fbpx

BYD YangWang U8 Premium Edition boleh terapung atas air, buat pusingan kereta kebal

BYD YangWang U8 Premium Edition 01

YangWang, sub-jenama mewah yang bernaung di bawah BYD, telah memperkenalkan penawaran terbaru mereka untuk pasaran China iaitu U8 Premium Edition. Harga jualannya dilaporkan bermula dari 1,089,000 yuan (RM699,270).

Secara asasnya, ia merupakan sebuah SUV off-road bernadikan sistem hibrid plug-in yang menggabungkan enjin 2.0-liter empat silinder turbo dan empat buah motor elektrik.

Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 1,200 PS, memberikan ia prestasi pecutan yang setanding supercar iaitu 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 200 km/j.

Sistem hibrid tersebut dilengkapi dengan bateri Blade BYD berkapasiti 49 kWj yang membolehkan U8 Premium Edition bergerak menggunakan kuasa elektrik sejauh 180 km.

Bateri tersebut diintegrasikan ke casis menggunakan teknologi Cell-to-Chassis (CTC) dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 110 kW. Ini bermakna ia boleh melakukan pengecasan 30 hingga 80 peratus dalam 18 minit sahaja.

Bateri itu juga menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 6 kW yang boleh mengecas pelbagai perkakasan elektrik sehingga 25 jam. Turut disertakan adalah port 220V pada bahagian dalam.

Apa yang mengagumkan, kawalan pemvektoran tork pada keempat-empat roda U8 Premium Edition membolehkan ia melakukan pusingan kereta kebal (tank turn), selain memberikan sistem penstabilan kenderaan yang berfungsi untuk memastikan ia terus boleh dipandu walaupun salah satu tayarnya pecah.

Bukan itu sahaja, SUV ini juga boleh terapung selama 30 minit serta bergerak pada kelajuan kira-kira 3 km/j semasa berada di atas air. Fungsi ini direka khusus untuk pemanduan off-road atau situasi kecemasan seperti banjir.

U8 Premium Edition dilengkapi dengan teknologi casis DiSus-P Intelligent Hydraulic Body Control System yang memastikan kawalan peredam secara berterusan dan pelarasan ketegaran peredam mengikut kondisi pemanduan atau jalan.

Sistem ini boleh menambah ketinggian suspensi sehingga 150 mm, sekali gus membolehkan kenderaan itu meredah air sedalam 100 cm.

Masuk ke dalam, segenap inci ruang kabin dihiasi dengan upholsteri kulit Nappa dan trim kayu Sapele dari Africa. Antara kelengkapan yang tersedia adalah skrin OLED 12.8 inci pada bahagian tengah dan dua skrin 23.6 inci, satu untuk pemandu dan satu lagi untuk penumpang hadapan.

Tidak cukup dengan itu, penumpang belakang juga boleh mengakses sistem infohibur menerusi skrin masing-masing.

Ciri-ciri lain yang disertakan paparan head-up realiti terimbuh (AR) berukuran 70 inci, sistem audio dengan 22 pembesar saura, sistem kawalan suara pintar, tiga pengecas wayarles yang menyokong pengecasan pantas 50 kW serta peti sejuk.

Untuk keselamatan pula, terdapat sistem ADAS yang merangkumi 38 sensor, termasuk tiga sensor LiDAR, lima radar gelombang, 14 sensor ultrasonik dan 16 camera.

Digabungkan dengan dua unit pemproses NVIDIA Drive Orin, model ini mempunyai Highway Driving Assist, City Navigation Pilot dan Automated Vilot Parking. Perisian ini boleh kemaskini secara atas udara (OTA).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved