fbpx

Ducati Diavel V4 masuk pasaran Malaysia – RM179,865

Ducati Diavel V4 01

DUCATI Malaysia telah melancarkan Diavel V4 ke pasaran tempatan, di mana ia dijual pada harga (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM179,865 untuk warna Ducati Red.

Satu lagi pilihan warna yang ada iaitu Thrilling Black boleh dimiliki dengan bayaran tambahan sebanyak RM3,000.

Tidak seperti Diavel 1260 S, jentera ini dikuasakan oleh enjin V4 Granturismo bersesaran 1,158 cc yang berupaya menjana 168 hp pada 10,500 rpm dan 126 Nm pada 7,500 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang mempunyai ciri Quickshifter.

Dari segi reka bentuk, Diavel V4 tampil lebih segar dengan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk “C” berkembar pada bahagian hadapan.

Bahagian belakang menampilkan lampu LED Matrix dengan signatur optikal Diavel yang juga disusun dalam bentuk “C” berkembar.

Diavel V4 dibina menggunakan kerangka aluminium monocoque yang dipadankan dengan suspensi boleh laras dan lengan ayun jenis single-sided yang juga diperbuat daripada aluminium.

Dengan berat sekitar 223 kg tidak termasuk bendalir, ia 13 kg lebih ringan berbanding model 1260 S, di mana 5 kg adalah daripada enjin dan 8 kg daripada badan.

Diavel V4 menggunakan rim 17 inci yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso III berukuran 120/70 di hadapan dan 240/45 di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada Brembo Stylema Monobloc dengan angkup empat piston. Kapasiti tangki bahan api adalah 20 liter.

Sementara itu, sistem elektronik pula merangkumi Power Mode, Riding Mode, Cornering ABS, Traction Control, Wheelie Control, Power Launch dan Cruise Control.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved