Arkib Kategori: BERITA

Atlantis Automobili dilantik sebagai pengimport & pengedar rasmi Maserati di Malaysia

Atlantis Automobili Sdn Bhd secara rasmi dilantik sebagai pengimport dan pengedar jenama Maserati di Malaysia berkuat kuasa 19 Mei 2026.

Syarikat bersekutu di bawah Atlantis Motor Group itu akan memikul tanggungjawab penuh operasi di Malaysia, merangkumi jualan, selepas jualan serta pengalaman pelanggan.

Menurut Dato’ Douglas Cheng Heng Lee, Pengarah Eksekutif Atlantis Automobili menjelaskan komitmen utama mereka adalah untuk pelanggan dan pemilik.

“Fokus segera kami adalah untuk memastikan pengalaman pemilikan yang lancar sambil memperkukuh asas jangka panjang Maserati di Malaysia,” ujarnya lagi.

Malaysia pasaran penting

Julie Taieb-Doutriaux, Ketua Maserati APAC menambah, “Malaysia merupakan pasaran penting dalam rangkaian Maserati Asia Pasific.

“Pelantikan Atlantis Automobili merupakan langkah signifikan dalam mengukuhkan komitmen jangka panjang kami kepada pelanggan di negara ini.

“Dengan kepakaran yang dimiliki Atlantis Automobili, kami yakin mereka akan terus mengangkat pengalaman Maserati untuk pemilik sedia ada dan bakal pelanggan di Malaysia,” katanya lagi.

Pemilik sedia ada tidak perlu risau

Pihak Atlantis Automobili turut menegaskan sokongan dan bantuan akan diteruskan sepanjang tempoh peralihan.

Pemilik sedia ada akan terus menerima sokongan selepas jualan dan khidmat pelanggan, dengan saluran komunikasi khusus turut disediakan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang, Atlantis Automobili sedang merancang siri pelaburan strategik dan penambahbaikan bagi memperkukuhkan kehadiran jenama Maserati di Malaysia.

Maklumat lanjut seperti fasiliti baharu, inisiatif pelanggan dan pembangunan masa depan akan diumumkan kelak.

Fasiliti jualan & servis sementara

Buat masa ini, pelanggan sedia ada boleh mendapatkan kemudahan jualan dan servis sementara di RS-G-02, Rhapsody Square, TREC 438, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Fasiliti servis dan selepas jualan sementara juga turut didapati di alamat 30, Jalan Pengacara U1/48, Kawasan Perindustrian Temasya, 40150 Shah Alam, Selangor

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi:
Hotline Khidmat Pelanggan: +603-2110 2660
Emel Khidmat Pelanggan: contact@atlantismotor.com.my
Laman web: https://www.maserati.com/my/

Isuzu D-Max 2.2L mulakan perjalanan keliling Semenanjung dengan satu tangki penuh

Isuzu Malaysia akan memulakan cabaran “One-Tank, One Nation Challenge”, iaitu melengkapkan perjalanan mengelilingi seluruh Semenanjung dengan satu tangki diesel.

Cabaran tersebut akan menggunakan sebuah trak pikap Isuzu D-Max 2.2 liter terbaharu.

Perjalanan akan bermula dari Pusat 3S Isuzu di Balakong, Selangor mengelilingi Semenanjung dan kembali semula ke Kuala Lumpur enam hari kemudian.

Perjalanan ini akan turut melibatkan kunjungan ke lokasi pengedar Isuzu di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan, Kedah dan Perak.

Kenichi Kudo, Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia berkata, “Kami percaya bahawa Isuzu D-MAX baharu dengan enjin 2.2 liter ini mempunyai kualiti dan kemampuan untuk mengharungi cabaran yang mencabar begini.

Duta jenama Isuzu, Baki Zainal akan mengemas kini perjalanan D-Max 2.2L di lokasi pengedar utama yang bakal disinggahi.

Peminat juga boleh berinteraksi dengan Baki dan kru yang terlibat, menikmati hadiah istimewa dan jamuan ringan di setiap lokasi yang dikunjungi.

Selain itu, rakyat Malaysia boleh meneka jarak perjalanan yang mampu dicapai oleh D-Max apabila ia kembali semula ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

Hadiah utama berupa baucar beli-belah bernilai RM5,000 menanti mereka yang berjaya meneka jarak tempuh paling hampir dengan bacaan akhir.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web ini:

https://pickuptruck.isuzu.net.my/d-max-onetank-onenation-2026/

Mitsubishi ASX VR-e: SUV EV untuk Australia dan New Zealand, dibekalkan oleh Foxtron

Mitsubishi Motors Corporation akan melancarkan Mitsubishi ASX VR-e di Australia dan New Zealand pada 2026.

ASX VR-e merupakan sebuah kenderaan elektrik bateri (BEV) yang dibekalkan kepada Mitsubishi Motors secara OEM oleh Foxtron Vehicle Technologies Co., Ltd.

Foxtron merupakan anak syarikat kepada Hon Hai Precision Industry Co., Ltd. (Foxconn).

ASX VR-e akan diperkenalkan dalam segmen SUV kecil di Australia dan New Zealand, di mana permintaan terhadap kenderaan elektrik bateri (BEV) terus berkembang, khususnya di kawasan bandar.

Model ini diposisikan sebagai pilihan baharu untuk pelanggan yang mencari teknologi canggih, prestasi pemanduan dan gaya tersendiri, selain menawarkan prestasi alam sekitar yang baik.

Mitsubishi ASX VR-e 2026 Bawa Nama Ikonik

Nama ASX diteruskan daripada model kompak SUV Mitsubishi yang membawa maksud Active Sports Crossover dan sudah lama digunakan di Australia serta New Zealand.

Sementara itu, nama VR-e mengambil inspirasi daripada Galant VR-4, sedan berprestasi tinggi ikonik Mitsubishi Motors.

Nama VR-e menggabungkan karakter sporti yang dikaitkan dengan warisan VR, huruf “e” yang merujuk kepada teknologi elektrifikasi serta ciri-ciri teknologi terkini.

Mitsubishi turut menekankan aspek pemanduan pada ASX VR-e.

Jurutera syarikat menjalankan ujian secara meluas di jalan raya tempatan dan menghasilkan talaan suspensi khusus untuk model ini.

Talaan tersebut bertujuan menghasilkan pengendalian yang responsif serta tahap cengkaman di jalan raya yang tinggi, selain membolehkan kenderaan bertindak balas dengan tepat terhadap input pemandu.

Mitsubishi menyifatkan ASX VR-e sebagai sebuah model yang menawarkan pengalaman pemanduan sporti dan menyeronokkan, selari dengan nama VR yang dibawanya.

Reka Bentuk Fokus Aerodinamik

Bahagian luaran ASX VR-e pula direka dengan penekanan terhadap prestasi aerodinamik.

Antara ciri utama ialah S-duct pada bahagian hadapan. Saluran ini mengarahkan aliran udara dari bahagian tengah bampar hadapan ke atas permukaan hud.

Mitsubishi turut memasang active grille shutters yang membantu mengurangkan seretan aerodinamik bergantung kepada keadaan pemanduan.

Reka bentuk ASX VR-e turut menggunakan corak jalur mendatar pada beberapa bahagian, termasuk lampu hadapan dan belakang, tiang C dan roda.

Elemen-elemen tersebut membentuk identiti reka bentuk yang lebih tersusun dan berorientasikan teknologi.

Fokus Mitsubishi Terhadap Elektrifikasi

Pengenalan ASX VR-e merupakan sebahagian daripada usaha Mitsubishi Motors untuk mengukuhkan barisan produknya di bawah Mid- to Long-Term Vision.

Mitsubishi memberi tumpuan kepada portfolio kenderaan off-road dan model strategik ASEAN, manakala dalam bidang elektrifikasi, syarikat memanfaatkan kerjasama dengan rakan-rakan dalam Perikatan bagi pembangunan EV.

Pada masa sama, Mitsubishi Motors memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi HEV dan PHEV miliknya sendiri.

Melalui pendekatan tersebut, Mitsubishi menyasarkan gabungan prestasi alam sekitar dengan karakter pemanduan yang menjadi identiti jenama berkenaan.

Mitsubishi berkata syarikat akan terus memperkukuh barisan produknya melalui kerjasama dengan Perikatan serta rakan-rakan lain, di samping mempercepatkan usaha elektrifikasi.

Buat masa ini, Mitsubishi Motors hanya mengumumkan bahawa ASX VR-e akan dilancarkan di Australia dan New Zealand pada 2026.

Maklumat seperti spesifikasi rangkaian kuasa, kapasiti bateri, jarak perjalanan, output kuasa dan harga tidak dinyatakan dalam pengumuman ini.

GWM Ora 5 HEV dipertontonkan di Malaysia, pelancaran tahun ini

Setelah debut di KLIMS 2026, GWM Malaysia sekali lagi mempertontonkan crossover baharu Ora 5 HEV yang bakal dilancarkan kelak.

Buat masa ini, tiada sebarang tarikh serta harga jualan anggaran didedahkan.

Sistem pacuan Hi2

Berbeza dengan Ora Good Cat EV, Ora 5 HEV dipacu oleh sistem Hi2 terdiri daripada:

  • enjin 1.5 liter turbo
  • motor elektrik
  • transmisi DHT dua-kelajuan
  • pek bateri 1.09 kWh

Kuasa keseluruhan 223 PS dan 476 Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat.

Kadar penggunaan bahan api pula serendah 4.4 liter/100 km, membolehkan kereta ini dipandu melebihi 1,100 km untuk setangki minyak penuh.

Dimensi

Crossover ini membawakan ukuran sepanjang 4,471 mm, lebar 1,833 mm, tinggi 1,641 mm dengan jarak antara roda 2,720 mm.

Berbanding Ora Good Cat, Ora 5 HEV ini mempunyai kelebihan 236 mm panjang, 58 mm lebih lebar, 45 mm lebih tinggi dan jarak antara roda 70 mm lebih panjang.

Biarpun dengan ukuran lebih besar, ruang kargo Ora 5 HEV hanyalah sebesar 272 liter sahaja.

Kelengkapan

Buat masa ini, pihak GWM Malaysia belum mendedahkan perincian spesifikasi bagi Ora 5 HEV.

Daripada unit pameran ini, kita dapat melihat ia membawakan elemen rekaan yang hampir sama dengan Ora Good Cat.

Selain itu, ia dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar Prinx XNEX Sport EV.

Tetapan suspensi terdiri daripada topang MacPherson di depan, diikuti tetapan multilink di belakang.

Ciri lain termasuklah lampu LED, lampu nyalaan siang, lampu belakang LED, serta padanan rel bumbung.

Ruang kabin pula menempatkan ciri seperti:

  • roda stereng dua jejari
  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 14.6 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W
  • upholsteri leatherette
  • port pengecasan USB Type-A dan Type-C
  • bumbung kaca panorama

Kymco Xciting VS 400 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia, harga dari RM27,988

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) secara rasmi melancarkan skuter terbaharu Kymco Xciting VS 400 2026 untuk pasaran tempatan.

Terdapat dua warna ditawarkan, iaitu Flat Black dan Cerulean Blue, dengan harga jualan bermula dari RM27,988.

Spesifikasi

Skuter maxi sport touring ini dipacu oleh enjin silinder tunggal 400 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 33.4 hp @ 7,250 rpm dan daya kilas 37.5 Nm @ 5,750 rpm.

Transmisi pula adalah jenis automatik CVT.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, dibantu dengan penyerap hentak berkembar di belakang dengan larasan pra-beban sebanyak 5-tahap.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:

  • lampu utama LED
  • skrin penghadang angin larasan 5-tahap
  • sistem operasi tanpa kunci
  • ruang storan bawah pelana 29 liter
  • tinggi pelana 805 mm
  • tangki bahan api 12.5 liter
  • skrin paparan digital LED

Ciri keselamatan pula terdiri daripada ABS dua-saluran dan sistem kawalan cengkaman.

Festival MotorManiac 2026 bakal berlangsung September ini

Festival MotorManiac kembali untuk edisi kelima tahun ini bertempat di Pusat Beli-belah MyTOWN, Kuala Lumpur.

Berlangsung pada 5 dan 6 September 2026, festival dua hari ini mengetengahkan budaya automotif, sukan permotoran dan hiburan secara langsung.

Antaranya tarikan menarik termasuklah:

  • pameran kenderaan ubah suai
  • persembahan langsung oleh DJ dan artis undangan
  • Astra Cup 2-Step Championship dan

Pengunjung juga berpeluang untuk mendapatkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah Nissan Cefiro A31.

Tiket masuk kini boleh didapati menerusi kedai rasmi Motormaniac di LazMall, di mana Lazada Malaysia merupakan salah satu penaja utama festival ini.

Harga tiket adalah seperti berikut:

  • Pas satu hari: RM30
  • Pas dua hari: RM50, sah untuk kemasukan pada kedua-dua hari
  • Kemasukan percuma: Kanak-kanak yang berumur kurang daripada 12 tahun dan orang kurang upaya (OKU)

Pembelian tiket hanya boleh dibuat menerusi aplikasi Lazada pada telefon mudah alih, dan tiada bayaran balik akan diberikan bagi tiket yang telah dibeli.

 

Penganjur RXZ Members bertemu JPJ, jadual perjalanan dan penutupan sementara LPT antara cadangan penambahbaikan

Penganjur RXZ Members dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengadakan sesi libat urus bagi membincangkan penambahbaikan untuk penganjuran acara tersebut pada masa akan datang.

Dalam sesi berkenaan, aspek keselamatan menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian, dengan penganjur menyatakan komitmen untuk memastikan tiada lagi kemalangan maut berlaku pada penganjuran akan datang.

RXZ Members mahu penganjuran lebih selamat

Menerusi perkongsian di media sosial, RXZ Members memaklumkan sesi libat urus akan diteruskan bagi memastikan acara akan datang dapat dianjurkan dengan lebih teratur dan profesional.

Kempen keselamatan jalan raya juga akan dijalankan secara berterusan, selain menggalakkan peserta mengamalkan budaya menunggang yang lebih matang dan bertanggungjawab.

Jadual perjalanan peserta akan disediakan

Antara cadangan yang dibincangkan ialah penyediaan Time Travel Advisory (TTA) atau jadual perjalanan bagi membantu peserta merancang perjalanan ke RXZ Members serta melancarkan pergerakan mereka.

LPT mungkin ditutup sementara

Penganjur turut mencadangkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ditutup sementara bagi memberi laluan kepada peserta RXZ Members.

Bagaimanapun, cadangan tersebut masih di peringkat perbincangan dan akan dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada penambahbaikan untuk penganjuran akan datang.

Pendaftaran dalam talian diwajibkan

Sebelum ini, JPJ mengarahkan penganjur menyediakan platform pendaftaran dalam talian bersyarat bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang diberi keutamaan.

Peserta perlu mengesahkan lesen memandu, LKM dan insurans yang sah, selain memuat naik empat gambar motosikal dari pandangan hadapan, belakang, kiri dan kanan.

Bukan China, tetapi Thailand jadi pasaran pertama Geely Starray EM-R 2026

Geely telah melancarkan Starray EM-R di pasaran Thailand, yang menjadi negara pertama model REEV itu dipasarkan.

Apa beza Starray EM-R dengan e.Mas 7 PHEV?

Apakah itu EM-R? Secara asasnya, Starray EM-R merupakan versi Range Extended Electric Vehicle (REEV) bagi Starray EM-i, model yang menjadi asas kepada Proton e.Mas 7 PHEV yang dijual di Malaysia.

Di bawah bonet, terdapat enjin petrol 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan 99 PS dan 125 Nm. Namun, berbeza dengan e.Mas 7 PHEV, enjin ini tidak digunakan untuk menggerakkan roda secara terus.

Sebaliknya, ia bertindak sebagai penjana untuk membekalkan tenaga elektrik kepada bateri LFP 18.4 kWj. Tenaga tersebut kemudiannya akan digunakan menguasakan motor elektrik yang terletak pada gandar hadapan.

Motor elektrik 218 PS, jarak EV 104.8 km

Dengan kuasa mencecah 218 PS dan 262 Nm daripada motor elektrik berkenaan, Starray EM-R mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.0 saat, manakala kelajuan maksimum pula mencecah 170 km/j.

Bateri tersebut menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW dan DC sehingga 30 kW. Geely mendakwa pengecasan DC daripada 30% hingga 80% hanya mengambil masa sekitar 20 minit.

Menariknya, selain jarak elektrik sejauh kira-kira 104.8 km (NEDC), Starray EM-R turut dilaporkan mencatat penggunaan bahan api sehingga 22.2 km/l. Bagaimanapun, angka jarak keseluruhan bagi satu tangki minyak dan bateri penuh belum didedahkan secara rasmi.

Dua varian ditawarkan, harga dari RM86,200

Di Thailand, Starray EM-R ditawarkan dalam varian Pro dan Max. Beza antara kedua-dua varian ini terletak pada kelengkapan, dengan Max mendapat ciri-ciri tambahan seperti rim 19 inci, pelarasan elektrik pada kerusi hadapan, paparan head-up (HUD), kamera 360 darjah dan pintu but berkuasa elektrik.

Harga bermula dari 729,900 baht (RM89,900) untuk varian Pro dan 799,900 baht untuk Max (RM98,500). Walau bagaimanapun, bersempena pelancaran ini, Pro boleh didapati pada harga promosi 699,900 baht (RM86,200) bagi 300 unit pertama.

Mercedes-Benz CLA 250+ 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM275 ribu

Setelah dipertontonkan awal tahun yang lalu, Mercedes-Benz Malaysia akhirnya rasmi melancarkan sedan CLA 250+ 2026.

Sedan elektrik serba baharu ini dijual pada harga dari RM274,888 atas jalan tanpa insurans.

100 orang pelanggan pertama yang menempah CLA atau GLC elektrik baharu akan menerima jemputan eksklusif ke Mercedes-AMG F1 Party.

Unit pacuan

CLA 250+ hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal pacuan belakang, menghasilkan kuasa 272 hp dan daya kilas 335 Nm.

Dengan padanan transmisi automatik 2-kelajuan, CLA 250+ boleh memecut sepantas 6.7 saat dari 0-100 km/j dan mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.

Bateri & pengecasan

Dengan bateri NMC 85 kWh, CLA 250+ mampu bergerak sejauh 792 km untuk sekali cas penuh (data WLTP).

Dengan senibina elektrik 800-voltan dan keupayaan pengecasan DC 320 kW, pemilik CLA boleh menambah jarak sehingga 325 km dalam masa 10 minit sahaja.

Dimensi

Sebagai sebuah sedan kompak, CLA membawakan ukuran sepanjang 4,723 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,468 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,790 mm.

Berbanding generasi terdahulu, CLA baharu ini lebih panjang 35 mm, lebih lebar 25 mm, dan menawarkan ruang kabin yang lebih luas.

Buat pertama kalinya sebuah Mercedes menawarkan ruang kargo hadapan (frunk) sebesar 101 liter sebagai pelengkap kepada ruang kargo belakang 405 liter.

Luaran

Daripada segi rekaan luaran, penampilan CLA tampak sporti disumbangkan oleh ciri seperti jarak overhang yang pendek, rekaan belakang GT serta jarak antara roda yang panjang.

Bahagian depan mempunyai panel jeriji yang dihiasi dengan 142 LED bintang tiga bucu yang bercahaya.

Elemen bintang Mercedes itu juga boleh didapati pada unit lampu utama depan dan belakang.

Tidak ketinggalan, kemasan luaran AMG Line yang membawakan bampar depan dan belakang yang agresif, diikuti rim AMG 19 inci.

Kabin

Ruang kabin CLA pula dihiasi dengan skrin paparan lebar MBUX Superscreen yang terdiri daripada skrin kluster digital 10.25 inci dan dua skrin sebesar 14 inci.

Terdapat sokongan terhadap Apple CarPlay dan Android Auto disertakan.

Sistem operasi MB.OS turut menawarkan ciri kepintaran buatan (AI) yang menggunakan sokongan ChatGTP dan Microsoft Bing, serta Google Gemini untuk persoalan berkaitan sistem navigasi.

Ciri lain termasuklah:

  • roda stereng sport balutan kulit Nappa
  • tempat duduk sports AMG Line balutan kulit Artico/mikrofiber Microcut
  • sistem pencahayaan ambien
  • trim Anthracite
  • kamera swafoto dan video

Keselamatan

Ciri keselamatan terdiri daripada lapan beg udara (termasuklah beg udara tengah), sistem pemantauan tekanan tayar, serta kelengkapan MB.Drive Standard yang merangkumi fungsi seperti:

  • brek kecemasan autonomi
  • kawalan jelajah adaptif Distronic
  • bantuan pengekalan lorong
  • sistem pemantauan titik buta

MB.Charge Public

MBM turut mengumumkan kemudahan pengecasan MB.Charge Public merentasi sempadan Malaysia dan Singapura.

Ia menawarkan pemilik akses kepada 10,000 titik pengecasan yang disediakan oleh penyedia titik pengecasan (CPO) termasuklah:

  • CarputZap
  • Charge+
  • ChargeSini
  • chargEV
  • DC Handal
  • Gentari
  • JomCharge
  • ComfortDelGro Energy (Singapura)
  • SP Group (Singapura)
  • Volt (Singapura)

Nissan Kicks Rock Creek 2027, varian Kicks lebih lasak, bukan versi tempatan

Nissan memperkenalkan Nissan Kicks Rock Creek 2027, varian baharu yang tampil dengan imej lebih lasak dan dibangunkan daripada Kicks SV

Model ini hadir dalam siri Rock Creek yang terdiri daripada Rogue dan Pathfinder.

Selain perubahan kosmetik, ia turut menerima beberapa penambahbaikan dari aspek keupayaan pemanduan di laluan off-road.

Nissan Kicks yang dijual di Amerika Syarikat dan beberapa pasaran lain berbeza sepenuhnya daripada Kicks yang dipasarkan di Malaysia dan Thailand.

Di Thailand, Nissan masih mengekalkan model generasi terdahulu yang menerima model rupa baharu pada Mac 2026.

Model itu berkait rapat dengan Nissan Kait untuk pasaran Brazil yang dijual bersama Kicks generasi baharu.

Nissan Kicks 2027 dijadual memasuki pasaran Amerika Syarikat pada penghujung musim panas tahun ini (sekitar Ogos hingga September).

Rekaan lebih lasak dengan identiti Rock Creek

Kicks Rock Creek tampil dengan ciri lebih lasak seperti siri lain. Di antara ciri istimewa ialah:

  • Gril hadapan eksklusif Rock Creek
  • Rim aloi 17 inci rekaan khas
  • Kemasan hitam berkilat pada cermin sisi, bampar bawah depan dan belakang serta kemasan badan
  • Lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu aksen berwarna ambar
  • Rel bumbung lengkap dengan palang silang (cross bars)

Di ruang kabin, SUV ini menggunakan kerusi TailorFit jahitan khas, stereng berbalut TailorFit dengan fungsi pemanas, alas kaki Rock Creek dan lampu suasana.

Selain itu, pakej ini turut menambah beberapa kelengkapan berbanding Kicks SV biasa seperti:

  • Kerusi hadapan dengan pemanas
  • Cermin sisi dengan pemanas
  • Saluran pendingin hawa untuk penumpang belakang
  • Pembrekan Belakang Automatik
  • HD Intelligent Around View Monitor

Lebih yakin di laluan off-road

Selain penampilan yang lebih agresif, Kicks Rock Creek turut menerima Mod Off-Road eksklusif.

Mod ini membolehkan sedikit gelinciran roda bagi membantu mengekalkan momentum ketika melalui permukaan seperti:

  • Batu kerikil
  • Pasir
  • Salji
  • Laluan tanah

Turut disediakan ialah sistem Kawalan Penurunan Curam yang membantu mengekalkan kelajuan ketika menuruni cerun di permukaan longgar.

Rel bumbung pula mampu membawa muatan sehingga 74.8 kg, sesuai untuk membawa kayak, basikal atau kelengkapan aktiviti luar.

Enjin 2.0 liter dengan pilihan FWD atau AWD

Semua varian Kicks 2027 menggunakan enjin petrol 2.0 liter MR20DD empat silinder yang menghasilkan 141 hp pada 6,000 rpm dan 190 Nm pada 4,000 rpm.

Pelanggan boleh memilih sama ada pacuan roda hadapan (FWD) atau Intelligent AWD, bergantung kepada varian.

Pakej Rock Creek pula hanya ditawarkan bersama sistem Intelligent AWD sebagai ciri standard.

Teknologi dan keselamatan

Kesemua Nissan Kicks 2027 hadir standard dengan skrin sentuh 12.3 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Bergantung kepada varian, pembeli turut boleh mendapatkan:

  • Paparan meter digital 12.3 inci
  • Sistem audio Bose Personal Plus 10 pembesar suara
  • Pengecas telefon tanpa wayar
  • Bumbung panoramik
  • Remote Engine Start
  • ProPILOT Assist

Dari aspek keselamatan, model ini menawarkan Nissan Safety Shield 360 yang merangkumi:

  • Brek Kecemasan Automatik dengan Pengesan Pejalan Kaki
  • Amaran Titik Buta
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang
  • Amaran Keluar Lorong
  • Kawalan Jelajah Pintar
  • Bantuan Lampu Tinggi
  • Sistem Kepekaan Pemandu Pintar
  • Amaran Pintu Belakang

Ruang kargo sehingga 1,699 liter

Nissan turut mengekalkan kelebihan praktikal Kicks menerusi ruang simpanan yang besar.

Ruang kargo menawarkan 849 liter atau 1,699 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Harga Nissan Kicks 2027 di Amerika Syarikat

Berikut harga rasmi (tidak termasuk caj penghantaran AS$1,545 (RM6,312):

  • Kicks S FWD: AS$22,790 (RM93,132)
  • Kicks SV FWD: AS$24,490 (RM100,079)
  • Kicks SR FWD: AS$26,990 (RM110,294)
  • Kicks S AWD: AS$24,290 (RM99,262)
  • Kicks SV AWD: AS$26,490 (RM108,251)
  • Kicks Rock Creek AWD: AS$28,840 (RM117,855)
  • Kicks SR AWD: AS$28,790 (RM117,651)

Kredit gambar: Nissan

Volvo Car Malaysia sebagai Rakan Selamat AJL40

Volvo Car Malaysia mengumumkan kerjasama dengan TV3 untuk Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-40.

Sebagai rakan pengangkutan rasmi atau ‘Rakan Selamat’, Volvo membawakan falsafah keselamatan dan ketenangan fikirannya ke pentas muzik terbesar negara.

Taja pergerakan artis popular

Volvo sebelum ini menaja pergerakan artis sepanjang siri jelajah promosi AJL40 di seluruh negara sekitar Julai dan Ogos lalu.

Menjelang malam kemuncak, barisan kenderaan premium Volvo termasuk sedan ES90, SUV XC90 dan XC60 serta SUV elektrik EC40 dan EX30 bakal mengiringi barisan hebat 10 finalis utama.

Kerjasama bersejarah bersama AJL40 ini membuka ruang bermakna untuk Volvo mendekatkan visi kemanusiaan ke hati seluruh rakyat Malaysia.

Ia juga merupakan susulan kepada kempen bertema Selamat yang dilancarkan sejak awal Januari lalu.

Selain itu, Volvo Car Malaysia turut memperkenalkan inisiatif Kalkulator Selamat yang dibangunkan hasil kerjasama dengan Mr Money TV.

Volvo sebagai Rakan Selamat

Patricia Yaw, Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Car Malaysia berkongsi: “Falsafah Selamat kami bermaksud melindungi apa yang paling berharga dan menyediakan ruang yang menenangkan minda.

“Sebagai ‘Rakan Selamat‘, kami mahu menghadiahkan bakat-bakat terbaik Malaysia ini satu momen keyakinan yang tenang dan bersahaja di dalam kenderaan kami.

“Pada masa sama, kolaborasi ini memberi peluang kepada kami untuk mengalu-alukan lebih ramai keluarga merasai sendiri kemewahan dan keselamatan tanpa kompromi yang menjadi identiti Volvo.”

Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios mengalu-alukan kesudian Volvo untuk bekerjasama dengan AJL40.

“Kehadiran jenama seperti Volvo yang sentiasa memperjuangkan nilai keselamatan dan kekeluargaan sejajar dengan visi kami, sekali gus menyuntik nilai yang sangat besar pada sambutan bersejarah ini,” jelasnya lagi.

Inokom bangunkan kemudahan pengecatan baharu bernilai RM300 juta

Inokom Corporation Sdn Bhd melancarkan kemudahan pengecatan baharu (Paint Shop 3 atau PS3) di kilang Kulim.

Dengan nilai kira-kira RM300 juta, PS3 merupakan antara pelaburan pemasangan automotif terbesar Sime Darby Berhad setakat ini.

Pelaburan ini bertujuan meletakkan Inokom sebagai rakan pemasangan pilihan bagi ekosistem automotif tempatan dan serantau, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing.

Pembangunan PS3 turut mendapat kerjasama rapat daripada pasukan sokongan teknikal Mazda yang menyediakan pemindahan pengetahuan, latihan dan bimbingan teknikal.

Tingkat kapasiti pengeluaran

Kemudahan ini direka untuk menyokong pengeluaran sehingga 50,000 badan kenderaan bercat setahun berdasarkan operasi dua syif dan kadar 15 unit sejam.

Selain itu, ia juga mempunyai keupayaan mengecat komponen plastik.

Dengan penambahan PS3, jumlah kapasiti gabungan kemudahan pengecatan Inokom kini meningkat kepada 100,000 unit setahun.

Kemudahan ini turut menyokong pelbagai model kenderaan dan fleksibiliti untuk meningkatkan jumlah pengeluaran serta memenuhi keperluan masa depan.

Keupayaan automasi

Antara kelengkapan yang wujud pada fasiliti PS3 ini termasuklah:

  • 32 robot pengecat dan pengedap
  • sistem penukaran warna Cartridge Bell (CBS) automatik
  • sistem pra-rawatan dan elektro-pemendapan (PTED) automatik
  • sistem penghantaran bersepadu

Sistem CBS mampu melakukan penukaran warna dalam tempoh masa kurang 10 saat dan menyokong sehingga 27 variasi warna, bertujuan untuk mengurangkan masa henti operasi dan mengurangkan pembaziran.

PS3 turut mengguna pakai proses pengecatan tiga lapisan satu pembakaran (three-coat, one-bake) yang lebih cekap tenaga dan mampu memendekkan masa tanpa menjejaskan kualiti.

Dari segi kelestarian alam sekitar, PS3 menggunakan pendekatan berikut:

  • sistem Regenerative Thermal Oxidiser (RTO) yang mampu mengurangkan pelepasan CO2 sehingga 60%
  • sistem penapisan dry scrubber untuk mengurangkan keperluan penggunaan air dalam operasi bilik semburan cat
  • penggunaan cat berasaskan air yang lebih mesra alam

BMW Malaysia & UM dirikan stesen pengecasan peranti pintar guna bateri EV terpakai

BMW Group Malaysia dan University Malaya (UM) mendirikan stesen pengecasan telefon pintar berkuasa solar menggunakan bateri EV terpakai.

Ini merupakan aplikasi dunia sebenar pertama disiapkan di bawah inisiatif penyelidikan RE:GENERATE x University Malaya.

Reka bentuk projek ini dihasilkan oleh Profesor Madya Dr. Tan Chia Kwang bersama pasukan penyelidik dan pelajar PhD beliau di UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC).

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

Komponen sistem

Ia terdiri daripada pek bateri EV dan panel solar yang digunakan semula (hayat kedua), disokong oleh:

  • pengawal pengecas solar
  • penyongsang fotovoltaik
  • sistem pengurusan bateri (BMS)
  • pengecas pantas USB

Penyimpanan tenaga

Sistem 1.5 kWh ini terdiri daripada tiga modul bateri BMW, setiap satu berusia kira-kira 10 tahun.

Pasukan Dr. Tan melakukan ujian penilaian dan pengubahsuaian dengan teliti bagi memulihkan 30-40% daripada kapasiti asal bateri.

Port pengecasan

Stesen ini mempunyai empat port pengecasan, terdiri daripada tiga port USB Type-C dan satu port Lightning.

Gabungan output ialah 200W, dengan maksimum 100W bagi setiap satu port.

Jangka hayat

Sistem ini dijangka kekal beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun, mengambil kira perkara berikut:

  • keadaan semasa bateri
  • jangkaan penggunaan dan nyahcas
  • corak penggunaan sebenar

Untuk makluman, stesen pengecasan ini menggunakan pek bateri EV berkapasiti rendah yang sesuai untuk keperluan pengecasan yang lebih ringan.

Sementara pek bateri berkapasiti lebih besar pula lebih sesuai digunakan untuk pemasangan akses elektrik luar grid, seperti di Pos Sinderut, Kuala Lipis, Pahang.

Setelah bateri tersebut tamat hayat keduanya, pasukan Dr. Tan merancang untuk menggunakan semula bateri tersebut dalam projek stesen pengecasan telefon pintar hayat ketiga.

Ia bagi melengkapkan kitaran hayat bateri tiga peringkat sepenuhnya, daripada EV kepada kediaman luar bandar dan seterusnya kepada pengecas awam.

 

Volkswagen Tayron R-Line 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM237,490

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan harga jualan rasmi bagi SUV VW Tayron R-Line 2026, bermula dari RM237,490.

Dengan Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) merangkumi penyelenggaraan percuma serta bantuan tepi jalan 5-tahun, harganya ialah RM250,074.

Spesifikasi

Tayron R-Line dipacu enjin 2.0 liter TSI berkuasa 265 PS dan 400 Nm, dipadankan dengan transmisi DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4MOTION.

Selain itu, ia turut hadir dengan sistem kawalan casis dinamik (DCC Pro) yang mampu melaras suspensi secara automatik mengikut perubahan keadaan jalan.

Kelengkapan

SUV ini membawakan imej R-Line yang lebih sporti, dimulakan dengan bampar depan, belakang, serta profil sisi yang menampilkan rim 20 inci.

Selain itu, terdapat juga lampu utama IQ.Light HD Matrix, logo Volkswagen bercahaya, serta lampu belakang 3D LED dengan lampu isyarat membelok dinamik.

Tempat duduk hadapan hadir dengan upholsteri kulit Varenna ergoActive Plus serta fungsi berikut:

  • larasan kuasa 12-tahap
  • pemanas
  • pengudaraan
  • urutan penumatik

Antara kelengkapan lain dalam ruang kabin termasuklah:

  • skrin Digital Cockpit Pro 10.25 inci
  • skrin infohibur Discover Pro Max 15 inci
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar
  • bantuan suara IDA Volkswagen
  • skrin paparan head-up
  • sistem audio Harman Kardon 700W dengan 10+1 pembesar suara
  • tempat duduk baris kedua nisbah 40:20:40
  • tempat duduk baris ketiga nisbah 50:50
  • ruang kargo sebesar 1,905 liter

Keselamatan

Tayron R-Line membawakan ciri keselamatan standard seperti sembilan beg udara, serta sistem bantuan IQ.Drive dengan ciri seperti:

  • kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • bantuan sisi penukaran lorong
  • amaran lintasan trafik belakang
  • amaran keluar
  • Park Assist Plus dengan Park Distance Control
  • Sistem Pemantauan Tumpuan Pemandu

Perodua Traz Juara Julai 2026, Ativa atasi Proton X50 dengan 6 unit!

Persaingan tiga segi dalam segmen SUV kompak pasaran tempatan menyajikan kejutan baharu bagi pendaftaran bulan Julai 2026.

Selepas terkeluar daripada kelompok 10 teratas pada separuh pertama tahun ini (1H 2026), Perodua Ativa kembali bangkit dengan penuh bergaya.

Bersama Perodua Traz, kedua-dua model kompak itu akhirnya berjaya memintas kedudukan bulanan Proton X50.

Berdasarkan data pendaftaran daripada portal data.gov.my setakat 31 Julai 2026, bulan Julai menyaksikan corak penguasaan baharu yang memihak kepada Perodua.

Pendaftaran Julai: Traz Juara Bulanan, Ativa Dipisahkan 6 Unit Dengan X50

Perodua Traz merekodkan angka pendaftaran tertinggi antara ketiga-tiga model ini, manakala Proton X50 yang biasanya mendominasi takhta bulanan mengalami sedikit penurunan.

Berikut adalah angka pendaftaran rasmi bagi bulan Julai 2026:

  • Perodua Traz: 2,244 unit (Jun: 1,904 unit)
  • Perodua Ativa: 1,959 unit (Jun: 1,834 unit)
  • Proton X50: 1,953 unit (Jun: 2,016 unit)

Peningkatan pendaftaran Traz kepada 2,244 unit membolehkannya muncul sebagai SUV kompak paling banyak didaftarkan bagi bulan Julai.

Lebih menarik, Ativa yang dipacu enjin 1.0L turbo turut membuktikan kejaguhannya apabila memintas X50 dengan perbezaan yang sangat tipis, iaitu 6 unit sahaja.

Kedudukan YTD: X50 Kekal Raja Individu, Duo Perodua Pegang Dominasi Keseluruhan

Meskipun tewas dalam persaingan bulanan Julai, Proton X50 masih lagi mempertahankan kelebihan dalam carta pendaftaran terkumpul (YTD) hasil momentum kukuh pada awal tahun.

Berikut adalah pencapaian terkumpul sehingga 31 Julai 2026:

  • Proton X50 (No. 6 YTD): 15,599 unit
  • Perodua Traz (No. 10 YTD): 12,997 unit
  • Perodua Ativa (Luar Top 10 YTD): 12,069 unit

 

Namun, dari sudut strategi perniagaan, gabungan pendaftaran duo SUV kompak Perodua kini sudah pun mencecah 25,066 unit (YTD).

Angka keseluruhan ini menyerlahkan cengkaman kukuh Perodua dalam menguasai pasaran SUV kompak secara keseluruhan.

Proton Bangkit Dengan Saga Cross?

Dengan baki lima bulan menuju penghujung tahun 2026, mampukah X50 bangkit semula memintas pendaftaran bulanan Traz dan Ativa, atau adakah duo Perodua bakal berterusan sehingga penutup suku ketiga?

Jawapannya terletak pada model baharu Proton yang kerap disebut sebagai Saga Cross. Persaingan pasaran SUV tempatan kini semakin hangat untuk disaksikan!

Sumber Data: data.gov.my

Marc Philipp Gemballa Marsien GT 2027 – Jentera GT 830hp dari Porsche 911 Turbo S, hanya 30 Unit

Selepas berjaya dengan Marsien dan menyerahkannya kepada pelanggan di lebih 16 negara, Marc Philipp Gemballa kini tampil mempersembahkan Marsien GT.

Evolusi terbaru ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan jalan raya.

Dibangunkan sebagai model kedua dalam portfolio syarikat, Marsien GT mengekalkan falsafah eksklusif menerusi pengeluaran terhad iaitu hanya 30 unit di seluruh dunia.

Bersama 40 unit Marsien asal, jumlah keseluruhan siri Marsien dihadkan kepada 70 buah, sebagai penghormatan ulang tahun ke-70 tokoh automotif, Uwe Gemballa.

Marc Philipp Gemballa merupakan anak kepada mendiang Uwe Gemballa.

Marsien GT akan membuat kemunculan sulung di Monterey Car Week 2026.

Pengeluaran dijadualkan bermula pada 2027 dengan penghantaran pertama kepada pelanggan pada penghujung tahun.

Evolusi Daripada Off-Road Kepada Grand Touring

Marsien asal diinspirasikan oleh era rali Paris-Dakar dengan keupayaan pemanduan di laluan berturap mahupun off-road.

Bagi Marsien GT pula, ia dibangunkan sebagai sebuah grand tourer (GT) berprestasi tinggi yang mengutamakan pengendalian di atas jalan raya.

Walaupun masih menggunakan platform Marsien yang dihomologasikan sepenuhnya, keseluruhan talaan casis, aerodinamik dan suspensi telah direka semula.

Penambahbaikan ini menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih tajam, stabil serta sesuai digunakan setiap hari.

Hampir 1,500 Komponen Baharu

Asas kepada Marsien GT ialah Porsche 911 Turbo S (992) sebelum menjalani proses transformasi menyeluruh.

Menurut Marc Philipp Gemballa, sekitar 1,500 komponen baharu direka dan dihasilkan khusus untuk model ini, termasuk:

  • Panel badan gentian karbon
  • Suspensi double–wishbone khas
  • Sistem ekzos titanium
  • Lampu belakang
  • Pendawaian
  • Sistem aerodinamik
  • Casis
  • Kemasan dalaman
  • Pelbagai komponen mekanikal lain

Keseluruhan proses pembangunan mengambil masa ribuan jam kejuruteraan bagi menghasilkan sebuah kereta koleksi yang benar-benar berbeza daripada model asas Porsche.

Lebih 100 Panel Gentian Karbon, Berat Berkurang 75kg

Bahagian luaran menggunakan lebih 100 komponen gentian karbon, termasuk:

  • Panel badan
  • Saluran udara
  • Pelapik ruang roda
  • Cermin sisi
  • Panel belakang yang memanjang dari tiang-A hingga ke sayap belakang

Rekaan baharu turut memperkenalkan pelbagai elemen aerodinamik aktif seperti:

  • Liang fender hadapan aktif (Active front fender louvres)
  • Sayap belakang aktif (Active rear wing)
  • Skup bumbung (Roof scoop)
  • Saluran kemasukan udara (Ram air intake)
  • Saluran udara pada skirt sisi
  • Bahagian bawah badan gentian karbon sepenuhnya

Hasilnya, berat keseluruhan berjaya dikurangkan sebanyak 75kg berbanding Porsche 911 Turbo S standard.

Reka bentuk luaran sekali lagi dihasilkan oleh Alan Derosier, individu yang turut bertanggungjawab menghasilkan rekaan Marsien pertama.

Aerodinamik Aktif Dengan Sistem Pneumatik

Marsien GT menerima sistem aerodinamik aktif serba baharu yang dikendalikan menggunakan tekanan udara pneumatik.

Liang pada fender hadapan membantu melepaskan udara bertekanan tinggi daripada ruang roda bagi mengurangkan daya angkat gandar hadapan serta pergolakan udara.

Di belakang, sayap aktif dipasang pada sudut yang lebih agresif untuk meningkatkan daya mendap dan kestabilan pada kelajuan tinggi, selain turut berfungsi sebagai brek udara ketika membrek kuat.

Skup bumbung pula menyalurkan udara bersih terus ke intercooler, manakala saluran saluran kemasukan udara membekalkan udara kepada sistem kemasukan enjin.

Bukaan udara pada skirt sisi pula membantu menyejukkan brek belakang.

Suspensi Baharu Bersama KW Automotive

Berbeza dengan Marsien yang direka untuk pelbagai permukaan jalan, Marsien GT menggunakan sistem suspensi yang ditala khusus untuk prestasi di jalan raya.

Pembangunan bersama KW Automotive menghasilkan suspensi hadapan double wishbone, yang dipadankan dengan penyerap hentak elektronik berasaskan teknologi KW DDC V5.

Sistem itu mampu melaras daya mampatan dan lantunan secara bebas dalam tempoh hanya 20 milisaat, membolehkan kereta menyesuaikan diri dengan keadaan jalan secara masa nyata.

Turut disediakan ialah sistem front axle lift yang boleh menaikkan bahagian hadapan sebanyak 60mm untuk melepasi bonggol atau laluan curam.

Dalam keadaan biasa, Marsien GT mempunyai kelegaan tanah 100mm.

Pemandu juga boleh memilih beberapa mod pemanduan yang akan melaras talaan enjin, transmisi dan suspensi secara automatik.

Kereta ini dipasang dengan rim tempa enam jejari bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, dipadankan bersama tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Enjin RUF Lebih 830hp

Seperti Marsien terdahulu, pembangunan enjin diteruskan bersama pakar Porsche terkenal, RUF Automobile.

Enjin enam silinder boxer pengecas turbo berkembar menerima turbo VTG lebih besar, talaan ECU baharu dan penentukuran transmisi khusus

Hasilnya, kuasa meningkat kepada lebih 830hp dengan tork maksimum 930Nm.

Marc Philipp Gemballa turut mengesahkan satu lagi pakej naik taraf sedang dibangunkan yang bakal menghasilkan lebih 900hp.

Menurut spesifikasi rasmi, Marsien GT mampu mencapai 0-100 km/j dalam sekitar 2.4 saat dan kelajuan maksimum mencecah 330 km/j

Ekzos Titanium Akrapovič

Sistem ekzos menggunakan rekaan empat muncung baharu yang dihasilkan sepenuhnya daripada titanium oleh Akrapovič.

Selain mengurangkan berat, ia turut memberikan karakter bunyi yang lebih agresif dan melengkapkan prestasi enjin yang dibangunkan oleh RUF.

Kabin Lebih Mewah dan Lebih Analog

Ruang dalaman menampilkan konsol tengah yang lebih tinggi bersama tuil gear aluminium yang diinspirasikan daripada Carrera GT untuk pengalaman pemanduan yang lebih mekanikal.

Pelanggan turut boleh memilih tombol gear daripada gentian karbon terdedah, kayu mahogani, kulit atau alcantara.

Antara pilihan lain termasuk:

  • Pakej gentian karbon dalaman
  • Rangka keselamatan (roll bar) Clubsport
  • Kemasan kulit atau Alcantara mengikut tempahan
  • Plat nombor pengeluaran individu pada konsol tengah

Model pelancaran menggunakan kombinasi Alcantara kelabu gelap, tempat duduk bucket gentian karbon serta riasan gentian karbon kemasan kusam.

Harga Bermula Sekitar RM3.88 Juta (Tidak Termasuk Porsche)

Marsien GT dihadkan kepada hanya 30 unit dengan harga bermula €770,000 (RM3.88 juta) tidak termasuk harga Porsche 911 Turbo S, cukai, duti import dan kos penghantaran.

Pengeluaran akan bermula pada 2027, manakala penghantaran pertama dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun yang sama.

Spesifikasi Ringkas Marc Philipp Gemballa Marsien GT

  • Model Asas: Porsche 911 Turbo / Turbo S (992)
  • Enjin: 3.8L enam silinder boxer twin-turbo (RUF)
  • Kuasa Maksimum: Lebih 830hp (pilihan 900hp+)
  • Tork Maksimum: 930Nm
  • Sistem Pacuan: Semua roda (AWD)
  • Pecutan (0-100 km/j): 2.4 saat
  • Kelajuan Maksimum: 330 km/j
  • Sistem Suspensi: Double wishbone (hadapan), pelbagai pautan (belakang)
  • Penyerap Hentak: KW DDC V5 elektronik
  • Sistem Ekzos: Titanium empat muncung Akrapovič
  • Saiz Rim: 20 inci (hadapan) / 21 inci (belakang)
  • Pilihan Tayar: Michelin Pilot Sport Cup 2
  • Bahan Badan: Gentian karbon penuh dengan aerodinamik aktif
  • Pengurangan Berat: 75kg lebih ringan berbanding Porsche 911 Turbo S

Tesla Supercharger V4 kini dibuka di Queensbay Mall, Pulau Pinang

Tesla Malaysia mengumumkan pembukaan stesen pengecasan Tesla Supercharger V4 terbaharu di Queensbay Mall, Pulau Pinang.

Terdapat empat nozel pengecas dengan keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 250 kW, membolehkan Model 3 dan Model Y menambah jarak 311 km dalam masa 15 minit.

Ia turut menyokong fungsi Plug & Charge menerusi aplikasi Tesla.

Sehingga kini, Tesla mengoperasikan 20 stesen Supercharger (88 pengecas Supercharger) dan 18 lokasi pengecas destinasi (76 pengecas) di seluruh Malaysia.

Promosi Merdeka

Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan, Tesla Malaysia menawarkan pakej pengecas dinding percuma atau kredit Supercharger sehingga 3,000 km untuk tempoh terhad.

Untuk makluman, Tesla Model 3 dijual pada harga dari RM149,000 sementara Model Y pula dari RM198,000.

Pelanggan Model Y (khas untuk varian Premium RWD) juga boleh menikmati insentif tambahan berupa:

  • rebat tukar-beli RM13,000
  • program faedah pembiayaan serendah 0.88%

Program Refer & Earn

Tesla Model Y juga kini dimasukkan ke dalam program rujukan Tesla Refer and Earn.

Pemilik Tesla boleh berkongsi pautan rujukan dengan rakan-rakan dan ahli keluarga untuk menikmati manfaat eksklusif seperti kredit pengecasan, naik taraf perisian dan banyak lagi.

10 orang terawal yang menempah Tesla baharu menggunakan pautan rujukan tersebut akan menerima rebat RM1,000, sementara pemilik Tesla akan menerima kredit RM500 untuk setiap rujukan yang berjaya.

Kia Sales Malaysia rasmi buka pusat 3S di Kuching

Kia Sales Malaysia mengukuhkan komitmen terhadap rantau Malaysia Timur dengan pembukaan rasmi pusat 3S Kia di Kuching, Sarawak.

Pusat 3S ini dikendalikan oleh Heng Lian Enterprise Berhad.

Kemudahan

Terletak di kawasan strategik, fasiliti baharu ini memiliki keluasan binaan 4,796 kaki persegi.

Antara kemudahan yang tersedia termasuklah ruang pameran dengan kapasiti tiga kenderaan, ruang istirahat pelanggan, sambungan Wi-Fi percuma, serta makanan dan minuman ringan.

Pusat servis pula mempunyai perkakasan diagnostik terbaharu Kia, serta dua ruang kerja dengan keupayaan mengendalikan sehingga 260 kenderaan setiap bulan.

Pusat 3S Kia Kuching Heng Lian Enterprise Bhd terletak di Lot 106 & 107, Jalan Abell, 93100 Kuching, Sarawak.

Waktu operasi:

  • Bilik pameran – 8.30 AM hingga 5.30 PM (setiap hari), 10.00 AM hingga 3.00 PM (cuti umum)
  • Pusat servis – 8.30 AM hingga 5.30 PM (hari biasa), 8.30 AM hingga 5.30 PM (sabtu)

Heng Lian Enterprise Bhd ditubuhkan pada tahun 1984 dan berpengalaman mengendalikan kenderaan penumpang baharu, motosikal baharu dan terpakai, kenderaan komersial terpakai dan pembiayaan sewa beli.

Kukuh strategi di Malaysia Timur

Pembukaan pusat 3S Kia Kuching ini merupakan sebahagian daripada strategi KSM dalam meningkatkan capaian dan mengukuhkan sokongan pelanggan di Malaysia Timur.

Setakat ini, KSM mengendalikan 26 pengedar di serata Malaysia.

Zeekr 7X Black Nova kini di Malaysia, 200 unit, harga dari RM235k

Zeekr Intelligent Technology Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model edisi terhad Zeekr 7X Black Nova untuk pasaran Malaysia.

Ditawarkan kepada 200 unit, setiap satu dijual pada harga bermula dari RM235,000.

Spesifikasi 7X Black Nova

Edisi Black Nova ini menggunakan asas daripada Zeekr 7X varian AWD Performance.

Buat pertama kalinya di Malaysia, Zeekr 7X ditawarkan dengan kemasan dalaman dua tona hitam dan kelabu, diikuti kemasan luaran hitam sepenuhnya dan rim aloi hitam 20 inci.

SUV ini dipacu oleh dua motor elektrik berkuasa 646 PS, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.

Senibina elektrik 800V membenarkan pengecasan ultra-pantas dari 10-80% dalam masa 16 minit, dan jarak pandu WLTP sehingga 615 km.

Antara ciri lain yang tersedia termasuklah:

  • Zeekr Stargate Integrated Smart Light Curtain
  • sistem bantuan pemandu termaju
  • suspensi Magic Carpet
  • sistem audio Zeekr Sound Pro
  • pintu automatik tanpa bingkai
  • tempat duduk balutan kulit Nappa
  • fungsi pengudaraan dan urut untuk tempat duduk depan

Setiap pembelian didatangkan jaminan kenderaan sehingga 5-tahun/150,000 km, jaminan bateri dan komponen voltan tinggi sehingga 8 tahun/160,000 km, serta data internet 6GB/bulan percuma selama satu tahun.

Model Zeekr paling popular

Sejak diperkenalkan di Malaysia, Zeekr 7X menjadi antara model yang cukup popular di kalangan barisan model Zeekr Malaysia.

Dalam tempoh satu tahun, sebanyak 3,235 unit Zeekr 7X telah diedarkan menjadikannya SUV elektrik premium paling laris.

 

Tempahan Omoda C7 & C7 PHEV kini dibuka, harga dari RM160k

Omoda | Jaecoo Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV Omoda C7 dan Omoda C7 PHEV serba baharu.

Kedua-dua crossover premium ini bakal dilancarkan dengan tanda harga anggaran seperti berikut:

  • Omoda C7 – RM160,000
  • Omoda C7 PHEV – RM180,000

Spesifikasi Omoda C7 & C7 PHEV

Omoda C7 dipacu oleh enjin petrol 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa 197 PS dan 290 Nm yang dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Sementara C7 PHEV pula menggandingkan enjin 1.5 liter turbo dengan teknologi Super Hybrid System (SHS).

Dibangun berdasarkan falsafah “Art in Motion”, Omoda C7 membawakan rekaan hadapan hidung jerung yang dipadankan dengan imej yang serba futuristik.

Ruang kabin menampilkan ciri seperti:

  • skrin kluster digital 8.8 inci
  • skrin tengah sebesar 15.6 inci resolusi 2.5K
  • cermin hadapan berkembar (double-glaze)
  • pengecas tanpa wayar 50W dengan fungsi penyejukan

Ruang kargo adalah sebesar 614 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,371 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Baca: Spesifikasi Omoda C7 & C7 PHEV