fbpx

Proton Saga Black Knight ini juara Hagerty Festival of the Unexceptional 2021 di UK

www.matthowell.co.uk
Gambar: Hagerty.co.uk

SEBUAH Proton Saga 1989 menjadi juara Concours de l’Ordinaire di Hagerty Festival of the Unexceptional 2021 yang berlangsung di Lincolnshire, UK.

Saga itu bukanlah model biasa, sebaliknya 1.5 GL Black Knight Edition yang dieksport khas oleh Proton ke negara itu kira-kira 30 tahun lepas. Hanya 201 unit pernah dihasilkan dan menurut pemiliknya, Jon Coupland, kereta ini merupakan yang terakhir tinggal di atas muka bumi!

Gambar: Facebook

Memenangi hadiah utama berupa trofi Hagerty yang berbentuk cawan teh, Proton Saga Black Knight milik Coupland ini sememangnya cantik dan nampak terjaga rapi.

“Saya menjadi peminat kereta sejak kecil lagi dan baru membeli Proton ini pada 2019, jadi saya tidak pernah ke Hagerty’s Festival of the Unexceptional sebelum ini,” kata Coupland.

“Saya sangat gembira diterima ke concours ini, tetapi untuk menjadi juara keseluruhan ini memang sesuatu yang tidak disangka!”

Jon Coupland dan Proton Saga 1.5 GL Black Knight

Gambar: Facebook

Jon Coupland, 30 tahun, yang merupakan seorang pegawai polis tinggal berdekatan lokasi acara, di Boston. Coupland memberitahu Hagerty bahawa keretanya ialah satu-satunya yang masih berada di jalan dari kesemua Black Knight Edition yang pernah dijual oleh Proton di UK.

Ia hampir sama dengan Proton Saga 1.5 GL biasa, tetapi Black Knight mendapat aksesori tambahan iaitu penutup rim unik, pelekat badan khas, dan spoiler! Dan ironinya, warna badan Black Knight bukanlah hitam, tetapi lebih kepada gunmetal grey.

Gambar: Facebook

Lain dari itu, ia sama sahaja dengan Saga 1.5GL, termasuklah enjin 1.5-liter 4G15 dan kotak gear manual 5-kelajuan.

Menurut Coupland, pemilik asal menyimpan kereta itu sejak 1993 kerana kurang sihat, dan ia hanya memiliki perbatuan sekitar 3,600 batu (5,794km).

Saga itu tersadai hingga 2017 sebelum dijual kepada pemilik sebelumnya dan ia dipandu lagi kira-kira 10,000 batu (16,093km). Kini Coupland memandunya sekali-sekala untuk mempertontonkan di acara-acara seperti Hagerty’s Festival of the Unexceptional.

Hagerty’s Festival of the Unexceptional

Gambar: Hagerty.co.uk

Seperti biasa, acara ini menampilkan lebih 50 peserta-peserta dengan kereta menarik. Mereka dinilai melalui proses teliti sebelum seorang pemenang dipilih.

Di tempat kedua selepas Coupland ialah sebuah Peugeot 106 XN Gradtuate 1991 milik Danny Wilson. Ia menggunakan enjin 1.1-liter karburator yang turut digemari oleh ramai juri.

Lebih 3,000 orang pengunjung hadir ke acara di Grimsthorpe Castle, Lincolnshire.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved