Volkswagen Arteon R-Line 2021 dilancar secara rasmi – CKD, 280hp, 4Motion, dari RM248k

SETELAH tempahan dibuka kira-kira sebulan lepas, Volkswagen Arteon R-Line facelift didedahkan secara rasmi hari ini.

Pelancaran itu dibuat secara maya oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM). Jujurnya kedatangan Arteon R-Line facelift ini menunjukkan usaha VPCM dalam merancakkan pasaran sedan segmen-D yang kian mengecil.

Oh ya, Volkswagen Arteon ini bukanlah sedan sepenuhnya, tetapi lebih kepada sebuah fastback. Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion ditawarkan pada harga RM247,670.97 dengan pengecualian cukai, dan merupakan model CKD (dipasang di Malaysia). Harga ini juga termasuk jaminan 5-tahun dan pakej penyelenggaraan percuma 3-tahun.

Jangan ingat rupa eksekutif Arteon ini tiada prestasi. Di bawah ‘kulitnya’ terdapat enjin EA888 2.0-liter turbo yang menjana 280hp dari (5,100-6,500rpm) dan 350Nm (1,700-5,600rpm), yang menghantar kuasa ke semua roda melalui DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan 4Motion.

Dengan ini, pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat dalam 5.6 saat sahaja. Untuk konteks, pecutan ini lebih pantas dari Honda Civic Type-R (5.8 saat) dan Golf GTi (6.4 saat).

Kelengkapan luaran Arteon termasuklah lampu depan LED sepenuhnya, lampu belakang LED dengan signal sequential, dan rim Montevideo dwi-tona aloi 19-inci. Satu ciri yang menjadi magik untuk Arteon ialah penyerap hentak Dynamic Chassis Control (DCC), menjadikan ia sedap dipandu.

Ciri di bahagian dalaman pula termasuklah kemasan kulit Nappa, sistem audio Harman Kardon 700-watt dengan 12 pembesar suara, kamera 360-darjah, dan sistem infotainmen dengan skrin 9.2-inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto.

Arteon baharu didatangkan dalam tiga pilihan warna metalik iaitu kelabu (Manganese Grey), biru (Lapiz Blue) dan perak (Pyrite Silver); serta dua warna mutiara; hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).

Harga Arteon ini sudah memasuki ‘wilayah’ BMW 3-Series G20 dan Mercedes-Benz C-Class W205. Jenama Jerman mana yang jadi pilihan anda?

Passat R-line paling mengancam, pandu dulu baru tahu

SEBUT nama Volkswagen Passat pasti di kepala terlintas kenderaan segmen D untuk golongan senior.

Namun, seperti penulisan sebelum ini ternyata Volkswagen Passat sesuai untuk semua lapisan umur.

Benarkah dakwaan ini?

Artikel kali ini penulis ingin bercelotoh mengenai model Volkswagen Passat R-line yang lebih sporty, sesuai untuk golongan muda!

Model ini mempunyai ‘rupa paras’ sangat bergaya. Walaupun rekaannya tidak terlalu mencuba namun, impak perubahan sangat ketara.

Antara menarik perhatian penulis adalah bahagian rim Passat R-line.

Mempunyai size 19 inci, ternyata ‘kegarangan’ model ini amat terserlah!

Selain itu, model ini turut menggunakan lampu diod pemancar cahaya (LED) yang begitu cantik.

Passat R-line mempunyai perubahan rekaan sedikit tetapi impak yang banyak. – Foto oleh EnGear

Kelebihan Passat R-line

Passat R-line mempunyai Driving Mode Selection (DMS) yang mana ia membolehkan pemandu memilih jenis mod pemanduan mengikut kesesuaian.

Digandingkan pula dengan Dynamic Chassis Control (DCC), Passat R-line ini sungguh seronok dipandu.

Ia membolehkan kereta ini dipandu secara ekonomi ataupun lebih agresif.

Bagaimana sistem DCC itu dapat membantu anda memandu kereta ini dengan lebih seronok?

Dengan sistem ini, ia membolehkan sistem gantungan Volkswagen Passat R-line untuk berubah mengikut pilihan gaya pemanduan.

Jika anda memilih ‘comfort’ maka ia akan memastikan sistem gantungan memberi keselesaan maksima kepada pemandu dan penumpang.

Mode sport akan memastikan pemandu dapat merasakan pemanduan seperti sebuah kereta sukan.

Enjin masih dikekalkan sama seperti Passat Elegence iaitu 2.0TSI yang menghasilkan 190hp dan 320nm tork.

Ini bermakna Passat R-line ini juga masih boleh dipandu sejauh 1000 kilometer dengan satu tangki penuh.

Selain itu, kotak gear DSG yang sangat lancar masih digunakan sekaligus menjadikan kereta ini amat menjimatkan bahan api.

Pengalaman kami memandu?

Apa yang boleh dikatakan Volkswagen Passat R-line ini sesuai untuk semua jenis jalan.

Walaupun nampak seperti besar, namun kereta ini masih mudah dikendalikan.

Bayangkan laluan yang sempit pun masih mudah dikendali, terima kasih kepada sensor kereta Passat R-line!

Setelah menggunakan kereta ini hampir seminggu dengan jarak penggunaan 750 kilometer, masih terdapat baki minyak dalam tangki! Hebat!

Sporty dan eksklusif! – Foto oleh EnGear

Adakah Passat R-line ini sesuai untuk penggunaan harian?

Volkswagen Passar R-line ini sememangnya sesuai untuk penggunaan harian.

Ini kerana Passat R-line mempunyai fungsi lengkap sebagai kereta harian yang sempurna.

Sememangnya pada harga lebih RM200,000, Passat R-line ini bukan kereta mampu milik.

Tetapi, jika dilihat dalam segmennya, ia adalah sebuah kenderaan yang amat berbaloi untuk dibeli.

Makanya, jangan gentar untuk memiliki sebuah Volkswagen kerana kualiti dan jaminan telah dipertingkatkan saban tahun.

Pada masa sama Volkswagen turut menawarkan lima tahun jaminan tanpa batuan serta tiga tahun servis percuma.

Kenapa berbaloi beli Volkswagen Arteon R-Line 4MOTION baharu?

VOLKSWAGEN (VW) memperkenalkan satu lagi varian terbaharu iaitu Arteon R-Line 4MOTION baru-baru ini.

Mula diperkenalkan di Malaysia tahun lalu, varian pertama berjaya memikat ramai peminat kereta yang gemarkan gaya pemanduan sebenar dengan keselesaan ruang dalaman eksklusif.

Tahun ini, VW sekali lagi ‘melahirkan’ sebuah model Arteon R-Line baharu yang didatangkan dengan pelbagai ciri menarik.

Antara pembaharuan yang dilakukan melibatkan kemas kini bahagian dalaman dan luaran, selain teknologi serta enjin baharu.

Arteon R-Line 4MOTION bukan sahaja power tetapi juga sangat menawan! – Foto oleh VW

Jom kenali Arteon R-Line 4MOTION baharu

Arteon R-Line 4MOTION baharu memiliki karakter lebih sporty.

Pada bahagian luaran, ia dilengkapi gril dan bampar hadapan dengan rekaan baharu lebih mantap bersama lampu utama diod pemancar cahaya (LED) penuh.

Selain itu, bahagian belakang model ini juga dilengkapi LED 3D dengan lampu isyarat membelok berturutan menyerlahkan karekter reka bentuk Arteon.

Bagaimana pula dengan bahagian enjin?

Arteon R-Line 4MOTION sememangnya merupakan kenderaan berprestasi tinggi dengan kuasa enjin turbo 2.0L TSI.

Ia dipadankan bersama kotak gear direct shift klac basah 7-kelajuan DSG dan mampu menghasilkan kuasa 280PS dan tork sebanyak 350Nm di antara 5,100 hingga 6,500rpm.

Jangan terkejut kerana Arteon R-Line 4MOTION hanya memerlukan masa 5.6 saat untuk memecut dari 0-100kmj!

Tidak dinafikan pemandu akan merasai keselesaan sebenar pemanduan dengan Arteon baharu ini. – Foto oleh VW

Sementara itu, ruang kokpit Arteon R-Line 4MOTION baharu tampil menawan dengan perubahan ketara termasuk stereng baharu bersama kawalan sentuhan haptic.

Pemandu dan penumpang juga boleh berasa selesa dengan tempat duduk sports dibaluti kulit Nappa Carbon bersama logo R baharu.

Berikut antara ciri-ciri lain Arteon R-Line 4MOTION baharu:

  • Sistem audio 12 unit pembesar suara premium berkuasa 700-watt daripada Harman Kardon
  • Sistem infohibur Discover Pro dengan skrin bersaiz 9.2” didatangkan bersama ciri kawalan gestur dan suara
  • Sistem Digital Cockpit beresolusi tinggi boleh diubah suai dengan sentuhan jari.
  • Lane Assist, Side Assist dan Driver Alert

Terdapat lima pilihan warna bagi Arteon R-Line 4MOTION baharu iaitu Lapiz Blue, Manganese Grey dan Pyrite Silver.

Pelanggan yang meminati warna dengan efek mutiara pula boleh dapatkan pilihan Deep Black atau Oryx White.

Harga bagi Arteon R-Line 4MOTION baharu bermula RM245,000 hingga RM255,000.

Volkswagen Passat jimat minyak?

JIKA membaca pada tajuk penulisan ini pasti ramai tertanya apakah benar Volkswagen Passat 2.0 TSI Elegance menjimatkan bahan api?

Jawapannya adalah “ya, benar”.

Volkswagen Passat 2.0 TSI Elegance ini sebenarnya boleh menjimatkan penggunaan bahan api sekaligus menyelamatkan poket anda.

Berdasarkan pemerhatian penulis, model ini terbukti bukan sahaja mempunyai ‘kuasa’ terbaik malah, jika kena gayanya amat menjimatkan penggunaan petrol.

Mitos atau realiti?

Konsumsi bahan api model ini sangat rendah berbanding kebanyakan kereta jenis lain jika dipandu dalam kelajuan sederhana.

Tangki penuh kereta ini adalah 66 liter dan jika dipandu berhemah ia boleh bergerak sejauh 1000km.

Selain itu, mengambil kira status sebagai kenderaan continental ia jelas tidak terlalu mahal memandangkan harga di pasaran bernilai kurang RM200,000.

Apa yang menarik Volkswagen juga meneruskan pemberian jaminan lima tahun tanpa jarak pembantuan selain servis percuma selama tiga tahun!

Mengapa model ini sangat istimewa?

Kereta ini menggunakan enjin 2.0 TSI turbocharged yang menghasilkan 190hp dan 320nm tork.

Menariknya enjin ini menghasilkan kuasa yang mantap tetapi masih dapat menjimatkan bahan api.

Kereta ini dipadankan dengan DSG 7 kelajuan dan ia sangat lancar selain mempunyai fitur keselamatan tinggi.

Salah satu fitur yang penulis gemar adalah Rear Cross Traffic Alert.

Memandangkan kereta ini agak besar dan panjang, fitur keselamatan akan membantu kenderaan mengundur dengan sempurna.

Rekaan dalaman Volkswagen Passat 2.0 TSI Elegance sangat terbaik!

Kemasan dalaman kereta ini sangat cantik dan moden. Fitur Apple Carplay tanpa wayar juga antara yang disukai pengguna.

Bagaimana pemanduan kereta ini?

Kereta ini bukan direka untuk berlumba tetapi ia masih boleh dikawal pada kelajuan tinggi dan tidak bermasalah untuk mengambil selekoh tajam.

Bagaimanapun, pada pandangan penulis model ini seronok jika dipandu dengan santai.

Maka secara kesimpulan, penulis merasakan kereta ini menjadi contoh segmen D terbaik merangkumi penggunaan bahan api, spesifikasi dan keselesaan.

[thb_image_slider thb_equal_height=”true” images=”472411,472409,472413,472407,472405,472406″]

Volkswagen Tiguan R-Line, SUV ‘boy racer’ berkeluarga

VOLKSWAGEN Tiguan berada dalam pasaran automotif Malaysia sejak tahun 2008.

Ketika itu, Tiguan generasi pertama gagal menarik perhatian saya. Reka bentuk model ini boleh dikatakan langsung tidak menyerlahkan ia sebagai sebuah jentera yang ‘segak’.

Lapan tahun berlalu, Volkswagen memperkenalkan pula Tiguan MK2 di Malaysia.

Sedikit ‘bergaya’ namun, masih kelihatan seperti sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tipikal yang hanya sesuai untuk individu berkeluarga.

Disebabkan itu juga, Tiguan masih gagal menarik perhatian ramai orang terutama golongan muda.

Bagaimanapun, usaha Volkswagen untuk melakukan penambahbaikan terhadap model Tiguan tidak terus terhenti.

Terbaharu, jenama itu memperkenalkan Tiguan Allspace R-Line yang kelihatan semakin ‘garang’.

Tiguan Allspace R-Line juga sesuai untuk kegunaan 'santai'. - Foto oleh EnGear

Tiguan Allspace R-Line lebih padu, jitu

Pada asalnya, enjin 1.4 Tsi yang dipadankan pada Volkswagen Tiguan ini sudah cukup memadai.

Namun, setelah memandu kereta ini untuk beberapa hari barulah saya faham tujuan variasi R-Line ini dipadankan dengan enjin 2.0 Tsi.

Pertama sekali, rupa luaran Tiguan R-Line ini sememangnya sangat ‘menawan’ apatah lagi dipadankan dengan bodykit lebih ‘garang’.

Lampu belakang jenis diod pemancar cahaya (LED) menyerlahkan lambang kemegahan selain turut memiliki rim bersaiz 19 inci.

Bahagian dalam pula, kenderaan asal Jerman ini sememangnya kelihatan kemas dengan odometer digital serta mempunyai skrin sesentuh yang besar.

Selain itu, pemasangan Apple CarPlay turut memudahkan pemandu menggunakan sistem navigasi dan lain lain fungsi.

Tiguan Allspace R-Line juga lebih ‘panjang’ sekaligus memberi keselesaan kepada pamandu dan penumpang.

Jadi, perlukah Volkswagen mengeluarkan enjin 2.0 ini memandangkan enjin 1.4 sudah memadai?

Saya yakin, jawapannya “perlu”.

Ini kerana Tiguan R-Line ini mempunyai satu ruang khas yang dinantikan oleh kebanyakan peminat Volkswagen.

Istilah 'Allspace' membuktikan kenderaan ini memiliki ruang dalaman sangat luas.

Ruang dalaman Tiguan Allspace R-Line

Bayangkan jika pengguna Volkswagen Golf GTI sudah terbiasa dengan kelajuan kenderaan itu.

Pastinya, individu itu ingin memiliki kuasa yang sama pada Tiguan R-Line.

Tanpa ragu-ragu, saya yakin Tiguan R-Line layak menjadi pengganti kepada Golf GTI bagi mereka yang berkeluarga.

Apabila anda memandu kereta ini, ia sangat selesa dan langsung tidak merasakan ia sebuah SUV.

Kotak gear DSG 7 kelajuan turut membantu pecutan dan kelancaran penukaran gear.

Berdasarkan pengalaman saya, Tiguan R-Line amat berbaloi untuk dimiliki.

Volkswagen tampil model Tiguan Allspace R-Line 2021

BERITA baik bagi penggemar Volkswagen.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia hari ini melancarkan beberapa penambahan ciri baharu bagi model Tiguan Allspace R-Line 2021.

Tiguan Allspace R-Line 2021 dikuasakan dengan enjin turbo 2.0TSI selain dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift (DSG) tujuh kelajuan.

Ia mampu menjana kuasa mencecah 220PS dan tork 350Nm.

Antara ciri penting lain terdapat pada kenderaan utiliti sukan (SUV) ini adalah sistem  4MOTION yang membolehkan ia mengharungi apa jua permukaan jalan.

Selain itu, Tiguan Allspace R-Line 2021 juga dilengkapi dengan port pengecas dan data USB-C termasuk sistem yang mampu disambungkan kepada Apple Car Play.

Tiguan Allspace R-Line 2021 dilengkapi sistem gear yang mampu memberi keselesaan pemanduan di atas setiap permukaan jalan raya.

Aidilfitri bersama Volkswagen

Volkswagen berbesar hati memberi potongan diskaun kepada para pelanggannya bermula hari ini sehingga 13 Jun bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Para pelanggan bakal menikmati potongan 20 peratus bagi setiap penukaran minyak enjin Volkswagen.

Pada masa sama, pelanggan yang berbelanja minimum RM1,200 juga akan menerima satu kit penjagaan kereta secara percuma!

Ia merangkumi penggilap berlilin, syampu, produk penjagaan plastik dan kulit serta sampul wang bersempena Aidilfitri.

Model Passat antara kenderaan 'laku keras' yang ditawarkan oleh Volkswagen. - Foto oleh Volkswagen Malaysia

ACE 2021: Nantikan kemunculan Volkswagen

Auto Car Expo (ACE) yang diadakan pada 17 dan 18 April ini di Setia City Convention Centre bakal menyaksikan penglibatan Volkswagen.

Pelbagai program dan tawaran menarik bakal menanti pengunjung termasuk rebat tunai tambahan RM1,000 bagi setiap pembelian kenderaan Volkswagen.

Pelanggan yang mendapatkan model Passat Elegance dan R-Line pula bakal menikmati hadiah percutian mewah di Pangkor Laut Resort ditaja sepenuhnya oleh Volkswagen.

Sebagai tambahan, Passat Elegance hadir dengan insurans percuma selama setahun bernilai RM5,500.

Manakala Passat R-Line pula, didatangkan bersama petrol percuma selama setahun bernilai RM2,500.

Model keluaran Volkswagen seperti Arteon R-Line, Passat Elegance, Passat R-Line, Tiguan Allspace R-Line dan Highline juga akan dipertontonkan kepada pengunjung.