fbpx

Kia EV9 dilancarkan di Malaysia – 2 varian, harga dari RM370k

Kia EV9 launch 01

PENGEDAR rasmi Kia iaitu Dinamikjaya Motors telah melancarkan kenderaan elektrik ketiganya untuk pasaran Malaysia iaitu Kia EV9.

SUV itu boleh didapati dalam dua varian iaitu GT-Line AWD 6 tempat duduk dan GT-Line 7 tempat duduk, masing-masing dijual pada harga RM369,668 dan RM374,668.

Kedua-dua varian menampilkan konfigurasi motor elektrik berkembar yang menghasilkan 380 hp dan 700 Nm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

Spesifikasi bateri juga sama iaitu bateri litium ion berkapasiti 99.8 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 505 km dengan satu cas penuh.

Untuk pengecasan, EV9 dilengkapi dengan ciri pengecasan pantas DC sehingga 350 kW yang membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam masa 24 minit. Ia juga menyokong pengecasan AC 11 kW yang memerlukan 10.5 jam untuk pengecasan penuh.

EV9 merupakan model kedua Kia yang dibina menggunakan Electric Global Modular Platform (E-GMP) selepas EV6. Ia mempunyai ukuran panjang 5,015 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,780 mm dan jarak roda 3,100 mm.

Rekaan luarannya diserlahkan menerusi Digital Tiger Face yang menampilkan Digital Pattern Lighting Grille, lampu LED menegak dengan lampu-lampu berbentuk kiub, serta lampu nyalaan siang Star Map pada bahagian belakang. Rim didatangkan dalam saiz 21 inci untuk kedua-dua varian.

Di dalam, terdapat papan pemuka panoramik terapung yang menempatkan dua skrin, masing-masing berukuran 12.3 inci, serta sebuah lagi paparan segmen berukuran lima inci yang membolehkan pemandu mengakses semua fungsi kenderaan.

Bukan itu sahaja, terdapat juga dua skrin kecil pada panel pintu kiri dan kanan yang memaparkan imej dari kamera sisi.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk Apple CarPlay, Android Auto, pengecas wayarles, port pengecas USB-C di hadapan, tengah dan belakang, pencahayaan ambien dan sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara.

Dengan sistem pengecasan Integrated Charging Control Unit (ICCU) yang fleksibel, EV9 juga mempunyai fungsi Vehicel-to-Load (V2L) yang boleh membekalkan tenaga sehingga 3.6 kWj untuk mengecas pelbagai peralatan elektronik.

Turut disertakan adalah ADAS yang merangkumi ciri-ciri seperti High Beam Assist (HBA), Parking Collision-Avoidance Assist (PCA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Assist (RCCA), Blind-Spot View Monitor (BVM), Lane Keeping Assist (LKA), Driver Attention Warning (DAW), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA2), Lane Following Assist (LFA2) dan Smart Cruise Control (SCC).

EV9 diimport sepenuh dari Korea Selatan dan boleh didapati dalam lima warna iaitu Ocean Blue, Snow White Pearl, Pebble Grey, Aurora Black Pearl dan Iceberg Green.

Ia didatangkan dengan waranti pengeluar untuk lima tahun/150,000 km dan waranti bateri untuk lapan tahun/160,000 km.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved