fbpx

Kia EV3 ialah SUV kompak elektrik sehingga 600km jarak pemanduan, pesaing Volvo EX30?

kia ev3 12

KIA terus menambah barisan model EV mereka, kali ini EV3 pula diperkenalkan, sebuah SUV kompak. Model ini menyertai abang-abang sedia ada seperti EV5, EV6, dan EV9.

Kia EV3 dibangunkan pada pelantar E-GMP (Electric-Global Modular Platform) tetapi tidak mendapat binaan 800-volt seperti EV6 dan EV9. Sebaliknya, ia didatangkan dengan binaan 400-volt seperti EV5, membolehkan pengecasan DC dari 10 hingga 80 peratus dalam 31 minit.

Dengan cas penuh, ia mampu dipandu sehingga 600km mengikut kitaran WLTP. Angka ini adalah bagi model Long Range, sementara itu varian Standard Range menawarkan jarak yang sedikit kurang.

Kuasa dibekalkan oleh bateri nikel manganese kobalt (NMC) kerana dikatakan menawarkan kuasa lebih baik dan mempunyai jangka hayat lebih lama.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan motor elektrik yang sama, dipasang pada gandar depan. Motor ini mempunyai output 201hp dan 283Nm tork, membolehkan EV3 memecut ke 100km/j dalam masa 7.5 saat. Kelajuan maksima dihadkan pada 170km/j.

Kia EV3 dibekalkan dengan eDTVC (Electric Dynamic Torque Vectoring Control) untuk cengkaman optima, dan satu ciri baharu iaitu i-Pedal 3.0 yang merupakan fungsi regenerative braking.

EV3 mempunyai ruang kargo sebanyak 460 liter dan memandangkan ia tiada enjin, bawah hud depan juga mempunyai tambahan ruang sebanyak 25 liter.

Dari segi rupa, Kia EV3 mendapat ‘Tiger Face Star Map’ hasil bentuk lampu DRL dan lampu utama. Gril juga jenis bertutup dengan dua pilihan rekaan bampar bergantung kepada varian.

Walaupun anda lihat Kia EV3 mempunyai bentuk berkotak dan bersegi, ia tetap aerodinamik, dengan pekali sereta serendah 0.263.

Rekaan kabin menampilkan konsep minimalis. Terdapat corong pendingin hawa tunggal yang direka melintang, membahagikan papan pemuka kepada dua bahagian. Terdapat beberapa butang fizikal di konsol tengah.

Skrin yang anda dapat lihat di papan pemuka ini cukup besar, yang terdiri dari paparan instrumen 12.3-inci, paparan infotainment 12.3-inci, dan panel pendingin hawa 5-inci.

Beberapa bahagian dalam kabin juga diperbuat dari bahan kitar semula dengan pilihan trim Air, Earth, atau Water.

Kelengkapan lain termasuklah sistem audio Harman Kardon, bantuan AI, Automotive Content Platform, dan sistem ADAS.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved