fbpx

Kapal terbang RC ini hasil anak tempatan, terima tempahan antarabangsa

rc kapal terbang haznie 07

BANYAK produk Malaysia sebenarnya telah menembusi pasaran antarabangsa, tetapi siapa sangka salah satu produk itu adalah kapal terbang kawalan radio (RC). Ianya adalah hasil kerja Hazanie Abd Hamid, 48 tahun yang berasal dari Johor.

Beliau telah berkecimpung dalam hobi ini selama 10 tahun dan kini kapal terbang RC hasil kerjanya telah mendapat permintaan antarabangsa termasuk Emiriah Arab Bersatu (EAB).

Menurut Hazanie, beliau hampir putus asa apabila lebih 30 kapal terbang kawalan jauh yang dicipta gagal berfungsi dan diterbangkan.

Namun hasil dorongan rakan-rakan dan ahli keluarga, akhirnya anak beliau berjaya menerbangkan kapal terbang sulungnya yang diberi nama Debab.

Katanya, pengalaman sebagai juruteknik selain minat mendalam dalam bidang inovasi mendorong beliau berusaha lebih gigih.

“Saya dah hampir putus asa apabila lebih 30 buah kapal terbang yang saya buat gagal diterbangkan. Tapi ia tetap teruskan kerana saya yakin mampu menerbangkannya,” katanya.

Berkat kesabaran selama 10 tahun akhirnya beliau berjaya mencipta dan menerbangkan kapal terbang pertamanya.

Ditanya kenapa diberi nama Debab, Hazanie menjelaskan, idea itu tercetus selepas melihat kapal terbang kargo terbesar milik Rusia yang dikenali sebagai Antonov An- 124 100.

Susulan kejayaan itu, beliau telah berusaha memberi nilai tambah kepada ciptaanya menerusi ilmu yang dipelajari dalam talian.

Hingga kini Hazanie telah mencipta lebih 100 kapal terbang yang menerima sambutan dalam kalangan penggiat hobi pesawat RC tempatan dan antarabangsa.

Pesawat-pesawat ‘debab’ ini kebanyakannya berasal dari model sebenar tetapi telah dipendekkan dan digemukkan seakan-akan lebih comel.

Antara kapal terbang ciptaannya yang telah menjadi versi debab adalah A4 Skyhawk, F-14 Tomcat, Fatty Flying Ship, Sukhoi Su-30, dan Macross.

Ciptaan terbaharu beliau dikenali sebagai VTOL FlyingShip yang mampu bergerak atas permukaan air dan mampu terbang di udara.

Model itu menarik perhatian seorang pembeli dari Dubai, EAB yang telah membuat tempahan.

Gambar-gambar oleh: Facebook Haznie Abd Hamid

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved