Arkib Kategori: BERITA

Etiqa lancar MyRider Plus, tawar perlindungan menyeluruh untuk pemilik motosikal 250 cc dan ke atas

Etiqa baru-baru ini melancarkan pelan perlindungan tambahan MyRider Plus sebagai pelengkap kepada polisi Insurans dan Takaful Motosikal Komprehensif sedia ada.

Pelan ini direka khusus untuk pemilik motosikal 250 cc dan ke atas dengan bayaran cuma RM150 setahun.

Sokongan lebih meluas

Polisi Insurans dan Takaful Motosikal Komprehensif melindungi motosikal daripada kerosakan, kecurian dan kemalangan.

MyRider Plus pula merupakan add-on pilihan di mana pemilik boleh menikmati sokongan tambahan seperti:

  • bantuan tunda 24 jam
  • manfaat kematian sehingga RM10,000
  • manfaat hilang upaya kekal sehingga RM10,000
  • perbelanjaan perubatan sehingga RM2,000
  • manfaat ihsan RM500
  • elaun kesulitan RM500
  • elaun kesulitan akibat banjir RM500

Semua manfaat di atas adalah tertakluk kepada terma dan syarat.

Dengan adanya MyRider Plus, ia dapat memberikan ketenangan minda terutama kepada peminat motosikal bersesaran tinggi yang kerap melakukan perjalanan jarak jauh.

Maklumat lanjut berkenaan MyRider Plus boleh didapati menerusi laman web rasmi www.etiqa.com.my, aplikasi mudah alih Etiqa+, serta cawangan dan ejen berlesen berhampiran.

 

Honda NSX ditenggelami banjir ini raih bidaan lebih RM200,000

Semua orang tahu jentera JDM sememangnya bernilai tinggi pada masa kini. Namun, siapa sangka sebuah Honda NSX generasi pertama yang rosak akibat ditenggelami banjir pun masih mampu menarik bidaan lebih 8 juta yen (kira-kira RM207,000).

NSX berwarna Formula Red ini bukan sahaja pernah berada dalam air dengan paras melebihi pintu, malah sudah mencatatkan perbatuan lebih 236,000 km.

Model keluaran 1991 (NA1) yang dilengkapi enjin V6 3.0 liter itu ditawarkan melalui Yahoo Auctions Japan selepas mengalami kerosakan akibat banjir pada Julai lalu.

Dilabel sebagai sampah

Penjual tidak cuba menyembunyikan keadaan sebenar kereta tersebut. Iklannya jelas menyatakan NSX berkenaan mengalami kerosakan akibat banjir dan dijual dalam keadaan sedia ada sebagai asas projek restorasi. Malah, ia secara terus terang dilabel sebagai “sampah”.

Gambar yang disertakan menunjukkan NSX itu berada dalam air keruh yang hampir menenggelami bahagian pintunya.

Bidaan bermula pada 1 juta yen (sekitar RM26,000), namun apa yang menarik, atau mungkin pelik, harganya semakin lama semakin tinggi. Selepas 93 bidaan, harga akhir mencecah 8.004 juta yen (kira-kira RM207,000), sebelum lelongan berakhir pada 15 Ogos.

Kos pemulihan bukan kecil

Harga tersebut agak mengejutkan kerana kereta ini mempunyai beberapa kekurangan besar selain sejarah banjir. Ia bukan versi manual yang lebih diminati, manakala perbatuannya juga sudah tinggi.

Lebih penting, memulihkan kereta yang ditenggelami air sedalam itu bukan kerja mudah. Air boleh merosakkan pendawaian, penyambung elektrik, modul kawalan, suis dan pelbagai komponen elektronik, selain meningkatkan risiko kakisan pada masa akan datang.

Keadaan enjin dan transmisi juga menjadi persoalan, bergantung kepada berapa lama kereta berada dalam air dan sama ada air sudah memasuki sistem mekanikal.

NSX tetap NSX

Walaupun begitu, ia masih sebuah Honda NSX. Penggunaan aluminium yang meluas menjadikan kereta ini masih menarik untuk dijadikan projek restorasi, manakala komponen khusus NSX juga semakin bernilai kepada pengumpul.

Mungkin pemenang bidaan melihat kereta ini sebagai projek yang berbaloi untuk diselamatkan, atau tertarik dengan statusnya sebagai sebuah supercar Jepun yang pada asalnya dibangunkan untuk menyaingi Ferrari.

Apa pun alasannya, mengeluarkan belanja yang tinggi untuk sebuah kereta berusia 35 tahun, dengan perbatuan tinggi, transmisi automatik dan kerosakan akibat banjir sememangnya satu pertaruhan besar.

Honda mahu pembekal guna lebih banyak komponen China, sasar penjimatan RM39 bilion

Honda dilaporkan menyasarkan penjimatan kos sebanyak kira-kira 1.5 trilion yen (sekitar RM38.9 bilion) menjelang 2030, dalam usahanya meningkatkan daya saing bagi menghadapi tekanan daripada pengeluar kenderaan China.

Menurut dokumen dalaman yang dilihat Reuters serta dua sumber yang mengetahui perkara tersebut, Honda telah meminta pembekalnya mengurangkan harga sehingga 30% bagi tiga kategori utama: komponen acuan dan tempa, komponen elektrik serta komponen berkaitan kenderaan ditakrifkan perisian (Software-Defined Vehicle atau SDV).

Pembekal diminta kurangkan kos

Pengurusan Honda dilaporkan telah membentangkan pelan pengurangan kos tersebut kepada pembekal utama dalam satu pertemuan di Utsunomiya. Setiap pembekal kemudiannya diberikan sasaran pengurangan kos masing-masing, yang disifatkan sebagai “amat besar” oleh salah seorang sumber Reuters.

Honda turut menggesa pembekal peringkat pertama (Tier 1) mengkaji semula kaedah mendapatkan bahan dan komponen, termasuk meningkatkan penggunaan komponen standard daripada pembekal peringkat kedua dan ketiga.

Lebih banyak komponen dari China

Menurut Reuters, Honda juga menggalakkan pembekalnya meningkatkan penggunaan komponen buatan China jika sesuai, sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kos.

Langkah adalah berikutan persaingan yang semakin sengit daripada jenama China seperti BYD, yang semakin menguasai pasaran di Asia Tenggara, Eropah dan Amerika Latin dengan kenderaan berharga kompetitif serta teknologi bateri dan perisian yang semakin maju.

Honda ubah fokus daripada EV kepada hibrid

Usaha mengurangkan kos ini berlaku ketika Honda berdepan kerugian besar daripada strategi kenderaan elektriknya. Syarikat itu menjangkakan kerugian berkaitan EV bakal melebihi $12 bilion (sekitar RM49 bilion), dan kini memberi tumpuan lebih besar kepada kenderaan hibrid.

Honda mencatatkan kerugian tahunan buat kali pertama sebagai syarikat yang didagangkan secara terbuka pada Mei lalu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toshihiro Mibe.

Honda tidak memberikan komen mengenai sasaran pengurangan kos khusus atau butiran perbincangannya dengan pembekal. Bagaimanapun, syarikat itu berkata ia sedang bekerjasama dengan pembekal di seluruh dunia untuk meningkatkan daya saing dan mengurangkan kos, termasuk menerusi penggunaan lebih banyak komponen standard.

Honda City 2026 facelift: Tempahan kini dibuka

Honda Malaysia secara rasmi membuka tempahan bagi model sedan segmen B Honda City 2026 versi facelift.

Bermula 27 Ogos hingga 30 September, Honda Malaysia menawarkan ganjaran Early Bird bernilai RM3,000 untuk pelanggan yang membuat tempahan (tertakluk kepada terma dan syarat).

Ciri dipertingkatkan

Ia menampilkan beberapa ciri yang dipertingkatkan seperti skrin paparan Display Audio 10-inci lengkap dengan lampu suasana.

Selain itu, aspek keselamatan turut dipertingkatkan dengan sistem kamera 360°, sistem informasi titik buta (BLIS) dan sistem pemantauan lintasan trafik (CTM).

Dari segi kosmetik, City facelift membawakan lampu utama LED yang lebih nipis diikuti dengan bar LED melintang penuh serta rekaan bampar yang disemak semula.

Varian RS pula hadir dengan ciri eksklusif seperti rim aloi 16 inci warna dua tona (Berlina Black/Dark Clear).

Pilihan unit rangkaian kuasa

Honda City facelift masih kekal dengan pilihan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC (121 PS/145 Nm) berserta padanan transmisi CVT.

Sementara varian hibrid pula mendapat tetapan e:HEV 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi e-CVT, menghasilkan 109 PS dan 253 Nm.

Honda SENSING sebagai ciri standard

Kesemua varian turut dilengkapi dengan ciri Honda SENSING secara standard, merangkumi fungsi seperti:

  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Mitigasi Keluar Jalan (RDM)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKAS)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Peringatan Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN)
  • Bantuan Mengikut Kelajuan Rendah (LSF) khas untuk varian e:HEV RS

 

Mitsubishi Pajero 2027: Nama ikonik lagenda kembali!

Inilah dia generasi baharu SUV off-road Mitsubishi Pajero 2027 setelah kali terakhir nama tersebut digunakan pada tahun 2021.

Bermula tahun 2027, Mitsubishi Pajero akan mula dijual di lebih 100 buah negara termasuklah ASEAN, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Produksi akan mengambil tempat di Thailand, Jepun dan juga Australia.

Dimensi

Dari segi ukuran, Pajero generasi baharu ini membawakan dimensi sepanjang 4,920 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,910 mm dengan jarak antara roda 2,870 mm.

Berbanding Pajero terdahulu, Pajero 2027 menawarkan kelebihan saiz yang lebih besar, serta ruang kabin yang lebih luas.

Jarak kelegaan tanah adalah setinggi 230 mm, diikuti sudut pendekatan 30.4°, sudut pelepasan 25.8° dan sudut breakover 22.6°.

Casis & Enjin

Pajero dibina berdasarkan kerangka ladder frame trak pikap Mitsubishi Triton.

Tetapan suspensi terdiri daripada sistem double-wishbone di hadapan dan tetapan five-link di bahagian belakang.

Talaannya pula diilhamkan daripada program kejuruteraan Rali Dakar Mitsubishi.

Pajero dipacu enjin 2.4 liter diesel dengan unit turbo tunggal VGT, dengan daya kilas mencecah sehingga 480 Nm atau 470 Nm untuk sesetengah varian.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada empat roda menerusi transmisi automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan empat roda 4WD.

Terdapat sistem kawalan Super-All Wheel Control (S-AWC), Active Yaw Control (AYC) dan tujuh mod pemanduan (Normal, Eco, Gravel, Snow, Mud, Sand & Rock).

Luaran

Selari dengan perkembangan semasa, Mitsubishi Pajero membawakan penampilan yang bergaya, disumbangkan oleh reka badan berpetak serta fender berotot.

Selain itu, ia juga turut mendapat unit lampu LED berbentuk T depan dan belakang, struktur tiang C bertekstur, dan rekaan pintu tailgate yang mengingatkan kita kepada elemen Dynamic Shield.

Karakter Pajero diserlahkan dengan dua warna baharu iaitu Armor Copper Metallic dan Phantom Blue Metallic.

Kabin

Pajero menampilkan konfigurasi tiga baris yang boleh memuatkan 7 orang penumpang pada satu-satu masa.

Tempat duduk baris kedua boleh dilaraskan kedudukan sehingga 150 mm dan mekanisme keluar masuk yang lebih mudah.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah skrin berkembar 14.3 inci dengan pilihan 16 visual grafik, paparan meter ikonik Pajero serta kawalan iklim 3-zon.

Tiga tolok ikonik itu tadi digunakan untuk memaparkan info altimeter, kompas, suhu, sudut condong badan dan kawalan AYC.

Panel instrumen dan trim pintu menggunakan bahan lembut dengan teknik jahitan yang diinspirasikan daripada kraftangan Jepun.

Aspek keselesaan kabin dipertingkatkan dengan penambahan penebat bunyi pada bahagian cermin depan, cermin pintu depan dan belakang.

Sistem audio Yamaha pula terdiri daripada 12-pembesar suara, dua amplifier dan sistem pembetulan bunyi automatik.

Keselamatan

SUV ini dilengkapi dengan lapan beg udara, kamera keliling 3D, sistem bantuan lebuh raya MI-PILOT, serta ciri-ciri seperti:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (FCM)
  • Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELA)
  • Amaran Ramalan Pelanggaran Hadapan (PFCW)
  • Bantuan Pencegahan Salah Tekan Pedal (EAPM)
  • Amaran Lintasan Kenderaan Hadapan (FCTA)

Jaecoo J5 EV 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM118,800

Omoda | Jaecoo Malaysia secara rasmi melancarkan SUV elektrik Jaecoo J5 EV untuk pasaran tempatan.

Hadir dalam satu varian CKD, Jaecoo J5 EV dijual pada harga RM118,800 (tanpa insurans).

Setiap pembelian disokong jaminan selama 7-tahun/150,000 km serta jaminan bateri voltan tinggi selama 10-tahun/200,000 km.

Pakej Pelancaran

1,000 pelanggan pertama akan menikmati pakej pelancaran bernilai RM10,000, terdiri daripada:

  • Insurans percuma 1-tahun (bernilai RM3,000)
  • Sambungan data percuma 3-tahun (bernilai RM1,000)
  • Pengecas dinding 7kW (bernilai RM3,300)
  • Penyambung V2L (bernilai RM700)
  • Aksesori gaya hidup termasuk subwoofer, set karaoke dan lampu suluh (bernilai RM2,000)

Selain itu, pelanggan juga akan diberikan kredit pengecasan JomCharge tanpa had selama satu tahun.

Unit pacuan

Jaecoo J5 EV dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang memacu roda depan, menghasilkan kuasa 208 hp dan 288 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.7 saat.

Bateri & pengecasan

Pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) CATL 58.9 kWh menawarkan jarak pandu sehingga 402 km (data WLTP).

J5 EV turut menyokong pengecasan AC 11 kW (10-100% dalam 7 jam).

Pengecasan pantas DC 130 kW pula membolehkan bateri dicas 30-80% SoC dalam masa 28 minit,

SUV ini turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 3.3 kW.

Kelengkapan

Berbeza dengan Jaecoo J5 versi ICE, versi EV menampilkan reka bentuk yang lebih kemas.

Ia dilengkapi dengan ciri Active Grille Shutter untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik, rim 18 inci aerodinamik, serta jarak kelegaan tanah 174 mm.

Ruang kabin pula mendapat ciri seperti:

  • Skrin kluster LCD 8-inci
  • Skrin infohibur 13.2-inci
  • Sokongan Apple CarPlay & Android Auto
  • Bumbung kaca panorama 1.45 meter persegi

Praktikaliti

Ruang kargo adalah sebesar 480 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,284 liter, dibantu dengan ruang frunk tambahan sebesar 35 liter.

Selain penggunaan bahan kemasan mesra haiwan, J5 EV turut menampilkan fungsi Pet Mode dan Camping Mode.

Keselamatan

Secara standard, J5 EV dilengkapi dengan enam beg udara, kamera keliling 540 darjah, serta kelengkapan ADAS Tahap 2+, antaranya ialah:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Kawalan Jelajah Adaptif kelajuan penuh (ACC)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran & Brek Lintasan Trafik Belakang (RCTA & RCTB)

Honda WR-V 2026 rasmi di Malaysia: ciri dipertingkat, harga dari RM94,900

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan SUV Honda WR-V 2026 dengan ciri yang dipertingkatkan.

Tidak seperti penawaran terdahulu, Honda WR-V kini diringkaskan kepada tiga varian dengan harga jualan seperti berikut:

  • WR-V E – RM94,900
  • WR-V V – RM98,900
  • WR-V RS – RM104,900

Ciri dipertingkatkan

Secara standard, kesemua varian kini hadir dengan rim aloi hitam 17 inci.

Varian RS pula mendapat kemasan jeriji hitam baharu disusuli dengan penawaran warna dua tona Blazing Red Pearl (bumbung hitam).

Ruang kabin kini mendapat rekaan papan pemuka yang dikemas kini, serta tempat duduk balutan kulit yang dihiasi jahitan merah.

Selain itu, terdapat juga skrin paparan Display Audio 10-inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Antara ciri lain yang dikekalkan termasuklah:

  • ruang kargo 380 liter
  • tempat duduk belakang nisbah 60:40
  • tiga konfigurasi kargo (Utility Mode/Long Mode/Tall Mode)

Eksklusif untuk varian WR-V RS ialah lampu ambien merah, pengecas peranti tanpa wayar, dan sistem kamera keliling 360°.

Honda SENSING standard

Secara standard, kesemua varian hadir dengan enam beg udara, ciri Honda LaneWatch, kamera undur, serta cagak ISOFIX.

Ciri keselamatan Honda SENSING juga standard untuk ketiga-tiga varian, merangkumi fungsi berikut:

  • Amaran Pelanggaran Depan (FCW)
  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Mitigasi Keluar Jalan (RDM)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Suluhan Tinggi (AHB)
  • Notifikasi Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN)

Enjin dan transmisi

Honda WR-V dipacu enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC menghasilkan kuasa 121 PS dan 145 Nm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 11 saat dengan kelajuan maksimum 160 km/j.

MODENAS lanjut Program Z15GT Care hingga 31 Oktober

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) mengumumkan lanjutan Program Z15GT Care sehingga 31 Oktober 2026.

Lanjutan selama dua bulan ini dilihat memberi lebih kebebasan kepada pemilik Modenas Z15GT untuk mendapatkan pemeriksaan percuma dan bantuan selepas jualan.

Menurut MODENAS, program ini tersedia di 94 lokasi di seluruh negara, merangkumi:

  • 84 pengedar sah terpilih
  • lima pusat servis MODENAS
  • lima pusat Service Plus

Skop program yang dilanjutkan ini kekal sama, di mana pemilik Z15GT terus menikmati:

  • Pemeriksaan motosikal dan diagnosis percuma oleh juruteknik terlatih
  • Bantuan teknikal, pembaikan dan tuntutan waranti untuk kes yang layak
  • Akses kepada komponen gantian dan alat ganti berkaitan, tertakluk kepada pengesahan teknikal dan ketersediaan

Servis rutin dan item penyelenggaraan di luar skop program masih tertakluk kepada caj perkhidmatan biasa.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Kami menghargai kerjasama dan maklum balas daripada pemilik Z15GT serta pengedar sah sepanjang program ini.

“Dapatan yang dikumpul membantu usaha berterusan kami dalam memperkukuh kualiti produk, penyampaian servisdan pengalaman pemilikan keseluruhan,” ujarnya lagi.

Pemilik Z15GT yang masih belum menyertai program ini digalakkan untuk menghubungi pengedar sah terdekat.

Mereka perlu membawa dokumen pendaftaran motosikal serta dokumen waranti atau servis berkaitan bagi melancarkan proses penilaian.

Toyota Roomy 2026 diperkenal di Jepun, kembar Daihatsu Thor, besar daripada N-BOX

Toyota Roomy 2026 diperkenalkan di Jepun dengan penambahan ciri keselamatan, kelengkapan standard serta pilihan pakej baharu.

Model kompak lima tempat duduk itu menerima penambahbaikan pada sistem keselamatan Smart Assist, selain beberapa kelengkapan yang sebelum ini ditawarkan sebagai pilihan.

Menariknya, Toyota Roomy bukan model asing di Malaysia kerana boleh ditemui dalam pasaran recond dan ditawarkan dalam lingkungan harga RM100 ribu dan ke atas.

Model ini sesuai buat pelanggan yang mahukan sebuah kereta kompak tetapi lebih besar dan praktikal berbanding Honda N-BOX.

Di Jepun, Roomy merupakan kembar kepada Daihatsu Thor dan Subaru Justy.

Toyota Roomy 2026 tampil dengan ciri keselamatan lebih lengkap

Antara perubahan utama bagi Toyota Roomy 2026 ialah sistem keselamatan Smart Assist yang kini menjadi kelengkapan standard untuk semua varian.

Sistem tersebut menerima fungsi pengesanan yang dipertingkatkan, termasuk:

  • Mengesan kenderaan dari arah bertentangan ketika membelok ke kanan di persimpangan.
  • Mengesan pejalan kaki yang melintas dari arah bertentangan ketika kenderaan membelok ke kiri atau kanan.

Toyota turut menyusun semula kelengkapan bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pembeli.

Antara kelengkapan yang kini menjadi standard ialah beg udara sisi untuk pemandu dan penumpang hadapan serta beg udara bidai untuk barisan hadapan dan belakang.

Bagi varian X pula, kelengkapan baharu yang ditawarkan secara standard termasuk:

  • Perehat tangan pemandu.
  • Pelaras ketinggian tempat duduk pemandu.
  • Ruang simpanan di bawah tempat duduk penumpang hadapan.
  • Meter Optitron dua meter bersama paparan maklumat pelbagai fungsi TFT berwarna.

Toyota turut menawarkan beberapa pilihan kelengkapan sebagai pilihan pengeluar.

Untuk varian G-T dan G, antaranya ialah brek parkir elektrik bersama fungsi Brake Hold serta Adaptive Cruise Control (ACC) dengan fungsi mengikuti kenderaan pada semua kelajuan dan fungsi berhenti.

Pakej navigasi yang menyokong paparan panorama turut boleh dipilih pada semua varian kecuali X.

Ia menggabungkan Panoramic View Monitor dengan suis pada stereng untuk mengendalikan fungsi tersebut.

Selain itu, semua varian boleh dilengkapi pakej audio paparan yang menggunakan skrin 9 inci, input HDMI serta port USB Type-A untuk komunikasi dan pengecasan.

Warna baharu dan pakej gaya untuk Toyota Roomy 2026

Toyota turut memperkenalkan warna badan baharu untuk Roomy 2026.

Warna satu tona baharu ialah Grayish Olive Metallic, yang menjadi pilihan standard untuk semua varian.

Pilihan berbayar pula merangkumi Yellowish Black Crystal Mica dan Shining White Pearl.

Untuk varian Custom G-T dan Custom G, pelanggan turut boleh memilih gabungan dua tona:

  • Black Mica Metallic × Grayish Olive Metallic
  • Black Mica Metallic × Shining White Pearl

Toyota juga memperkenalkan Another Style Package untuk varian Custom G-T dan Custom G.

Pakej ini menggabungkan Style Select Package daripada pengeluar dengan beberapa aksesori yang dipasang oleh pengedar bagi memberikan penampilan luaran dan dalaman yang lebih bergaya.

Antara kelengkapan seperti hendal pintu luaran berkemasan krom, cermin hadapan dengan top shade, kemasan tempat duduk gabungan kulit tiruan dan fabrik dengan jahitan kelabu serta kemasan kalis air.\

Pakej tersebut turut merangkumi pencahayaan pada ruang kaki pemandu dan penumpang hadapan.

Dari segi aksesori luaran, ia menambah kemasan bampar hadapan, kemasan krom lampu kabus, spoiler bampar belakang dan spoiler hujung bumbung.

Toyota Roomy 2026 dengan enjin 1.0 liter N/A dan Turbo

Dari segi mekanikal, Toyota Roomy dibekalkkan enjin tiga silinder 1.0 liter yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Varian G-T dan Custom G-T menggunakan enjin 1KR-VET dengan pengecas turbo.

Enjin 1KR-VET menghasilkan kuasa maksimum 98 PS pada 6,000 rpm dan tork maksimum 140 Nm pada 2,400 hingga 4,000 rpm.

Sementara itu, varian Custom G, G dan X menggunakan enjin 1KR-FE tanpa turbo.

Enjin itu menghasilkan 69 PS pada 6,000 rpm serta tork maksimum 92 Nm pada 4,400 rpm.

Kapasiti tangki bahan api ialah 36 liter bagi model 2WD, manakala versi 4WD mempunyai tangki 38 liter.

Penggunaan bahan api Toyota Roomy 2026

Bagi model 2WD dengan enjin turbo, penggunaan bahan api rasmi WLTC ialah 16.8 km/l.

Pecahannya ialah 12.7 km/l dalam pemanduan bandar, 18.4 km/l di pinggir bandar dan 18.3 km/l di lebuh raya.

Model dengan enjin 1KR-FE pula mencatat penggunaan bahan api WLTC 18.4 km/l bagi versi 2WD.

Angka tersebut masing-masing ialah 15.5 km/l untuk bandar, 19.7 km/l untuk pinggir bandar dan 19.2 km/l di lebuh raya.

Bagi versi 4WD, penggunaan bahan api ialah 16.8 km/l secara purata, dengan 13.9 km/l dalam bandar, 17.9 km/l di pinggir bandar dan 17.7 km/l di lebuh raya.

Dimensi Toyota Roomy 2026

 

Walaupun menggunakan badan yang kompak, Roomy mempunyai kabin yang agak besar untuk saiz luarannya.

Dimensi model ini adalah:

  • Panjang: 3,700-3,705 mm
  • Lebar: 1,670 mm
  • Tinggi: 1,735 mm
  • Jarak roda: 2,490 mm
  • Kelegaan tanah: 130 mm
  • Kapasiti tempat duduk: 5 orang
  • Dimensi ruang dalaman: 2,180 × 1,480 × 1,355 mm

Panjang keseluruhan ialah 3,705 mm bagi Custom G-T dan Custom G, manakala varian G-T, G dan X berukuran 3,700 mm.

Harga Toyota Roomy 2026 di Jepun

Di Jepun, Toyota Roomy 2026 ditawarkan dalam beberapa varian dengan harga bermula ¥1,830,400 atau kira-kira RM46,200.

Harga mengikut varian adalah seperti berikut:

  • X 2WD: ¥1,830,400 (RM46,199)
  • X 4WD: ¥2,006,400 (RM50,642)
  • G 2WD: ¥1,989,900 (RM50,225)
  • G 4WD: ¥2,165,900 (RM54,667)
  • G-T 2WD: ¥2,117,500 (RM53,446)
  • Custom G 2WD: ¥2,170,300 (RM54,778)
  • Custom G 4WD: ¥2,346,300 (RM59,221)
  • Custom G-T 2WD: ¥2,313,300 (RM58,388)

Toyota Roomy Custom GT 2026

Toyota Roomy Custom GT – Another Style Package 2026

Toyota Roomy GT 2026

Toyota Roomy 2026

Isuzu D-Max 2.2L tempuh 1,756 km keliling Semenanjung – tiba dengan diesel berbaki 4%

Isuzu D-Max sememangnya terkenal dengan penjimatan bahan api. Baru-baru ini, D-Max 2.2L baharu melakar pencapaian apabila menamatkan perjalanan satu pusingan mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan hanya menggunakan hanya satu tangki diesel.

Satu tangki untuk keliling Semenanjung

Cabaran ‘D-Max One Tank. One Nation Challenge’ itu bermula pada 17 Ogos lalu di Balakong, Selangor, melibatkan dua unit D-Max iaitu varian 4×4 Auto Premium dan 4×2 Auto Plus.

Dalam tempoh enam hari, kedua-dua trak pikap berkenaan merekodkan perjalanan sejauh 1,756 km melalui jalur lebuh raya, jalan utama dan juga merentasi kawasan pergunungan melalui East-West Link dari Jeli ke Gerik.

Perjalanan tersebut juga merentasi Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak sebelum kembali semula ke Selangor. Ia juga melibatkan 10 hentian di lokasi pengedar Isuzu.

Tiba di garisan penamat dengan minyak berbaki 4%

Apa yang menarik, apabila tiba akhir di Pusat 3S Isuzu Jinjang, Kuala Lumpur pada Sabtu 22 Ogos, kedua-dua trak pikap berkenaan mempunyai bahan api yang masih berbaki lebih 4% di dalam tangki.

Cabaran ini adalah bagi menunjukkan keupayaan enjin turbodiesel RZ4F-TC 2.2-liter baharu dari pelbagai aspek termasuk prestasi, kehalusan buatan, ketahanan, kebolehpercayaan dan juga kecekapan.

Gabungan enjin dan transmisi yang menjadi

D-Max 2.2L 4×2 Auto Plus dipandu oleh Sing Yuin Christy, pemegang rekod Malaysian Book of Records sebagai individu yang berjaya mencapai jarak pemanduan trak pikap paling jauh dengan hanya menggunakan satu tangki bahan api.

“Tindak balas pendikit untuk enjin baharu serta cara penyampaian kuasanya telah dipadankan secara sangat baik, dengan nisbah kotak gear automatik lapan-kelajuan baharunya juga akan menjamin pacuan sentiasa akan berada dalam gear yang betul dalam apa saja keadaan jalan yang dilalui.

“Mampu meluncur di jalan utama dan lebuh raya dalam gear ketujuh dan kelapan juga membolehkan trak pikap ini memecut dengan agak cekap tanpa memerlukan terlalu banyak input pendikit, sekali gus menjimatkan banyak bahan api,” kata Christy.

Genesis GV90 (2027) diperkenal – SUV flagship elektrik dengan 666 PS, jarak 500 km, rim 24 inci

Genesis telah memperkenalkan GV90, SUV flagship pertamanya dan juga model elektrik terbesar yang pernah dihasilkan jenama tersebut. Model ini dibangunkan berasaskan konsep Neolun yang diperlihatkan pada 2024.

Dibina menggunakan platform eMP, GV90 berukuran 5,285 mm panjang dengan jarak roda 3,245 mm. Ia ditawarkan dalam dua versi, iaitu GV90 standard dan GV90 Neolun yang lebih eksklusif.

Besar, gagah dan tetap dengan identiti Genesis

GV90 membawa pendekatan reka bentuk minimalis Genesis ke dalam sebuah SUV bersaiz penuh. Reka bentuk luarannya diinspirasikan daripada tembikar tradisional Korea, dengan bahagian belakang yang kemas, permukaan badan yang rata dan rim tempa 24 inci yang besar.

Di bahagian hadapan, SUV ini menggunakan rekaan lampu dua garisan, dengan lampu utama Wing Face Micro Lens Array (MLA) yang disepadukan kemas ke dalam badan kenderaan.

Versi Neolun pula mendapat kemasan aluminium anod di sekitar tingkap sisi, manakala GV90 standard menggunakan kaca pintu yang dipasang rata dengan permukaan badan.

Kabin lebih kepada ruang santai mewah

Kabin GV90 direka supaya terasa lebih seperti ruang santai mewah berbanding SUV biasa. Skrin OLED 23.6 inci menggabungkan paparan meter, navigasi dan fungsi media. Apabila kenderaan diletakkan dalam keadaan parkir, skrin ini boleh terangkat dan menjadi paparan 24.6 inci.

Turut disediakan ialah paparan head-up display (HUD) berukuran 25 inci, menggantikan meter instrumen konvensional.

GV90 juga memperkenalkan sistem kawalan kuasa baharu Hyundai Motor Group yang menghapuskan butang penghidup enjin. Apabila pemandu masuk, kenderaan akan diaktifkan secara automatik, manakala pengawal Crystal Sphere dan pemilih gear bergerak secara automatik ke kedudukannya.

Neolun pula boleh didapati dengan konfigurasi Executive Suite empat tempat duduk. Penumpang belakang mendapat tempat duduk ala ruang santai, peti sejuk, meja terbina dalam dan tirai privasi, manakala lantainya dilengkapi sistem pemanasan yang diinspirasikan daripada sistem “ondol” tradisional Korea.

Saiz flagship, prestasi hebat

Kuasa datang daripada sistem pacuan semua roda dwi-motor yang menjana 666 PS dan 800 Nm. Menurut Genesis, ini merupakan sistem rangkaian kuasa EV paling berkuasa yang pernah dibangunkan Hyundai Motor Group setakat ini.

Bateri 123.5 kWj pula memberikan jarak perjalanan dianggarkan sekitar 500 km untuk versi tujuh tempat duduk. Dengan pengecas pantas DC 350 kW, bateri boleh dicas daripada 10% hingga 80% dalam masa 22 minit.

GV90 turut dilengkapi LSD elektronik di hadapan dan belakang, suspensi udara, penyerap hentak kawalan elektronik serta kawalan stereng roda belakang dengan sudut sehingga lima darjah.

Neolun ada ‘party trick’ tersendiri

GV90 Neolun mendapat ciri paling menarik Genesis setakat ini iaitu Neolun Arch Gate. Tanpa tiang B di antara pintu hadapan dan belakang, kedua-dua pintu boleh dibuka secara berasingan untuk menghasilkan ruang masuk dan keluar yang lebih luas.

Walaupun begitu, Genesis mendakwa struktur ini masih mampu mengekalkan tahap perlindungan ketika kemalangan, hasil penggunaan keluli berkekuatan tinggi serta struktur pengukuh tersembunyi.

Dari segi keselamatan, GV90 dilengkapi 12 beg udara, termasuk beg udara bumbung yang didakwa sebagai yang pertama di dunia. Turut tersedia ialah sistem pemantauan penumpang dalam kabin, Remote Smart Parking Assist 3 dan Memory Reversing Assist.

Antara kelengkapan mewah lain termasuk sistem audio 3D Bang & Olufsen dengan 25 pembesar suara dan Dolby Atmos, pencahayaan Ambient Glow serta kemasan kulit, kayu, batu dan wool-cashmere.

Škoda Octavia genap 30 tahun, hampir 7.9 Juta unit, pernah ditawarkan di Malaysia

Škoda Octavia kini genap 30 tahun. Model ini mula dikeluarkan pada 3 September 1996 di Mladá Boleslav, Republik Czech.

Sepanjang tiga dekad, Octavia menjadi antara model terpenting Škoda Auto. Ia juga kekal sebagai model terlaris jenama itu merentasi empat generasi.

Sehingga kini, hampir 7.9 juta unit Octavia telah dihasilkan.

Menariknya, Octavia generasi kedua pernah dibawa masuk ke pasaran tempatan sekitar 2010.

Pengguna Malaysia ketika itu turut dihidangkan dengan versi berprestasi Octavia RS.

Nama Octavia Dihidupkan Semula

Nama Octavia sebenarnya bukan baharu. Ia pernah digunakan pada model Škoda yang dihasilkan antara 1959 hingga 1971.

Keputusan untuk menghidupkan semula nama tersebut dibuat ketika pembangunan model baharu bermula pada 1992.

Ia berlaku setahun selepas Škoda Auto menyertai Volkswagen Group.

Akses kepada teknologi Kumpulan Volkswagen membantu Škoda membangunkan sebuah kereta yang praktikal.

Reka bentuknya pula diketuai Dirk van Braeckel. Ketika itu, beliau merupakan Ketua Reka Bentuk Škoda.

Pada masa sama, kemudahan pengeluaran baharu di Mladá Boleslav meningkatkan kapasiti tahunan.

Kapasiti tersebut meningkat daripada 90,000 kepada 350,000 kenderaan.

Octavia generasi pertama dalam bentuk liftback diperkenalkan pada 4 April 1996.

Pengeluaran bermula pada September tahun sama. Model ini mempunyai ruang but berkapasiti 528 liter.

Versi Combi (wagon) menyusul pada Mac 1998. Varian pacuan semua roda pula diperkenalkan pada 1999.

Tahun 2000 menyaksikan kelahiran Octavia RS pertama. Ia menjadi antara varian paling menarik dalam sejarah model ini.

Secara keseluruhan, sebanyak 1.44 juta unit Octavia generasi pertama dihasilkan.

Sesetengah varian terus dikeluarkan sehingga 2010 meskipun generasi kedua diperkenalkan pada 2004.

Generasi Kedua Lebih Besar dan Canggih

Octavia generasi kedua mengekalkan kekuatan model terdahulu. Pada masa sama, ia menawarkan ruang dalaman yang lebih besar.

Praktikaliti turut dipertingkatkan sebagai contoh kapasiti ruang but bertambah sebanyak 32 liter.

Generasi ini juga tampil dengan teknologi baharu. Antaranya ialah transmisi klac berkembar DSG.

Pengeluaran generasi kedua berakhir pada 2013. Jumlah keseluruhan mencapai 2.6 juta unit.

Di Malaysia, generasi kedua menarik perhatian apabila diperkenalkan ke pasaran tempatan sekitar 2010.

Selain versi biasa, pembeli tempatan turut mempunyai pilihan Octavia RS. Varian ini menawarkan karakter lebih berprestasi berbanding versi standard.

Generasi Ketiga Terus Berkembang

Generasi ketiga dihasilkan dari 2012 hingga 2020. Ia sekali lagi mencatat jumlah pengeluaran yang tinggi.

Škoda memperkenalkan pelbagai sistem bantuan pemanduan.

Model ini turut menerima teknologi yang sebelum itu lebih sinonim dengan kenderaan daripada segmen lebih tinggi.

Pada masa sama, badan yang lebih ringan membantu meningkatkan kecekapan. Enjin TSI dan TDI juga dioptimumkan.

Versi GreenLine turut diperkenalkan. Ia menggunakan beberapa teknologi untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan.

Antaranya ialah panel bawah badan khas. Model in juga canggih dengan sistem pemulihan tenaga ketika membrek.

Tayar rintangan gelinciran rendah juga menjadi sebahagian daripada pakej tersebut.

Generasi ketiga menerima kemas kini besar pada 2017.

Antaranya ialah bahagian hadapan baharu dengan lampu utama terpisah. Sistem infotainmen pula menerima skrin berkemasan kaca.

Sistem bantuan pemanduan turut dipertingkatkan.

Generasi Keempat Teruskan Legasi

Octavia generasi keempat diperkenalkan pada November 2019. Ia ditawarkan dalam bentuk liftback dan Combi.

Selepas menerima kemas kini pada awal 2024, model ini menawarkan ketersambungan dan keselamatan yang lebih baik.

Ia kini boleh dilengkapi sehingga 10 beg udara.

Antara teknologi bantuan pemanduan yang ditawarkan ialah Attention and Drowsiness Assist.

Algoritma baharu turut digunakan. Ia membantu menilai tahap keletihan pemandu dengan lebih tepat.

Octavia generasi keempat kini dihasilkan di Mladá Boleslav, Kvasiny dan Kostanay, Kazakhstan.

Sepanjang 30 tahun, hampir 7.9 juta unit Octavia telah dihasilkan. Angka itu menjadikan Octavia bukan sekadar model terlaris Škoda.

Ia juga menjadi antara model yang membentuk identiti moden pengeluar dari Republik Czech tersebut.

Gabungan ruang, praktikaliti, keselamatan, teknologi dan nilai membantu Octavia kekal relevan merentasi empat generasi.

Pada masa sama, model ini terus membawa falsafah Škoda untuk menawarkan lebih daripada jangkaan pelanggan.

Mitsubishi Triton Single Cab AT 2026 kini rasmi di Malaysia, harga RM107,980

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan varian baharu trak pikap Triton Single Cab bertransmisi automatik untuk pasaran tempatan.

Hadir dalam warna eksklusif Solid White, Triton Single Cab AT dijual pada harga RM107,980.

Setiap pembelian hadir dengan jaminan 5-tahun atau had perbatuan 200,000 km.

Untuk tempoh masa terhad, pembeli Triton Single Cab AT bakal menikmati bantuan diesel bernilai RM4,000 bagi membantu mengurangkan kos operasi dan dalam masa yang sama memastikan perniagaan terus maju.

Spesifikasi

Triton Single Cab ini dipacu enjin diesel 2.4 liter turbo menghasilkan 184 PS dan daya kilas 430 Nm.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik.

Dengan dimensi bed kargo 2,340 mm x 1,580 mm x 515 mm, Triton Single Cab menawarkan kapasiti muatan sehingga 1,145 kg yang terbaik dalam kelasnya.

Ia juga turut hadir dengan tayar lebar All-Terrain, kekunci pembeza belakang, serta penderia undur secara standard.

Debut di MAHA 2026

Trak pikap ini akan membuat kemunculan umum di acara Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition (MAHA) 2026 pada 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS Serdang.

Rakyat Malaysia dijemput untuk berkunjung ke reruai MMM untuk melihat dengan lebih dekat varian baharu trak pikap ini.

Suzuki e Sky: kei car elektrik dengan jarak pandu 310 km, bakal dijual di Eropah

Selepas kemunculan BYD Racco, segmen kei car elektrik Jepun terus dimeriahkan dengan kehadiran model baharu, iaitu Suzuki e Sky.

Ia merupakan versi produksi sebenar yang mengekalkan sebahagian besar elemen rekaan yang wujud pada model konsep Vision e-Sky.

Suzuki e Sky akan mula dijual pada musim luruh tahun ini.

Menariknya, ia juga bakal dipasarkan di benua Eropah dan UK pada tahun 2027!

Spesifikasi

Menurut Suzuki, matlamat pembangunan e Sky adalah untuk membantu pemilik beralih daripada ICE kepada EV.

Disebabkan itu, ia mempunyai ukuran dimensi yang tidak lari jauh daripada keperluan segmen kei car semasa.

e Sky berukuran sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,460 mm.

Menggunakan platform Heartect e, Suzuki e Sky dipacu oleh e-Axle hadapan yang menggabungkan komponen motor, penyongsang dan gear.

Buat masa ini, output kuasa masih belum didedahkan secara rasmi.

Bateri & pengecasan

Kei car elektrik ini dibekalkan dengan pek bateri lithium iron phosphate 26 kWh yang mampu menawarkan jarak pandu sejauh 310 km.

Angka yang cukup impresif ini turut disumbangkan oleh berat keseluruhan e Sky cuma 1,030 kg.

Sebagai perbandingan, BYD Racco dengan pek bateri 35.84 kWh menawarkan kelebihan 10 km berbanding e Sky.

Menggunakan outlet kuasa standard, pengecasan penuh mengambil masa lapan jam atau 4.5 jam menerusi pengecas dinding 6 kW.

Pengecasan pantas DC 50 kW membolehkan bateri mencapai kapasiti 80% dalam masa 25 minit sahaja.

e Sky turut menyokong fungsi Vehicle-to-Home (V2H) dan juga Vehicle-to-Load (V2L) dengan outlet kuasa AC 100v/1500W.

Kelengkapan

Reka bentuk luaran e Sky sememangnya tidak jauh beza berbanding model konsep Vision e-Sky.

Untuk versi produksi sebenar, e Sky diberikan perumah lampu LED yang lebih besar, cermin sisi, jeriji yang lebih ringkas, rim lebih kecil dan pemegang pintu konvensional.

Bampar pula menampilkan bukaan liang udara penyejukan tunggal.

Selain itu, e Sky menampilkan rekaan bumbung terapung, lampu belakang LED yang lebih besar, serta plastik pelindung bampar mengikut warna badan.

Kabin pula menempatkan kelengkapan seperti skrin infohibur 10.1 inci, skrin kluster digital, tombol gear tradisional, serta panel kawalan khusus untuk iklim kabin.

Ciri lain termasuklah dulang praktikal pada papan pemuka sebelah penumpang, pemanas tempat duduk dan roda stereng, serta fungsi pemanas elektrik yang amat berguna semasa musim sejuk.

Pesaing

Selain BYD Racco, Suzuki e Sky bakal memberikan cabaran kepada model kei car elektrik seperti Honda N-One e:, Mitsubishi eK X EV dan juga Nissan Sakura EV.

SDAC-Ford raikan komuniti pemilik sepanjang bulan Merdeka

Sime Darby Auto ConneXion-Ford selaku pengedar tunggal Ford di Malaysia melaksanakan beberapa aktiviti menarik untuk meraikan komuniti pemilik yang semakin berkembang.

Ia adalah susulan pencapaian terkini di mana Auto ConneXion-Ford telah menyerahkan lebih 24,000 unit Ford Ranger di seluruh negara.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Ford Nation dan Ford Ranger Getaways.

Ford Nation

Acara sulung Ford Nation yang diadakan awal Ogos bertempat di Heritage Valley, Kuala Lumpur.

Acara ini menyediakan pelbagai aktiviti seperti perkongsian kenangan serta persembahan muzik langsung oleh Muzza & the Velvettones dan Joy Victor, disajikan dengan hidangan BBQ dan tempatan.

Selain itu, terdapat acara cabutan bertuah, pertandingan serta penyampaian anugerah Ranger Berpenampilan Paling Bergaya dan Pemilik Ford Paling Lama.

Ford Ranger Getaways

Auto ConneXion-Ford turut mengetengahkan pengalaman ‘Live the Ranger Life’ menerusi program Ford Ranger Getaways.

Menghimpunkan 20 pemilik Ranger, peserta bergerak dalam kumpulan konvoi menuju ke tapak perkhemahan di StarFresh Agro Park, Negeri Sembilan.

Di situ, mereka melalui kursus pemanduan off-road yang dibimbing oleh jurulatih bertauliah, dan berpeluang merasai sendiri ciri bantuan serta kawalan off-road.

Program ini turut menguji semangat kerja berpasukan dan ketepatan menerusi pelbagai cabaran dan permainan interaktif.

Ford Ranger Getaways diadakan setiap suku tahun sejak dilancarkan tahun 2022 terus menjadi antara aktiviti gaya hidup berasaskan pengalaman yang popular.

Pengenalan rangkaian model yang lebih meluas

Auto ConneXion-Ford sebelum ini mengumumkan rangkaian model Ranger dan Everest yang lebih meluas bagi memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup.

Pemilik boleh memilih untuk mendapatkan Ford Ranger Sport 2.0L/3.0L atau Ranger Platinum 3.0L.

Terdapat juga pilihan SUV Everest Platinum versi 2.0L dan 3.0L V6 untuk pengalaman pemanduan yang lebih mewah.

Tambah baik proses pemilikan

Auto ConneXion-Ford terus menambah baik proses pemilikan menerusi inisiatif bertumpukan pelanggan dan nilai tambah selepas jualan.

Sebuah gudang alat ganti baharu telah dilancarkan di Kota Kinabalu pada Julai lalu bagi memudahkan pelanggan mendapat alat ganti dan kembali memandu dengan lebih cepat.

Setakat ini, Auto ConneXion-Ford mempunyai 33 wakil penjual di seluruh negara termasuk tujuh wakil penjual dan dua pusat servis khusus di Malaysia Timur.

Promosi beli Ranger

Pembeli model Ranger XL dan Ranger Sport 2.0L akan menerima kamera perakam pemanduan depan, sah sebelum 31 Ogos 2026.

Pembelian Ranger Sport 3.0L dan Ranger Platinum 3.0L pula akan menerima Pelan Servis Lanjutan (ESP) selama dua tahun secara percuma, tertakluk kepada terma dan syarat.

 

 

GWM Tank 500 HEV 2026 kini dilengkapi sokongan aplikasi mudah alih

GWM Malaysia mengumumkan kemas kini untuk model GWM Tank 500 HEV 2026 yang menampilkan ketersambungan kepada telefon pintar.

Menerusi aplikasi pintar GWM, pemilik boleh meningkatkan pengalaman pemilikan menerusi tiga aspek utama, iaitu kawalan kenderaan jarak jauh, pemantauan status kenderaan, serta lokasi dan makluman.

Antara fungsi yang tersedia termasuklah:

Kawalan Jarak Jauh

  • kawalan enjin jarak jauh
  • kawalan pintu jarak jauh
  • penutupan tingkap dan bumbung jarak jauh
  • kawalan penyaman udara & penulenan udara jarak jauh
  • pengudaraan tempat duduk

Pemantauan Kenderaan

  • status enjin
  • pemantauan baki jarak pemanduan
  • pemantauan paras bahan api
  • pemantauan tekanan & suhu tayar
  • status perbatuan
  • status pintu, tingkap & bumbung suria
  • status penyaman udara & penulenan udara
  • status pengudaraan tempat duduk

Lokasi & Makluman

  • pencarian kenderaan
  • lihat lokasi kenderaan
  • pagar maya (geofencing) dan makluman lokasi kenderaan
  • makluman pintu & tingkap terbuka
  • makluman paras bahan api rendah
  • makluman bateri 12V rendah
  • makluman tekanan & suhu tayar
  • kawalan perkongsian kenderaan
  • kawalan lokasi GPS jarak jauh

Spesifikasi asas tidak berubah

GWM Tank 500 HEV dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo 224 PS/380 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 106 PS/268 Nm.

Kuasa keseluruhan mencecah 346 PS dan 648 Nm yang disalurkan kepada sistem pacuan empat roda menerusi transmisi automatik sembilan-kelajuan.

Pemilik akan terus menikmati pakej jaminan menyeluruh, merangkumi:

  • jaminan seumur hidup bagi enjin, transmisi dan sistem HEV (pemilik persendirian pertama)
  • jaminan bateri bervoltan tinggi 8-tahun/200,000 km
  • jaminan kenderaan 6-tahun tanpa had perbatuan
  • pakej servis percuma 5-tahun

Kempen sempena Hari Merdeka & Hari Malaysia

Bersempena dengan sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, GWM Malaysia turut melancarkan kempen terbaharu bermula 1 Ogos hingga 30 September.

Enam pelanggan bertuah berpeluang untuk memenangi pulangan tunai tol sehingga RM1,000.

Syaratnya, mereka perlu menempah kenderaan GWM baharu dan melengkapkan pendaftaran sepanjang tempoh kempen.

Sepanjang bulan Ogos, pelanggan juga boleh menikmati penjimatan sehingga RM30,000 untuk model terpilih.

Setiap pembelian model baharu disertakan dengan pakej servis penyelenggaraan percuma selama 5 tahun.

 

Toyota Pixis Epoch 2026, bangkit kenangan Axia lama

Toyota memperkenalkan kemas kini untuk Pixis Epoch di Jepun dengan perubahan melibatkan struktur varian, ciri keselamatan dan beberapa kelengkapan baharu.

Dari segi reka bentuk, Pixis Epoch mengingatkan kepada Perodua Axia generasi pertama, terutama melalui bentuk badannya yang kecil dan ringkas.

Untuk makluman, Axia generasi kedua tidak lagi berkongsi asas dengan Daihatsu Mira seperti model terdahulu.

Daihatsu dan Toyota kini mempunyai versi tersendiri untuk pasaran tertentu menerusi Daihatsu Ayla, Toyota Agya dan Toyota Wigo.

Ketiga-tiga model tersebut juga mempunyai pengaruh ASEAN yang lebih kuat berbanding model generasi terdahulu yang lebih rapat dengan pasaran Jepun.

Di Jepun, Toyota benar-benar menfaatkan jenama Pixis yang merangkumi van, lori kecil dan beberapa lagi gaya badan.

Varian X Limited Baharu

Toyota kini menawarkan X Limited sebagai varian lebih tinggi untuk Pixis Epoch yang berasaskan varian X.

Varian ini menerima beberapa kelengkapan tambahan standard seperti sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin serta pakej naik taraf untuk pemasangan sistem navigasi.

Smart Assist Kini Standard

Perubahan paling ketara adalah dari segi keselamatan apabila sistem keselamatan pencegahan Smart Assist kini menjadi kelengkapan standard untuk semua varian.

Sistem tersebut menerima peningkatan pada keupayaan pengesanan, termasuk pengesanan kenderaan, pejalan kaki dan penunggang basikal.

Ia turut boleh mengesan kenderaan yang bergerak terus dari arah bertentangan ketika kenderaan membelok ke kanan di persimpangan.

Sistem turut berfungsi mengesan pejalan kaki yang melintas dari arah bertentangan ketika membelok ke kiri atau kanan.

Toyota turut menambah fungsi kawalan brek bagi mengelakkan kesilapan menekan pedal minyak ketika bergerak ke hadapan atau mengundur.

Sistem ini dilengkapi amaran kenderaan terhuyung-hayang serta amaran keluar dari laluan di tepi jalan.

Selain itu, beg udara sisi SRS kini menjadi kelengkapan standard untuk semua varian.

Meter Digital dan Warna Baharu

Varian X Limited dan X pula menerima meter digital bercahaya sendiri yang direka semula.

Ia turut dilengkapi paparan maklumat pelbagai fungsi dengan bingkai kemasan krom.

Toyota turut memperkenalkan dua pilihan warna baharu untuk Pixis Epoch.

Ceramic Green Metallic ditawarkan sebagai warna standard, manakala Grace Brown Crystal Mica tersedia sebagai pilihan tambahan berbayar.

Enjin 658 cc

Dari segi mekanikal, Pixis Epoch menggunakan enjin petrol tiga silinder 658 cc (KF) yang dipadan bersama transmisi CVT.

Enjin DOHC 12 injap itu menghasilkan 52 PS pada 6,900 rpm dan 60 Nm pada 3,600 rpm.

Versi 2WD menggunakan tangki bahan api 28 liter, manakala model 4WD mempunyai tangki 30 liter.

Untuk penggunaan bahan api, Pixis Epoch 2WD mencatat sehingga 27.0 km/L berdasarkan kitaran WLTC. Model 4WD pula mencatat 24.4 km/L.

Bagi 2WD, penggunaan bahan api ialah 22.9 km/L dalam pemanduan bandar, 29.1 km/L di luar bandar dan 27.8 km/L di lebuh raya.

Versi 4WD pula mencatat 20.8 km/L dalam bandar, 26.0 km/L di luar bandar dan 25.3 km/L di lebuh raya.

Suspensi dan Dimensi

Untuk sistem gantungan, bahagian hadapan menggunakan tupang MacPherson dengan spring gegelung.

Bahagian belakang pula menggunakan rasuk kilasan dengan spring gegelung untuk versi 2WD, manakala versi 4WD menggunakan sistem tiga pautan dengan spring gegelung.

Sistem brek menggunakan cakera di hadapan dan brek dram di belakang.

Sebagai kereta kompak, Pixis Epoch mempunyai panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm dan jarak roda 2,455 mm.

  • Tinggi: 1,500 mm (2WD) / 1,510 mm (4WD)
  • Kelegaan tanah: 155 mm (2WD) / 160 mm (4WD)
  • Ruang dalaman (P x L x T): 1,935–2,025 x 1,345 x 1,240 mm
  • Berat: 660–670 kg (2WD) / 730–740 kg (4WD)
  • Radius pusingan minimum: 4.4 meter

Harga Toyota Pixis Epoch 2026

Toyota Pixis Epoch 2026 ditawarkan dalam enam pilihan varian dan pacuan:

  • L 2WD: ¥1,096,700 (RM27,725)
  • L 4WD: ¥1,223,200 (RM30,922)
  • X 2WD: ¥1,256,200 (RM31,757)
  • X 4WD: ¥1,382,700 (RM34,955)
  • X Limited 2WD: ¥1,377,200 (RM34,816)
  • X Limited 4WD: ¥1,503,700 (RM38,014)

Toyota turut menyatakan Pixis Epoch X Limited 2WD layak menerima manfaat pengurangan cukai kenderaan mesra alam berjumlah sekitar ¥1,900 (RM48).

MCE raih kontrak RM54.28 juta bekal komponen audio & ADAS untuk Perodua

MCE Holding Berhad (MCE) meraih kontrak bernilai RM54.28 juta daripada Perodua untuk tempoh 40 bulan.

Sepanjang tempoh tersebut, MCE akan membekalkan pelbagai komponen elektronik dan mekatronik automotif untuk kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) termasuklah:

  • sistem paparan audio
  • kamera undur
  • komponen berkaitan sistem ADAS

Projek ini menjadi tugasan pertama MCE untuk kenderaan ICE, selepas sebelum ini terlibat dengan sistem infohibur untuk EV.

Perkukuh usaha lokalisasi

Menurut Datuk Wira Dr. Goh Kar Chun, Pengarah Urusan Kumpulan MCE berkata, “Hubungan jangka panjang kami dengan Perodua membuka peluang untuk MCE berkembang bersama mereka.

“Ini membolehkan kami mengambil projek yang lebih kompleks, membina keupayaan reka bentuk dan pembuatan serta bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai automotif.

“Kami komited bekerjasama rapat dengan Perodua bagi memperkukuh usaha lokalisasi komponen elektronik automotif, menyokong aspirasi kerajaan untuk membina ekosistem lebih kompetitif dan menjadikan Malaysia hab serantau bagi kenderaan generasi baharu.”

Pengeluaran bermula 2027

Kontrak berkenaan dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh MCE, Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd.

Pengeluaran dijadualkan bermula pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027.

Operasi pengeluaran akan dijalankan di fasiliti baharu kumpulan, MCE Auto Hub di Serendah, Selangor dengan jumlah pelaburan dianggarkan RM4.95 juta.

BMW Malaysia tambah kuota BMW 218 Gran Coupe M Sport CKD sebanyak 50 unit, harga RM192,800

BMW Malaysia membuka peruntukan kelompok kedua merangkumi 50 unit tambahan bagi model BMW 218 Gran Coupe M Sport 2026.

Model pemasangan tempatan (CKD) ini dijual pada harga RM192,800, atau RM204,800 termasuk pakej BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) selama 4-tahun.

Enjin & transmisi

218 Gran Coupe M Sport dikuasakan enjin 3-silinder 1,499 cc dengan kuasa 156 hp dan daya kilas 230 Nm.

Dengan padanan transmisi klac berkembar 7-kelajuan, ia mampu memecut 0-100 km/j dalam 8.6 saat sementara kelajuan maksimum pula sekitar 230 km/j.

Kadar penggunaan bahan api adalah serendah 6.3 liter per 100 km.

Kelengkapan

Secara standard, 218 Gran Coupe M Sport dilengkapi dengan ciri seperti jeriji “Iconic Glow”, lampu LED adaptif, serta kemasan High-Gloss Shadowline.

Tidak ketinggalan, pakej M Sport merangkumi suspensi adaptif M, rim aloi M bersaiz 18 inci, serta peresap belakang M Sport.

Ruang kabin pula mendapat kelengkapan seperti skrin kluster digital 10.25 inci, skrin infohibur 10.7 inci, serta skrin paparan head-up.

Ciri lain termasuklah:

  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • tempat duduk sports untuk pemandu dan penumpang
  • upholsteri Veganza
  • roda stereng kulit M
  • headliner Anthracite M
  • kawalan iklim dua-zon automatik
  • sistem audio Harman Kardon 12-pembesar suara 205W

Ruang kargo adalah sebesar 430 liter.

Benelli Panarea 125 2026 dapat 4 warna baharu, harga dari RM6,988

Benelli Malaysia mengemas kini penawaran skuter popularnya Benelli Panarea 125 2026 dengan memperkenalkan empat warna baharu.

Warna yang dimaksudkan ialah Charcoal Black, Rosa Pink, Modena Silver dan Ivory White.

Benelli Panarea 125 dijual pada harga bermula dari RM6,988 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Spesifikasi

Skuter Benelli ini dipacu enjin silinder tunggal sejukan udara 124 cc menghasilkan 8.44 hp @ 7,500 rpm dan 9.2 Nm @ 6,000 rpm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan diikuti dengan spring gegelung teleskopik di belakang.

Brek menggunakan gandingan tetapan rotor 190 mm di depan dan brek gelendong 130 mm di belakang.

Antara ciri lain termasuklah:

  • sistem lampu LED
  • paparan meter gandingan analog dan digital
  • tinggi pelana 760 mm
  • ruang storan bawah pelana 12 liter
  • tangki bahan api 4.6 liter