fbpx

Unit ke-500,000 BYD Dolphin dikeluarkan, kekal jadi hatchback EV paling laris di China

BYD Dolphin lancar 01

BYD beberapa hari lepas telah ‘melahirkan’ unit ke-500,000 bagi model Dolphin. Ya, 500,000 unit untuk Dolphin sahaja, bukan keseluruhan kenderaan mereka.

Menurut BYD yang kini menjadi pengeluar kenderaan tenaga baharu nombor satu dunia, sejak dilancarkan pada Ogos 2021, model Dolphin terus menjadi hatchback kelas A0 paling laris di China selama 19 bulan berturut-turut.

Di pasaran global, hatchback EV itu turut membuat impak signifikan. Di Brazil, ia terjual lebih 4,000 unit dalam masa dua bulan selepas dilancarkan. Di Thailand pula, BYD Dolphin menjadi model EV kelima paling laris dalam masa sebulan diperkenalkan.

Untuk pasaran Malaysia, Dolphin ditawarkan dalam dua varian iaitu Dynamic Standard Range dan Premium Extended Range, dengan harga runcit yang disyorkan (RRP) dari RM99,900 hingga RM124,900.

Untuk harga on-the-road tidak termasuk insurans, varian Dynamic Standard Range akan menjadi RM100,530 manakala Premium Extended Range pula RM125,530. Ini menjadikan ia model EV kedua paling mampu milik di negara ini selepas Neta V.

Dolphin didatangkan dengan waranti enam tahun/150,000km. Untuk bateri dan unit pacuan pula, Sime Darby Motors menawarkan waranti lapan tahun/160,000km dan lapan tahun/150,000km.

Dalam versi Dynamic Standard Range, Dolphin mendapat pek bateri (Blade Battery) berkapasti 44.92kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 410km berdasarkan kitaran WLTP.

Ia mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 94hp dan 180Nm, membolehkan pecutan 0-100km/j dalam 12.3 saat.

Sementara itu, varian Premium Extended Range dengan bateri 60.48kWh pula dikatakan boleh dipandu sejauh 490km dengan satu cas penuh.

Ia juga dilengkapi dengan motor elektrik tunggal namun dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 201hp dan 300Nm, versi ini hanya memerlukan 7.0 saat untuk memecut sehingga 100km/j.

Dari segi pengecasan, Dolphin didatangkan standard dengan pengecasan AC 7kW. Bagaimanapun, untuk pengecasan pantas DC, kapasiti antara kedua-dua varian ini berbeza iaitu 60kW untuk Dynamic Standard Range dan 80kW untuk Premium Extended Range.

Sistem bantuan pemandu (ADAS) disertakan secara standard pada kedua-dua varian. Antara cirinya termasuk Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Lane Depature Warning, Lane Keeping Support, Lane Change Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Blind Spot Detection.

Kami juga telah membuat membuat pandu uji awal dalam sesi untuk media baru-baru ini, boleh baca laporan kami di sini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved