Ucapkan selamat datang kepada ahli keluarga EV BYD serba baharu, iaitu BYD Atto 2 2025 yang baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Dimensi
Secara standard, Atto 2 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,310 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,675 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,620 mm.
Jika dibandingkan dengan Dolphin, Atto 2 jauh lebih besar dimensinya namun jarak antara roda 80 mm lebih pendek.
Berbanding Atto 3, Atto 2 lebih pendek 145 mm dengan jarak antara roda 100 mm lebih pendek, namun sedikit tinggi (+60 mm).
2. Kuasa
Atto 2 dipacu oleh motor elektrik tunggal pacuan roda hadapan berkuasa 174 hp dan 290 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.9 saat.
3. Jarak gerak
Dengan pek bateri berkapasiti 51.13 kWh, Atto 2 boleh bergerak sejauh 410 km untuk sekali cas penuh (data NEDC)
Ia menyokong pengecasan AC 7 kW serta pengecasan pantas DC 82 kW membolehkan pengecasan 30-80 peratus dalam tempoh 30 minit.
4. Kelengkapan
Untuk bahagian luaran, Atto 2 mendapat kelengkapan seperti unit lampu LED depan dan belakang, rim sebesar 17 inci, bampar depan sporti, spoiler bumbung belakang dan pilihan warna dua tona sebagai opsyen.
Masuk ke dalam ruang kabin, terdapat skrin kluster digital 8.8 inci, skrin tengah boleh berputar 12.8 inci, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta tempat duduk hadapan berventilasi yang boleh dilaras.
Ruang kargo boleh mencapai kapasiti sehingga 1,320 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Ciri keselamatan pula termasuklah enam beg udara, sistem pemantauan keliling 360 darjah, serta kelengkapan sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS).
5. Harga
Untuk pasaran Malaysia, BYD Atto 2 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Ski White, Breeze Green dan Harbour Grey. Harga pula bermula dari RM100,000.
Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama enam tahun atau had perbatuan 160,000 km, jaminan bateri bervoltan tinggi hingga tahun ke-8 atau had perbatuan 160,000 km, serta jaminan unit pacuan hingga tahun ke-8 atau had perbatuan sehingga 150,000 km.
Untuk 800 orang pelanggan pertama, BYD Malaysia menawarkan pakej pemilikan mudah bernilai RM13,500 berupa ansuran bulanan RM0 untuk enam bulan pertama menerusi pakej pembiayaan Bank Panel Sime Motors.
Selain itu, terdapat pilihan pakej pengecasan seperti berikut:
– pengecas dinding percuma untuk penghuni rumah bertanah
– Sime Platinum 4+ oleh Power Up untuk penghuni kediaman bertingkat merangkumi program langganan 12 bulan, 4x pengecasan mudah alih setiap bulan, 2x cucian kereta setiap bulan, serta 2x perkhidmatan tunda percuma setahun.
