Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series 2026 kini di Malaysia – harga anggaran dari RM2.25 juta

Mercedes-Maybach SL 680 2026

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan ketibaan model baharu Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series 2026 sempena Mercedes-Benz Fashion Week KL baru-baru ini.

Untuk pasaran Malaysia, roadster mewah ini dijual pada harga anggaran bermula dari RM2,250,000.

Sistem pacuan

Maybach SL 680 ini dipacu oleh enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar menghasilkan kuasa 585 hp @ 5,500-6,500 rpm dan daya kilas 800 Nm @ 2,500-5,000 rpm.

Dengan padanan transmisi 9G Tronic, ia boleh memecut sepantas 4.1 saat dari pegun ke 100 km/j dan mencapai kelajuan maksimum 260 km/j.

Aspek pemanduan dipertingkatkan dengan sistem suspensi aktif, sistem stereng gandar belakang dan pembeza kekunci belakang elektronik.

Terdapat juga sistem lif gandar depan yang boleh meninggikan bahagian depan sehingga 30 mm untuk mengelakkan kerosakan bampar yang sarat dengan logo Maybach.

Akhir sekali, SL 680 menawarkan standard pengalaman pemanduan tertinggi dengan ciri seperti:

  • sistem ekzos yang dioptimumkan bunyi
  • pakej penebat menyeluruh
  • cagak enjin lembut
  • suspensi aktif berorientasikan keselesaan Active Ride Control

Kelengkapan luaran

Pemilik boleh mendapatkan dua pilihan warna dua tona baharu iaitu:

  • Red Ambience – obsidian black metallic/MANUFAKTUR garnet red metallic
  • White Ambience – obsidian black metallic/MANUFAKTUR opalite white magno 

SL 680 hadir dengan ciri eksklusif seperti:

  • rim tempa 21 inci
  • jeriji radiator krom Maybach
  • bonet obsidian black dengan corak Maybach graphite grey uni
  • aksen rose gold pada perumah lampu utama
  • bumbung fabrik akustik hitam dengan corak Maybach
  • skup aerodinamik berkembar
  • angkup brek perak dengan tulisan Maybach
  • skirt belakang dengan trim krom
  • diffuser rekaan khusus
  • trip muncung ekzos

Kelengkapan kabin

Ruang kabin SL 680 ini mendapat kelengkapan seperti skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah 11.9 inci lengkap dengan animasi dan paparan khas Maybach.

Selain itu, terdapat roda stereng gabungan kayu/kulit, pedal keluli tahan karat, serta plet ambang pintu dengan skrip Maybach yang bercahaya.

Ciri lain termasuklah:

  • upholsteri kulit nappa crystal white
  • teknologi Airscarf
  • kawalan iklim kerusi
  • sistem pencahayaan ambien
  • fungsi urut
  • sistem audio keliling 3D Burmester
  • skrin paparan head-up

Ciri keselamatan pula merangkumi kelengkapan berikut:

  • Driving Assistance Package
  • Parking Package dengan Memory Parking Assist
  • Magic Vision Control
  • Guard 360° Plus
  • Sistem pemantauan tekanan tayar
  • cagak ISOFIX untuk kerusi depan

Pelanggan juga boleh membuat penyesuaian spesifikasi luaran dan dalaman menerusi laman web: https://www.mercedes-benz.com.my/maybach-sl-monogram

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved