Arkib Kategori: BERITA

Malaysia Speed Festival 2026 gegar Litar Sepang sepanjang hujung minggu Merdeka

Bersempena sambutan Merdeka ke-69, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang bakal digegarkan dengan acara tahunan Malaysia Speed Festival Merdeka Endurance.

Sepanjang hujung minggu MSF edisi ke-9 tersebut, peminat boleh menikmati beberapa perlumbaan yang telah disusun terdiri daripada lebih 200 jentera lumba empat roda dan dua roda.

MSF SuperTurismo Merdeka 11 Endurance

MSF Merdeka Endurance bakal menampilkan perlumbaan ketahanan 111 lap, bersamaan jarak sejauh 615 km mengelilingi litar 5.543 km.

Perlumbaan tersebut dibahagikan kepada tujuh kelas:

  • Super Series Limited
  • EXN GT86 x BRZ Racing Cup
  • Super Compatto
  • Standard Production
  • Standard Production MAX
  • Super Production
  • K-Series Battle

Dalam perlumbaan ini, setiap pasukan wajib menurunkan minimum dua pemandu dan melakukan dua hentian pit wajib selama tiga minit.

Dengan tempoh pemanduan bagi setiap pemandu tidak dihadkan, setiap pasukan perlu bergantung kepada strategi pra-perlumbaan yang telah dirancang.

Perlumbaan ini akan bermula pada 30 Ogos jam 5.30 petang dan berakhir sebelum tengah malam sambutan Hari Merdeka ke-69.

MotoMSF & acara perlumbaan lain

Terdapat juga perlumbaan endurans Superbikes 33 lap dengan jarak sejauh hampir 183 km tanpa henti pada hari Ahad.

Perlumbaan Superbikes ini akan turut menampilkan pasukan 2 pelumba dengan hentian pit wajib setiap 8 lap, bermula jam 11.30 pagi hingga 2.00 petang.

Selain itu, perlumbaan lain yang turut tersenarai termasuklah:

Sabtu, 29 Ogos: 

  • dua perlumbaan 5-lap kelas Super Unlimited
  • perlumbaan 8-lap Skilldrvn One Make Race Series

Ahad, 30 Ogos: 

  • perlumbaan 7-lap American V-Twin Cup by Prodigy Racecraft
  • perlumbaan 10-lap Skilldrivn One Make Race Series
  • Merdeka 75 Cup (Saga Cup, Myvi Cup, Campro Cup dan Tuner Production)
Menurut Adian Yein Khalid selaku Prinsipal MSF, “Acara Merdeka Race telah berkembang pesat, dan mampu menganjurkan perlumbaan tahunan 111-lap merupakan satu pencapaian bermakna buat MSF.
“Apa yang menjadikan perlumbaan ini istimewa ialah dapat menghimpunkan pelumba veteran, muka baharu, pasukan yang terkemuka dan berpengalaman di dalam grid yang sama.
“Ia merupakan ujian sebenar tentang kelajuan, konsistensi, strategi dan kerja berpasukan.

Harga tiket

Pas paddock boleh dibeli pada harga RM45 untuk akses dari 10 pagi hingga 11 malam, sementara kanak-kanak bawah 12 tahun boleh masuk secara percuma.

Selain menyaksikan aksi perlumbaan dan memasuki ruang paddock, pengunjung juga boleh menikmati ruang food truck serta membeli barangan bertemakan sukan permotoran.

 

BMW iX3 50L dipandu lebih 1 ribu km tanpa cas!

BMW iX3 50L berjaya mencatat rekod jarak perjalanan baharu untuk kenderaan elektrik (EV) BMW.

Model itu berjaya menempuh jarak 1,030.2 kilometer tanpa mengecas bateri.

Ujian tersebut dilakukan dari pusat pengeluaran BMW di Shenyang ke Pusat R&D BMW di Beijing, China.

Satu lagi yang menarik, BMW iX3 50L tiba di destinasi dengan baki bateri sebanyak 5 peratus.

Untuk makluman, BMW iX3 telah dilancarkan di Malaysia namun berbeza dengan iX3 50L yang memiliki jarak roda lebih panjang.

Jualan awal BMW iX3 50L di China sudah pun dibuka pada 21 Ogos 2026.

Selepas Rekod 805 Km, BMW iX3 Dipandu Sehingga 1,030.2 Km

Pencapaian terbaharu ini hadir selepas BMW iX3 berjaya merekodkan jarak 805 km pada Jun lalu di sekitar Tasik Qinghai.

BMW kemudian menjalankan ujian jalan raya dari Shenyang ke Beijing untuk menilai kecekapan sistem dan pengurusan tenaga dalam perjalanan jarak jauh.

Sebelum ujian, pasukan kejuruteraan BMW membuat simulasi berdasarkan laluan, kelajuan, penggunaan tenaga dan status bateri.

Hasilnya, BMW iX3 50L berjaya menempuh 1,030.2 km tanpa mengecas.

Di sebalik rekod tersebut, BMW menjelaskan jarak sebenar boleh berubah mengikut keadaan cuaca, jalan, suhu, muatan, gaya pemanduan dan penggunaan penghawa dingin.

Jarak Rasmi 919 Km Mengikut CLTC

BMW iX3 50L mempunyai jarak rasmi 919 km mengikut piawaian CLTC.

Bagaimanapun, ujian dalaman BMW menunjukkan model itu mampu mencapai jarak yang lebih jauh dalam keadaan ujian tertentu.

BMW menegaskan jarak bukan sekadar angka pada helaian spesifikasi.

Sebaliknya, kecekapan sebenar kenderaan turut bergantung kepada pengurusan tenaga, keadaan pemanduan dan kecekapan keseluruhan sistem.

BMW eDrive Generasi Keenam

Pencapaian jarak lebih 1,000 km itu bukan hanya disebabkan penggunaan bateri berkapasiti besar.

BMW iX3 generasi baharu menggunakan teknologi pacuan elektrik BMW eDrive generasi keenam.

Teknologi ini menggabungkan beberapa aspek untuk meningkatkan kecekapan tenaga.

Antaranya ialah:

  • Kecekapan sistem pacuan elektrik.
  • Pemulihan tenaga.
  • Pengurusan haba.
  • Aerodinamik.
  • Reka bentuk ringan.
  • Sistem kawalan tenaga pintar.
  • Seni bina pacuan elektrik bersepadu tinggi.

BMW membangunkan sistem tersebut berdasarkan keperluan utama kenderaan elektrik seperti jarak perjalanan, penggunaan tenaga, pengecasan, keselamatan, pemanduan dan kebolehpercayaan.

Bateri Cell-To-Pack Dan Platform 800 Volt

BMW iX3 baharu turut menggunakan sistem bateri voltan tinggi baharu yang menggunakan reka bentuk cell-to-pack (CTP).

Sel bateri diintegrasikan terus ke dalam struktur tegar pek bateri.

Menurut BMW, pendekatan ini meningkatkan penggunaan ruang dan tahap integrasi sistem.

Ia juga membantu meningkatkan ketumpatan tenaga.

Pada masa sama, berat dapat dikurangkan dan pusat graviti kenderaan dioptimumkan.

Sistem bateri tersebut turut digabungkan dengan platform voltan tinggi 800 volt.

Sistem kawalan tenaga pintar BMW dan seni bina pacuan elektrik bersepadu turut membantu meningkatkan kecekapan tenaga keseluruhan.

Sel Bateri Silinder 46 Mm

BMW iX3 baharu menjadi model pertama di pasaran China yang menggunakan sel bateri silinder besar yang dihasilkan secara besar-besaran.

Sel tersebut mempunyai diameter 46 mm dan menggunakan kimia nikel tinggi 9-siri.

BMW mendakwa ketumpatan tenaganya kira-kira 20 peratus lebih tinggi berbanding sel bateri prismatic BMW eDrive generasi kelima.

Reka bentuk all-tab pada sel silinder tersebut turut membantu meningkatkan kecekapan pengecasan dan nyahcas.

BMW juga menyediakan beberapa konfigurasi bateri untuk generasi baharu iX3.

Pengguna boleh memilih konfigurasi berdasarkan keperluan jarak perjalanan dan tabiat pemanduan masing-masing.

 

Cycle & Carriage rasmi buka pusat 3S Leapmotor di Johor Bahru

Cycle & Carriage (C&C) meraikan satu lagi pencapaian penting menerusi pembukaan pusat 3S Leapmotor Cycle & Carriage Johor Bahru.

Terletak secara strategik di Kempas, fasiliti baharu ini menjadi cawangan Leapmotor yang keenam di Malaysia.

Kemudahan

Dibina atas tanah seluas 3,783 meter persegi, fasiliti satu tingkat ini mempunyai keluasan binaan 10,000 kaki persegi.

Ia menggabungkan bilik pameran yang boleh memuatkan empat kenderaan, ruang perbincangan pelanggan, serta ruang serahan kenderaan khas.

Tingkat mezanin pula dikhususkan untuk pejabat operasi.

Bahagian selepas jualan pula menampilkan sehingga empat ruang servis, ruang cuci kenderaan serta ruang khas untuk kerja-kerja perincian kenderaan.

Waktu operasi

Bilik pameran dibuka setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang, sementara hari Ahad dan cuti umum pula dari jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang.

Pusat servis pula beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 8.00 pagi hingga 12 tengah hari setiap Sabtu dan tutup pada setiap Ahad dan cuti umum.

Adrian Short, CEO Cycle & Carriage Malaysia berkata, “Pembukaan Pusat 3S Leapmotor Johor Bahru ini membuktikan janji kami untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang lancar, daripada pembelian hinggalah penjagaan selepas jualan.

Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia berkata, “Pengembangan ke Kempas, Johor Bahru merupakan langkah besar dalam membawakan pengalaman Leapmotor ke selatan, salah satu kawasan paling dinamik dan pesat berkembang.

“Kami yakin rakyat Johor akan menikmati perjalanan pemilikan yang lancar, menggabungkan inovasi Leapmotor dan kepakaran berteraskan pelanggan Cycle & Carriage,” ujarnya lagi.

Mforce umum kempen panggil semula gantikan lengan ayun Keeway XDV180 Evo

Keeway Malaysia mengumumkan pelaksanaan kempen panggil semula melibatkan model skuter Keeway XDV180 Evo.

Panggilan semula ini bertujuan untuk menggantikan komponen lengan ayun (swingarm) kepada komponen baharu yang dipertingkatkan.

Difahamkan sebanyak 5,000 unit skuter terbabit dalam kempen panggil semula terbaharu ini.

Pemilik Keeway XDV180 Evo boleh membuat semakan status motosikal masing-masing menerusi pautan https://productrecall.mforceservice.my/

Sekiranya tersenarai, pemilik boleh terus berhubung atau berkunjung ke pengedar sah di mana pembelian asal dibuat untuk mengatur jadual temu janji penggantian.

Pihak Mforce turut mengesahkan proses penggantian ini akan dilaksanakan secara percuma termasuklah kos alat ganti baharu dan kos upah.

Hyundai Palisade 2027: Ada varian High Roof!

Hyundai Motor Company memperkenalkan Hyundai Palisade 2027 di Korea Selatan dengan tiga tambahan utama, iaitu varian High Roof, Black Ink dan XRT.

Pelancaran ini menambah pilihan untuk SUV tiga baris tersebut, selain menjadikan beberapa ciri keselamatan dan kemudahan sebagai kelengkapan standard.

Hyundai Palisade High Roof

Hyundai Palisade High Roof merupakan model berasaskan SUV pertama dalam industri automotif Korea Selatan yang menggunakan konsep bumbung tinggi.

Bahagian bumbung telah dinaikkan sebanyak 240 mm bagi memberikan ruang kabin yang lebih luas dan selesa.

Dengan ketinggian 2,005 mm, model ini masih boleh memasuki kebanyakan tempat letak kereta bawah tanah tanpa sebarang masalah.

Antara kelengkapan standard khusus High Roof ialah:

  • Reka bentuk luaran High Roof dengan kemasan Black DLO
  • Suspensi dikawal secara elektronik Preview
  • Rim aloi 21-inci
  • Tayar Pirelli
  • Lampu ambien khusus High Roof
  • Sistem pencahayaan Starry Sky
  • Lampu bacaan LED dua arah
  • Sistem hiburan pintar belakang 21.4-inci khusus High Roof

Pakej VIP turut ditawarkan dengan konsol pelbagai fungsi dua pintu untuk baris kedua.

Ia merangkumi pengecasan tanpa wayar berkembar untuk telefon pintar, sistem pensterilan UV-C, penapis udara dan pemegang cawan dengan fungsi pemanasan serta penyejukan.

Pakej tersebut turut dilengkapi karpet premium khusus VIP.

Hyundai Palisade Black Ink

Hyundai Palisade Black Ink Trim 2027

Hyundai turut memperkenalkan Black Ink sebagai varian khas berasaskan kemasan Calligraphy.

Varian ini menggunakan elemen hitam pada bahagian luaran dan dalaman bagi menghasilkan penampilan yang lebih kemas serta menyerlah.

Kelengkapan standard termasuk:

  • Rim aloi hitam 21-inci
  • Tayar Pirelli
  • Suspensi dikawal secara elektronik Preview
  • Reka bentuk dalaman dan luaran khusus Black Ink

Hyundai Palisade XRT

Hyundai Palisade XRT 2027

Bagi pelanggan yang mahukan penampilan berorientasikan aktiviti lasak, Palisade XRT hadir dengan reka bentuk yang lebih rugged.

Varian ini dilengkapi rim aloi 20-inci khusus, tempat duduk baris kedua dengan fungsi pengudaraan serta sistem audio premium BOSE.

Elemen khusus XRT pula merangkumi:

  • Gril radiator dan kemasan khusus
  • Pendakap badan
  • Rak bumbung
  • Emblem
  • Kemasan bingkai tingkap / DLO moulding
  • Perumah cermin sisi khusus

Ciri Keselamatan Dipertingkat

Hyundai turut memperluaskan kelengkapan keselamatan pada varian asas Exclusive.

Antaranya termasuk:

  • Kluster instrumen 12.3 inci
  • Paparan melengkung panoramik
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA) dengan fungsi tambahan untuk laluan persimpangan, kenderaan bertentangan ketika memotong, kenderaan dari sisi dan bantuan stereng mengelak
  • Kawalan Jelajah Pintar Berasaskan Navigasi (NSCC) dengan fungsi susur masuk dan keluar
  • Bantuan Pemanduan Lebuh Raya 2 (HDA 2)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA) ketika memandu
  • Amaran Penumpang Belakang Lanjutan (ROA Lanjutan)

Enjin dan Konfigurasi Hyundai Palisade 2027

Palisade 2027 ditawarkan dengan enjin petrol 2.5 liter turbo serta sistem hibrid 2.5 liter turbo.

Enjin petrol Smartstream G2.5T menghasilkan 281 PS dan 422 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.

Pilihan konfigurasi termasuk:

  • 7 atau 9 tempat duduk
  • Pacuan dua roda (2WD) atau semua roda (AWD)
  • Rim 18, 20 atau 21-inci
  • Pakej XRT dengan rim 20-inci
  • High Roof dengan rim 21-inci

Bagi versi hibrid, enjin Smartstream G2.5T menghasilkan 262 PS dan 353 Nm, manakala motor elektrik menghasilkan 54.0 kW dan 264 Nm.

Output sistem keseluruhan ialah 334 PS dan dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Versi hibrid turut tersedia dalam konfigurasi 7 atau 9 tempat duduk serta pilihan 2WD dan AWD.

Rim yang ditawarkan ialah 18, 20 dan 21-inci, manakala High Roof menggunakan rim 21-inci.

Harga Hyundai Palisade 2027

Harga Hyundai Palisade 2027 berbeza mengikut varian, jumlah tempat duduk dan pilihan rangkaian kuasa. Berikut ialah julat harga yang ditawarkan:

  • Petrol: Harga bermula ₩44.78 juta (RM130,800) untuk Exclusive 9 tempat duduk dan mencecah ₩75.30 juta (RM220,000) bagi High Roof 7 tempat duduk.
  • Hibrid: Harga bermula ₩50.77 juta (RM148,300) untuk Exclusive 9 tempat duduk dan mencecah ₩81.59 juta (RM238,400) bagi High Roof 7 tempat duduk.

Harga tersebut berdasarkan cukai penggunaan individu 5 peratus di Korea Selatan.

Bagi Hibrid Exclusive 7 tempat duduk, harga ₩51.40 juta (RM150,200) mengambil kira insentif cukai kenderaan mesra alam.

Porsche Cayenne Electric 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM699,000

Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini secara rasmi melancarkan SUV elektrik Porsche Cayenne Electric 2026 untuk pasaran Malaysia.

Terdapat dua bentuk badan ditawarkan, iaitu versi standard dan coupe.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Cayenne Electric – RM699,000
  • Cayenne S Electric – RM759,000
  • Cayenne Turbo Electric – RM969,999
  • Cayenne Coupe Electric – RM749,000
  • Cayenne S Coupe Electric – RM805,000
  • Cayenne Turbo Coupe Electric – RM999,999

Dimensi

Porsche Cayenne Electric membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,985 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,674 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,023 mm.

Secara standard, Cayenne Electric menyediakan ruang kargo sebesar 781 liter-1,588 liter, serta ruang frunk sebesar 90 liter.

Sementara Cayenne Coupe pula duduk lebih rendah 24 mm pada ketinggian 1,650 mm, sementara ruang kargo pula bermula dari 534 liter hingga 1,347 liter.

Tiga varian

Terdapat tiga varian ditawarkan, di mana kesemuanya dilengkapi dengan tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda.

Perinciannya seperti berikut:

Cayenne

  • kuasa 408 PS/835 Nm (422 PS dalam mod launch control)
  • pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat
  • kelajuan maksimum 230 km/j

Cayenne S

  • kuasa 544 PS/1,080 Nm (666 PS dalam mod launch control)
  • pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat
  • kelajuan maksimum 250 km/j

Cayenne Turbo

  • kuasa 857 PS/1,500 Nm (1,156 PS dalam mod launch control)
  • pecutan 0-100 km/j dalam 2.5 saat
  • kelajuan maksimum 260 km/j

Pengecasan

Kesemua varian dilengkapi dengan pek bateri 113 kWh, dan seni bina elektrik 800V yang membolehkan pengecasan DC sehingga 400 kW.

Ini bermakna, pengecasan 10-80% SoC boleh dicapai dalam masa bawah 16 minit.

Selain itu, Porsche Cayenne Electric turut menyokong pengecasan induktif (tanpa wayar) sehingga 11 kW.

Cayenne Electric menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 652 km sementara versi coupe pula boleh mencapai jarak sehingga 669 km.

Kelengkapan

Secara standard, kesemua varian Cayenne hadir dengan ciri seperti sistem suspensi udara lengkap dengan peredam adaptif Porsche Active Suspension Management (PASM).

Selain itu, terdapat sistem stereng gandar belakang (hingga 5 darjah) serta ciri Porsche Active Ride yang pertama kali muncul pada model ini.

Di bahagian luar, Cayenne Electric menampilkan ciri seperti lampu LED matriks, bar lampu belakang melintang penuh, serta pilihan rim saiz 20 hingga 22 inci.

Tidak ketinggalan, ciri aerodinamik aktif terdiri daripada active grille shutter, spoiler belakang aktif, serta penambahan bilah aktif untuk model Turbo.

Dengan rekaan badan yang ringkas, tidak menghairankan apabila Cayenne Electric mampu mencapai angka pekali seretan serendah 0.23 untuk versi Coupe (0.25 untuk versi standard).

Kabin pula mendapat kelengkapan berikut:

  • skrin kluster digital OLED 14.25 inci
  • skrin infohibur OLED Flow Display (rekaan bersudut)
  • skrin penumpang 14.9 inci (opsyen)
  • skrin paparan head-up realiti terimbuh 87 inci

Cayenne juga masih mengekalkan gugusan butang fizikal yang mengawal fungsi sistem pendingin hawa dan kelantangan bunyi di bahagian konsol tengah.

Antara ciri lain termasuklah:

  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • pad pengecasan peranti pintar Qi
  • roda stereng balutan kulit
  • tempat duduk larasan elektrik

Porsche Cayenne Turbo Electric

Porsche Cayenne Turbo Coupe Electric & Cayenne S Coupe Electric

Porsche 911 GT3 2027 edisi Nurburgring 100 tahun: hanya 100 unit, penuh sentuhan ‘Green Hell’

Kalau anda peminat Porsche dan Nurburgring, 911 GT3 edisi khas ini adalah sesuatu yang sukar untuk diabaikan.

Sempena ulang tahun ke-100 Nurburgring pada 2027, Porsche memperkenalkan model edisi khas 911 GT3 100 Jahre Nürburgring. Tempahan akan dibuka pada September depan, manakala penghantaran bermula pada 2027, namun hanya 100 unit ditawarkan dan semuanya hanya untuk pasaran Jerman.

Litar Nurburgring sudah lama menjadi sebahagian penting dalam sejarah Porsche, bukan sahaja untuk perlumbaan tetapi juga sebagai litar ujian bagi kereta produksi.

Tema ‘Green Hell’ yang menonjol

Porsche menawarkan dua pilihan warna iaitu White dan GT Silver Metallic. Kedua-duanya dipadankan dengan kemasan hijau pada bahagian depan dan belakang sebagai penghormatan kepada gelaran Nurburgring Nordschleife, iaitu ‘Green Hell’.

Terdapat juga juga tow lug hijau, anak panah putih, logo Nurburgring klasik serta nombor perlumbaan pilihan dari 0 hingga 999 yang ditulis dalam gaya graffiti di sekitar Nordschleife.

Selain itu, rim tempaan 20 inci di depan dan 21 inci di belakang didatangkan dalam kemasan California Gold bersama centre lock hitam, manakala sayap belakang menampilkan tulisan Porsche berwarna emas dan logo Nurburgring.

Kabin pun bertema Nurburgring

Masuk ke dalam, tema sama diteruskan. Sangkar keselamatan belakang dicat hijau, manakala tempat duduk bucket ringan sebelah pemandu menggunakan material hijau yang kelihatan melalui corak tebukan bergradasi.

Logo Nurburgring pada perehat pemandu, tulisan GT3 pada sebelah penumpang dan projektor LED yang memancarkan bentuk litar ke jalan turut menjadi antara ciri menarik.

Kawalan tertentu pada stereng dan papan pemuka juga mendapat kemasan hijau. Pembeli boleh memilih transmisi PDK tujuh kelajuan atau manual enam kelajuan, dengan versi manual mendapat tombol gear walnut seperti 911 Carrera T.

Manthey Kit dan pengalaman Nurburgring

Porsche turut menawarkan Manthey Kit yang merangkumi talaan suspensi, komponen brek dioptimumkan dan pakej aerodinamik yang berfungsi untuk meningkatkan daya tekan kepada 540 kg pada 285 km/j.

Keupayaan kit ini sudah dibuktikan apabila juara DTM, Ayhancan Güven, mencatat masa 6:50.853 di Nordschleife.

Pemilik juga ditawarkan pengalaman khas bersama Manthey di Nurburgring, termasuk sesi bersama pakar motorsport dan peluang memahami kemampuan kit tersebut dengan lebih dekat.

Siap ada jam tangan khas

Semua pemilik 911 GT3 100 Jahre Nürburgring akan menerima jam Chronograph eksklusif yang dihasilkan oleh Porsche Design di Grenchen, Switzerland.

Jam tersebut menggunakan sarung titanium hitam, dail bertemakan Nurburgring dan tali kulit asli daripada material kabin Porsche, lengkap dengan jahitan GT Silver dan kemasan hijau.

Hyundai Tucson 2027 tampil lebih besar dengan rekaan “Art of Steel” dan kabin serba baharu

Hyundai telah mendedahkan Tucson generasi baharu yang bakal memasuki pasaran global mulai 2027. Kali ini, SUV tersebut menerima perubahan reka bentuk yang sangat ketara, dengan penampilan lebih bersegi, tegap dan moden berbanding model semasa.

Menggunakan bahasa rekaan “Art of Steel”, Tucson baharu tampil dengan garisan badan yang lebih tajam serta imej lebih rugged. Motif huruf “H” bercahaya turut digunakan pada bahagian hadapan dan belakang, memberikannya identiti tersendiri yang lebih menonjol.

Saiz lebih besar, kabin lebih lapang

Dari segi dimensi, panjang keseluruhan meningkat 60 mm kepada 4,700 mm, manakala jarak roda bertambah kepada 2,785 mm. Lebar pula meningkat 40 mm kepada 1,905 mm, sementara ketinggian kini mencecah 1,685 mm.

Pertambahan saiz ini memberi manfaat kepada ruang kabin. Hyundai mendakwa ruang kepala penumpang belakang meningkat 29 mm. Bukaan pintu belakang juga diperbesarkan, dengan sudut bukaan meningkat 10 darjah kepada 83 darjah bagi memudahkan penumpang keluar masuk.

Reka bentuk baharu ini turut menampilkan kaca suku belakang yang lebih besar, sekali gus menjadikan keseluruhan badan Tucson kelihatan lebih panjang.

Kabin baharu dengan sistem Pleos

Ruang dalaman menerima rombakan menyeluruh bagi menempatkan sistem infotainmen Pleos baharu Hyundai. Saiz skrin utama belum diumumkan, tetapi reka bentuknya jelas menggunakan paparan besar yang ditemani barisan kawalan fizikal di bawahnya.

Panel instrumen pemandu juga dikekalkan dalam bentuk paparan nipis yang diletakkan di atas papan pemuka. Kabin turut menampilkan kemasan seperti upholsteri berlubang, trim menyerupai kayu dan pencahayaan ambien bagi melahirkan suasana lebih premium.

Spesifikasi masih belum didedahkan

Setakat ini, Hyundai masih belum berkongsi perincian berkaitan enjin atau prestasi Tucson baharu. Ia dijangka diumumkan apabila model ini mula dijual di Korea Selatan pada penghujung tahun ini, sebelum diperkenalkan ke pasaran lain pada 2027.

Walau bagaimanapun, varian XRT yang lebih lasak telah disahkan, manakala N Line yang menawarkan prestasi lebih sporty berkemungkinan turut ditawarkan.

Nissan Sentra 2027, istimewa dengan pakej Midnight Edition

Nissan Sentra 2027 diperkenalkan di Amerika Syarikat dengan kemas kini yang memberi fokus kepada penampilan, talaan transmisi dan kemudahan dalam kabin.

Antara perubahan utama ialah pengenalan pakej Midnight Edition baharu untuk varian SR.

Talaan Xtronic CVT dipertingkatkan bagi memberikan tindak balas pecutan lebih semula jadi serta penawaran pengecas peranti tanpa wayar Qi2.

Untuk makluman, Sentra generasi kesembilan diperkenalkan pada September 2025 dan dikenali sebagai Sylphy di pasaran China.

Model ini meyaingi Honda Civic dan Toyota Corolla namun pengguna tempatan tidak berpeluang memilikinya apabila Sylphy (Sentra generasi kelapan) tidak dibawa masuk.

Nissan Sentra Midnight Edition 2027 bergaya dengan kemasan hitam

Sentra 2027 menjadi model Nissan terbaharu yang menyertai barisan Midnight Edition.

Pakej ini dibina berasaskan varian SR dan menampilkan kemasan luaran berwarna hitam bagi menghasilkan penampilan yang lebih kemas serta sporti.

Antara ciri yang ditawarkan termasuk:

  • Lencana luaran berwarna hitam termasuk lencana Midnight Edition
  • Kemasan hitam pada bingkai tingkap
  • Rim aloi hitam 18 inci
  • Bumbung dua tona Super Black

Pakej Midnight Edition berharga AS$650 (RM2,625) untuk Sentra SR.

Enjin 2.0 liter 149 hp, Xtronic CVT ditala semula

Nissan Sentra 2027  menggunakan enjin 2.0 liter MR20DD empat silinder yang menghasilkan 149 hp pada 6,000 rpm dan 198 Nm pada 4,000 rpm.

Enjin ini mempunyai nisbah mampatan: 10.6:1 dan had putaran 6,600 rpm.

Nissan turut membuat penambahbaikan terhadap transmisi Xtronic Continuous Variable Transmission (CVT).

Talaan baharu ini kesinambungan daripada perubahan model 2026, dengan fokus diberikan kepada karakter pemanduan yang lebih lancar dan semula jadi.

Menurut Nissan, talaan baharu menghasilkan profil pecutan yang lebih lancar dan linear, selain memberikan tindak balas yang lebih pantas terhadap input pedal pendikit.

Perubahan ini juga bertujuan menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih mudah dijangka.

Dimensi

Nissan Sentra mempunyai jarak 2,705 mm, dengan panjang keseluruhan 4,656 mm.

Lebarnya ialah 1,816 mm, manakala ketinggian mencapai 1,450 mm.

Pekali seretan aerodinamik pula bermula daripada Cd 0.268 untuk varian S dan SV.

Nissan Sentra dengan lebih banyak teknologi

Nissan memaklumkan Sentra 2027 mempunyai jumlah ciri standard terbanyak di dalam segmennya.

Antara ciri yang ditawarkan termasuk skrin sentuh maklumat 12.3 inci dengan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto tanpa wayar, selain butang penghidup enjin.

Sentra turut dilengkapi Kawalan Jelajah Pintar, lampu utama LED dan lampu belakang LED sebagai ciri standard.

Untuk varian tertentu, Nissan menawarkan dua skrin 12.3 inci dan kawalan pendingin hawa jenis capacitive touch.

Lagi kelengkapan seperti kerusi Zero Gravity di hadapan dan belakang serta ruang kaki hadapan yang didakwa terbaik dalam kelasnya.

Model ini turut boleh dilengkapi pencahayaan suasana dengan 64 pilihan warna dan sistem audio premium Bose lapan pembesar suara.

Turut ditawarkan ProPILOT Assist untuk pemanduan dengan fungsi berhenti dan bergerak.

Pengecas Qi2

Satu lagi tambahan bagi Sentra 2027 ialah pengecas peranti tanpa wayar Qi2 yang tersedia sebagai pilihan.

Sistem ini menawarkan pengecasan lebih pantas dan konsisten serta serasi dengan lebih banyak peranti.

Ciri keselamatan standard

Sentra 2027 dilengkapi sistem brek kecemasan automatik dengan pengesanan pejalan kaki, amaran titik buta dan pencegahan titik buta.

Lagi kelengkapan standard seperti kawalan jelajah pintar, amaran trafik lintasan belakang dan pencegahan keluar lorong.

Selain itu, pelanggan ditawarkan amaran perlanggaran hadapan pintar, bantuan lampu tinggi automatik, pengecaman isyarat trafik dan sistem kamera pandangan sekeliling pintar.

Kecekapan bahan api

Untuk penggunaan petrol,  Sentra S, SV dan SL mencatat anggaran EPA sehingga 30 mpg (12.8 km/l) bandar, 38 mpg (16.2 km/l) lebuh raya dan 33 mpg gabungan (14.0 km/l).

Sentra SR pula mencatat sehingga 29 mpg (12.3 km/l) bandar, 36 mpg (15.3 km/l) lebuh raya dan 32 mpg (13.6 km/l) gabungan.

Harga Nissan Sentra 2027

Nissan menawarkan Sentra dalam empat varian dengan harga seperti berikut:

  • Sentra S – AS$22,890 (RM92,430)
  • Sentra SV – AS$23,590 (RM95,256)
  • Sentra SR – AS$24,990 (RM100,910)
  • Sentra SL – AS$27,990 (RM113,024)
  • Pakej Midnight Edition Sentra SR – AS$650 (RM2,625)

Nissan Sentra Midnight Edition 2027

Nissan Sentra SR 2027

Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series 2026 kini di Malaysia – harga anggaran dari RM2.25 juta

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan ketibaan model baharu Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series 2026 sempena Mercedes-Benz Fashion Week KL baru-baru ini.

Untuk pasaran Malaysia, roadster mewah ini dijual pada harga anggaran bermula dari RM2,250,000.

Sistem pacuan

Maybach SL 680 ini dipacu oleh enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar menghasilkan kuasa 585 hp @ 5,500-6,500 rpm dan daya kilas 800 Nm @ 2,500-5,000 rpm.

Dengan padanan transmisi 9G Tronic, ia boleh memecut sepantas 4.1 saat dari pegun ke 100 km/j dan mencapai kelajuan maksimum 260 km/j.

Aspek pemanduan dipertingkatkan dengan sistem suspensi aktif, sistem stereng gandar belakang dan pembeza kekunci belakang elektronik.

Terdapat juga sistem lif gandar depan yang boleh meninggikan bahagian depan sehingga 30 mm untuk mengelakkan kerosakan bampar yang sarat dengan logo Maybach.

Akhir sekali, SL 680 menawarkan standard pengalaman pemanduan tertinggi dengan ciri seperti:

  • sistem ekzos yang dioptimumkan bunyi
  • pakej penebat menyeluruh
  • cagak enjin lembut
  • suspensi aktif berorientasikan keselesaan Active Ride Control

Kelengkapan luaran

Pemilik boleh mendapatkan dua pilihan warna dua tona baharu iaitu:

  • Red Ambience – obsidian black metallic/MANUFAKTUR garnet red metallic
  • White Ambience – obsidian black metallic/MANUFAKTUR opalite white magno 

SL 680 hadir dengan ciri eksklusif seperti:

  • rim tempa 21 inci
  • jeriji radiator krom Maybach
  • bonet obsidian black dengan corak Maybach graphite grey uni
  • aksen rose gold pada perumah lampu utama
  • bumbung fabrik akustik hitam dengan corak Maybach
  • skup aerodinamik berkembar
  • angkup brek perak dengan tulisan Maybach
  • skirt belakang dengan trim krom
  • diffuser rekaan khusus
  • trip muncung ekzos

Kelengkapan kabin

Ruang kabin SL 680 ini mendapat kelengkapan seperti skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah 11.9 inci lengkap dengan animasi dan paparan khas Maybach.

Selain itu, terdapat roda stereng gabungan kayu/kulit, pedal keluli tahan karat, serta plet ambang pintu dengan skrip Maybach yang bercahaya.

Ciri lain termasuklah:

  • upholsteri kulit nappa crystal white
  • teknologi Airscarf
  • kawalan iklim kerusi
  • sistem pencahayaan ambien
  • fungsi urut
  • sistem audio keliling 3D Burmester
  • skrin paparan head-up

Ciri keselamatan pula merangkumi kelengkapan berikut:

  • Driving Assistance Package
  • Parking Package dengan Memory Parking Assist
  • Magic Vision Control
  • Guard 360° Plus
  • Sistem pemantauan tekanan tayar
  • cagak ISOFIX untuk kerusi depan

Pelanggan juga boleh membuat penyesuaian spesifikasi luaran dan dalaman menerusi laman web: https://www.mercedes-benz.com.my/maybach-sl-monogram

Geely Auto catat hasil separuh pertama tertinggi, cecah RMB173.6B (RM104.4B) pada H1 2026!

Geely Auto Group, syarikat automotif global yang beribu pejabat di Hangzhou, China dan sebahagian daripada Zhejiang Geely Holding Group, mencatat prestasi yang menggagumkan bagi separuh pertama 2026 (H1 2026).

Geely Auto mencatatkan hasil RMB173.6 bilion (RM104.4 bilion) pada separuh pertama (H1) 2026, sekali gus merekodkan pencapaian separuh pertama tertinggi dalam sejarah syarikat.

Ini juga kali pertama hasil kumpulan melepasi RMB170 bilion (RM102.31 bilion) selain pertumbuhan hasil bagi enam tahun berturut-turut pada separuh pertama.

Keuntungan teras yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat induk meningkat 46 peratus tahun ke tahun kepada RMB9.68 bilion (RM5.83 bilion).

Margin kasar pula meningkat kepada 17.9 peratus. Keuntungan teras bagi setiap kenderaan turut meningkat 45 peratus kepada RMB6,806 (RM4,095.85).

Setakat 30 Jun 2026, rizab pembiayaan Geely Auto berada pada RMB69.56 bilion (RM41.86 bilion), hampir kepada paras tertinggi dalam sejarah kumpulan.

Jualan Geely melebihi 1.42 juta unit

Jumlah jualan kenderaan Geely Auto pada H1 2026 melebihi 1.42 juta unit.

Prestasi jualan mengikut jenama dan siri adalah seperti berikut*:

  • Geely Galaxy: hampir 520,000 unit.
  • Geely China Star: lebih 580,000 unit.
  • Zeekr: lebih 178,000 unit atau kira-kira 12.5 peratus daripada jumlah jualan kumpulan.
  • Lynk & Co: lebih 144,000 unit.

Geely Galaxy turut mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan jenama kenderaan tenaga baharu terkemuka dunia.

*Galaxy dan China Star ialah nama jenama produk yang digunakan dalam pasaran Tanah Besar China.

Perbelanjaan R&D meningkat

Geely Auto terus mempercepatkan pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Jumlah perbelanjaan R&D bagi H1 2026 meningkat 8 peratus tahun ke tahun kepada RMB9.06 bilion (RM5.45 bilion).

Bagaimanapun, nisbah perbelanjaan R&D kepada hasil menurun 0.3 mata peratusan kepada 5.2 peratus hasil peningkatan kecekapan operasi.

Bagi separuh kedua 2026, Geely akan memperluaskan rangkaian produknya menerusi:

  • Geely TT untuk pasaran sedan sport elektrik C-segment berasaskan AI.
  • Geely Zhanjian 700 untuk kategori kenderaan lasak luar jalan.
  • Teknologi HEV baharu bagi mempercepatkan elektrifikasi rangkaian model berenjin pembakaran dalaman (ICE).

Geely menyasarkan jualan bulanan melebihi 30,000 unit i-HEV menjelang akhir tahun.

Syarikat turut menyasarkan jualan tahunan satu juta unit bagi siri Geely China Star sebagai persediaan untuk pelancaran i-HEV di pasaran antarabangsa pada 2027.

Eksport melonjak 158 peratus

Pasaran antarabangsa menjadi antara pemacu utama pertumbuhan Geely Auto.

Jumlah eksport bagi H1 2026 mencapai 474,000 unit, melonjak 158 peratus tahun ke tahun dan menjangkaui jumlah eksport sepanjang 2025 sebanyak 420,000 unit.

Susulan eksport bulanan melebihi 100,000 unit pada Jun dan Julai, Geely Auto menaikkan sasaran eksport 2026 daripada 640,000 unit kepada 920,000 unit.

Kumpulan itu menyasarkan jumlah eksport menghampiri satu juta unit bagi keseluruhan 2026.

Geely kini beroperasi di 114 pasaran luar China dengan rangkaian jualan dan perkhidmatan antarabangsa melebihi 2,000 lokasi.

Bagi menyokong pertumbuhan global, Geely menggunakan strategi pengembangan berasaskan kerjasama bersama Volvo Cars, Proton, Renault Group dan Ford dalam bidang pembuatan tempatan, R&D serta rantaian bekalan.

Geely turut menyatukan pasukan kejuruteraannya di Sweden dan Jerman bagi memendekkan tempoh pelancaran produk antara China dan pasaran global.

Dalam segmen premium, Zeekr 9X akan diperkenalkan ke lebih banyak pasaran antarabangsa.

Bermaz Xpeng umum kempen panggil semula ganti suspensi udara Xpeng X9

Bermaz Xpeng, pengedar rasmi kenderaan Xpeng di Malaysia mengumumkan kempen panggil semula melibatkan model Xpeng X9.

Ini adalah susulan kepada kempen panggil semula sukarela di China melibatkan X9 yang dipasang sebelum 11 Ogos 2025 bagi menangani masalah berkaitan suspensi udara hadapan.

Bagi kenderaan yang disahkan terjejas, Bermaz Xpeng akan menggantikan keseluruhan komponen tersebut secara percuma.

Malah, sistem suspensi udara yang digantikan itu akan dilanjutkan tempoh jaminannya sehingga 8 tahun atau 160,00 km bermula dari tarikh pendaftaran kenderaan.

Lanjutan jaminan ini juga boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya.

Bermaz Xpeng juga sedang berhubung dengan rakan serantau bagi memastikan bekalan alat ganti, prosedur teknikal dan kapasiti servis sedia untuk pelaksanaan segera.

Tidak dinyatakan berapa unit Xpeng X9 yang terjejas dalam kempen panggil semula ini, namun syarikat itu menjelaskan kenderaan daripada kelompok pengeluaran lain tidak terjejas.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi talian khidmat pelanggan Xpeng Malaysia di +603-7627 3883.

Pelanggan juga boleh membuat temu janji di pusat servis bertauliah menerusi aplikasi mudah alih Xpeng bagi memudahkan proses penggantian.

Pemilik Zeekr nikmati kadar caj RM1.20/kWh di stesen DC Handal, keahlian Platinum JomCharge percuma!

Zeekr Intelligent Technology Malaysia mengumumkan dua tawaran istimewa yang bakal memberikan manfaat kepada lebih 5,000 pemilik Zeekr di Malaysia.

Tawaran istimewa tersebut ialah:

  • kadar caj eksklusif di semua stesen DC Handal
  • keahlian Platinum JomCharge percuma

Kadar caj eksklusif RM1.20/kWh

Sebagai sebahagian daripada ekosistem Zeekr Power, pemilik Zeekr kini boleh menikmati kadar caj eksklusif RM1.20/kWh di semua stesen DC Handal.

Sebelum ini, kadar caj tersebut hanya ditawarkan di beberapa lokasi terpilih Zeekr Power.

Langkah ini dilihat memberikan akses lebih menyeluruh kepada pengecasan pantas yang lebih mampu milik dan mudah untuk semua pemilik Zeekr.

Pemilik Zeekr hanya perlu memuat turun aplikasi chargEV dan melengkapkan borang pendaftaran yang boleh diakses menerusi pautan berikut:
https://forms.cloud.microsoft/r/VFT43KU7FH

Keahlian Platinum JomCharge percuma

Zeekr Malaysia turut mengumumkan kerjasama baharu dengan CPO JomCharge yang menawarkan keahlian Platinum secara percuma.

Penawaran ini sah sehingga 31 Disember 2026.

Keahlian Platinum ini menawarkan diskaun 25% di lebih 1,000 titik pengecasan milik JomCharge di seluruh negara.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan berikut:
https://forms.gle/8BBf8ogmzuSqW1X99

Pemilikan Zeekr lebih lancar

Menurut Eddy Lu, Pengurus Besar Zeekr Malaysia berkata, “Dengan komuniti yang semakin berkembang, kami mahu terus mencari cara bermakna untuk meningkatkan pengalaman pemilikan.

“Kami baru sahaja mengumumkan kadar pengecasan eksklusif di semua stesen DC Handal, dan kini kerjasama dengan JomCharge memberikan akses kepada kadar istimewa di lebih 1,000 titik pengecasan untuk pemanduan yang benar-benar bebas risau.”

“Ini semua sebahagian daripada komitmen kami untuk menjadikan pemilikan Zeekr lebih lancar dan mudah.

“Kami akan terus memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk menyokong komuniti pemilik kami,” tambahnya lagi.

 

Tempah servis kereta TCEAS guna aplikasi TNG eWallet, pakej Rahmah serendah RM109

Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) mengumumkan kerjasama dengan TNG Digital dengan menawarkan akses servis di hujung jari.

Menerusi kerjasama ini, pelanggan TCEAS boleh membuat temu janji servis dan bayaran terus dalam aplikasi TNG eWallet.

Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan pelbagai pakej servis pada harga berpatutan termasuklah Pakej Rahmah dengan harga serendah RM109 sahaja.

Servis profesional ini merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan untuk model jenama Nissan serta pelbagai jenama terkemuka di lebih 50 pusat servis di seluruh negara.

Menurut Kay Fock Soon, Ketua Unit Perniagaan TCEAS menjelaskan kerjasama ini membuka peluang kepada lebih ramai pemilik kenderaan di TNG eWallet untuk menikmati servis bertaraf tinggi.

TCEAS menawarkan jaminan enam bulan untuk penggantian alat ganti tulen.

Tempahan slot servis boleh diakses menerusi program mini TCEAS yang terdapat dalam aplikasi TNG eWallet.

Setelah proses pemilihan lokasi, tarikh dan pembayaran dilengkapkan, pusat servis TCEAS akan menghubungi pelanggan untuk pengesahan temu janji.

Volvo EX90 2026 bakal dilancarkan dengan seni bina 800V, kuasa 680 hp!

Volvo Car Malaysia mengumumkan model SUV Volvo EX90 2026 yang telah ditambah baik bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Pendaftaran minat kini sudah pun dibuka, di mana 100 pelanggan pertama akan menerima ganjaran istimewa.

Spesifikasi Volvo EX90

SUV ini telah dikemas kini pada September tahun lalu, menampilkan seni bina elektrik 800V menggantikan sistem 400V sedia ada.

Sistem 800V ini membolehkan pemilik EX90 menambah jarak 250 km dalam masa 10 minit sahaja dengan pengecasan pantas DC 350 kW.

Sama seperti model terdahulu, Volvo EX90 hadir dalam tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda dengan kuasa mencecah 680 hp dan 870 Nm.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 4.2 saat sahaja.

Dengan peningkatan terhadap asas sistem elektrik, berat badan keseluruhan juga turut dikurangkan dan meningkatkan kelestarian menerusi kebergantungan tembaga yang lebih rendah.

Selain itu, Volvo EX90 turut mendapat naik taraf sistem komputer yang dipacu cip berkembar Nvidia Drive AGX Orin.

Dengan kuasa pengiraan sehingga 500 TOPS, aspek keselamatan Volvo EX90 dipertingkatkan menerusi penggunaan data, perisian dan kepintaran buatan (AI).

Menurut laporan rakan media Paultan, Volvo EX90 akan ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD).

Volvo EX90 2025

Pro-Net bangunkan stesen pengecasan e.MAS menerusi kerjasama strategik dengan CPO utama

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) mengumumkan perancangan memperkenalkan stesen pengecasan berjenama e.MAS di seluruh negara.

Menerusi kerjasama dengan DC Handal, JomCharge dan chargEV, beberapa stesen pengecasan akan didirikan di lokasi strategik bermula suku ketiga 2026.

Pemilik e.MAS juga bakal menikmati kadar pengecasan istimewa apabila membuat bayaran menerusi aplikasi Proton e.MAS.

Akses kepada lebih 4,700 titik pengecasan

Sehingga kini, pemilik boleh mengakses lebih 4,700 titik pengecasan di seluruh Malaysia menerusi aplikasi mudah alih Proton e.MAS.

Ciri ini turut dilengkapi dengan peta pengecasan langsung yang tersedia di dalam kenderaan e.MAS.

Kerjasama strategik bersama CPO utama ini merupakan langkah seterusnya dalam memperluas ekosistem Proton e.MAS ke lebih banyak lokasi awam.

Menurut Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Apabila semakin ramai rakyat Malaysia memilih kenderaan elektrik, akses kepada kemudahan pengecasan menjadi semakin penting.

“Melalui kerjasama dengan CPO utama, kami mahu menjadikan pengecasan lebih mudah dan memberikan manfaat kepada pemilik e.MAS di lokasi utama,” ujarnya lagi.

Ahmad Munif Halim, Ketua Bahagian Pengecasan Pro-Net menambah, “Melalui kerjasama dengan CPO yang berpengalaman, kami dapat memudahkan urusan pengecasan sambil memberikan pelanggan akses kepada sokongan sedia ada sekiranya bantuan diperlukan.

“Kesemua usaha ini membantu kami mewujudkan pengalaman pengecasan yang lebih baik untuk pemilik e.MAS,” jelasnya lagi.

AXCR 2026: Team Mitsubishi Ralliart raih kemenangan kedua berturut-turut

Mitsubishi Motors Corporation mengumumkan Team Mitsubishi Ralliart muncul juara keseluruhan dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2026 pada 9 hingga 15 Ogos lepas.

Pencapaian ini turut menandakan kemenangan kali kedua berturut-turut buat Team Mitsubishi Ralliart.

Ia juga menjadi kemenangan pertama pasukan tersebut dalam sejarah AXCR yang menampilkan gandingan pemandu dan juruarah dari Jepun.

Sorotan prestasi Team Mitsubishi Ralliart

Team Mitsubishi Ralliart mempertaruhkan tiga unit trak pikap Triton spesifikasi T1 di dalam AXCR 2026.

Pemandu Katsuhiko Taguchi meraih kemenangan keseluruhan dengan catatan masa 12 jam 58 minit 20 saat.

Kazuto Koide menamatkan perlumbaan di tempat ke 27 (20 jam 58 minit 30 saat), manakala Chayapon Yotha di tempat ke-36 (34 jam 48 minit 43 saat).

Taguchi memulakan Leg 1 dengan momentum yang positif di mana beliau berjaya meminimumkan kehilangan masa yang dialami oleh ramai pelumba awal.

Biarpun keadaan jalan yang berlopak akibat hujan lebat, beliau berjaya mengakhiri acara pembukaan di tempat ketiga keseluruhan.

Imej: Mitsubishi Motors Thailand

Momentum tersebut diteruskan apabila Taguchi mencatatkan masa terpantas SS dalam Leg 3 dengan kelebihan masa lapan saat.

Pada akhir Leg 5 yang merupakan peringkat terpanjang rali, pasangan Taguchi dan Yasui berjaya membina jurang lebih lima minit.

Dengan pendekatan yang berhemah, pasangan tersebut meraih kemenangan keseluruhan AXCR yang pertama mereka dengan kelebihan masa 2 minit 25 saat.

Ia sekali gus menghadiahkan kejuaraan kedua berturut-turut AXCR buat Team Mitsubishi Ralliart.

Menyertai AXCR buat kali ketiga, Kazuto Koide berdepan kesukaran di peringkat awal apabila tersangkut di tebing jalan dan menerima penalti timeout.

Namun begitu, beliau turut mencatatkan masa kelapan terpantas dalam SS5 dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-27 secara keseluruhan.

Imej: Mitsubishi Motors Thailand

Juara bertahan, Chayapon Yotha pula berdepan dengan insiden tayar pancit di kawasan berbatu Leg 2, dan mengalami kehilangan masa ketika menukar tayar.

Ketika Leg 3, beliau bangkit dan naik ke tempat keenam, namun separuh kedua Leg 4 menyaksikan beliau terpaksa menukar tayar buat kali kedua, diikuti masalah enjin pada awal Leg 5.

Biarpun berdepan dengan pelbagai isu dan penalti, Yotha tetap berjaya menamatkan rali di tempat ke-36.

Laluan mencabar sepanjang lebih 2,000 km

Imej: Mitsubishi Motors Thailand

AXCR edisi yang ke-31 tahun ini menampilkan laluan sepanjang 2,145.19 km, termasuk 921.80 km dalam Special Stages (SS).

Mengambil tempat sepenuhnya di Thailand, AXCR menyediakan laluan yang cukup mencabar seperti hutan tebal, seksyen berbatu besar, lintasan sungai, kawasan berlumpur yang licin dan dalam, digandingkan dengan keadaan cuaca yang panas dan lembap.

Semua ini memberikan cabaran yang hebat kepada pemandu, kru dan juga jentera.

Berikut merupakan ringkasan laluan AXCR 2026:

  • Permulaan – Walking Street, Pattaya
  • Leg 1 – Pattaya ke Prachin Buri
  • Leg 2 – Prachin Buri ke Nakhon Sawan
  • Leg 3 – Loop Nakhon Sawan
  • Leg 4 – Nakhon Sawan ke Kamphaeng Phet
  • Leg 5 – Kamphaeng Phet ke Phitsanulok
  • Leg 6 – Phitsanulok

Lamborghini Revuelto SV: V12 Hibrid 1,065 CV, 0-100 km/j 2.4 Saat

Automobili Lamborghini memperkenalkan Revuelto SV, model terbaharu dalam keluarga Super Veloce (SV) yang bermula sejak Miura SV pada 1971.

Lamborghini Revuelto SV dibangunkan berasaskan Revuelto, iaitu kereta super V12 hibrid pertama Lamborghini yang menghasilkan 1,015 CV (1,085 ps).

Untuk versi SV, Lamborghini mengoptimumkan aspek aerodinamik, kuasa, berat dan talaan casis.

Hasilnya ialah kuasa maksimum 1,065 CV (783 kW) dan tork sistem maksimum 1,425 Nm.

Revuelto SV mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 2.4 saat dan 0-200 km/j dalam 6.7 saat. Kelajuan maksimumnya pula melebihi 345 km/j.

Lamborghini menyifatkan Revuelto SV sebagai model produksi paling berkuasa dan paling pantas pernah dibina di Sant’Agata Bolognese.

Lamborghini Revuelto SV terhad 1,963 unit

Revuelto SV dikeluarkan dalam jumlah terhad sebanyak 1,963 unit. Angka tersebut menjadi penghormatan kepada tahun Lamborghini diasaskan.

Model ini ditawarkan kepada pelanggan paling setia dan pengumpul jenama berkenaan.

Menurut Lamborghini, versi SV membawa evolusi prestasi yang menggabungkan kuasa enjin V12 hibrid dengan DNA perlumbaan.

Antara ciri utama Revuelto SV ialah:

  • 1,065 CV (1,085 ps) kuasa maksimum
  • 1,425 Nm tork sistem maksimum
  • 0-100 km/j: 2.4 saat
  • 0-200 km/j: 6.7 saat
  • Kelajuan maksimum melebihi 345 km/j
  • Nisbah kuasa kepada berat 1.66 kg/CV

Lamborghini menggunakan istilah “The Quantum of Driving” untuk menggambarkan perubahan pengalaman pemanduan yang dibawa oleh Revuelto SV.

Menurut Lamborghini, Quantum merujuk kepada perubahan keadaan apabila pengalaman pemanduan mencapai bentuk paling sejati.

Rekod baharu di Hockenheimring

Lamborghini Revuelto SV mencatat masa 1 minit 41.6 saat di Hockenheimring yang direkodkan oleh pemandu Lamborghini, Marco Mapelli.

Dengan catatan berkenaan, Revuelto SV menjadi kereta produksi paling pantas pernah direkodkan di litar Jerman tersebut.

Hockenheimring dipilih Lamborghini sebagai penanda aras prestasi antarabangsa.

Litar berkenaan mempunyai kombinasi bahagian berkelajuan tinggi, zon membrek berat dan selekoh teknikal.

Reka bentuk lebih tajam

Gambar depan Lamborghini Revuelto SV

Lamborghini Revuelto SV menerima reka bentuk yang lebih menonjol dengan tumpuan terhadap prestasi dan pengoptimuman berat.

Antara elemen baharu ialah profil sisi Speedshape dan reka bentuk Omega menegak di bahagian hadapan.

Bahagian hadapan direka untuk memberikan pendirian yang lebih lebar.

Pada bahagian belakang pula terdapat difuser dengan garisan merah dan sayap belakang.

Lamborghini turut menawarkan beberapa elemen khusus SV:

  • Kemasan hitam
  • Sayap belakang
  • Pilihan kemasan cat khusus
  • Logo SV baharu di sisi dan belakang
  • Roda nat tunggal berinspirasikan kereta lumba
  • Struktur heksagon pada bahagian dalam roda
  • Tulisan Lamborghini belakang dalam Shiny Black, Matt Black atau Matt Bronze

Penggunaan gentian karbon terdedah juga diperluaskan.

Pelanggan boleh memilih sehingga 25 komponen luaran dengan kemasan gentian karbon kelihatan.

Aerodinamik menghasilkan 80 peratus lebih daya mendap downforce

Lamborghini mengubah aerodinamik Revuelto SV untuk meningkatkan daya mendap, ketepatan pengendalian dan prestasi masa pusingan di litar.

Pemisah hadapan dan bahagian bawah badan direka untuk prestasi maksimum.

Sirip bersudut pada bampar hadapan membantu menutup ruang di sekeliling roda dan mengarahkan aliran udara ke penyejuk sisi.

Lamborghini turut menyatakan peningkatan 12 peratus dalam penyejukan brek.

Di bahagian belakang, sayap menggunakan reka bentuk double-wing berinspirasikan sukan permotoran.

Gurney flap pula membantu meningkatkan daya mendap pada penutup belakang serta memperbaiki aliran keluar udara dari radiator.

Secara keseluruhan, sistem aerodinamik Revuelto SV memberikan:

  • 80% lebih daya mendap berbanding Revuelto dan 10% berbanding Aventador SVJ
  • 60% peningkatan kecekapan daya mendap kepada seretan berbanding Revuelto

Menurut Lamborghini, konfigurasi ini meningkatkan pecutan, cengkaman dan kestabilan pada kelajuan tinggi.

V12 6.5 liter dengan tiga motor elektrik

Lamborghini Revuelto SV menggunakan enjin V12 aspirasi natural 6.5 liter yang bekerja bersama tiga motor elektrik.

Dua motor elektrik menggunakan konfigurasi axial flux dan diletakkan di bahagian hadapan.

Satu lagi motor elektrik menggunakan konfigurasi radial flux dan berada di atas kotak gear klac berkembar lapan kelajuan yang dipasang secara melintang di belakang enjin V12.

Sistem ini membolehkan pengagihan tork pantas serta torque vectoring elektrik sepenuhnya.

Kuasa boleh diagihkan secara aktif antara roda hadapan untuk meningkatkan tindak balas ketika memasuki selekoh, cengkaman ketika keluar selekoh dan ketepatan pengendalian.

Enjin V12 menghasilkan 825 CV pada 9,250 rpm dan mempunyai julat putaran maksimum 9,500 rpm.

Sistem hibrid menggunakan bateri litium-ion berprestasi tinggi 7.3 kWj dengan output maksimum 190 kW.

Gabungan enjin V12 dan tiga motor elektrik menghasilkan:

  • 1,065 CV kuasa sistem
  • 1,425 Nm tork sistem
  • Peningkatan 50 CV berbanding Revuelto
  • 0-100 km/j dalam 2.4 saat
  • 0-200 km/j dalam 6.7 saat
  • Kelajuan maksimum melebihi 345 km/j

Lamborghini turut membangunkan sistem bateri baharu yang memberikan sehingga empat kali ganda peningkatan konsistensi prestasi berbanding Revuelto.

Ekzos berprestasi tinggi pula menggunakan dua muncung ekzos kemasan matte grey.

Pilihan hitam kusam dan gangsa hitam turut tersedia.

Suspensi baharu dengan penyerap hentak boleh laras

Revuelto SV menerima penyerap hentak pasif boleh laras secara manual yang menggunakan teknologi daripada perlumbaan GT3.

Sistem ini membolehkan talaan dibuat mengikut gaya pemanduan serta keadaan litar.

Lamborghini menyatakan suspensi baharu tersebut memberikan:

  • 17% peningkatan ketangkasan
  • 10% peningkatan cengkaman sisi berbanding Revuelto

Lamborghini turut menyediakan talaan yang dicadangkan untuk keadaan litar rata, beralun atau basah.

Brek CCM-R Plus baharu

Revuelto SV menggunakan cakera brek karbon-seramik CCM-R Plus yang dibangunkan untuk keadaan paling mencabar dalam perlumbaan ketahanan dan mendapat inspirasi daripada teknologi Formula 1.

Saiz cakera ialah 420 x 40 mm di hadapan dan 410 x 32 mm di belakang.

Brek ini membolehkan Revuelto SV membrek dari 200-0 km/j dalam hanya 110 meter.

Berbanding Revuelto, sistem brek SV memberikan:

  • 11% peningkatan nyahpecutan maksimum
  • 23% peningkatan pelesapan haba
  • 12% pengurangan suhu cakera brek

Cakera tersebut menggunakan struktur karbon 3D dengan gentian karbon panjang yang ditanam dalam matriks karbon.

Lapisan khas dan sistem pengudaraan berasaskan perlumbaan membantu memastikan pengagihan haba dan prestasi brek yang konsisten.

Angkup brek tersedia dalam 12 pilihan warna, selain kemasan standard Nero Opaco.

Sistem kawalan brek baharu

 

Revuelto SV turut menerima sistem Integrated Brake Control (IBC) baharu.

Sistem ini menggunakan sensor inersia generasi baharu yang memantau pergerakan kenderaan secara masa nyata.

Sensor 6D dipasang berhampiran pusat graviti kenderaan.

Ia mengukur pecutan pada tiga paksi serta halaju sudut bagi pitch, roll dan yaw.

Maklumat tersebut digunakan untuk menganggarkan kelajuan kenderaan, sudut gelinciran sisi dan pekali geseran antara tayar dengan permukaan jalan.

Sistem Integrated Vehicle Estimator (IVE) menggunakan penapisan Kalman untuk menghasilkan anggaran dinamik kenderaan.

Menurut Lamborghini, IBC boleh mengurangkan jarak membrek sehingga 10%.

Sistem tersebut turut membantu kawalan kegelinciran roda ketika membrek serta meningkatkan kawalan ketika membrek dan membelok atau ketika melalui curb di litar.

Mod pemanduan Pilota diperkenalkan

Buat pertama kali, Lamborghini memperkenalkan mod pemanduan Pilota untuk Revuelto SV.

Mod ini diaktifkan menggunakan tombol berputar khusus pada stereng.

Pilota menyediakan tetapan pemanduan yang boleh disesuaikan berdasarkan sistem kawalan cengkaman lima tahap yang berasal daripada pengalaman Lamborghini dalam perlumbaan GT3.

Sistem tersebut boleh menyesuaikan operasi mengikut keadaan litar dan tahap kehausan tayar.

Sebagai perbandingan, Revuelto SV turut mempunyai mod pemanduan lain:

  • Strada untuk pemanduan harian dengan tindak balas pendikit lebih lembut dan kawalan cengkaman yang tepat
  • Sport untuk meningkatkan tindak balas enjin V12 dan dinamik kenderaan
  • Corsa untuk pemanduan litar dengan kawalan cengkaman minimum dan kuasa maksimum
  • Pilota untuk tetapan pemanduan litar yang lebih tersuai

Kabin dengan konsep “Feel Like a Pilot”

Kabin Revuelto SV menggunakan konsep “Feel Like a Pilot” dengan reka bentuk yang lebih berorientasikan pemandu.

Stereng generasi terkini Lamborghini menggunakan susun atur kawalan yang diinspirasikan daripada sukan permotoran.

Bahagian dalaman turut menggunakan lebih banyak gentian karbon berbanding mana-mana Revuelto sebelum ini.

Ciri standard termasuk tempat duduk kerusi sport dengan struktur rangka karbon.

Kerusi Lumba monokok gentian karbon pula ditawarkan sebagai pilihan untuk mengurangkan berat dan memberikan sokongan sisi maksimum ketika mengambil selekoh berkelajuan tinggi.

Antara ciri kabin ialah:

  • Panel pintu gentian karbon ultra ringan
  • Kerusi sport dengan struktur rangka karbon
  • Pilihan Kerusi Lumba monokok gentian karbon
  • Lebih banyak penggunaan gentian karbon
  • Kulit Nero Ade
  • Pelbagai pilihan kulit
  • 12 warna kulit kontras
  • Grafik dan animasi khusus Revuelto SV pada sistem UX
  • Pemilih mod Pilota berwarna merah pada stereng
  • Pemilih ANIMA berwarna merah

Panel pintu gentian karbon baharu turut menjadi kelengkapan standard dan boleh digabungkan dengan sistem audio premium Sonus faber sebagai pilihan.

Roda Dromos dan sistem Monolocker

Lamborghini Revuelto SV menggunakan roda 3D-Superlight Dromos dengan saiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang.

Reka bentuknya menggunakan jejari heksagon yang mencerminkan DNA reka bentuk Lamborghini.

Roda tersebut direka untuk mengurangkan berat dan jisim tidak disangga.

Pilihan roda lain termasuk Triguero dalam kemasan Matt Titanium dan Shiny Silver.

Sistem kunci tengah Monolocker turut direka semula dan membuat kemunculan pertama pada Revuelto SV.

Ia menjadi Lamborghini produksi pertama yang menggunakan sistem tersebut.

Pilihan personalisasi lebih banyak

Lamborghini turut menambah pilihan Ad Personam untuk Revuelto SV.

Pelanggan boleh memilih daripada empat konfigurasi logo SV eksklusif dan empat reka bentuk livery khusus SV.

Pilihan gentian karbon terdedah pula boleh digunakan pada sehingga 25 komponen luaran.

Roda Dromos tempa 20-21 inci tersedia dalam lima kemasan.

Sistem centerlock pula ditawarkan dalam 12 warna, yang boleh dipadankan dengan kaliper brek.

Di bahagian dalam, Revuelto SV menawarkan material Corsa-Tex by Dinamica dalam warna Nero Cosmus.

Kerusi lumba bucket baharu dengan kemasan Corsa-Tex dan kulit turut diperkenalkan.

Tayar Bridgestone khusus Revuelto SV

Bridgestone membangunkan rangkaian tayar khusus untuk Revuelto SV sebagai pembekal tayar eksklusif bagi semua kereta super Lamborghini.

Pilihan tersebut merangkumi:

  • Bridgestone Potenza Race R – tayar semi-slick berprestasi tinggi untuk litar dan masih sah digunakan di jalan raya
  • Bridgestone Potenza Sport – tayar berprestasi ultra tinggi untuk jalan raya
  • Bridgestone Blizzak LM005 – tayar musim sejuk

Potenza Race R menggunakan kompaun berinspirasikan sukan permotoran dan corak bunga baharu untuk cengkaman kering.

Bridgestone menyatakan tayar tersebut direka untuk mencapai suhu operasi dengan pantas serta mengekalkan masa pusingan yang konsisten dari pusingan pertama hingga terakhir.

Potenza Sport pula menawarkan prestasi kelajuan tinggi dan ketepatan stereng di permukaan kering serta basah.

Pilihan Run Flat Technology (RFT) turut tersedia.

Keempat-empat saiz tayar Bridgestone dibangunkan dan dihasilkan di Itali serta menggunakan logo Lamborghini.

Tayar tersebut tersedia dalam saiz 20 dan 21 inci.

Bridgestone turut menggunakan teknologi Virtual Tyre Development dalam proses pembangunan tayar.

Teknologi tersebut mengurangkan masa pembangunan serta penggunaan bahan mentah dan pelepasan CO2 sehingga 60% semasa fasa pembangunan.

Legasi Super Veloce Lamborghini

Keluarga Super Veloce Lamborghini bermula lebih lima dekad lalu dengan Miura SV pada 1971.

Model SV mewakili varian paling ekstrem dan berkuasa bagi model sedia ada Lamborghini.

Selepas Miura SV, legasi tersebut diteruskan melalui:

  • Miura SV
  • Diablo SV
  • Murciélago LP 670-4 SV
  • Aventador SV
  • Revuelto SV

Revuelto SV kini menjadi model produksi Lamborghini paling berkuasa dan paling pantas yang pernah dibina di Sant’Agata Bolognese, dengan pengeluaran dihadkan kepada 1,963 unit

Gordon Murray S1: Kereta super V12 manual 690 PS, hanya 64 Unit

Gordon Murray Special Vehicles (GMSV) memperkenalkan Gordon Murray S1 2026 di The Quail sempena Monterey Car Week pada 14 Ogos 2026.

Kereta super ini merupakan evolusi S1 LM yang lebih berorientasikan touring.

Ia menggabungkan enjin V12 4.2 liter naturally-aspirated dari Cosworth, transmisi manual dan talaan yang lebih selesa.

Seperti biasa, S1 dikeluarkan dengan jumlah terhad iaitu 64 unit di seluruh dunia.

Gordon Murray S1 Lebih Fokus Kepada Touring

S1 dibangunkan daripada platform S1 LM. Namun, karakter kedua-dua model ini berbeza.

S1 LM dibangunkan sebagai kereta super jalan raya berinspirasikan perlumbaan. S1 pula memberi tumpuan kepada pemanduan jarak jauh.

Antara perubahan utama ialah:

  • Suspensi ditala semula untuk lebih keselesaan.
  • Fokus aerodinamik dialihkan daripada daya mendap ekstrem kepada cengkaman mekanikal.
  • Keseimbangan dan keyakinan ketika dipandu di jalan raya diberi keutamaan.
  • Ketinggian dinaikkan 10 mm berbanding S1 LM.
  • Lebar badan, trek roda, seni bina suspensi ringan dan tayar lebih lebar dikekalkan.

Panel Badan Baharu

S1 berkongsi bahasa reka bentuk dan DNA dengan S1 LM. Namun, setiap panel badan luar direka semula dan unik.

Beberapa perubahan utama termasuk:

  • Pemisah depan panjang dan sayap belakang besar S1 LM ditanggalkan.
  • Skirt sisi dalam S1 LM turut digantikan.
  • Gayaan baharu menggunakan perkadaran yang kemas.
  • Sistem aerodinamik belakang aktif baharu disepadukan ke dalam badan.
  • Sistem tersebut membantu kestabilan pada kelajuan tinggi dan ketika membrek.
  • Lampu hadapan dan belakang direka khusus untuk S1.
  • DRL disepadukan ke dalam kelompok lampu.
  • Lampu pancaran tinggi tambahan diletakkan rendah dalam salur udara hadapan.
  • Cermin pada tiang-A mempunyai sistem kamera pandangan belakang tersembunyi.
  • Roda ringan baharu diinspirasikan daripada kereta pameran Monaco 1992.

Enjin V12 Cosworth 4.2 Liter Hasilkan 690 PS

Gordon Murray S1 menggunakan enjin Cosworth V12 naturally aspirated 4.2 liter dengan kuasa 690 PS dan tork 500Nm.

Enjin ini mampu berputar sehingga 12,100 rpm dan sebanyak 81 peratus tork tersedia seawal 2,500 rpm.

Antara komponen yang digunakan ialah:

  • Omboh ringan bersalut silikon karbida.
  • Injap titanium.
  • Rod penyambung titanium.
  • Sistem pelinciran dry-sump.
  • Reka bentuk low-inertia dan putaran tinggi.
  • Ekzos Inconel yang digilap.
  • Pelindung haba bersalut emas 24 karat.

Transmisi Manual Enam Kelajuan

Kuasa V12 disalurkan melalui transmisi manual enam kelajuan dengan gear keenam jenis touring ditawarkan sebagai standard.

Gordon Murray turut menggunakan laluan kabel transmisi yang lebih lurus.

Ia membantu menghasilkan rasa pertukaran gear yang tepat seperti rifle-bolt.

Gordon Murray S1 Kekal Ringan

Kejuruteraan ringan masih menjadi asas kepada S1.

  • Panel badan menggunakan gentian karbon ultra-ringan.
  • Komponen suspensi ringan digunakan.
  • Sasaran berat keseluruhan adalah di bawah berat T.50.
  • Sasaran tersebut dicapai walaupun S1 mempunyai kabin lebih mewah.
  • Sistem audio turut dipertingkatkan.
  • Penambahbaikan akustik turut ditambah.

Kabin Tiga Tempat Duduk Lebih Mewah

S1 mengekalkan kedudukan pemanduan di tengah dan mengekalkan ketinggian scuttle yang rendah.

Kabin S1 menerima beberapa perubahan untuk kegunaan jarak jauh:

  • Kulit premium.
  • Fabrik khusus.
  • Kemasan tersuai.
  • Kerusi dengan keselesaan tahap touring.
  • Penebat akustik dipertingkatkan.
  • Skrin maklumat hibur yang disemak semula.
  • Sistem audio ringan khusus.

Pemandu juga boleh memilih tahap bantuan stereng.

Tetapan tersebut membolehkan pemanduan lebih santai atau hubungan yang lebih langsung ketika melalui jalan dinamik.

Pintu Dihedral Baharu

S1 menggunakan pintu dihedral baharu dengan kaca boleh diturunkan secara bersepadu.

Pintu ini menggantikan tingkap Lexan berinspirasikan perlumbaan pada S1 LM.

Bukaan pintu yang lebih luas turut memudahkan proses keluar dan masuk.

Hanya 64 Unit Gordon Murray S1

Gordon Murray Special Vehicles hanya akan menghasilkan 64 unit S1 di seluruh dunia.

Setiap kereta akan ditempah dan ditentukan spesifikasinya secara individu oleh pemilik manakala harga asas belum didedahkan.

Spesifikasi Gordon Murray S1 2026

  • Enjin: 4.2 liter Cosworth V12 naturally aspirated
  • Kuasa: Sehingga 690 PS
  • Tork: 500 Nm
  • RPM Maksimum: 12,100 rpm
  • Transmisi: Manual enam kelajuan
  • Gear Keenam: Touring
  • Seni Bina: Monokok gentian karbon daripada platform S1 LM
  • Aerodinamik: Sistem aerodinamik belakang aktif
  • Suspensi: S1 LM dengan talaan berorientasikan jalan raya
  • Ketinggian: +10 mm berbanding S1 LM
  • Kabin: Tiga tempat duduk, pemanduan di tengah

Moda Sporter S SKII 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM17,998

Moda Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan skuter Sporter S SKII yang telah dinaik taraf untuk pasaran tempatan.

Ia dijual pada harga bermula dari RM17,998.

Diperkenalkan sejak Januari 2025, skuter tersebut merupakan model yang paling laris terjual dalam rangkaian produk Moda.

Kemas kini yang dilakukan pada model ini mengambil kira maklum balas daripada pemilik, pengguna dan komuniti tempatan, selari dengan falsafah Moda “By Bikers, For Bikers”.

Ciri baharu

Antara ciri baharu yang dimuatkan:

  • skrin paparan TFT 7-inci
  • suis pelbagai fungsi pada bar hendal
  • kamera perakam tunggangan HD hadapan
  • penghadang angin boleh laras elektronik
  • winglet aerodinamik

Selain itu, sistem suspensi belakang juga telah dipertingkatkan untuk tunggangan yang lebih selesa dan stabil dalam pelbagai keadaan.

Sporter S SKII masih lagi mengekalkan enjin silinder tunggal 244 cc sejukan cecair menghasilkan 24.8 hp @ 8,500 rpm dan 22.5 Nm @ 6,500 rpm.

Kelengkapan lain termasuklah:

  • rim 15 inci depan/14 inci belakang
  • brek cakera depan belakang
  • fork teleskopik jenis terbalik
  • tangki minyak 13 liter

Ciri keselamatan pula terdiri daripada ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Terdapat dua pilihan warna iaitu Porsch White dan Titan Blue.