan enjin 1.5 liter turbo, kecuali varian Civic Si.

 

 

Sebaliknya, kesemua varian (kecuali varian LX dan Sport yang menggunakan enjin 2.0 NA) kini dikuasakan oleh nadi hibrid e:HEV 2.0 liter kitaran Atkinson dengan dua motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 200 hp dan 315 Nm.

Ini menjadikan Civic Hybrid sebagai Civic bukan Type R yang paling berkuasa pernah dihasilkan.

Selain prestasi yang lebih bertenaga, Civic Hybrid juga kini mendapat empat tahap tetapan brek regeneratif, diikuti dengan talaan spesifik untuk meningkatkan kualiti pemanduan dan dalam masa yang sama menambahbaik aspek NVH.

 

Untuk ruang kabin pula, Civic Hybrid kini mendapat tempat duduk balutan kulit, sistem audio stereo dengan 12 pembesar suara, serta skrin infohibur bersaiz sembilan inci yang turut dilengkapi dengan aplikasi Google terbina dalam.

Difahamkan, Honda Civic 2025 akan mula mendarat di kebanyakan pusat pengedar Honda di Amerika Syarikat pada bulan Jun ini, di mana ia masih boleh didapati dalam bentuk badan sedan dan juga hatchback.

 

Ducati lancar Monster Senna Edition, terhad kepada 341 unit sahaja

Ducati meraikan pelumba legenda sukan Formula 1, Ayrton Senna dengan memperkenalkan Monster Senna Edition yang terhad kepada 341 unit sahaja. 

Model tersebut merupakan penghormatan kepada Senna yang bukan sahaja berjaya di pentas F1 malah turut merupakan Ducatisti yang setia kerana memiliki beberapa motosikal Ducati termasuk Monster pertama dan Ducati 916. 

Menariknya, Monster Senna Edition ini hadir dengan pilihan warna yang diilhamkan dari helmet digunakan Senna di F1. 

Menariknya, Monster Senna Edition ini lebih menonjol dengan penggunaan brek kaliper Brembo Stylema berwarna serba kuning yang tidak ada pada mana-mana motosikal dalam pasaran. 

Ini bukan kali pertama Ducati memperkenalkan model dengan nama Senna kerana pernah melakukannya pada era 90-an menerusi Ducati 916 Senna Edition. 

Atas kertas, Monster Senna Edition ini dikuasakan enjin L-Twin 937cc yang sama seperti varian Standard dan menawarkan 111hp.