Nissan Sentra 2027, istimewa dengan pakej Midnight Edition
Nissan Sentra 2027 diperkenalkan di Amerika Syarikat dengan kemas kini yang memberi fokus kepada penampilan, talaan transmisi dan kemudahan dalam kabin.
Antara perubahan utama ialah pengenalan pakej Midnight Edition baharu untuk varian SR.
Talaan Xtronic CVT dipertingkatkan bagi memberikan tindak balas pecutan lebih semula jadi serta penawaran pengecas peranti tanpa wayar Qi2.
Untuk makluman, Sentra generasi kesembilan diperkenalkan pada September 2025 dan dikenali sebagai Sylphy di pasaran China.
Model ini meyaingi Honda Civic dan Toyota Corolla namun pengguna tempatan tidak berpeluang memilikinya apabila Sylphy (Sentra generasi kelapan) tidak dibawa masuk.
Nissan Sentra Midnight Edition 2027 bergaya dengan kemasan hitam
Sentra 2027 menjadi model Nissan terbaharu yang menyertai barisan Midnight Edition.
Pakej ini dibina berasaskan varian SR dan menampilkan kemasan luaran berwarna hitam bagi menghasilkan penampilan yang lebih kemas serta sporti.
Antara ciri yang ditawarkan termasuk:
- Lencana luaran berwarna hitam termasuk lencana Midnight Edition
- Kemasan hitam pada bingkai tingkap
- Rim aloi hitam 18 inci
- Bumbung dua tona Super Black
Pakej Midnight Edition berharga AS$650 (RM2,625) untuk Sentra SR.
Enjin 2.0 liter 149 hp, Xtronic CVT ditala semula
Nissan Sentra 2027 menggunakan enjin 2.0 liter MR20DD empat silinder yang menghasilkan 149 hp pada 6,000 rpm dan 198 Nm pada 4,000 rpm.
Enjin ini mempunyai nisbah mampatan: 10.6:1 dan had putaran 6,600 rpm.
Nissan turut membuat penambahbaikan terhadap transmisi Xtronic Continuous Variable Transmission (CVT).
Talaan baharu ini kesinambungan daripada perubahan model 2026, dengan fokus diberikan kepada karakter pemanduan yang lebih lancar dan semula jadi.
Menurut Nissan, talaan baharu menghasilkan profil pecutan yang lebih lancar dan linear, selain memberikan tindak balas yang lebih pantas terhadap input pedal pendikit.
Perubahan ini juga bertujuan menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih mudah dijangka.
Dimensi
Nissan Sentra mempunyai jarak 2,705 mm, dengan panjang keseluruhan 4,656 mm.
Lebarnya ialah 1,816 mm, manakala ketinggian mencapai 1,450 mm.
Pekali seretan aerodinamik pula bermula daripada Cd 0.268 untuk varian S dan SV.
Nissan Sentra dengan lebih banyak teknologi
Nissan memaklumkan Sentra 2027 mempunyai jumlah ciri standard terbanyak di dalam segmennya.
Antara ciri yang ditawarkan termasuk skrin sentuh maklumat 12.3 inci dengan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto tanpa wayar, selain butang penghidup enjin.
Sentra turut dilengkapi Kawalan Jelajah Pintar, lampu utama LED dan lampu belakang LED sebagai ciri standard.
Untuk varian tertentu, Nissan menawarkan dua skrin 12.3 inci dan kawalan pendingin hawa jenis capacitive touch.
Lagi kelengkapan seperti kerusi Zero Gravity di hadapan dan belakang serta ruang kaki hadapan yang didakwa terbaik dalam kelasnya.
Model ini turut boleh dilengkapi pencahayaan suasana dengan 64 pilihan warna dan sistem audio premium Bose lapan pembesar suara.
Turut ditawarkan ProPILOT Assist untuk pemanduan dengan fungsi berhenti dan bergerak.
Pengecas Qi2
Satu lagi tambahan bagi Sentra 2027 ialah pengecas peranti tanpa wayar Qi2 yang tersedia sebagai pilihan.
Sistem ini menawarkan pengecasan lebih pantas dan konsisten serta serasi dengan lebih banyak peranti.
Ciri keselamatan standard
Sentra 2027 dilengkapi sistem brek kecemasan automatik dengan pengesanan pejalan kaki, amaran titik buta dan pencegahan titik buta.
Lagi kelengkapan standard seperti kawalan jelajah pintar, amaran trafik lintasan belakang dan pencegahan keluar lorong.
Selain itu, pelanggan ditawarkan amaran perlanggaran hadapan pintar, bantuan lampu tinggi automatik, pengecaman isyarat trafik dan sistem kamera pandangan sekeliling pintar.
Kecekapan bahan api
Untuk penggunaan petrol, Sentra S, SV dan SL mencatat anggaran EPA sehingga 30 mpg (12.8 km/l) bandar, 38 mpg (16.2 km/l) lebuh raya dan 33 mpg gabungan (14.0 km/l).
Sentra SR pula mencatat sehingga 29 mpg (12.3 km/l) bandar, 36 mpg (15.3 km/l) lebuh raya dan 32 mpg (13.6 km/l) gabungan.
Harga Nissan Sentra 2027
Nissan menawarkan Sentra dalam empat varian dengan harga seperti berikut:
- Sentra S – AS$22,890 (RM92,430)
- Sentra SV – AS$23,590 (RM95,256)
- Sentra SR – AS$24,990 (RM100,910)
- Sentra SL – AS$27,990 (RM113,024)
- Pakej Midnight Edition Sentra SR – AS$650 (RM2,625)


























